You are on page 1of 12

Sokong Sejarah subjek wajib

CADANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib bagi pelajar sekolah rendah adalah relevan dan tepat pada waktunya. Dengan perlaksanaan dasar ini, ia akan membawa kebaikan kepada pembangunan modal insan negara. Subjek Sejarah merupakan identiti kepada pembangunan sesebuah negara bangsa yang pastinya amat penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan yang berterusan. Kenyataan 'orang yang tidak menghayati sejarah akan melakukan kesalahan yang sama berulang kali' merupakan ungkapan yang jelas menunjukkan kepentingan subjek Sejarah kepada pembangunan pelajar yang cemerlang dari aspek penilaian akademik dan sahsiah dirinya. Dengan Sejarah menjadi subjek wajib di peringkat sekolah rendah, ia mampu menjadi permulaan bagi pelajar belajar menghayati erti sebenar kehidupan yang kita jalani kini. Pendedahan awal yang diberikan akan mampu membuatkan pelajar menghargai erti asas dalam kehidupan terutamanya dalam aspek perpaduan, kenegaraan dan cintakan negara. Dengan masyarakat yang berbilang kaum, pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan dan ditambah dengan kewujudan sekolah wawasan, ia merupakan ejen perpaduan yang mampu memantapkan keharmonian negara. Dengan matlamat menjadikan pendidikan sebagai ejen perpaduan rakyat, pengenalan subjek Sejarah di sekolah rendah dilihat mampu menjadi mekanisme bagi memantapkan agenda perpaduan di kalangan rakyat majmuk di Malaysia terutamanya di peringkat anak kecil. Agenda perpaduan ini dilihat lebih mujarab dengan pendedahan yang ditekankan di peringkat sekolah rendah. Pengenalan subjek Sejarah di sekolah rendah juga dilihat mampu menjana murid yang tahu menilai erti cintakan negara dengan penghayatan sejarah dalam bentuk yang lebih formal iaitu melalui pendidikan di sekolah. Era globalisasi yang melanda seluruh dunia telah membuatkan lapisan masyarakat terutamanya anak muda mudah terdedah dengan pembaharuan budaya berteraskan Barat. Perkara ini secara tidak langsung akan melunturkan semangat kenegaraan dan dikhuatiri akan menghakis penghayatan budaya sebenar sesebuah negara dan bangsa. Dengan adanya pendedahan awal yang bercorak kebudayaan dan kenegaraan dalam subjek Sejarah, ia mampu menjadi pelindung dan penapis dalam membangunkan anak bangsa di Malaysia. Dengan cara ini agenda globalisasi sebenar dalam jangka panjang akan dapat kita capai dengan lebih cemerlang dengan beracukan budaya Malaysia. Diterap

Aspek penghargaan perpaduan dan menghormati budaya bangsa lain akan berjaya diterap dalam minda pelajar melalui pendidikan sejarah di sekolah rendah. Subjek Sejarah yang menekankan pengorbanan dan perjuangan orang lama akan membuatkan anak muda sedar bertapa besarnya pengorbanan mereka untuk membawa sesebuah negara sehingga ke tahap ini. Dengan kesedaran yang mula dipupuk di bangku sekolah, ia akan mampu melahirkan pelajar yang menghargai perpaduan dan toleransi antara kaum. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun secara progresif dengan rakyat berbilang kaum, pemahaman sejarah yang mendalam adalah amat penting dalam mewujudkan kesefahaman dan perpaduan. Dalam usaha menerapkan sejarah sebagai subjek wajib sekolah rendah, Kementerian Pelajaran perlu merangka kurikulum yang mantap dengan menekankan aspek pembelajaran secara komprehensif dengan aspek pendidikan dalam kelas, aplikasi dan aktiviti luar kelas diseimbangkan. Sejarah boleh diajar dalam kelas dengan berteraskan peperiksaan (examination oriented) dan dalam masa yang sama aspek tambahan seperti kerja kursus dan lawatan sambil belajar dilihat relevan dalam menarik minat pelajar menghayati erti sebenar sejarah. Aktiviti pembelajaran sejarah kepada anak murid juga mungkin boleh difokuskan dengan aspek penceritaan sejarah diterapkan dengan cara yang lebih menarik seperti melalui tayangan video dan aktiviti yang menyeronokkan, sesuai dengan usia pelajar sekolah rendah. Sejarah merupakan identiti kepada agama, bangsa dan negara. Sejarah juga menunjukkan jatuh bangun sesebuah tamadun dan sejarah juga cermin pembangunan negara dan bangsa untuk masa hadapan. Sewajarnya anak muda terutamanya di peringkat sekolah rendah dipenuhkan dengan ilmu yang bermanfaat ini untuk kesinambungan pembangunan agama, bangsa dan negara. MOHD. HAFEEZ MOHD. NIZAM

