You are on page 1of 13

PENGENALAN

Pembelajaran merupakan proses seseorang pelajar memperoleh sesuatu kefahaman atau konsep dan mengubah serta mengabaikan kefahaman atau konsep tertentu yang telah dipelajarinya (Murphy dan Alexander, 2006). Pelajar iaitu golongan yang masih di peringkat remaja ini dikelilingi keluarga terutama ibu bapa, guru dan rakan sebaya yang sentiasa membantu dalam proses pembelajaran sejak kecil hingga dewasa. Ahli psikologi mengatakan bahawa no man is an island yang bermaksud remaja senantiasa dikelilingi keluarga dan masyarakat untuk membimbingnya ke arah hidup sejahtera. Selain itu, terdapat juga beberapa faktor yang boleh mempengaruhi dan memberi kesan khususnya pengaruh dan kesan persekitaran pembelajaran terhadap motivasi pelajar. Antara pengaruh persekitaran pembelajaran terhadap motivasi pelajar bermula dari peringkat atasan iaitu pengetua, guru, ibu bapa, masyarakat setempat dan rakan sebaya serta suasana sekolah terutama pembelajaran di dalam kelas itu sendiri. Manakala jika dilihat pada kesannya jika diberi pengaruh yang baik kepada pelajar maka baiklah pelajar tersebut, tetapi jika disuapkan dengan pengaruh yang tidak elok, maka rosak lah pelajar itu. Kejayaan dan kegagalan pelajar amat bergantung pada dorongan manusia sekeliling dan persekitarannya.

PERANAN PENGETUA MEMPENGARUHI PERSEKITARAN PEMBELAJARAN DAN MAMPU MEMBERI KESAN TERSEBUT TERHADAP MOTIVASI PELAJAR
Pentadbiran sekolah amat memerlukan pimpinan seorang pengetua yang berpengetahuan, cekap dalam menjalankan tugas, berpengalaman mengajar, dan berkemahiran untuk mentadbir. Pengetua sebagai pemimpin dan pengurus pendidikan menjadi faktor utama bukan sahaja dari segi kejayaan sesebuah sekolah, bahkan dengan kepimpinan dan pengurusannya segala misi dan visinya boleh menentukan hala tuju institusi pendidikan yang diamanahkan kepadanya. Ciri-ciri bagi seseorang pengetua di sekolah yang cemerlang dan berkaliber seperti berfikiran terbuka dan berpandangan jauh serta menjalinkan hubungan yang mesra dengan pegawai atasan dan bawahan serta rakan-rakan sejawatnya. Selain itu pengetua yang prihatin akan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan kakitangan ,berperikemanusiaan dan bertimbang rasa. Menurut Hussein Mahmood (1997) , beliau telah menggariskan 8 andaian dalam model teori yang dikemukakan oleh beliau iaitu (i) Tingkah laku pengetua mempunyai pengaruh secara langsung terhadap pelajar. (ii) Tingkah laku pengetua mempunyai pengaruh atau kesan secara tidak langsung ke atas pelajar iaitu melalui pemboleh ubah pengantaraan sama ada pemboleh ubah dalam sekolah atau pemboleh ubah luar sekolah. (iii) Tingkah laku pengetua memberi kesan ke atas pembelajaran pelajar dan seterusnya ke atas hasilan pelajar.

(iv) Kesan tingkah laku pengetua mempengaruhi pembelajaran dan hasilan pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung dan secara serentak juga akan mempengaruhi pemboleh ubah dalam sekolah dan pemboleh ubah luar sekolah. (v) Hasilan pelajar merupakan kesan daripada pembelajaran mereka dan sebaliknya. (vi) Pemboleh ubah dalam sekolah juga merupakan kesan pemboleh ubah luar sekolah dan sebaliknya. (vii) Pemboleh ubah dalam sekolah termasuk guru, iklim sekolah, organisasi dan amalan pengajaran saling mempengaruhi dan (viii) Kedua-dua faktor dalaman dan luaran sekolah mempengaruhi falsafah sekolah, misi, matlamat dan dasar, begitu juga sebaliknya. Selain itu, pengetua juga perlu bijak membina satu suasana sekolah yang melibatkan pelajar dalam pembuatan keputusan bagi aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Persekitaran dan aktiviti pembelajaran juga perlulah menyokong hal ini. Pelajar lebih tertarik sekiranya berada dalam persekitaran pembelajaran yang mengiktiraf keunikan mereka sebagai individu yang tersendiri dan menggalakkan daya kreativiti mereka. Salah satu daripada kelebihan pelajar ialah mereka boleh berfikir perkara-perkara abstrak, berfikir secara bebas dan secara kreatif. Oleh itu, seorang pengetua yang berfikiran kreatif harus menggunakan kepintaran pelajar untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang bijak. Galakkan mereka untuk memahami masalah dengan cara sendiri dan memikirkan penyelesaiannya. Kesannya pelajar tidak terlalu bergantung kepada guru untuk menyelesaikan setiap masalah pembelajaran yang dihadapi dan mereka tidak hanya disuapkan jawapan semata-mata tetapi mereka perlu memikirkan bagaimana untuk mencari dan mendapatkan jawapan tersebut bukan hanya daripada guru mereka sahaja. Kesannya, pelajar akan menjadi lebih matang dalam menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan bijak membuat keputusan sendiri serta dapat memupuk sifat berdikari dalam diri pelajar.

