You are on page 1of 11

Huraikan dan bandingkan ciri - ciri bentuk kerajaan agraria dan kerajaan maritim di Asia Tenggara dengan mengemukakan

contoh - contoh daripada kewujudan kerajaan - kerajaan tersebut.

1.0

Pengenalan Sejarah kerajaan di Asia Tenggara telah menunjukkan pelbagai interaksi di antara kuasa -

kuasa tempatan dan asing. Setiap negara adalah saling berkait antara satu dengan yang lain. Sebagai contoh, kerajaan Melayu Srivijaya dan Melaka adalah meliputi negara Indonesia dan Malaysia pada masa kini manakala kerajaan Burma, Thai dan Khmer adalah sebahagian daripada Indochina. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan kemunculan tamadun awal di Asia Tenggara. Bukti kukuh yang dapat dilihat adalah dengan kewujudan kerajaan awal di Tanah Besar seperti kerajaan Funan, Angkor, Chenla, Sukhotai dan Ayuthia. Di kawasan kepulauan Melayu pula wujud banyak kerajaan seperti Kedah Tua, Gangga Negara, Srivijaya, Langkasuka, Majapahit, Singhasari dan Mataram. Kerajaan - kerajaan awal ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu agraria dan maritim. Kegiatan ekonomi yang utama bagi kerajaan agraria ialah pertanian. Kebanyakan daripada kerajaan agraria ini terletak di kawasan tanah besar Asia Tenggara. Kerajaan maritim pula bergantung sepenuhnya pada perdagangan laut. Antaranya ialah kerajaan Melaka dan Srivijaya. Kaedah penentuan jangka masa kemunculan sesuatu kerajaan dibuat berdasarkan sumber bertulis dan artifak arkeologi1. Contohnya, kerajaan terawal di Asia Tenggara adalah Funan iaitu sekitar abad ke-2 Masihi berdasarkan bukti penemuan langgam seni arca yang dipengaruhi oleh langgam seni arca Amravati India. Selain itu, hubungan awal dengan kerajaan besar dari rantau lain juga menjadi sumber rujukan bagi pengenalan kerajaan awal Asia Tenggara. Contohnya, hubungan diplomatik dengan China, hubungan kebudayaan dengan India dan hubungan perdagangan antarabangsa berdasarkan penemuan gendang gangsa di Dongson2, Vietnam, Batu Buruk di Terengganu dan Sungai Klang di Selangor. Hubungan perdagangan dengan Rom juga berlaku dengan penemuan manik di Kota Tinggi dan Muar. Bijih timah telah diproses menjadi gendang gangsa di Dongson dan menjadi pelabuhan pembekal. Kebanyakan petempatan awal ini belum boleh ditakrif sebagai kerajaan kerana masih belum mempunyai raja.
1

Sejarah ditulis berasaskan kajian terhadap sumber sejarah seperti artifak, fosil, dokumen, peta, manuskrip, dan sumber lisan. 2 Gendang gangsa merupakan salah satu hasil pertukangan logam yang terbaik.

Jumpaan manik dan tembikar membuktikan perdagangan maritim berlaku sejak abad ke5 Sebelum Masihi tetapi kerajaan awal Asia Tenggara hanya muncul pada abad ke 2 M.

2.0

Kerajaan Agraria Kerajaan agraria merupakan kerajaan yang berasaskan ekonomi pertanian, penternakan

dan pemungutan hasil hutan dan sungai. Dalam bidang pertanian, tanaman utama yang diusahakan oleh kerajaan ini ialah padi sawah, padi huma, jagung, pisang, keledek dan sayur sayuran. Hasil ternakan haiwan pula ialah seperti lembu, kerbau, kambing dan ayam. Hasil hutan yang dipungut ialah seperti gaharu, kapur barus, tanduk, gading, damar, kayu cendana dan pelbagai jenis buah. Terdapat juga rempah ratus yang dipungut seperti cengkih dan lada hitam. Kegiatan ekonomi yang lain ialah mengumpul sarang burung untuk dijual, menangkap ikan di sungai, sawah dan paya atau mengumpul kulit kura - kura. Tahap awal pertanian penduduk adalah untuk sara diri yang kemudian berkembang menjadi komersil. Perubahan tersebut banyak dipengaruhi oleh pembinaan sistem pengairan yang mantap.
3

