You are on page 1of 26

1.

PENGENALAN Masyarakat Cina mempunyai banyak kepercayaan dan amalan yang di amalkan sejak beberapa generasi dahulu. Adat dan pantang larang yang diamalkan menunjukkan identiti dan warisan masyarakat Cina. Setiap amalan dan adat masyarakat Cina ini mempunyai pengertian dan signifikan yang tersendiri bukan sahaja melambangkan norma- norma yang wujud di dalam masyarakat cina bahkan mempamerkan terhadap nilai amalan yang menjadi pegangan masyarakat Cina. Namun begitu sesetengah adat dan pantang larang ini tidak lagi diteruskan selaras dengan perubahan zaman dan masa. Perkahwinan bagi masyarakat Cina mempunyai amalan yang unik yang menjadi adat dalam sesebuah perkahwinan. Upacara minum teh sangat penting dalam adat perkahwinan cina kerana melalui upacara itu nilai hormat menghormati kepada orang tua perlu dikekalkan walaupun sudah berumah tangga untuk menjamin keharmonian rumah tangga yang dibina.

2.0

ADAT PERKAHWINAN KAUM CINA 2.1 Sebelum Upacara Perkahwinan Adat perkahwinan cina sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan adat perkahwinan melayu. Adat perkahwinan cina mempunyai adat merisik, adat meminang, bertunang dan menghantar tanda dan mas kahwin. Adat merisik penting kerana orang cina amat pentingkan nama, maruah dan keturunan yang baik. Cara merisik adalah terpulang kepada ibu bapa pihak lelaki sama ada mahu bertanya pada sahabat mereka sekiranya mengenali keluarga pihak perempuan. Perkara penting yang perlu diambil tahu adalah peribadi, tingkah laku dan perwatakan calon wanita. Sekiranya keluarga pihak lelaki dan perempuan saling mengenali, keluarga pihak lelaki akan bertandang ke rumah pihak perempuan dan berbincang tanpa kehadiran anak mereka. Perbualan dan perbincangan biasanya akan dibuat di restoran-restoran dan disertai oleh saudara-mara terdekat berbincang mengenai latar belakang keluarga dan asal keturunan. Perbincangan dibuat secara tidak formal untuk mengeratkan perhubungan dan memberi masa untuk mengenal keluarga besan. Adat meminang akan dilakukan setelah kedua pihak berpuas hati dengan latar belakang masing-masing. Wakil pengantin lelaki dipilih daripada kalangan emak saudaranya akan ke rumah pengantin perempuan berbincang dengan emak pengantin perempuan. Perkara penting yang akan dibincangkan adalah jumlah mas kahwin, peruntukan meja untuk jamuan makan dan memilih hari yang sesuai. Pertemuan ini biasanya tidak menghasilkan apa-apa persetujuan. Wakil pengantin lelaki akan datang semula ke rumah pengantin perempuan. Hal ini kerana pihak perempuan perlu memikirkan dan menimbangkan peminangan pengantin lelaki dan berkemungkinan juga pengantin lelaki atau perempuan akan mengunbah keputusan. Oleh itu, tempoh masa akan diberikan. Selepas habis tempoh masa yang telah diberikan, wakil pengantin lelaki akan datang semula untuk mendapatkan jawapan daripada pihak pengantin perempuan. Sebagai contoh, pihak pengantin perempuan mahu mengadakan upacara perkahwinan secara besar-besaran, mas kahwin tinggi dan bilangan meja yang akan digunakan. Wakil pihak lelaki tidak akan tawar-menawar 2