KECERIAAN SEKOLAH UNTUK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Menurut Abdullah Sani bin Yahaya, penulis buku Mengurus Sekolah(2003), keceriaan sekolah merupakan salah satu elemen penting yang akan mempengaruhi pengurusan dan disiplin pelajar di sesebuah sekolah, sesebuah sekolah yang memiliki persekitaran yang cantik dan bersih sudah pasti akan mengundang suasana yang tenang dan sedap mata memandang. Bagi memastikan aspek keceriaan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan sekolah, pihak pentadbir khasnya pengetua harus memainkan peranan utama. Pada amnya, iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting terhadap pembentukan tingkah laku , imej mental ,aspirasi dan interaksi sosial bagi anggota-anggota di dalamnya. pengaruh-pengaruh iklim sekolah ditentukan oleh gaya kepimpinan pengetua atau guru besar, wawasan sekolah, hubungan interpersonal yang formal dan tidak formal dalam sekolah tersebut. Mengikut kajian pakar-pakar penyelidikan, suasana fizikal sekolah yang kondusif menjadi faktor penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Tema-tema seperti Sekolah ku Syurga ku , Sekolah Gemilang, Murid Cemerlang, Sekolah Dalam Taman dan sebagainya merupakan moto yang biasa digunakan oleh sesebuah sekolah. Hal ini menggambarkan kepada kita bahawa sesebuah sekolah yang menjadi impian adalah sekolah yang berlatar belakangkan persekitaran yang bersih dan menarik yang sekali gus dapat memberikan gambaran positif oleh masyarakat terhadap guru-guru dan para pelajar sekolah tersebut. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga sangat mementingkan sesebuah sekolah yang dihiasi serta dilengkapi dengan aspek-aspek keceriaan dan keindahan supaya ianya mencerminkan budaya indah dan bersih di setiap sekolah di Malaysia sentiasa diamalkan. Hal ini terbukti dengan peruntukan sebanyak RM 100,000.00 yang disediakan oleh kementerian untuk sekolah-sekolah yang baru dibuka bagi menjalankan projek-projek keceriaan dalaman dan keindahan demografi sekolah terbabit. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pencapaian yang tinggi bagi murid-murid di sekolah yang tahap keceriaannya lebih baik berbanding sekolah yang persekitarannya kurang ceria. Faktor ini mungkin disebabkan oleh suasana dan iklim sekolah tersebut dapat memberikan keselesaan dan ketenangan para pelajar dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, keadaan fizikal sekolah yang menarik dan ceria sudah tentu dapat mempengaruhi para pelajar untuk hadir ke sekolah tanpa rasa jemu. secara tidak langsung ia dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Ada kalanya masalah disiplin para pelajar juga dapat dikurangkan sekiranya suasana di sekolah berjaya mencetuskan rasa tenang dan gembira para pelajar semasa berada di sekolah. Persekitaran sekolah yang menarik mampu mencegah emosi yang tidak stabil dan tingkah laku yang tidak diingini berlaku dalam kalangan pelajar.

Menurut beberapa pendapat pengetua dan guru besar yang diterima menyatakan bahawa semenjak ada usaha menceriakan kawasan sekolah, pencapaian murid-murid tahun enam dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menunjukkan tanda-tanda yang baik. Manakala seorang pengetua lagi pula mengakui bahawa suasana ceria dan tenang di sekolah menjadikan para pelajar asyik teringatkan sekolah dan tidak sabar-sabar untuk ke sekolah semula sebaik loceng waktu pembelajaran terakhir dibunyikan. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa adanya hubung kait antara keceriaan sekolah dengan prestasi murid-murid dalam pelajaran dan tahap disiplin yang membanggakan. Selain itu, sesebuah sekolah yang menarik pasti akan mengundang banyak pujian daripada pelbagai pihak. Ibu bapa pula akan merasa amat gembira sekiranya anak mereka dapat belajar di sebuah sekolah yang suasananya sosioemosi iklim persekolahan yang menarik. Mereka sudah tentu tidak akan menimbulkan rungutan-rungutan yang akan menggugat kredibiliti sekolah sebagai tempat untuk menimba ilmu.