Kerajaan agraria terbentuk

berhampiran lembangan sungai yang mempunyai tanah yang subur seperti kerajaan Dvaravati yang terletak di Sungai Menam. Kerajaan Ayuthia yang juga merupakan salah sebuah kerajaan agraria terletak di delta Chao Phraya. Contoh lain ialah empayar Khmer di tasik Tonle Sap. Selain itu, terdapat juga kerajaan agraria yang terletak di kawasan pedalaman yang berbukit atau lereng gunung berapi seperti kerajaan Taruma yang berada di Tanah Tinggi Dieng Indonesia. Dua buah kerajaan awal agraria yang terkenal ialah Funan dan Angkor. Kerajaan Funan telah diasaskan pada abad 1 Masihi dan merupakan kerajaan terawal di Asia Tenggara. Menurut laporan dari dua wakil Cina, K'ang T'ai dan Chu Ying, negara Funan diasaskan oleh Brahimin India bernama Kaundinya. Beliau mendapat arahan dalam mimpi untuk mengambil mangkuk ajaib dari kuil dan mengalahkan Soma iaitu ratu Khmer. Soma, anak kepada raja Nagas, berkahwin dengan Kaundinya dan keturunan mereka menjadi dinasti raja Funan. Perkataan Funan adalah diambil daripada bahasa Cina yang maksudnya masih tidak dapat ditranskripkan. Nama ini ditemui dalam teks sejarah Cina yang menjelaskan tentang kerajaan tersebut berdasarkan laporan dua diplomat China yang bertugas ke kerajaan tersebut. Walau bagaimanapun, nama Funan tidak ditemui dalam mana - mana skrip yang ditemui di negara itu dan tidak diketahui nama apakah yang diberikan oleh penduduk Funan kepada kerajaan mereka.
3

Kerajaan agraria terbentuk secara evolusi daripada petempatan kekal yang kemudian menjadi bandar dan kerajaan.

Pusat pentadbiran kerajaan ini terletak di Vyadhapura. Empangan, saliran dan takungan air dibina untuk mengairi kawasan sawah padi. Kerajaan Funan mendapatkan bekalan airnya

daripada Sungai Mekong dan kawasan pesisir pantai. Raja Funan yang pertama ialah Kaundinya yang digelar sebagai Kurung Bnam yang bermaksud raja - raja gunung. Gunung suci tersebut menjadi simbol kuasa raja pada masa tersebut. Salah satu watak penting dalam kerajaan Funan ialah Fan Shih-man yang merupakan seorang jeneral yang agung. Pelabuhan utama Funan ialah Oc Eo yang bermaksud terusan kaca di mana Sungai Mekong merupakan jalan perhubungan perdagangan. Funan merupakan pusat ekonomi agung Asia Tenggara yang pertama. Ia menjadi mewah kerana perkembangannya daripada kerajaan agraria kepada kerajaan maritim. Ini terbukti dengan jumpaan barangan yang berasal dari empayar Rom, Cina dan India dalam penggalian arkeologi di Oc Eo di selatan Vietnam. Kerajaan Angkor pula telah diasaskan pada abad ke-7 Masihi. Pusat pentadbiran kerajaan terletak di hilir Sungai Mekong. Kawasan utama pertaniannya ialah di sekitar tasik Tonle Sap yang telah dibina pada abad ke-10 Masihi dan terletak di bahagian tengah Kampuchea. Tasik ini banyak menyumbang kepada pertanian padi sawah. Kerajaan Angkor membina baray untuk kemudahan sistem pertanian. 4Baray merupakan sebuah kolam air besar yang dibina untuk menampung 30 juta meter padu air yang disalirkan ke 12.5 juta ekar sawah bagi membantu mendapatkan hasil yang banyak. Sistem pemerintahan Angkor adalah berbentuk raja berkuasa mutlak dan dianggap sebagai Devaraja iaitu wakil Tuhan untuk memimpin manusia. Raja akan dibantu oleh kaum kerabatnya untuk menjalankan proses pentadbiran. Zaman kegemilangan Angkor ialah pada masa pemerintahan Raja Suryavarman II. Baginda naik takhta selepas memenangi pertempuran dengan musuhnya iaitu putera yang lain. Agama utama kerajaan ini ialah Hindu - Buddha yang kewujudannya dibuktikan dengan Angkor Wat, hasil binaan Raja Suryavarman II. Baginda mendedikasikan Angkor Wat ini kepada Dewa Visnu. Panjang dindingnya hampir mencecah setengah kilometer di setiap sisi. Menara tengahnya mewakili Gunung Meru iaitu rumah bagi dewa - dewa. Ukiran di permukaan dinding dihiasi dengan gambaran berunsur mistik dan juga kehidupan baginda. Dalam suatu babak di ukiran tersebut, baginda digambarkan dengan sangat besar berbanding unsur sekeliling sambil duduk dengan