kerana akan menjatuhkan maruah pengantin lelaki. Apa jua keputusan yang dibuat oleh pengantin perempuan akan diterima oleh pengantin lelaki tanpa bantahan. Wakil pengantin lelaki cuma akan meminta nama dan tarikh lahir pengantin perempuan untuk ditilik bagi memilih tarikh dan hari yang sesuai dalam kalendar Cina. Adat bertunang dibuat apabila mendapat persetujuan daripada ibu bapa pengantin perempuan. Hari pertunangan dibuat secara sederhana dengan pengantin lelaki dan perempuan bertukar-tukar cincin. Kenduri dan jamuan makan diadakan di kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak. Cincin akan disarungkan ke jari manis tangan kiri menandakan pasangan lelaki dan perempuan telah diikat secara rasmi. Mereka yang sudah bertunang dibenarkan tinggal dan tidur bersama bergantung kepada kesediaan ibu bapa. Walau bagaimanapun, pertunangan tidak begitu diamalkan oleh orang-orang Cina kerana mereka menganggap lebih baik berkahwin daripada bertunang kerana bertunang tidak menjanjikan kekal hingga ke jinjang perkahwinan. Adat menghantar tanda dan mas kahwin pada zaman dahulu diberikan dalam bentuk dua helai kulit rusa dan kain sutera di Negeri China kerana barang tersebut dianggap mahal dan sukar diperolehi. Di Malaysia, barangan yang dihantar adalah seperti sebentuk cincin emas, hadiah pakaian persalinan, kain dan wang tunai kepada pengantin perempuan. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup, sejumlah wang tunai akan diberikan menggantikan barang hantaran yang tidak cukup seperti membeli emas, barang-barang perhiasan, alat solek dan kelengkapan seorang isteri. Keluarga pengantin perempuan juga akan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan dibuat jika terdapat halangan atau bantahan. Mas kahwin dianggap sebagai tebusan dan bayaran ganti rugi kepada keluarga pengantin perempuan yang telah bersusah payah membesarkannya. Kebiasaan mas kahwin akan diserahkan kepada pengantin perempuan untuk digunakan dalam majlis jamuan makan. Semakin besar nilai mas kahwin, semakin tinggi martabat dan kedudukan pengantin lelaki. Mas kahwin yang tidak mencukupi akan menjejaskan air muka pengantin perempuan. Oleh itu, mas kahwin harulah setimpal dengan taraf dan kekayaan keluarga pengantin perempuan. Kekayaan dan wang penting dalam hidup 3

berkelamin agar menjadi lebih bahagia. Begitulah pendapat dan nilai orang Cina terhadap nilai mas kahwin. 2.2 Upacara Perkahwinan Kaum Cina Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga. melalui perkahwinan, keturunan nenek moyang dapat dapat diteruskan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain. Bagi orang Cina, pasangan yang kahwin tanpa melalui aturan yang digariskan oleh adat adalah tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan dikalangan orang Cina, iaitu pasangan dicari oleh ibubapa atau saudara-mara, atau pasangan hidup dipilh sendiri. Cara pertama tidak begitu diamalkan kerana dianggap kolot pada masa sekarang. Cara kedua adalah lebih praktikal kerana seseorang diberikan kebebasan untuk memilih jodoh mereka. Ibubapa biasanya akan menurut kehendak anak mereka. Unsur paksaan tidak digalakkan dalam pemilihan kerana hal ini menafikan kematangan dan kemampuan anak mereka membuat keputusan. 2.3 Pakaian pengantin Pada hari perkahwinan, pengantin lelaki dan pengantin perempuan dihias indah. Masyarakat cina pada zaman dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulami dengan sulam emas.Kebiasaannya warna merah dipilih bagi menggambarkan nasib yang baik. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, warna yang terang boleh menghalau roh-roh jahat daripada mendekati mereka. Pada masa dahulu, tudung bewarna merah akan dipakai oleh pengantin perempuan untuk menutupi mukanya sepanjang majlis perkahwinan berlangsung. Pengantin baru ini hanya akan melihat satu sama lain untuk kali pertama pada malam perkahwinan tersebut. Pada masa sekarang, hanya terdapat segelintri masyarakat cina yang masih mengamalkan amalan ini.

Pasangan Pengantin Lelaki dan Perempuan dengan busana tradisional

Pakaian tradisional pengantin perempuan 5

2.4

Tandatangan Kain Tandatangan Kain ialah kain akan dibentangkan di atas meja di pintu masuk, di mana tetamu akan menandatangan nama mereka dan menulis restu mereka. Kain yang disulam ini akan disimpan oleh pasangan pengantin sebagai kenangan seperti juga bunga dan baju pengantin. Pada masa sekarang, masyarakat Cina kebanyakkannya menggunakan buku atau album yang disebut guest book.