PENGARUH DAN KESAN PERSEKITARAN PEMBELAJARAN OLEH IBU BAPA TERHADAP MOTIVASI PELAJAR
Ibu bapa merupakan faktor dalam alam pendidikan para pelajar yang kurang diberi tumpuan berbanding guru-guru atau institusi sekolah. Sedangkan kajian telah menunjukkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam pembentukan dan perkembangan anak-anak, sejak dari dalam kandungan lagi. Dan kesannya dapat dilihat hingga ke alam dewasa (Woolfolk, 1995).Pembelajaran berkesan bergantung kepada perkembangan emosi yang sihat. Bagaimana orang dewasa melibatkan diri dalam proses afektif juga mempunyai impak ke atas keupayaan seorang kanak-kanak mengikuti pembelajarannya. Maslow(1976) berpendapat bahawa anak-anak memerlukan keadaan yang selamat dari sudut emosi sebelum pembelajaran dapat berlaku (Greenhalgh,1994). Meningkatkan kualiti perhubungan manusia di kalangan pelajar juga meningkatkan kualiti dan bilangan kerja-kerja akademik, di samping kedatangan ke sekolah (Hall & Hall, 1988). Untuk berupaya membuat eksplorasi yang diperlukan dalam pembelajaran berautonomi pula, seorang pelajar perlu berasa selamat dan terjaga di dalam ikatannya dengan orang-orang dewasa yang signifikan (Greenhalgh, 1994).Sekiranya anak-anak tidak dapat mengecapi hubungan yang sejahtera dengan orang-orang dewasa yang signifikan dalam hidupnya, mereka akan terkesan secara negatif, terutama dari sudut pembentukan konsep kendiri.

Terdapat tiga cara anak-anak mungkin akan terkesan oleh emosi yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap mereka. Pertama, apabila berlaku ketidakterimaan. Kedua ialah apabila ibu bapa terlalu melindungi, dan ketiga, apabila berlaku kekeliruan emosi akibat daripada ibu bapa menunjukkan emosi yang negatif dan positif secara silih berganti terhadap mereka (Barret & Trevilt, 1991).Walau bagaimana pun, cara bagaimana ibu bapa berinteraksi dengan anak-anak mereka bergantung kepada pegangan dan kepercayaan mereka tentang pengurusan dan pendidikan anak-anak. Keluarga yang sentiasa menghadapi keadaan prejudis dan tidak mempunyai sumber yang banyak akan mendidik anak mereka menjadi lebih cekal dan gigih sejak kecil berbanding dengan keluarga yang tidak menghadapi keadaan demikian. Apabila anak-anak dididik dengan cara yang pelbagai dan berbeza, tentulah mereka akan memberi respon yang pelbagai dan berbeza-beza pula kepada sesuatu perkara dalam konteks persekolahan atau persekitaran yang lain (Trawick, 1997). Perkara ini amat penting difahami oleh para pendidik. Pencapaian pelajar di sekolah berkait rapat juga dengan tahap motivasi mereka. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi tahap motivasi pencapaian pelajar. Antaranya ialah jangkaan orang-orang yang signifikan di sekelilingnya. Tetapi adakah jangkaan dan keprihatinan ibu bapa terhadap pencapaian anak-anak di sekolah bergantung kepada latar belakang sosiobudaya? Tentulah tidak. Kajian telah menunjukkan bahawa semua ibu bapa daripada semua latar belakang prihatin dan mempunyai jangkaan dan harapan yang tinggi terhadap pembelajaran anak-anak mereka (Trawick, 1997).Perbezaannya ialah cara mereka berinteraksi dengan anakanak masing-masing, sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini. Gaya keibubapaan yang digunakan oleh mana mana ibu bapa tentu akan memberi kesan kepada motivasi pencapaian anak-anak mereka. Hal ini kerana motivasi pencapaian banyak bergantung kepada konsep kendiri dan estim kendiri pelajar berkenaan. Perkara- perkara ini banyak dibentuk oleh pengalaman-pengalaman positif dan negatif dengan mereka yang signifikan termasuk ibu bapa. (Woolfolk, 1995). Baumrind telah mengelaskan gaya keibubapaan mengikut gaya kepimpinan dengan menekankan aspek-aspek kawalan, penjelasan, kematangan, arahan dan penyuburan(nurturance). Berdasarkan ini, gaya keibubapaan boleh dikelaskan kepada autoritatif, authoritarian dan kebebasan. (Eggen & Kauchak,1994).Walau bagaimanapun, untuk tujuan kajian ini, kelas-kelas gaya keibubapaan ialah autoritatif, authoritarian, kebebasan dan kecuaian. Pengelasan ini akan di buat berasaskan dua indeks iaitu indeks mengarah (demandingness) dan indeks responsif (responsiveness). Ciri-ciri gaya autoritatif ialah tegas tetapi penyayang dan konsisten. Ibu bapa dalam kategori ini juga suka menerangkan sebab-sebab setiap peraturan yang ditetapkan. Mereka juga mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap anak-anak tetapi sentiasa memberi bantuan dan sokongan. Ciri-ciri gaya authoritarian pula ialah mengarah dan mementingkan kepatuhan. Ibu bapa dalam kategori ini bersikap kurang mesra dan tidak menggalakkan perbincangan untuk mencapai persetujuan bersama. Ibu bapa yang mengikut gaya permisif pula memberi anak-anak mereka kebebasan sepenuhnya. Mereka juga jarang mempunyai sebarang jangkaan atau tuntutan ke atas anak-anak. (Eggen & Kauchak, 1994). Di samping itu, ibu bapa yang mengamalkan gaya kecuaian mempraktikkan tahap kawalan dan kemesraan yang sangat rendah terhadap anak-anak.