SUBJEK SEJARAH DIMARTABAT, WAJIB LULUS SPM2013, TAHNIAH UNTUK GURU-GURU SEJARAH

Sejarah wajib lulus 2013: 2010/10/24 KUALA LUMPUR: Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.

Sambil beliau berkata, Sejarah ketika ini mata pelajaran teras pada peringkat sekolah menengah yang wajib diambil semua pelajar tetapi tidak wajib lulus. Kita kena beri masa sedikit bagi mengelakkan terkejut. Tempoh diperlukan untuk kita melatih guru dan menyediakan pelajar menghadapi sistem baru ini, katanya ketika menggulung perbahasan, semalam. Dalam konteks sama, Muhyiddin berkata, Sejarah dijadikan mata pelajaran teras mengikut KSSR mulai 2014, berbanding elemennya diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini. Katanya, KSSR dilaksanakan dari Tahun Satu mulai tahun depan, diikuti Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada 2016. Kurikulum baru ini adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). KSSR akan memberi penekanan kepada pendekatan secara hands-on learning, di samping keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai jenis pembelajaran yang menyeronokkan, katanya. Muhyiddin berkata, kementerian juga bersetuju memulakan pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah pada 2014 menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan dimansuhkan, iaitu dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal.

Teknik interaktif pupuk minat sejarah

2010/10/29 HASRAT Kementerian Pelajaran mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2013 ternyata satu tindakan bijak. Ketika bangsa kita kian lupa kepada asal usul sejarah negara, maka ada keperluan untuk memartabatkan ilmu ini dalam konteks masyarakat moden dan usaha ini adalah permulaannya.

Sejarah membuktikan bangsa berjaya adalah bangsa yang belajar daripada sejarah silamnya. Dalam konteks sebuah negara merdeka dan berdaulat seperti Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana kita mempunyai susur galur peradaban hebat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai sejarah agung sebuah empayar dihormati dunia satu ketika dulu.

Mengenai aplikasi subjek ini di sekolah, ternyata ia memerlukan pelaksanaan baru bagi mengikis tanggapan prejudis anak kita bahawa subjek Sejarah membosankan.Tanggapan ini adalah tanggapan purba. Dengan kecanggihan teknologi dan keterbukaan minda masyarakat moden, pendekatan yang lebih relevan dan fleksibel perlu diguna pakai bagi menjana modal insan cemerlang. Subjek Sejarah tidak harus dilihat sebagai subjek yang hanya mentelaah nota dan buku tebal di dalam kelas.

Masyarakat Eropah dan Jepun mendidik anak mereka melalui komik, video, filem, dokumentari, lakonan,

puisi dan lebih yang efektif lagi melalui lawatan ke lapangan di tempat bersejarah seperti muzium dan tapak arkeologi.