Kain merah untuk ditandatangani tetamu

Kain merah yang sedang ditandatangani tetamu 6

Guest Book Moden 2.5 Tanda Kebahagiaan dan Sampul Merah Tanda Kebahagian merupakan hiasan paling penting dalam majlis perkahwinan masyarakat Cina. Kebanyakannya diukir pada serpihan logam atau kertas dan kemudiannya akan ditampal pada pintu masuk rumah kedua-dua keluarga dan juga dibahagian meja jemputan. Potongan kecil tanda kebahagian ini turut dilekatkan pada kenderaan pengantin. Sampul merah akan digunakan pada setiap perayaan masyarakat Cina seperti majlis perkahwinan, Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Tanda kebahagiaan yang dicetak pada kertas

Tanda kebahgiaan pada kepingan logam

Sampul merah yang sering digunakan masyarakat Cina

2.6

Upacara Menghias Rambut Pengantin Perempuan Pada pagi hari perkahwinan, upacara menghias rambut akan dijalankan ke atas pengantin perempuan. Wanita yang dianggap mempunyai nasib yang baik akan datang untuk menolong menghias rambut pengantin perempuan bersama-sama wanita yang masih mempunyai ibubapa, suami isteri dan anak-anak mereka. Wanita-wanita ini akan mengucapkan kata-kata yang baik ketika mengikat sanggul pengantin perempuan dalam cara wanita yang sudah berumah tangga.

Anggota keluarga yang bertungkus-lumus menyiapkan pengantin perempuan

10

Rambut pengantin perempuan yang telah siap disanggul dan dihias 2.7 Upacara Pengantin Lelaki menjemput Pengantin Perempuan Menurut buku Adat dan Pantang Larang Orang Cina oleh Ann Wan Seng pada hari perkahwinan berlangsung, pengantin lelaki akan pergi ke rumah pengantin perempuan untuk mengambilnya balik ke rumah pengantin lelaki. Pengantin lelaki akan hadir pada majlis tersebut bersama beberapa sanak saudara yang terdekat. Tujuan diadakan jamuan makan ini ialah untuk mengenalkan pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Jamuan makan pengantin perempuan bukanlah sesuatu yang wajib tetapi terpulang kepada keluarga pihak pengantin dan bergantung kepada kemampuan dan warisan turun temurun. Apabila sampai di rumah pengantin perempuan, anak buah pengantin perempuan akan membuka pintu kereta untuk pengantin lelaki keluar dari kereta. Angpau akan diberikan kepada anak buah tersebut sebagai hadiah atau ganjaran.

11

Ketibaan pengantin lelaki

Pengantin perempuan menyambut pengantin lelaki 2.8 Upacara Pemujaan Nenek Moyang Seterusnya upacara pemujaan nenek moyang akan dijalankan. Orang tengah yang Sam Poh perlu ada untuk memastikan kelancaran upacara tersebut. Tugas Sam Poh adalah memimpin dan menunjukkan cara-cara yang betul untuk melakukan upacara pemujaan kepada pasangan pengantin. Upacara pemujaan nenek moyang dikenali sebagai Kow Tau iaitu tunduk tiga kali kepada papan nenek moyang. Kow tau dilakukan oleh mereka yang lebih muda penting sebagai pernyataan hormat

12

terhadap anggota keluarga yang lebih tua dan penerimaan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.

Sam Poh yang memimpin pengantin mematuhi adat perkahwinan mereka

Upacara pemujaan nenek moyang

13

2.9

Upacara Mempersembahkan Teh. Kemudian, pasangan pengantin perlu mempersembahkan teh kepada ibu bapa pengantin perempuan. Ibu bapa pengantin perempuan akan memberikan hadiah kahwin atau angpau kepada mereka. Menurut Encik Tan Been Hong, upacara minum teh sangat penting kerana ingin mewujudkan perasaan kekal menghormati orang tua walaupun sudah berumah tangga. Menyembah orang yang lebih tua juga sebagai tanda berterima kasih diatas penjagaan dan perlindungan yang diberikan kepada pengantin perempuan. Encik Tan Been Hong juga berkata, hadiah kahwin yang diberikan adalah sebagai bekalan untuk pasangan pengantin menempuh alam baru iaitu alam berumah tangga bersama. Sam Poh turut mendapat angpau sebagai upah menjadi orang penting dalam upacara Kow Tau. Upacara menjamu teh turut diadakan untuk abang, kakak dan saudara tua yang terdekat.