Pencapaian ialah kejayaan mencapai sesuatu matlamat. Tahap pencapaian pula ialah sejauh mana seseorang pelajar itu berjaya dalam satu-satu peperiksaan atau ujian piawai (standardized test) (Reber, 1987). Motivasi ialah proses intervensi atau keadaan dalaman seseorang yang mendorongnya untuk bertindak (Reber, 1987). Woolfolk (1995) pula menyatakan bahawa motivasi bukan hanya dorongan untuk bertindak tetapi juga mengarah dan meneruskan sesuatu tingkah laku. Terdapat dua jenis motivasi iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi intrinsik merupakan kecenderungan untuk mencapai atau mengatasi cabaran-cabaran kerana minat atau menggunakan keupayaan yang ada. Seseorang yang bermotivasi intrinsik tidak memerlukan insentif luaran, sama ada dalam bentuk ganjaran atau dendaan, untuk bekerja. Kerja berkenaan sudah merupakan ganjaran kerana kepuasan yang dirasai. Motivasi ekstrinsik pula ialah kecenderungan untuk melakukan sesuatu kerana inginkan ganjaran luaran seperti markah dan gred, ataupun mengelak daripada dendaan (Woolfolk,1995). Ringkasnya, perbezaan asas antara kedua-dua jenis motivasi ini ialah sebab-sebab sesuatu tingkah laku itu dilaksanakan, sama ada berpunca dari dalam atau luar. Konsep kendiri merupakan keseluruhan pandangan seseorang terhadap dirinya. Konsep ini terbentuk sejak dari kecil dan berkembang dari masa ke semasa melalui proses penilaian kendiri. Dari itu, bagaimana ibu bapa berinteraksi, menilai dan menghargai anak-anak akan memberi kesan yang mendalam terhadap pembentukan konsep kendiri mereka.

MASYARAKAT HARMONI MEMBANTU DALAM PROSES PEMBELAJARAN YANG SIHAT KEPADA PELAJAR
Aspirasi, harapan dan nilai sesuatu masyarakat boleh mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang individu. Sebagai contoh masyarakat kebendaan menegaskan betapa pentingnya kekayaan dan harta benda. Dengan itu, kanak-kanak membesar menjadi individu yang sentiasa mengejar kekayaan harta benda. Nilai murni mungkin akan ketinggalan. Ini akan melahirkan masyarakat yang sanggup menipu, merompak, membunuh dan mengamalkan rasuah demi mencapai tujuannya. Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bagaimana nilai masyarakat boleh menghasilkan personaliti yang tidak di ingini. Sebaliknya, jika nilai-nilai dan norma-norma masyarakat adalah sihat, individu yang membesar dalam situasi itu, akan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, berdedikasi, rajin dan sedia untuk berkorban kerana hendak menolong orang lain. Selain itu, ahli masyarakat harus memikir secara positif untuk membantu menangani masalah pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah. Sekiranya masyarakat kurang memberikan perhatian kepada masalah remaja dewasa kini, maka penggunaan konsep pemikiran negatif akan timbal. Pelajar akan terjerumus ke dalam masalah delinkuen kerana bersifat agresif dalam tindakan sehingga terlibat dengan masalah disiplin di sekolah.