Anak mereka diajar untuk menghargai, mencintai dan merasai keperitan dan kemanisan sejarah silam melalui pendekatan yang lebih realistik. Dalam satu lawatan saya ke Jepun, mereka mengajar sejarah pemerintahan Maharaja Hirohito ketika Hiroshima dan Nagasaki dibedil bom atom melalui senaskhah komik yang menyeronokkan.

Komik itu turut menyelitkan dialog bersifat patriotik dan memangkin semangat kebangsaan yang utuh. Hasilnya, lihatlah cintanya masyarakat Jepun kepada sejarah, seni dan budaya mereka lalu bangkit daripada keruntuhan empayar yang dahsyat. Pendekatan yang bersifat interaktif mampu mengubah minda masyarakat, terutama pelajar untuk meminati dan berinteraksi dengan sejarah. Pelaksanaan melalui pendekatan ini dilihat lebih menyeronokkan, bebas, terbuka dan lebih penting ia mengajar mereka untuk memahami dan belajar daripada sejarah.

Guru pula bertindak sebagai hakim dan memperbetulkan tanggapan pelajar sama ada betul atau salah sumber maklumat yang diperoleh itu, selain bertanggungjawab memastikan pelajar sentiasa menyuburkan minat terhadap subjek Sejarah.

Anak pada zaman pasca moden ini perlu membesar dan belajar daripada sejarah. Hakikatnya, bangsa berjaya adalah bangsa yang mengambil iktibar daripada sejarah dan tidak pernah melupakan asalusulnya.

ZULFAZLAN JUMRAH, Persatuan Penulis-Penulis Johor.

Mewajibkan mata pelajaran Sejarah SEJARAH adalah intipati ketamadunan atau peradaban. Melalui sejarah, kita sedar mengenai kewujudan atau keberadaan identiti sesebuah negara, masyarakat, kebudayaan dan manusia. Dalam bahasa mudah, sejarah memperkatakan hakikat asal-usul. Secara filosofis sejarah cuba menjawab persoalan siapakah kita atau siapakah manusia.

Menolak sejarah atau meremehkan sejarah bermakna mempersenda kewujudan manusia, masyarakat dan negara. Melalui sejarah negara mampu melahirkan warganegara berjiwa besar yang yakin dengan asal-usul dan tamadun serta kekal dengan identiti. Cadangan mewajibkan mata pelajaran Sejarah di semua peringkat persekolahan sudah lama dikemukakan. Ia dibangkitkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010. Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif pelbagai pihak termasuk sayap pemuda DAP, DAPSY. Ia dibahaskan dalam perhimpunan tahunan Gerakan. Gapena menyokong cadangan mensyaratkan wajib lulus untuk mata pelajaran sejarah dan mengalu-alukan langkah UiTM mensyaratkan wajib lulus sejarah bagi pengambilan sesi 2011. Rektor Kolej Universiti Islam Melaka, Profesor Emeritus Datuk Dr. Yusuf Hashim mencadangkan supaya pengajaran sejarah lebih inovatif, kreatif dan interaktif. Fokus kepada peristiwa, tarikh dan periodisasi (zaman) serta tokoh-tokoh dikatakan terlalu 'kering' dan membosankan. Justeru kebijaksanaan dan kreativiti guru diperlukan untuk menjadikan mata pelajaran sejarah lebih diminati pelajar. Dokumentari sejarah dan animasi mungkin boleh digunakan untuk menarik minat dan fokus para pelajar kepada subjek ini. Contohnya, bagi topik kemerdekaan dokumentari terbitan RTM dan Filem Negara digunakan untuk membantu imaginasi pelajar supaya lebih memahami kemerdekaan. Guru mata pelajaran sejarah perlu memiliki daya faham dan interprestasi tinggi tentang sejarah. Ini kerana sejarah bukan sekadar butiran fakta, tarikh, sebab dan akibat tetapi menuntut penghuraian makna. Cara ini para pelajar faham makna sebenar sesuatu peristiwa sejarah. Di sekolah, terdapat pihak yang beranggapan mata pelajaran sejarah tidak memberi apaapa kelebihan dalam kerjaya dan masa depan pelajar. Soalan 'mahu kerja apa jika mendalami bidang sejarah' sering dibangkitkan. Ini menyebabkan subjek Sains dan Teknologi, Ekonomi, Perakaunan dan Perdagangan lebih menarik minat para pelajar dalam merangka masa depan dan kerjaya masing-masing. Bukan sahaja Sejarah, subjek Kesusasteraan Melayu juga menghadapi nasib yang sama kerana dikatakan tidak memiliki nilai ekonomi. Tanggapan sedemikian menggambarkan jiwa manusia yang kontang. Semuanya diukur dari sudut material.