Pengantin mengambil teh untuk diberikan kepada ibu bapa

14

Upacara menjamu teh kepada ibu bapa

Teh dihulurkan dengan penuh hormat

15

Pengantin menerima ang pau dari ibu bapa 2.10 Perjalanan Pergi dan Upacara di Rumah Pengantin Lelaki Manakala di rumah pengantin lelaki pula, jamuan kecil diadakan kepada saudara-mara, sahabat dan jiran tetangga pengantin serta keluarganya. Rumah pengantin lelaki turut dihias dengan cantik seperti langsir, cadar, kusyen dan perabot di dalam rumah dihiasi dengan warna merah. Baju pengantin adalah seeloknya berwarna putih, merah dan kuning. Warna yang gelap adalah dilarang kerana melambangkan kematian dan kesedihan seperti warna hitam, biru dan kelabu. Perjalanan ke rumah pengantin perlu dibuat dalam kedudukan arah yang tidak bertentangan. Jika terdapat kematian berhampiran tempat kediaman pengantin, pengantin perlu mengggunakan jalan alternatif supaya tidak bertembung dengan keranda, kereta mayat dan orang mati. Hal ini kerana malapetaka, bencana, nasib sial dan rumah tangga tidak berpanjangan dikhuatiri akan menimpa pasangan pengantin tersebut. Pasangan pengantin juga tidak digalakkan melihat atau turut serta dalam upacara kematian. 16

Hiasan di rumah pengantin lelaki yang menggunakan warna merah

Apabila pengantin perempuan sampai ke rumah pengantin lelaki bermaksud pengantin perempuan telah menjadi sebahagian daripada keluarga pengantin lelaki. Setelah pengantin perempuan tiba di rumah pengantin lelaki, bunga api dan muzik dengan bunyi gong dan drum akan dimainkan untuk menyambut ketibaannya. Pengantin perempuan akan melangkah di atas besen besi yang mempunyai colok yang menyala. Ia merupakan upacara untuk membawa kebahagiaan dan menjauhkan rohroh jahat. Menurut Encik Tan Been Hong, upacara melangkah diatas besen besi sudah tidak dibuat lagi kerana masyarakat cina sudah banyak meninggalkan adat dan terlalu moden pada masa sekarang. Ketika di rumah pihak lelaki, pasangan pengantin tersebut akan melutut sebanyak tiga kali kepada syurga dan bumi, nenek moyang dan ibubapa mereka. Pasangan terbabit akan tunduk antara satu sama lain dan selepas itu, pengantin perempuan akan memberikan minuman teh kepada keluarga dan saudara-mara mengikut pangkat. Kebiasaanya, mereka yang menerima minuman teh akan memberikan hadiah berbentuk barang 17

kemas atau Li Shi kepada pengantin perempuan. Oleh itu, pasangan pengantin perlu menyembah dan menjamu roh kepada nenek moyang untuk mendapatkan restu dan rahmat. Selesai upacara menjamu teh, sahlah mereka menjadi suami isteri.

Pasangan Pengantin Tunduk antara 1 sama lain Pengantin perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin dengan ditemani beberapa orang untuk beristirehat. Terdapat beberapa peralatan pelik seperti tempat membuang najis, kolah air dan sebagainya di dalam bilik pengantin supaya cepat memperoleh cahaya mata.

2.11

Makanan yang Dihidangkan Semasa Majlis Beberapa jenis makanan akan dihidangkan di majlis perkahwinan masyarakat Cina yang membawa maksud yang tertentu seperti ikan yang melambangkan kekayaan, anak babi panggang yang melambangkan kesucian, ayam yang dimasak dengan minyak merah melambangkan kebahagiaan, udang galah bererti keserasian dan juga pau. Manakala "kek kebahagiaan" yang juga dikenali sebagai kek naga dan burung phoenix akan diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk dipersembahkan beberapa bahagian daripada kek tersebut untuk tujuan memuja nenek moyang dan diagihkan kepada saudara dan rakan-rakan. 18