http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Southeast_Asia

kaki yang bersilang dan bersemayam di takhtanya serta dikelilingi oleh pengikut dan hamba hambanya.

3.0

Kerajaan Maritim Kerajaan Maritim ialah kerajaan yang menjalankan ekonomi perdagangan pelabuhan dan

laut, perkapalan dan perikanan. Ia terletak di pesisiran pantai, lembah sungai dan kepulauan seperti Srivijaya di Sungai Musi dan Kedah Tua di Sungai Merbok. Pada mulanya, aktiviti sara diri bermula dengan menangkap ikan dan memungut hasil laut. Lama - kelamaan, ia berubah menjadi sebuah perkampungan nelayan. Terdapat juga yang berkembang menjadi kawasan perlombongan emas dan timah. Apabila wujud pengeluaran secara berlebihan, kesemua hasil sungai dan laut tersebut didagangkan yang kemudiannya menyebabkan perkampungan nelayan berubah menjadi pusat perdagangan. Apabila wujudnya kawasan pelabuhan kapal, para pembekal dan pembeli dari rantau lain seperti Eropah, Arab, China dan India akan singgah untuk mendapatkan barang seperti damar, rotan, emas, timah dan hasil laut. Antara kerajaan maritim yang utama ialah Champa, Chih Tu, Srivijaya, Kedah Tua dan Majapahit. Setiap kerajaan ini mempunyai pelabuhan entrepot yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal, pergudangan dan kawasan untuk berjual beli. Masyarakat dalam kerajaan maritim mempunyai kemahiran untuk membuat kapal, menguasai ilmu pelayaran dan mampu berlayar hingga ke Afrika Tengah. Penduduk kerajaan maritim biasanya terdiri daripada orang tempatan, Orang Laut dan pedagang luar. Kerajaan maritim mempunyai lebih daripada satu bahasa yang digunakan. Namun begitu, bahasa Melayu digunakan dalam urusan perdagangan dan sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) di rantau Asia Tenggara ini. Kawasan di sekitar Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera sememangnya kaya dengan logam, emas dan timah yang dapat menarik pedagang asing ke pelabuhan-pelabuhan di sini. Buktinya, dalam catatan Yunani, Ptolemy memberikan nama
5

Golden Khersinese (Semenanjung Emas) kepada

Semenanjung Tanah Melayu. Saudagar-saudagar India pula memberikan nama Suvarnadvipa (Semenanjung Emas) dan Suvarnabhumi (Bumi Emas) kepada Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Terdapat tiga kategori pelabuhan yang wujud di kerajaan - kerajaan maritim. Pertama, pelabuhan pembekal iaitu merupakan pelabuhan peringkat terawal. Pelabuhan ini berfungsi
5

Wheatley, P. (1980), The Golden Khersonese.