Wacana Melayu lupa sejarah atau orang Malaysia lupa sejarah cuma relevan apabila ada kepentingan tertentu. Ia tidak pernah dilihat secara holistik dalam proses kenegaraan, kewarganegaraan mahupun pemerintahan. Pandangan menolak kepentingan subjek Sejarah adalah pandangan secara halus mahu menghapuskan rantaian ratusan atau ribuan tahun sejarah Melayu atau Malay Nation (negara-bangsa Melayu). Isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga secara halus menghancurkan bahasa Melayu sebagai paksi peradaban dan ketamadunan Melayu. Menolak mata pelajaran sejarah dan menyokong PPSMI adalah satu penderhakaan kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu. Subjek sejarah adalah pemahaman mengenai ideologi kenegaraan. Mata pelajaran sejarah bukan sekadar peristiwa yang terjadi dalam kerangka masa dan ruang kehidupan tetapi mengandungi persoalan integrasi (perpaduan), normatif (nilainilai), falsafah, pengajaran dan pendidikan. Ini membolehkan setiap warganegara belajar dan faham mengenai wujud dan letak dirinya dalam masa dan ruang tersebut. Contohnya, Qisasul Anbia atau Sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar menerangkan perjalanan sejarah Rasul-Rasul dan para Nabi tetapi persoalan iman dan takwa. Memahami sejarah Kesultanan Melayu, sejarah perjuangan kebangsaan dan sejarah kolonialisme ada hubungan dengan ketamadunan dan peradaban. Meraikan ulang tahun perkahwinan, hari kelahiran atau upacara menziarahi kubur ada hubungan akrab dengan sejarah. Secara sedar atau tidak manusia adalah makhluk sejarah sejak lahir sehingga mati kerana menempuh proses sejarah. Peradaban dan ketamadunan negara memiliki sejarah yang panjang. Ia bukan sekadar peradaban kontemporari atau terkini tetapi bermula dan bertapak dari zaman pra-sejarah. Galeri dan kompleks pra-sejarah di seluruh negara seperti Kota Tampan di Lenggong, Perak sepatutnya menjadi salah satu lokasi penting dalam lawatan sambil belajar para pelajar. Muzium dan arkib negara di negeri-negeri perlu digembeling sebagai muzium dan arkib pendidikan sejarah. Sejarah Kebangsaan negara bermula dari zaman pra-sejarah hingga kini. Perjuangan menuntut pemerintahan sendiri dan kemerdekaan, menentang penjajahan, pertumbuhan