Beberapa jenis makanan yang biasa dihidangkan dalam majlis perkahwinan cina

19

Kek yang dikenali sebagai kek kebahagian

Motif burung Phoenix dan naga yang terdapat pada kek kebahagian 20

2.12

Upacara Kemuncak Kemuncak hari pekahwinan bagi kaum cina adalah jamuan makan yang diadakan pada waktu malam. Para jemputan yang datang akan membawa angpau dan menandatangani buku daftar kedatangan. Waktu jamuan makan ada malam tersebut, ahli keluarga pengantin lelaki dan perempuan akan diperkenalkan kepada para tetamu. Untuk jamuan makan malam tersebut ada sehingga seratus meja diperuntukkan untuk para tetamu, keluarga dan sehabat pengantin dan ahli keluarga pengantin. Persembahan kugiran mahupun karaoke diadakan untuk menghiburkan tetamu. Pada masa kini, orang cina akan mengadakan jamuan di restoran dan hotel-hotel kerana lebih mudah diuruskan walaupun menelan belanja yang agak besar. Juadah yang sering dihidangkan kepada tetamu adalah seperti Oh Put,ikan, udang, ayam, daging khinzir, air buah-buahan, nasi goreng dan pau kecil. Hidangan arak merupakan hidangan yang diwajibkan. Pada zaman dahulu,pasangan pengantin berkenaan akan meminum arak daripada dua cawan yang diikat bersama oleh tali bewarna merah dan menyilangkan tangan sesama mereka. Mengikut kebudayaan masyarakat Cina, perbuatan ini merupakan ikatan janji perkahwinan yang biasa dilakukan ketika perkahwinan. Kemudian, pengantin perempuan akan diberikan ladu separuh masak dan akan ditanya sama ada ia ladu tersebut mentah. Pengantin perempuan haruslah menjawab "mentah" melambangkan dia akan melahirkan anak dan menunjukkan keluarga yang bahagia. Menurut Encik Tan Been Hong adat mengikat tali merah pada dua cawan dan ladu tidak lagi dilakukan pada masa kini. Pada masa kini banyak adat yang telah dimansuhkan untuk memudahkan perjalanan majlis.

21

Suasana majlis di pihak pengantin lelaki Pada masa sekarang pasangan pengantin digalakkan bergaul dengan para tetamu dengan berjalan dari meja ke meja dan meneguk arak bersama mereka. Perbuatan meneguk arak atau menjemput orang untuk meneguk arak sebagai Yam Sing.

Meneguk arak bersama tetamu yang dikenali sebagai Yam sing 22

Terdapat satu permainan yang popular sewaktu jamuan makan malam iaitu memakan epal. Sebiji epal akan diikat pada seutas benang, pengantin lelaki dan perempuan diminta memakan epal tersebut secara serentak. Apabila mulut pengantin mencecah epal, benang ditarik lalu menyebabkan mulut pengantin perempuan dan lelaki akan bertemu seolah-olah bercium. Tetamu akan bersorak dan menjerit kerana berjaya mengenakan pengantin. Permainan ini adalah untuk menghilangkan perasaan malu pengantin.

2.13

Upacara Menandatangani Buku Daftar Perkahwinan Upacara perkahwinan bagi orang cina akan berakhir apabila pasangan pengantin menandatangani buku daftar perkahwinan sebagai tanda termeterai sebuah ikatan kasih sayang yang sejati dan selama-lamanya. Wajah pengantin perempuan akan berseri seri dengan pakaian moden atau tradisi manakala pengantin lelaki akan senyum menandakan berkahirnya keresahan dan kegelisahan hidup membujang. Perkahwinan orang cina bukan sekadar menghalalkan hubungan kelamin tetapi untuk melanjutkan keturunan keluarga.

Wajah Ceria Pasangan Pengantin 23

2.14

Selepas upacara perkahwinan. Sehari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan seharusnya bangun lebih awal dan menyediakan makanan untuk keluarga pengantin lelaki. Ini akan menggambarkan pengantin berkenaan diasuh dengan baik dan layak untuk menjadi isteri kepada pengantin lelaki

2.15

Penangguhan Majlis Perkahwinan Jika terdapat kematian di kalangan keluarga terdekat seperti ibu, bapa,datuk atau nenek keluarga pengantin meninggal dunia, perkahwinan yang dirancang perlu ditangguhkan dahulu. Bakal pasangan pengantin tersebut perlu menangguhkan perkahwinan setahun sebelum perkahwinan tersebut disambung. Ini adalah kerana tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Adat lama perlu menunggu selama setahun telah dilonggarkan menjadi 100 hari oleh orang cina pada zaman kini yang lebih moden. Hasil temu bual bersama Encik Tan Been Hong mengatakan bahawa orang cina pada zaman kini sudah moden dan tidak lagi mengamalkan adat-adat perkahwinan untuk menjimatkan masa. Jika ada kematian di dalam keluarga yang terdekat, orang cina hanya menangguhkan perkahwinan selama tiga bulan kemudian melangsungkan perkahwinan mereka.