sebagai pembekal hasil tempatan seperti logam (timah dan emas), hasil hutan (damar, kayu gaharu dan rotan), hasil laut dan juga makanan kepada pedagang - pedagang yang singgah. Contoh pelabuhan pembekal ialah Kuala Selinsing yang terletak di Perak, Jenderaan Hilir dan Klang yang terletak di Selangor dan Kuala Berang yang terletak di Terengganu. Pelabuhan yang kedua ialah pelabuhan kerajaan yang telah berkembang maju apabila terbina sebuah kerajaan besar di sekitar pelabuhan pembekal. Peranan pelabuhan kerajaan masih lagi seperti pelabuhan pembekal dan tempat berdagang tetapi untuk kawasan yang lebih luas. Antara pelabuhan kerajaan yang wujud ialah Champa, Kedah Tua, Langkasuka dan Srivijaya. Pada awalnya, pelabuhan itu berdagang dengan kawasan yang berhampiran, contohnya antara Champa dengan Langkasuka. Pelabuhan tersebut kemudiannya berkembang sehingga dapat menarik perhatian pedagang dari pesisir pantai Teluk Siam, Kemboja, Vietnam, China Selatan, India dan barat. Pelabuhan lain ialah pelabuhan entrepot6 yang merupakan pelabuhan yang memperdagangkan hasil tempatan serta hasil dari kerajaan lain yang dibekalkan kepadanya kepada pedagang antarabangsa yang berdagang di pelabuhannya. Pelabuhan ini juga membeli barangan daripada pedagang antarabangsa untuk diedarkan kepada saudagar-saudagar yang datang dari pelabuhan sekitarnya dan yang datang dari kawasan takluknya. Pelabuhan ini berkembang dari pelabuhan kerajaan yang mempunyai kedudukan yang amat strategik. Contohnya Kedah Tua dan Srivijaya, Ini berdasarkan lokasinya di Selat Melaka dan Selat Sunda, kedudukannya di lautan perdagangan di antara India dan China dan kawasan sekitarnya yang kaya dengan pelbagai hasil logam, hasil hutan dan hasil pertanian. Kerajaan Champa telah diasaskan sekitar tahun 192 Masihi oleh Chu-Lien. Pemerintahan Raja Champa banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan dalam struktur pentadbirannya, terdapat pegawai pemungut cukai. Pelabuhan kerajaan Champa yang terkenal ialah Inderapura. Ia telah ditadbir oleh 14 dinasti dan pada akhir kurun ke-13, kerajaan ini telah dipengaruhi oleh China sehingga melenyapkan pengaruhnya pada kurun ke-15. Nama Champa telah wujud pada tahun 655 Masihi. Menurut sumber sanskrit, pada tahun 400 Masihi ia telah ditadbir oleh Bhadravarnom. Kerajaan Chih-Tu juga dikenali dengan nama lain seperti Ho-La-Tan atau Tan-Tan serta Kilatan. Kerajaan ini juga pernah dikenali dengan nama berbeza seperti Kerajaan Chermin dan

pusat perdagangan, biasanya bandar pelabuhan, yang menjadi tempat mengimport dan mengeksport semula barang-barang dagangan.

Langkasuka. Menurut catatan I-Ching, Chih-Tu bermaksud Tanah Merah. Kerajaan Chih-Tu telah diasaskan oleh Raja Guatama pada kurun ke-6 Masihi. Sistem pentadbiran kerajaan ini diketuai oleh seorang raja yang berkuasa mutlak dan dibantu oleh tiga orang menteri. Sistem pemerintahan beraja Chih-Tu adalah mengikut corak pemerintahan Srivijaya yang menerima pengaruh Hindu. Rekod dinasti Sui (581 - 618) menunjukkan kewujudan sebuah kerajaan Melayu Purba yang merujuk kepada Chih-Tu. Kerajaan Chih-Tu yang sama bentuk dengan Funan adalah terletak di laut selatan. Melalui laut, ia boleh dicapai lebih dari 100 hari perjalanan. Warna tanah di tempat itu adalah merah, dengannya nama kerajaan itu dinamakan. Di timurnya ialah kerajaan Po-lo-la, di barat ialah kerajaan Po-lo-suo dan di selatan ialah Ho-lo-tan. Di utaranya ialah laut. Negeri ini keluasannya beberapa ribu li (1 li bersamaan 6.667 meter persegi). Nama keluarga rajanya ialah Qu-tan,namanya pula ialah Li-fu-dou-sai,
7

(Dinasti Sui, abad ke-7 Masihi)

