You are on page 1of 2

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2013 (SEBELUM INTERNSHIP)

Internship merupakan satu program latihan di lapangan yang bertujuan untuk mengaitkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sedia ada dengan amalan sebenar tugas guru permulaan. Pelajar dikehendaki untuk merancang, melaksana dan menilai projek atau aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah atau aktiviti rutin yang telah menjadi amalan dan budaya sekolah. Sepanjang tempoh Internship, pelajar akan didedahkan dengan sifat kepemimpinan dan pengurusan pelbagai aktiviti di sekolah dengan bimbingan daripada seorang mentor.

Sebelum menjalani Internship di sekolah selama satu bulan, satu taklimat oleh unit praktikum telah diadakan pada 26 Jun 2013 bersamaan hari Rabu di Dewan Tanjung. Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Praktikum, Encik Nor Azam bin Ariffin. Sepanjang taklimat, saya telah didedahkan dengan apa itu internship dan projek yang boleh dijalankan di sekolah. Pelbagai input yang berguna telah diperoleh sepanjang hari taklimat dijalankan untuk memastikan para pelajar dapat menjalankan Internship dengan lancar.

Berdasarkan taklimat yang telah diberikan oleh Unit Praktikum Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang, terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan seperti penyediaan portfolio, menyediakan kertas kerja untuk setiap projek atau program yang telah dirancang serta cara untuk menguruskan sesuatu program dengan lancar dan berkesan. Penyediaan portfolio adalah wajib bagi pelajar untuk menyimpan bahan bukti dan bahan proses pendokumentasian sepanjang menjalankan Internship. Sebelum menjalani Internship, saya bersama dua orang rakan saya telah merancang projek yang akan dilaksanakan di sekolah kelak berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan sepanjang menjalani praktikum fasa 3 di Sekolah Kebangsaan Batu Kawan. Kami telah mengambil kata putus untuk menjalankan program motivasi Program

Menggilap Mutiara bagi murid tahun enam yang terdapat di sekolah tersebut sebagai projek utama.

Selain itu, semasa di sekolah nanti, saya juga perlu menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Namun, waktu pengajaran pada kali ini telah dikurangkan kepada dua hingga empat waktu sahaja untuk memberi ruang masa melaksanakan dan menyiapkan segala projek yang telah dirancang sebelum memulakan Internship di sekolah masing-masing. Penyediaan rancangan pengajaran pada kali ini juga adalah lebih ringkas kerana saya hanya perlu menulis ringkasan rancangan mengajar dalam bentuk jadual. Tujuannya adalah untuk menjimatkan masa bagi membolehkan saya dan rakan-rakan menjalankan projek dengan baik dan lancar. Sepanjang menjalani Internship, saya juga telah bercadang untuk mengumpul data bagi Kajian Tindakan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran selama empat minggu di sekolah.

Melalui program Internship ini, saya berharap agar dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin terutama dalam aspek pengurusan sesuatu program atau aktiviti yang akan menjadi kebiasaan kepada saya apabila menjadi bakal guru yang sebenar kelak. Saya juga berharap agar dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada sepanjang menjalani praktikum pada semester yang lalu terutama dari aspek komunikasi antara saya dengan murid serta guru-guru.

Akhirnya, saya berharap agar program Internship ini dapat memberi peluang dan membuka ruang kepada saya dalam usaha untuk meningkatkan tahap keyakinan diri, ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran sebagai seorang bakal guru kelak, membentuk sifat kepemimpinan serta akhlak yang baik serta dapat memupuk dan menerapkan nilai profesionalisme keguruan dalam usaha melahirkan bakal guru yang produktif serta efektif kepada bangsa dan negara.

You might also like