PERANAN GURU DALAM MEMANTAPKAN PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SERTA MENINGKATKAN MOTIVASI DIRI PELAJAR
Personaliti guru memainkan peranan kerana ianya mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran. Personaliti guru sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Guru yang mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar, kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan mencerminkan personaliti diri seseorang guru itu untuk menjadi pendidik yang sejati. Guru juga perlu mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi membolehkan guru mencapai prestasi yang tinggi. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar dan secara tidak langsung mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Individu yang bergelar guru perlu sentiasa melakukan refleksi dan kritik-kendiri, fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan perlu mempunyai semangat untuk mengajar pelajar. Personaliti guru sering menjadi penilaian yang dibuat bersama oleh anggota masyarakat khasnya pelajar dan ibu bapa. Pada ketika dahulu, personaliti guru turut menjadi ikutan dan idola pada masyarakat. Status guru dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat ketika itu, namun kini segalanya telah berubah kerana sesetengah guru tidak menjaga personalitinya bila berada dalam lingkungan masyarakat. Sifat-sifat yang sepatutnya wujud pada diri seorang guru semakin berkurangan kerana guru tidak menjiwai apa tugas sebenar untuk menjadi guru dan hanya melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu pekerjaan tetapi sebagai satu profesion. Kajian juga jelas menunjukkan bahawa selain teknik mengajar yang boleh mempengaruhi pelajar, terdapat berbagai-bagai personaliti guru yang boleh mempengaruhi sikap dan minat pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kemahiran ini merupakan aspek penting kerana ianya menggambarkan sifat interaksi guru-guru yang berjaya. Ini merupakan sifat-sifat yang positif, selain pengetahuannya mengenai isi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Selain itu, guru-guru yang kurang berjaya adalah disebabkan mereka terikat kepada sesuatu prosedur pengajaran dan cara berinteraksi yang ketat. Mereka ini sangat ketat dalam pengawasan di dalam bilik darjah dan tidak memberi kebebasan kepada pelajar berinteraksi sesama mereka dan guru ini juga kurang sensitif kepada keperluan pelajar sebagai individu. Manakala menurut Sue Leach (2006) personaliti dan cara pengendalian kelas boleh mencerminkan keperibadian seseorang guru. Seseorang guru perlu belajar dari pengalaman sendiri, dari pengalaman sewaktu bergelar pelajar dan seseorang guru itu perlu memperuntukkan masa untuk memikirkan strategi pengajaran di antara guru dan pelajar bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan. Seseorang yang bergelar perlu mempunyai sikap menjadi seorang pendengar yang baik, berkebolehan berkomunikasi melalui pandangan mata di antara guru dan pelajar, pengetahuan pembendaharaan kata bagi memastikan pelajar memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru atau berkemahiran berkomunikasi

secara lisan dan tanpa lisan, berpengetahuan untuk daya memujuk pelajar dengan tidak terus menghukum pelajar sekiranya melakukan kesalahan dan berkeyakinan untuk memberi keyakinan kepada pelajar bahawa guru itu adalah seorang yang berilmu dan berpengetahuan terhadap apa yang ingin disampaikan. Pendekatan individu merupakan komponen kemahiran dan teknik personal pada seseorang guru semasa proses interaksi berlaku antara guru dan pelajar. Kebolehan guru bagi mewujudkan persefahaman dan rasa saling percaya mempercayai dengan pelajar dengan mengambil kira beberapa aspek. Ciri-ciri personal guru yang digemari oleh pelajar akan membolehkan guru dengan lebih mudah diterima dan mendapat sokongan daripada pelajar-pelajar, seterusnya memudahkan tugas pengurusan dan pengajaran guru di sekolah dan di bilik darjah. Pada umumnya, pelajar menyanjung tinggi guru-guru yang memiliki ciri-ciri personal yang berhemah tinggi. Ciri-ciri personal guru yang berhemah tinggi ini juga sangat penting bagi membolehkan guru yang menjadi model yang berwibawa dan dihargai oleh pelajar-pelajar. Di antara ciri-ciri personal yang digemari oleh pelajar ialah mempunyai sifat sabar, tenang, dedikasi, periang, bertimbang rasa, adil, rajin, mesra, kreatif, inovatif, kesediaan mendengar kritikan dan teguran. Penampilan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi pembelajaran pelajar. Guru perlu menampilkan ciri-ciri seperti pemilihan pakaian, kebersihan tubuh badan dan kekemasan diri. Penampilan guru yang boleh mengganggu tumpuan pelajar adalah seperti imej guru yang tidak kemas, selekeh, tidak bersih, memakai perhiasan diri yang keterlaluan ataupun haruman yang melampau mencerminkan keperibadian guru tersebut. Cara duduk guru turut dalam pemerhatian pelajar di sekolah. Pelajar sentiasa memerhati kelakuan guru terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya guru berada dalam posisi duduk, pastikan tidak terlalu menyandar ke kerusi. Duduk dalam keadaan tegak mahupun condong sedikit ke hadapan bagi menunjukkan yang guru berminat dengan pelajar. Bagi posisi berdiri pula, guru digalakkan berdiri secara berhadapan dengan pelajar. Posisi ini akan membolehkan guru melihat keseluruhan tingkah laku tanpa lisan yang ditunjukkan oleh guru itu. Guru juga perlu mempunyai tahap tenaga yang mencukupi apabila melayan pelajar. Tahap tenaga yang ditunjukkan akan memberi gambaran pada mood guru sama ada dalam keadaan cergas, bersemangat, letih, lesu ataupun tidak berminat dengannya. Biasanya tahap tenaga akan memberi kesan pada hubungan yang dibina bersama pelajar. Guru yang dalam keadaan bersemangat akan mengajar dengan bersemangat juga dan secara tidak langsung akan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu. Pelajar turut bersemangat untuk terus belajar setelah melihat kesungguhan guru semasa mengajar. Keberkesanan dalam usaha mengajar dan mendidik pelajar mungkin mempunyai pengertian yang berbeza di kalangan para guru. Ini adalah bergantung kepada kefahaman dan penekanan mereka mengenai konsep berkenaan. Ada guru yang mengutamakan penguasaan pelajar mengenai isi pengajaran dan pembelajaran manakala ada juga guru yang berpendapat pengajaran yang berkesan membawa maksud kemajuan dalam pertumbuhan dan perkembangan sosial pelajar yang dinilai dari sudut, sama ada pelajar tersebut telah mencapai sikap yang positif mengenai diri sendiri dan orang lain. Kemungkinan bagi kebanyakan guru berpendapat bahawa