dan pembinaan semangat kebangsaan oleh anak-anak watan dan pribumi adalah antara tema-tema penting dalam identiti kebangsaan. Seandainya bangsa Malayan ciptaan British melalui Malayan Union dan Republik Malaya oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan sekutu mereka dikaji ia adalah usaha memusnahkan negara-bangsa Melayu. Apabila British menyerah kembali Persekutuan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957, bererti British mengembalikan hak pertuanan dan ketuanan negara-bangsa Melayu. Pelajaran sejarah juga berperanan memberi makna kepada perpaduan yang sepatutnya menjadi cara hidup, pandangan hidup dan pandangan dunia setiap rakyat dan waganegara Persekutuan Malaysia. Mempelajari penubuhan Persekutuan Malaysia 1963, bererti mempelajari bagaimana penyatuan dan perpaduan integrasi nasional antara Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia Barat) dengan Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur). Kemerdekaan adalah antara wadah perpaduan dan penyatuan antara wilayah. Tonggak perpaduan ialah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan atau UndangUndang Tubuh setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia serta Rukunegara. Rukunegara adalah lambang kepada konsensus atau musyawarah kebangsaan yang telah diterima secara kolektif dan diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Malaysia pada 1970. Musyawarah adalah cara hidup kita, justeru apabila direnungi kontrak sosial yang dilambangkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah kesan dari musyawarah bersama antara rakyat dan warganegara Malaysia. Penubuhan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN) adalah berteraskan musyawarah. Tanpa musyawarah dan kewarasan tidak mungkin UMNO akan memberi MCA lebih kerusi parlimen kepada MCA pada pilihanraya 1955. Dasar Pelajaran Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan, bahasa pengantar dalam bahasa kebangsaan di semua peringkat pelajaran atau pendidikan termasuk ke peringkat ijazah tinggi di universiti-universiti adalah instrumen perpaduan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Buku Negara, Kempen Budi-Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan, Bulan Kemerdekaan dan sebagainya adalah di antara instrumen perpaduan dari sudut sosio-budaya. Satu masa dahulu terdapat tanggapan kemerdekaan negara adalah kemerdekaan setengah masak kerana tanpa pertumpuhan darah atau tanpa revolusi. Namun kita merdeka dengan kecekapan dan kebijaksanaan perundingan, mata pena dan mata hati. Tanpa menumpahkan setitis darah.

Anak watan dan pribumi terpaksa menjejak pihak yang anti kemerdekaan di dalam hutan supaya negara aman makmur walau mereka terkorban demi ibu pertiwi. Dasar Pembangunan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Wawasan 2020, Pelan Transformasi Ekonomi serta lain-lain adalah sebahagian daripada tindakan dan pendekatan perpaduan melalui wadah sosio-ekonomi. Rasa kebersamaan yang berteraskan kesedaran kebangsaan akan mengukuhkan identiti kebangsaan. Maka mewajibkan pendidikan sejarah perlu diperluaskan ke semua peringkat hatta untuk menjadi birokrat, wakil rakyat dan menteri. Ia menggambarkan sejauh mana pengetahuan dan pemahaman kepada sejarah kebangsaan, apatah lagi untuk menjadi warganegara. PROF DATUK ZAINAL ABIDIN BORHAN ialah Setiausaha Satu Gapena sumber: Utusan Malaysia, 4 Januari 2011 * Sejarah dapat membentuk jatidiri negawarawan patriotisme, nasionalisme dan Islam dimana warisan leluhur Melayu Islam wadah pembentukan peradaban bangsa dan watan dalam konteks alam Melayu nusantara.

