Professional Documents
Culture Documents
Pertolongan cemas merupakan satu aspek penting dalam kehidupan harian. Ia merujuk
kepada tindakan awal atau pertama yang dilakukan dalam keadaan kecemasan. Dengan
perkataan lain, ia merupakan pertolongan cemas terhadap individu tertentu yang cedera
atau tidak berupaya, sementara menunggu ketibaan pegawai perubatan ataupun sebelum
di hantar ke klinik atau hospital terdekat. Ia mungkin dapat membantu memperbaiki
keadaan mangsa atau dapat menyelamat dan menyembuhkan kesakitan yang dialaminya.
Walau bagaimanapun, pertolongan cemas tidak boleh dijadikan penggantian kepada
penjagaan perubatan sebenar. Ia hanyalah merupakan suatu pertolongan yang dapat diberi
sementara bantuan sebenar tiba.
PENDARAHAN
Prinsip asas pengawalan pendarahan ialah menghadkan pengaliran darah ke bahagian
yang luka dengan meninggikan bahagian tersebut dan memberi tekanan ke bahagian yang
terlibat.
• Tekankan semampatnya kain pembalut yang bersih dan yang boleh menyerap pada luka
untuk selama 20 minit. Jika terdapat serpihan benda asing dalam luka, tekan di
bahagian kelilingnya.
• Jika tiada tulang yang patah, retak atau terkehel, tinggikan bahagian tersebut sementara
mengekalkan tekanan untuk mengurangkan pendarahan.
• Jika pendarahan berterusan, tekan arteri yang berdekatan dengan bahagian luka.
• Cuci bahagian sekeliling luka dengan air sejuk selama 10 - 15 minit dan lapkannya di
bahagian tepi luka menggunakan pad atau kasa yang bersih. Pendarahan dari
sesetengah luka kecil akan terhenti jika dibasuh dan dibalut dengan kemas.
• Tutup atau balut luka tersebut dengan segera.
• Bungkus mana-mana bahagian yang terputus dalam beg khas dan seboleh-bolehnya
masukkannya ke dalam ais.
• Suntikan tetanus mungkin perlu diberi kepada mangsa.
• Jika hidung berdarah, picitkan hidung di bahagian bawah tulang hidung untuk selama 5
minit. Pastikan kepala sentiasa terdongak.
• Jangan berikan sebarang makanan atau minuman.
• Jangan sentuh atau menarik keluar objek atau benda asing yang menusuk luka kerana
dikhuatiri akan menyebabkan pendarahan bila dikeluarkan.
KERACUNAN
Racun ialah sebarang bahan yang boleh menyebabkan kerosakan jika memasuki ke dalam
tubuh. Racun boleh ditelan, disedut, disuntik atau diserap melalui kulit.
Hubungi Khidmat Maklumat Racun dan beritahu mereka jenis racun, jumlah dan bila
racun berkenaan diambil.
• Jika mangsa tidak bernafas, berikannya bantuan pernafasan dengan melakukan
mampatan dada. Resusitasi (teknik A.B.C) perlu dilakukan sekiranya mangsa masih
bernafas, tetapi denyutan jantungnya telah berhenti.
• Jika mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas, baringkannya mengiring dalam
kedudukan pemulihan.
• Untuk racun yang disedut, alihkan mangsa dari bahaya ke kawasan yang berudara segar.
• Untuk racun yang diserap, basuh semua sisa-sisa kimia yang tertinggal pada kulit.
• Untuk racun yang ditelan, jangan cuba mencetuskan muntah kerana ini mungkin
membahayakan lagi keadaan pesakit.
TERKENA ARUS ELEKTRIK
Pengaliran arus elektrik menerusi badan boleh menyebabkan degupan jantung terhenti,
luka terbakar dan renjatan.
• Tutup bekalan elektik
• Putuskan hubungan mangsa dengan sumber elektrik menggunakan kain yang tidak
mengalirkan arus elektrik sementara berdiri di atas bahan penebat yang kering.
• Jika perlu mulakan resusitasi atau letakkan mangsa dalam kedudukan pemulihan.
• Rawat sebarang luka terbakar atau renjatan yang berlaku.
PENGSAN
Pengsan ialah keadaan tidak sedarkan diri untuk seketika berpunca dari pengurangan
pengaliran darah ke otak yang sementara.
• Jika mangsa telah pengsan tetapi masih bernafas seperti biasa, baringkannya dengan
kaki ditinggikan sedikit dari paras kepala.
• Longgarkan pakaian mangsa di bahagian leher, dada dan pinggang untuk memudahkan
pernafasan.
• Mangsa patut terus berbaring untuk beberapa minit selepas pulih.
RENJATAN
• Gejala-gejala renjatan termasuklah:
• Kulit kelihatan pucat
• Kabur penglihatan
• Kulit lembap atau dingin
• Loya atau muntah
• Pernafasan yang pendek tetapi cepat
• Dahaga
• Denyutan nadi yang lemah dan cepat.
• Keresahan
• Pening atau rasa hendak pitam.
Rawatan
• Baringkan mangsa dan rawat sebarang kecederaan yang ketara atau keadaan-keadaan
lain yang telah menyebabkan renjatan
• Tenangkan mangsa
• Longgarkan pakaian mangsa di bahagian leher, dada dan pinggang
• Selimutkan mangsa dengan kain nipis seperti kot atau selimut
• Jika boleh, tinggikan kaki mangsa untuk mempercepatkan pengaliran darah balik ke
otak.
• Jika mangsa merasa dahaga, lembapkan bibirnya tetapi jangan memberi mangsa
sebarang minuman.
• Berikan mangsa minum teh panas untuk kes-kes renjatan emosi.
• Akhirnya, bagi kesemua kes renjatan, dapatkan bantuan perubatan dengan segera
selepas memberikan pertolongan cemas. Bagaimanapun, jangan biarkan mangsa
bersendirian.