pengajaran yang berkesan adalah satu imbangan yang sempurna di antara kemajuan pemikiran dan perasaan; dan di antara penekanan kepada isi mata pelajaran dan pelajar. Personaliti guru merupakan di antara faktor-faktor guru yang memainkan peranan penting dalam pengajaran yang berkesan atau tidak di sekolah. Besar kemungkinan bahawa dua orang guru yang mempunyai kelulusan akademik yang sama, dan latihan perguruan yang serupa masih berbeza dari segi kebolehan mereka, menggalakkan motivasi pelajar dalam pembelajaran. Sebahagian daripada perbezaan itu adalah disebabkan oleh kesan atau pengaruh personaliti guru terhadap pelajar. J.S.Kounin dan P.V.Gump telah membuat kajian iaitu hasil kajiannya menunjukkan bagaimana tingkah laku guru mempengaruhi tingkah laku pelajarnya. Ahli penyelidik tersebut membuat kesimpulan bahawa jika dibandingkan kedua-dua kumpulan pelajar, mereka yang mempunyai guru yang suka mendenda menunjukkan tingkah laku yang lebih agresif, tidak tenteram, mempunyai konflik dengan kelakuan yang tidak sopan, tidak mengambil berat terhadap pelajaran atau sekolah, tidak mempunyai pemikiran yang rasional terhadap tingkah lakunya di sekolah tetapi pemikiran tersebut tidak begitu tekal. Dari aspek tingkah laku tanpa lisan pula, guru perlu membentuk ekspresi wajah, kedudukan dan pergerakan badan yang sesuai ketika proses pengajaran. Guru perlu membentuk item-item tanpa lisan seperti ekspresi wajah, mimik muka, sinaran ataupun pandangan mata, kedutan dahi, bentuk senyuman dan kedudukan serta pergerakan tubuh badan seperti pergerakan tangan dan kaki serta suara separa bahasa. Guru yang baik juga perlu mengetahui aspek-aspek komunikasi dan tingkah laku tanpa lisan kerana mesej-mesej yang lahir daripadanya boleh memberi maknamakna tertentu kepada guru. Ekspresi wajah guru pula menunjukkan guru dalam keadaan gembira, marah, terperanjat, sedih dan sebagainya dengan kombinasi pergerakan mata, kening, pipi, hidung dan mulut. Bagi pelajar yang memahami pergerakan tubuh, guru yang kerap berpeluk tubuh menggambarkan marah, kurang bersedia, rasa tidak selamat dan defensif. Pergerakan yang berjalan ke hulu dan ke hilir menggambarkan seseorang itu dalam keadaan resah, gelisah dan bimbang. Manakala pergerakan yang mengangkat bahu membawa maksud ragu-ragu dan tidak tahu. Suara guru turut memainkan peranan yang mana bunyi-bunyi suara seperti mengecis, menarik ataupun menghela nafas, tinggi atau rendah nada suara ataupun pic suara yang dikeluarkan dan juga kelajuan percakapan. Semua aspek ini mempengaruhi pelajar untuk menarik minat terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru. Menurut Mel Silberman (2004) kecenderungan seseorang pelajar lupa tentang apa yang didengarinya adalah berkaitan dengan kelajuan seseorang guru, ini menunjukkan pelajar hanya berupaya mendengar antara 50 hingga 100 patah perkataan sahaja dalam masa seminit atau pun separuh daripada apa yang diperkatakan oleh guru. Ini menunjukkan tahap pemahaman pelajar banyak bergantung kepada kelajuan percakapan guru ketika mengajar. Personaliti ini banyak dipengaruhi oleh pengaruh budaya dan amalan yang biasa dilakukan oleh individu dan masyarakat setempat.