Buta sejarah, tidak celik budaya oleh 1/19/2011 Sinar Harian AZIZ DERAMAN

Peristiwa membakar novel Interlok hasil karya SN Datuk Abdullah Hussain oleh sekumpulan 100 orang keturunan India di Klang pada 8 Januari 2011 sungguh mendukacitakan. Sekelompok anggota masyarakat yang jahil budaya, tidak faham sejarah, tidak mengerti sastera telah bertindak liar tidak beradab, tergamak mencoretkan pangkah hitam ke wajah persuratan bangsa. Malaysia telah menyaksikan air mata seorang sasterawan gugur membasahi pipi akibat terlalu hiba. Kesusasteraan kebangsaan tercemar. Malang sungguh Malaysia, sekiranya cara begitu akan diambil sebagai pedoman pembentukan dasar, tidak kepada ilmu dan kebenaran fakta. Akal budi kumpulan itu telah dibakar api perkauman, bertindak kerana politik bukan sastera. Mereka tidak mengerti realiti di India dengan di Malaysia. Perbuatan atau tunjuk perangai itu sangat biadab. Bagi penulis, kerajaan tidak perlu menarik balik Interlok dari bilik darjah. Kerajaan jangan ketar dagu, tetapi hendaklah memberikan penjelasan dan mesti ada ketegasan. Kenapa penulis katakan buta sejarah dan tidak celik budaya?. Sifat kedua-dua buta ini merupakan istilah universal bukan sahaja berlaku ke atas sastera. Kedua-duanya saling berkaitan dan ada dalam semua bidang kehidupan. Warga sesebuah negara yang buta sejarah dan tidak celik budaya akan selamanya tidak tahu menghormati prinsip-prinsip hidup berbangsa dan bernegara, sesuatu yang dibimbangi menjadi wabak yang merebak di negara kita sekarang. Mereka mudah terperangkap dengan hasutan puak, politik emosional dan ketaksuban pemimpin serta perkauman, lalu menolak kebenaran ilmu. Perpaduan dan kesatuan bangsa akan sukar dibina jika rakyatnya buta sejarah. Konflik mudah meletus akibat berfikiran jumud. Kehidupan politik boleh menjadi kacau, sedangkan politik akan menentukan perjalanan pemerintahan dan pentadbiran negara. Mereka yang tidak mengetahui sejarah bangsa dan negara itu akan menolak apa sahaja gagasan dan dasar-dasar yang baik, mengetepikan nilai-nilai murni, dan menolak prinsip penerimaan terhadap kesatuan dalam kepelbagaian. Negara seperti Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan kaum, kaya dengan aneka warisan budaya, kesenian, perbezaan bahasa dan dialek, adat, kepercayaan itu adalah aset bagi kemajuan dan kemakmuran. Jika kita sudah terdengar formula kesatuan bangsa melalui undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan, tetapi Perlembagaan mahu dirobekkan. Maka puak seperti tadi tidak akan malu muka bertindak merosakkan atau memusnahkan banyak perkara lagi. Fenomena politik mutakhir di Malaysia patut dipandang serius. Kita merasakan ada goncangan perjuangan perkauman puak tertentu yang ekstrem. Kejujuran dan keikhlasan sudah diterbalikkan dengan nilai-nilai sebaliknya. Orang politik mesti sedar. Pimpinan di semua peringkat baik sektor awam dan swasta juga mesti insaf. Cuba hayati maksud sebenar sesuatu pemikiran, seperti yang terjadi kepada Interlok itu. Buta sejarah dan tidak celik budaya, menyebabkan generasi baru hanya tahu mempersoalkan sesuatu yang baik. Manifestasi peristiwa Interlok itu boleh dianggap sama dengan lanjutan cetusan yang mula menolak martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Kedudukan istimewa bumiputera atau sistem pemerintahan raja berperlembagaan itu pun dilihat dari sudut perkauman bukan kenegaraan. Mereka akan mempersoalkan apa sahaja dan mengambil peluang, akibat buta sejarah dan tidak celik budaya, mempertikai, memperlekeh dan mencerca. Cadangan Kementerian Pelajaran dan kerajaan mewajibkan subjek sejarah itu memang dialu-alukan. Hal ini bukan tidak difikirkan sebelum ini, tetapi suara sejarawan dan budayawan terketepi disebabkan alasan politik tanpa bersandarkan ilmu dan arah tuju peradaban bangsa. Kenapa tidak subjek Perlembagaan, secara asas diperkenalkan di peringkat awal, misalnya di peringkat menengah dan dijadikan subjek wajib merentasi fakulti di pusat-pusat pengajian tinggi. Demikian juga ilmu kesusasteraan, dalamnya terkandung kekayaan perbendaharaan tentang bahasa, nilai-nilai kemanusiaan, pembentukan modal insan cemerlang, ketatanegaraan dan sebagainya. Karya-karya