Kerajaan Srivijaya telah diasaskan sekitar abad ke-7 Masihi dan berpusat di Palembang, Sumatera. Kerajaan ini juga mengamalkan sistem beraja yang berkuasa mutlak. Menurut catatan Arab, raja dianggap sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Menteri merupakan orang perantaraan antara raja dengan rakyat. Suatu batu bersurat bertarikh 683 Masihi yang dijumpai di Telaga Batu menyatakan pentadbiran kerajaan Srivijaya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pentadbiran diraja, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran daerah. Kerajaan Srivijaya telah menguasai Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut Jawa untuk mengawal seluruh kegiatan perdagangan maritim di Kepulauan Melayu. Pelabuhannya yang paling penting ialah Palembang. Antara barangan dagangan di pelabuhan Palembang ialah seperti damar, cendana, kapur barus, kemenyan dan lada hitam. Pada masa kegemilangannya, pelabuhan tersebut menjadi pusat pertukaran barangan dalam kegiatan perdagangan antara China, India dan Barat. Kerajaan Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan awal yang terkenal di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram. Menurut catatan I Ching dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha. Kerajaan Kedah Tua diasaskan pada abad ke-5. Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama tetapi kemudian dipindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha
7

Catatan awal daripada dua orang pegawai Cina yang membuat lawatan diplomatik ke sana.

dan seterusnya diikuti oleh agama Hindu, pengaruh Hindu-Buddha ini boleh dibuktikan melalui peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang. Gunung Jerai telah menjadi petunjuk atau panduan kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang ataupun di Sungai Mas. Pelabuhan Kedah Tua telah menjadi tempat penukaran barang, tempat persinggahan dan tempat membaiki kapal pelayar dan pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka ke Timur. Ia juga menjadi pusat perdagangan pelbagai hasil tempatan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan, tanduk dan sebagainya. Walaupun ia adalah sebuah kerajaan samudera tetapi juga menjadi pengeluar padi terkenal kerana dikurniakan tanah pamah yang rata dan luas. Kegemilangan kerajaan Kedah Tua dibuktikan melalui penemuan wang perak semasa pemerintahan Sultan al-Mutawakil sekitar tahun 847 hingga 861 Masihi, manik dari India dan barangan kaca dari Timur Tengah. Kerajaan Majapahit pula telah diasaskan oleh Raden Wijaya yang telah menerima pengaruh Hindu - Buddha di mana pentadbirannya adalah berdasarkan undang - undang Manu. Kerajaan ini juga mengamalkan konsep Devaraja dan raja dibantu oleh perdana menteri serta empat orang menteri. Kerajaan Majapahit mencapai zaman kegemilangannya sewaktu pemerintahan Hayam Wuruk (Raja Senagara) dan Perdana Menterinya, Patih Gajah Mada. Pedagang - pedagang dari China, India dan Timur Tengah datang untuk berdagang di Majapahit sehingga ia menjadi tempat perdagangan yang utama pada abad ke - 15. Pelabuhan utamanya ialah Kataha dan Temasik.

4.0

Hubungan Kerajaan Agraria dan Maritim Terdapat kebergantungan yang nyata dan saling melengkapi di antara kedua - dua

kerajaan agraria dan maritim. Salah satu contoh adalah sumber buruh iaitu kerajaan agraria mempunyai ramai penduduk bagi membekalkan tenaga kerja kepada kerajaan maritim seperti tukang kayu dan batu yang mahir. Kerajaan agraria menghasilkan makanan seperti beras dan hasil hutan kepada kerajaan maritim kerana kerajaan agraria mempunyai ekonomi yang berasaskan pertanian. Makanan sememangnya penting kepada kerajaan maritim yang sentiasa sibuk dan dilawati oleh pedagang - pedagang asing. Beras merupakan barangan dagangan utama antara kerajaan agraria dengan kerajaan maritim. Contohnya, kerajaan Sailendra di Jawa Tengah