Guru perlu mempunyai kemahiran mendengar bagi membantu guru mentafsir dan membuat penilaian yang baik pada maklumat yang disampaikan oleh pelajar. Ianya juga dapat membantu guru memberi maklum balas yang tepat kepada pelajar berkaitan maklumat yang diterimanya. Seseorang yang bergelar pendidik perlu menjaga personaliti ini untuk menjadikan profesion perguruan terus dihormati oleh masyarakat umum. Personaliti guru sentiasa mendapat perhatian dari anak didik dan secara tidak langsung masyarakat membuat penilaian terhadap guru. Kepercayaan masyarakat terhadap profesion pendidikan banyak dinilai dari sikap dan tingkah laku seseorang guru, secara tidak langsung rasa hormat dan elemen persefahaman serta rasa mempercayai adalah mustahak bagi menjayakan hubungan berkesan di antara guru dan pelajar. Ini penting ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan baik dan secara tidak langsung membantu pelajar minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru kepada pelajar.

PENGARUH DARI ASPEK SEKOLAH


Pelajar menghabiskan banyak masa di sekolah , maka wajarlah dilihat juga pengaruh sekolah ke atas pembelajaran pelajar. Sekolah yang bagus dapat mendorong pelajar untuk terus maju dalam pelajaran. Sekolah yang bagus juga mempunyai ciri-ciri seperti mengekalkan suasana yang teratur dan tidak terlalu menekan pelajar, mempunyai pengetua yang aktif dan bertenaga serta mempunyai guru yang berkuasa dalam membuat keputusan penting di sekolah. Di samping itu, ciri guru-guru di sekolah juga memainkan peranan. Pembelajaran pelajar boleh meningkat jika mempunyai guru-guru yang meletakkan matlamat yang tinggi tetapi masih boleh dicapai oleh pelajar, memantau prestasi pelajar dan lebih menekankan aktiviti akademik berbanding aktiviti kokurikulum.

BILIK DARJAH MEMPENGARUHI PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR


Aspek fizikal iaitu bilik darjah turut memainkan peranan dalam mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar berlaku dengan baik. Keadaan serta lokasi bilik perlu dipastikan sesuai dan sekiranya komunikasi bersifat serius, ianya perlu mengambil kira beberapa keadaan seperti keadaan dan lokasi bilik yang selesa, suasana tidak terlalu sejuk ataupun panas dan kondusif. Bagi membina hubungan yang berkesan adalah digalakkan supaya pelajar duduk di atas kerusi secara berhadapan ataupun duduk dalam keadaan yang membolehkan guru dapat melihat keseluruhan posture (kedudukan tubuh) dan gesture(gerakan badan) pelajar. Guru juga perlu memastikan ruang komunikasi tidak terlalu dekat ataupun tidak terlalu jauh iaitu kira-kira sedepa tangan guru atau antara 1 meter hingga 1.5 meter dengan pelajar bagi mewujudkan kontak atau hubungan mata yang sesuai.