agung Malaysia sendiri, seperti teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta karya-karya sasterawan tersohor seharusnya menjadi teks wajib bagi ditelaah di universiti merentas fakulti pengajian. Di mana-mana negara besar sekalipun, rakyatnya dididik mengenali sejarah negara sendiri, mempelajari sejarah serantau dan perbandingan sejarah dunia dan menelaah karya-karya kesusasteraan. Juga subjek bahasa, dimasukkan komponen sastera, agar bahasa menjadi lebih kukuh dari segi artikulasi dan penggunaan yang sempurna. Kenapa orang dalam bidang profesional di United Kingdom mengenali Shakespeare, Charles Dickens atau orang Rusia tahu siapa Boris Pasternak dan A Pushkin. Karya-karya agung persuratan mereka dibaca. Kita di Malaysia, nama-nama Sasterawan Negara pun tidak melekat di bibir pelajar dan karya mereka tidak dibaca masyarakat umum. Cari sebab-sebab kenapa hal sedemikian terjadi di Malaysia? Saluran pendidikan paling utama, tetapi kadang-kadang dasar pendidikan cepat berubah mengikut selera ad hoc. Walhal sesuatu yang teras sewajarnya dikekalkan dan segala isu atau masalah diselesaikan melalui strategi dan pendekatan. Pendidikan di negara kita telah meninggalkan lompang kesedaran bangsa dan kecintaan negara, tidak memperkukuh patriotisme. Penegasan sistem melalui satu bahasa pengantar terus menerus dipertikaikan golongan politik. Formula asal sudah ada. Kenapa semangat Penyata Razak dan Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti mana yang ditetapkan Akta Pelajaran atau Akta Pendidikan diabaikan?. Aliran bahasa ibunda di peringkat rendah dengan persekolahan jenis kebangsaan atau aliran agama dan lainnya dikekalkan tetapi hanya satu sistem bahasa pengantar bermula di peringkat menengah. Itu formula asal. Masalah penguasaan bahasa-bahasa asing hendaklah ditangani dengan pedagogi atau pengajaran dan pembelajaran yang sistematik. Formula yang diterapkan semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 cetusan Allahyarham Tun Razak itu sudah terbukti sangat berjaya. Kenapakah kerelevanannya tidak dikekalkan? Bagaimanakah kesedaran sejarah dan budaya akan bertambah kalau program media yang baik pun tidak diikuti? Pengamal media cetak mahupun elektronik ada tanggungjawab sosial dan budaya yang sangat besar. Kalau diperhatikan, kadang-kadang program media elektronik bagaikan kehilangan bahan siaran yang baik. Ini belum termasuk agenda persendirian melalui blog dan sebagainya. Kini Malaysia juga sedang berhadapan dengan keruntuhan nilai moral dan akhlak. Cuba diteliti kelompok atau puak yang memesongkan atau menghakiskan nilai-nilai agama dan kenegaraan. Bagaimanakah boleh kita kikiskan buta sejarah dan rakyat akan menjadi lebih celik budaya tanpa programnya yang konkrit?. Nilai-nilai murni sesungguhnya terdapat dalam pendidikan berasaskan sejarah kerana sejarah mengajar kita kekuatan dan kelemahan silam, ada dalam kesusasteraan kerana di dalamnya ada nilai-nilai positifnya, falsafah dan pemikiran bangsa. Nilai-nilai agama jangan diperkecilkan, di dalamnya ada tunjuk ajar kebaikan bukannya nilai-nilai kekejian. Kita akan selamanya tidak celik budaya, memahami tata kehidupan menerusi amal makruf selagi aspek rohaniah diketepikan. Agaknya kerana kelemahan demikianlah menjadikan berleluasanya kejadian menolak sistem dan struktur yang ada dan seribu satu macam unsur-unsur yang akan meruntuhkan masa depan peradaban bangsa.