yang mempunyai penduduk yang ramai serta sistem pertanian yang lebih baik mampu menghasilkan beras yang berlebihan untuk dibekalkan kepada kerajaan - kerajaan maritim. Kerajaan maritim berfungsi sebagai pembekal barangan mewah seperti tembikar, tekstil, gelas dan manik kepada kerajaan agraria. Mengapakah kerajaan agraria yang terletak di pedalaman memerlukan barangan mewah tersebut? Sebenarnya, barangan mewah yang diperoleh itu dapat menjadi sumber kekayaan dan simbol keagungan kerajaan agraria. Antara barangan mewah yang popular di kalangan kerajaan agraria ialah tembikar China, tekstil dari India dan China serta barangan gelas dan manik. Perdagangan berlaku di antara kedua - dua kerajaan ini melalui cara tukar barang yang lebih dikenali sebagai sistem barter. Kerajaan maritim telah membawa masuk pelbagai jenis barangan untuk ditukarkan dengan kerajaan agraria yang memang memerlukan barangan itu. Kerajaan maritim juga memerlukan kayu daripada kerajaan agraria untuk membuat kapal. Kayu yang baik boleh diperoleh di kawasan pedalaman kerajaan agraria, contohnya daripada kerajaan Pegu di Burma. Selain itu, kerajaan maritim juga memerlukan binatang kenderaaan seperti gajah untuk dijadikan kenderaan raja. Ini boleh diperoleh dari kerajaan agraria seperti di Burma dan Siam. Dalam suatu tempoh masa yang lama, kerajaan agraria berpeluang untuk berkembang menjadi kerajaan maritim. Sebagai contoh, kerajaan Funan. Kerajaan Funan mencapai kemuncaknya di bawah pemerintahan Fan Shih-man pada awal abad ke 3 Masihi, mengunjur di selatan sehingga utara Malaysia dan di barat sehingga ke Burma. Funan berjaya menubuhkan sistem perdagangan dan monopoli perniagaan yang kukuh dan menjadi corak pentadbiran di kawasan ini. Fan Shih-man telah memperbesarkan angkatan laut dan memperbaiki birokrasi Funan, membentuk bentuk separuh-feudal (quasi-feudal) yang membiarkan adat dan pengenalan tempatan kekal, terutamanya yang terletak di bahagian sempadan kerajaan. Kerajaan - kerajaan awal di Asia Tenggara menerima pengaruh Hindu - Buddha dalam sistem pentadbiran, binaan, kebudayaan dan agama.8 Peranan penyebaran pengaruh Hindu Buddha diambil oleh Ksyatria atau tentera melalui proses penaklukan, para pedagang atau Vaisya dan pendeta atau Brahmin. Ciri budaya India yang menarik sahaja yang disesuaikan dengan budaya tempatan, buktinya arca bercirikan Asia Tenggara di Srivijaya iaitu ikatan tali kulit harimau yang hanya ada di Srivijaya. Aspek Hindu - Buddha yang diambil berbeza - beza
8

http://en.wikipedia.org/wiki/Buddhism_in_Southeast_Asia http://en.wikipedia.org/wiki/Hinduism_in_Southeast_Asia

dari seorang pemerintah dengan pemerintah Asia Tenggara yang lain. Sebagai contoh, kerajaan Kedah Tua dipengaruhi oleh Buddha, Dieng di Indonesia dipengaruhi oleh Hindu dan Pulau Bangka dipengaruhi oleh Hindu mazhab Vishnu. Pengaruh Hindu - Buddha berlaku serentak dengan hubungan perdagangan, apabila Rom menghentikan perdagangan emas ke India maka India beralih mendapat emas di Asia Tenggara. Dalam aspek pentadbiran, gelaran raja bermula selepas kedatangan pengaruh sistem beraja India. Di bawah raja ialah kerabat diraja dan pembesar termasuk ahli agama seperti Brahmin. Selepas itu rakyat dan hamba yang bawah sekali. Raja berkuasa mutlak dalam semua hal, perintahnya menjadi undang undang, sesiapa yang menentangnya dianggap derhaka. Walau bagaimanapun raja harus adil kepada golongan diperintah. Rakyat takut derhaka maka muncul konsep dewa-raja yang mempunyai sakti. Unsur mitos dan lagenda digunakan untuk memperkuatkan kedudukan pemerintahannya. Upacara pertabalan dipimpin oleh Brahmin bertujuan membezakan kedudukan raja daripada golongan diperintah. Raja yang terpengaruh sistem Hindu - Buddha membina kompleks kota yang melambangkan alam semesta (orde kosmos). Negara dianggap sebagai alam semesta, raja dan ibu kota ialah pusat alam (pusat pemerintahan), maka raja perlu mengatur kesejahteraan negara dan rakyat (alam semesta). Hasil tinggalan hidup daripada kedua - dua kerajaan ini ialah monumen dan kesenian yang masih boleh dilihat sehingga hari ini. Monumen iaitu binaan atau bangunan daripada batu untuk memperingati orang ternama atau peristiwa penting seperti candi, kuil, wat, stupa, arca dan patung. Candi pula berperanan sebagai rumah ibadat, menyimpan abu jenazah raja dan keluarganya, menyimpan patung dewa utama dan lambang kehebatan raja. Angkor Wat dan Borobudur melambangkan orde kosmos. Rumah ibadat di Thailand, Kemboja, Vietnam disebut wat, tetapi di Burma disebut stupa manakala di Indonesia disebut candi. Candi Dieng dan Prambanan di Indonesia untuk agama Hindu, tetapi candi seperti Chaiya dan Yarang di Thailand adalah untuk agama Buddha. Patung Hindu yang dibina adalah seperti patung dewa Siva, Brahma dan Durga. Patung Buddha pula seperti patung Avalokitesvara. Candi dan patung di Asia Tenggara merupakan hasil campuran gaya tempatan dan India. Antara pengaruh India tersebut ialah patung zaman Dinasti Gupta.