2.16

Perkahwinan hantu Orang cina percaya selepas kematian ada kehidupan di dunia lain. Di dunia orang mati, roh roh menjalani kehidupan yang sama mereka masih hidup. Mereka yang mati dalam usia muda dan masih bujang juga mempunyai keinginan untuk berumah tangga. Tujuan mengahwinkan orang yang meninggal dunia ialah supaya zuriat dan keturunan sesebuah keluarga dapat dilanjutkan. Contohnya, terdapat sebuah keluarga cina yang hanya mempunyai seorang anak lelaki yang telah meninggal dunia. 24

Ini bermakna bahawa zuriat keturunan keluarga tersebut akan terputus. Jadi, untuk memastikan tradisi pemujaan nenek moyang dapat diteruskan, orang cina mempunyai satu adat untuk mengahwinkan orang yang telah mati dengan wanita yang masih hidup. Perkahwinan hantu ini juga boleh dibuat sesama orang yang telah meninggal dunia. Orang cina mencari calon isteri untuk anak lelakinya yang telah mati dengan memberi sejumlah wang kepada keluarga perempuan yang hendak dikahwini. Calon isteri boleh terdiri daripada kekasih, kenalan atau orang asing. Upacara perkahwinan ini dijalankan seperti biasa, iaitu calon isteri itu akan meletakkan papan si mati di atas ribanya dan melakukan upacara Kow Tau kepada ibubapa dan nenek moyang suami. Selepas upacara ini, gadis tersebut sah menjadi ahli keluarga si mati kemudian boleh mengambil seorang anak angkat untuk meneruskan zuriat keturunan.

Salah seorang wanita yang dikahwinkan dengan si mati Perkahwinan sesama orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan dengan persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak. Wakil daripada 25

keluarga pihak lelaki dan keluarga wanita akan membawa papan keduadua si mati untuk melakukan upacara perkahwinan. Penyatuan papan ini bermakna penyatuan secara lahiriah di antara roh lelaki dengan roh perempuan. Kadang kadang upacara perkahwinan hantu tidak perlu dilakukan kerana si mati sudah mempunyai jodoh atau tidak, seorang pawing akan menyeru roh itu datang kedunia nyata. Roh orang mati dan mereka yang masih hidup boelh berintereksi antara pawing itu. Apbila upacara perkahwinan hantu dilaksanakan dengan sempurna, maka salah seorang anak saudara yang terdekat akan dijadikan anak kepada pasangan si mati itu. Dengan itu, secara tidak langsung keluarga si mati telah mempunyai waris. Menurut encik tan been hong, upacara perkahwinan dengan orang mati tidak lagi dijalankan oleh masyarakat sekarang. Hanya segelintir saja masyarakat cina yang mengamalkan upacara ini tetapi sangat sedikit bilangannya.

3.0

PENUTUP Setiap kaum mengamalkan berkahwin sebagai jalan untuk menghalalkan

hubungan intim dan menambahkan zuriat dalam setiap keluarga. Begitu juga masyarakat Cina yang mementingkan perkahwinan sebagai cara untuk memastikan kelangsungan keturunan mereka. Mereka mempunyai pelbagai upacara dan kepercayaan yang menarik sepanjang melangsungkan sesebuah majlis perkahwinan itu. Kepelbagaian budaya dan adat resam setiap bangsa yang terdapat dinegara ini perlulah diteruskan sebagai khazanah Negara ini yang unik kerana mempunyai pelbagai bangsa. Namun begitu kepelbagaian budaya ini menuntut supaya setiap rakyat Malaysia menghormati dan tidak memandang rendah kepada budaya kaum yang berlainan.

26

You might also like