Sejarah untuk Kita Semua

Adik ipar saya bakal menduduki SPM tahun ini. Maka, dia pun belajar sakan. Belajar maths dan sains. Bila saya tanya tentang subjek sejarah. Dia beritahu sejarah subjek susah. Saya pelik. Bagi saya sejarah subjek senang. Baca sahaja dan ingat. Emm... mungkin otak manusia tak sama.

Dulu-dulu, cikgu itu akan masuk ke dalam kelas. Dia akan mengeluarkan buku teks. Membacanya atau menulis di papan hitam. (Ya.. masih era papan hitam). Maka kami pun menyalinnya. Dan saya terfikir, kenapa perlu disalin kembali apa yang sudah ditulis di dalam buku teks.

Dia mengajar secara mendatar. Tiada alat bantu mengajar. Tiada slaid. Tiada apa-apa. Makanya, kami sangat boring. Dan menyalahkan subjek sejarah sebagai subjek boring.

Dan saya. Dari tingkatan satu hingga tingkatan lima belajar sejarah. Kemudian sambung belajar Sejarah Malaysia, Sejarah Asia, Sejarah Islam dan Sejarah Dunia di peringkat STPM. Oh... lupa, juga Sejarah Jepun. Kemudian sambung pula subjek sejarah sebagai minor di Universiti Malaya. Seterusnya, terperap di kerusi ini sebagai editor sejarah. Oh.. sangat panjang kisah hidup saya dan sejarah.

Dan apabila si pemerintah menjadikan sejarah sebagai subjek teras bagi sekolah rendah dan subjek wajib lulus bagi SPM saya sangat bersetuju. Lama sudah patutnya perkara ini diaplikasikan kerana sejarah bukan subjek sembarangan. Kita belajar sejarah bukannya untuk belajar tentang perkara-perkara yang berlalu tetapi adalah untuk menghadapi masa depan. Kata ahli falsafah George Santayana pula; mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya. Kesimpulannya; manusia perlu belajar sejarah. Rakyat sesebuah negara perlu belajar sejarah untuk membina negara bangsanya.

Penekanan kepada kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan dilihat mampu menjana kecintaan masyarakat kepada negara. Namun, perlu diingatkan bahawa penulisan teks sejarah perlulah adil dan tidak bias. Jangan jadikan subjek sejarah sebagai alat propaganda untuk kepentingan sesetengah kelompok sahaja. Biarkan sejarah berdiri sendiri. Hasilkan sejarah yang benar. Sejarah seperti mana yang tercatit. Kita tidak mahu pelajar dimomokkan dengan sejarah yang tidak benar.

Jika dahulu, penjajah memutarbelitkan fakta mengatakan pejuang Melayu sebagai penderhaka, kemudian telah diperbetulkan oleh sejarawan kita. Janganlah kita pula menghasilkan teks sejarah yang menidakkan fungsi bangsa lain, kelompok lain atau menghilangkan terus perjuangan golongan yang tidak sealiran. Silibus sejarah juga perlu ditukar. Saya percaya Kementerian Pelajaran Malaysia sedari hal ini. Konsep education is fun dijana dalam teks sejarah. Jangan semakkan mata pelajar dengan teks. Jangan lekatkan di minda pelajar, sejarah itu subjek boring. Hasilkan teks sejarah yang boleh membuatkan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis. Luaskan pandangan sejarah pelajar - bukannya hanya memandang dalam Malaysia sahaja, bahkan negara luar perlu ditatapi sejarahnya. Perbanyakkan sejarah Sabah dan Sarawak kerana dua buah negara itu juga termasuk dalam Sejarah Malaysia.

Moga, perubahan yang dilakukan ini memberi manfaat baik kepada kita sebagai rakyat Malaysia dan bukannya sekadar memenuhi kehendak tersembunyi mana-mana sang politikus.

You might also like