5.0

Penutup

Ciri - ciri bentuk kerajaan awal di Asia Tenggara membolehkan pemahaman mengenai sejarah dan warisan rantau ini dibuat. Secara ringkasnya, terdapat empat ciri pengkelasan yang boleh dibuat untuk membandingkan kerajaan agraria dan maritim iaitu lokasi, kegiatan ekonomi, asas kerajaan dan masyarakat. Kedua - dua kerajaan ini adalah saling bergantung dan melengkapi antara satu sama lain. Kegemilangan kerajaan awal Asia Tenggara membuktikan bahawa rantau ini pernah menjadi pusat pertemuan yang sibuk dan mewah suatu ketika dahulu. Kekayaan hasil bumi dan sistem pentadbiran yang cekap menunjukkan rantau Asia Tenggara sebenarnya boleh dan sepatutnya berkembang maju setaraf dengan rantau Eropah dan Amerika pada masa kini. Walau bagaimanapun, penjajahan kuasa asing menyebabkan kesemua empayar ini lenyap dan yang tinggal hanya binaan serta asimilasi kebudayaan yang masih boleh dilihat sehingga kini. Seorang ahli falsafah iaitu George Santayana menyatakan Those who cannot remember the past are condemned to repeat it. Kuasa - kuasa besar pada masa kini seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Russia berlumba - lumba untuk melengkapkan pertahanan masing - masing terutamanya dalam bidang ketenteraan. Ini kerana sejarah menunjukkan kerajaan agung masa lalu jatuh akibat serangan kuasa luar. Walau bagaimanapun, persaingan senjata telah menyebabkan dunia ini menjadi tidak lagi aman kerana wujud ketakutan dan tertekan di kalangan negara yang bersaing sehingga boleh menyebabkan peperangan. Sehingga kini, monumen tinggalan daripada kerajaan awal telah menjadi suatu destinasi pelancongan yang banyak menarik kemasukan pelancong - pelancong dari rantau lain. Asia Tenggara juga kini masih kekal sebagai tempat pertemuan perdagangan dunia seperti di Singapura. Sebagai perbandingan, kerajaan Funan dan Champa ialah sebahagian Vietnam pada masa kini, Angkor ialah Kemboja, Chih-Tu ialah Kelantan, Kedah Tua ialah Kedah, Srivijaya dan Majapahit pula ialah Indonesia.

6.0

Rujukan

Abdullah Mohamed, (1981), Keturunan Raja - raja Kelantan dan Peristiwa - peristiwa Bersejarah, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Abdul Rahman Haji Abdullah, (2000), Wacana Falsafah Sejarah: Perspektif Barat dan Timur. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Ahmad Fawzi b. Mohd. Basri, Mohd. Foad b. Sakdan dan Azami b. Man. (2005) Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Sejarah Tingkatan 1 Buku Teks. Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Southeast_Asia http://en.wikipedia.org/wiki/Buddhism_in_Southeast_Asia http://en.wikipedia.org/wiki/Hinduism_in_Southeast_Asia http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Cambodia http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Malaysia http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Indonesia http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Laos http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Myanmar http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_Vietnam http://en.wikipedia.org/wiki/Sui_Dynasty

Munoz, Paul Michel (2006). Early Kingdoms of the Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula. Editions Didier Millet

Wolters, O. W., (1970), The Fall of Srivijaya in Malay History, Ithaca, New York and London.

Wheatley, P. (1980), The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

You might also like