RAKAN SEBAYA MEMPENGARUHI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR


Menurut Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin dan rakan-rakannya dalam penulisan buku Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar (2010), rakan sebaya mempengaruhi individu sejak dia mula bersosial di luar rumah selain daripada adik-beradiknya sendiri. Menurut Berk (1989), rakan sebaya ialah mereka yang sama umur kronologi atau hampir sama umur dengan seseorang individu. Melalui rakan sebaya, individu memperoleh kemahiran penting untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat. Individu belajar untuk menghormati hak individu lain, bekerjasama, mempelajari peranannya , bertanggungjawab di atas tugas yang diberikan padanya serta mematuhi peraturan kumpulan dalam usaha mewujudkan keharmonian dalam kumpulan. Individu mempelajari kemahiran tersebut secara berperingkat dan melalui permainan. Menurut Abdul Majid dan Rahil (1997) dan Santrock (2007), remaja lebih rapat dengan rakan sebaya daripada ibu bapanya. Mereka lebih selesa, spontan dan terbuka apabila bersama rakan dan merasakan tidak ada kongkongan orang dewasa. Ada antara remaja ini lebih mempercayai rakan sebaya berbanding ibu bapa mereka sendiri. Hal ini dapat diperhatikan dalam Teori Perkembangan Erikson pada peringkat identiti lawan kekeliruan peranan iaitu dalam usia di antara 12 sehingga 20 tahun. Rakan sebaya banyak memberikan pengaruh kepada mereka dalam membentuk personaliti. Kekeliruan yang dihadapi pada peringkat ini menyebabkan pelajar mencari helah untuk disayangi maka rakan sebaya merupakan orang terhampir yang dapat mengisi kekosongan dalam diri pelajar ini. Secara tidak langsung, rakan sebaya juga mempengaruhi pembelajaran pelajar. Kegagalan untuk mengaplikasikan konsep kendiri dan personaliti terhadap pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran terjadi kerana pelajar itu sendiri lebih mudah terpengaruh kepada persekitaran seperti pengaruh rakan sebaya jika tiada pengawasan dan perhatian daripada guru serta ibu bapa. Sebagaimana yang diketahui, pelajar lebih gemar menghabiskan masa lapang mereka bersama rakan-rakan. Banyak waktu mereka berada bersama rakan-rakan termasuklah dalam waktu persekolahan. Oleh itu, jika rakan sebaya mereka mempunyai sikap-sikap positif, pelajar tersebut turut terpengaruh dengan sikap positif rakannya seperti mengadakan ulang kaji berkumpulan, berbincang tentang pelajaran dan sebagainya. Tetapi jika seseorang pelajar terpengaruh dengan budaya negatif yang dibawa oleh rakannya, maka rosak lah akhlak pelajar tersebut. Pelajar ini akan mempunyai masalah disiplin seperti ponteng sekolah, merokok, dan tidak melakukan kerja rumah.

PENUTUP
Kesimpulannya, pembelajaran merupakan satu proses interaksi yang melibatkan pelajar, guru dan persekitaran. Faktor persekitaran memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi pembelajaran pelajar. Persekitaran dan keadaan sekeliling akan mempengaruhi cara pelajar berfikir dan belajar. Kajian yang dilakukan oleh Rita Dunn berkenaan dengan gaya pembelajaran menunjukkan bahawa terdapat banyak aspek yang berkaitan dengan persekitaran telah memberikan pengaruh dan kesan terhadap proses pembelajaran. Selain itu, pihak sekolah terutama guru perlu memainkan peranan dalam membentuk modal insan pelajar dan membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar mampu mencapai kejayaan dan membentuk identiti sendiri yang positif serta berakhlak mulia. Tambahan pula, ibu bapa sebagai teman yang paling rapat dengan pelajar perlu memastikan anak mereka tidak terabai pelajarannya dan sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk membina keyakinan di samping mampu mencorak kejayaan pada masa akan datang.

RUJUKAN
1. Abdullah Sani bin Yahaya. Mengurus Sekolah : Siri Pengurusan Sekolah , PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd., Mei 2005.<http://books.google.com.my/books?id=6bzCj_qTlYC&printsec=frontcover#v=onepage&q&f=false> 2. Yahya Don . Kepimpinan Pendidikan Di Malaysia : Siri Pengurusan Sekolah , PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd., (2007). <http://books.google.com.my/books?id=8trcvLzhuLwC&pg=PA25&lpg=PA25&dq=pera nan+pengetua&source=bl&ots=XvCZQoha1i&sig=vf4W5WAo_s0DtTe8yhKUEKsNBG g&hl=en&sa=X&ei=wFJ0UPfzAYvorQeupoD4Bg&ved=0CC8Q6AEwAA#v=onepage &q=peranan%20pengetua&f=false>

3. Suppiah Nachiaappan, Kamarulzaman Kamaruddin , Abdul Aziz Abd. Shukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha & Hazalizah Hamzah (2010). Pembelajaran Dan Perkembangan Pelajar. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

KPS 3014 PENGURUSAN PEMBELAJARAN


PENGARUH DAN KESAN PERSEKITARAN PEMBELAJARAN TERHADAP MOTIVASI PELAJAR
NAMA : SITI FATIMAH BINTI ABU BAKAR : D20111047842 :O

NO MATRIK KUMPULAN

NAMA PENSYARAH : DR NORAINI BINTI MOHD NOOR TARIKH HANTAR :

You might also like