You are on page 1of 7

Abstrak Kepentingan Selat Melaka Sebagai Laluan Perdagangan Pada Abad ke 15 Culture issues in Southeast Asia Presentation, representation

and preservation of cultural heritage and authenticity Ahmad Nabil bin Amir, Phd International Islamic University Malaysia nabiller2002@yahoo.co.uk

Kertas ini mengkaji kepentingan strategik Selat Melaka sebagai pusat perdagangan yang terpenting di abad ke 15 di rantau Asia Tenggara. Ia menyorot sejarah perkembangan dan kemunculannya sebagai kuasa maritim yang besar dan faktor yang meletakkannya sebagai laluan utama dalam arus perdagangan dunia waktu itu. Dalam mengkaji sejarah peradaban dan pertemuan budaya Asia di Selat Melaka, kertas ini cuba melihat strategi yang boleh dimainkan oleh negara-negara serantau bagi mengangkat semula kedudukan dan warisan budaya yang strategik yang dimunculkan di selat Melaka dan melanjutkan pengaruhnya di abad moden.

Kata kunci: Selat Melaka, kota perdagangan dan pelabuhan, Asia Tenggara, budaya, timur dan barat

Abstract The Significance of Straits of Malacca as Trade Routes in the 15th Century

This paper analyzes the significance position of the Straits of Malacca as major trade routes in the 15th century in Southeast Asia. It traced its development and rise as powerful maritime empire and some geographical and historical factors that positioned it as international routes in the commercial currents at those times. While investigating the historical connection and cultural meeting of the Asian region in the Straits of Malacca, this paper will look on the strategy to be projected by the regional countries to revive this significance historical and cultural heritage founded in the Straits of Malacca and its continued influenced in modern time. Key words: Straits of Melaka, trade port, Southeast Asia, culture, east and west

Mukaddimah Kertas ini meneliti kepentingan Selat Melaka dan perkembangannya sejak kurun ke 15 sebagai pelopor perdagangan dunia dari Arab ke China. Sejarah mencatatkan bahawa kerajaan-pelabuhan di pesisir Selat Melaka telah muncul pada abad ketiga M, yang mengeksploitasi aliran perdagangan antara China dan India dan mengembangkan pengaruhnya di gugusan Arkipelago (Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, 2012). Selat Melaka mempunyai kepentingan yang strategik dalam mewujudkan jaringan budaya dan politik yang luas antara rantau timur dan barat dan menguatkan posisinya sebagai kota pelabuhan yang signifikan yang terletak di tengah laluan perdagangan antarabangsa ketika itu. Kedudukannya yang penting dalam peta dunia dan pengaruh empayarnya yang besar merupakan satu era penting dalam sejarah yang patut dikaji dengan kritis bagi melihat kesan dan warisan yang ditinggalkannya kepada peradaban bangsa Asia.

Sejarah Awal Sejarah pertumbuhan Selat Melaka dan kemunculannya sebagai laluan perdagangan dan kebudayaan dunia yang penting dapat dikesan dari abad ke 3. Asalnya dikenal sebagai Laut Melayu berdasarkan dokumen Arab yang bertarikh dari abad ke 9 M. Menurut pandangan Godinho De Eredia, seorang sejarawan terkemuka, Laut Melayu tersebut merujuk kepada Selat Melaka (Leonard Y. Andaya, 2008, dikutip dari Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, 2012). Kedudukannya terletak di wilayah geografi yang strategis, yang menyempadani Lautan Hindi dan Laut China Selatan dan mengawal arah aliran perdagangan dunia sebelah timur antara tanah besar China dan benua kecil India. Perebutan terhadap pengaruh dan kawalan maritim di selat telah tercetus sejak kerajaan Melayu Srivijaya yang terkenal sebagai Master of the Straits of Malacca sehingga terbentuknya kerajaan-kerajaan Melayu yang tumbuh dan berkembang di sepanjang perairan seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Aceh dan kerajaan Johor di Riau (Nordin hussin, 2008). Perebutan ke atas penempatan Selat terus dilancarkan dengan penyerbuan empayar besar seperti Portugis, Belanda, Siam dan Jepun, sebagaimana digambarkan oleh Mohd Hazmi this historical background shows that the Strait of Malacca played a significant role in shaping the character of this region. The political will to seize dominion over the Strait of Malacca, has always been motivated by the desire to control and monopolise the trade that goes through it. (Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, 2012). Perjuangan ini telah meninggalkan kesan sejarah yang penting dalam landskap politik dan budaya di kawasan maritim. Melalui jalur Selat Melaka, arus perdagangan Eropah dengan China dan Jepun mengalir membawa sumber keuntungan ekonomi yang strategik dan menyimpan peluang-peluang besar bagi perkembangan ekonomi dan sosial. (Nordin Hussin, 2008). Kedudukan pesisirnya yang ideal yang menghubungkan subkontinen India dengan bahagian timur dan tenggara Asia dan

juga menjambatani Eropah (Solvay, Hans-Dieter, 2011) merupakan faktor asas yang meletakkan kawasan perairan ini sebagai pelabuhan dunia yang penting, yang mengalirkan sumber kekayaan dan menyumbang kepada pembangunan serantau. . Warisan Budaya dan Pemikiran Pelayaran kapal-kapal perdagangan ke kawasan pelabuhan yang sibuk yang mengalir dari serata dunia telah memungkinkan Selat Melaka menjadi pusat pertemuan budaya yang besar, dan muncul sebagai kuasa maritim yang signifikan di rantau ini. Aliran perdagangan yang pesat telah mengangkat kehidupan budaya dan ekonomi di sepanjang pesisirnya dan membawa pertumbuhan dan kemajuan di Selat Melaka dan Selat Singapura, di mana kedua-dua Selat ini bukan sahaja penting sebagai jalan komunikasi laut tetapi juga penting sebagai sumber kehidupan populasi pinggir pantai. (Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, 2012). Perhubungan maritim di pesisir turut membawa percampuran budaya dan politik yang rencam dan melahirkan sistem perhubungan yang beragam, the rich cultures brought to both Penang and Malaccas shores by innumerable travelers and traders over the centuries have intermingled and created a beautiful harmonious society of different races, each with its own distinct and unique features (Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, 2012, dikutip dari Hussin, 2008). Perkembangan ini menjadi asas percambahan budaya yang kental di selat yang telah membuka pandangan dunia yang baru dengan pengaruh pemikiran dan idealisme yang luas. Transisi pemikiran dari warisan budaya Hindu kepada pengaruh Islam telah mencetuskan era pencerahan yang hebat yang membawa kebangkitan politik, budaya dan intelek yang fenomenal. Kebudayaan Islam terus berkembang dan kekuatan dakwahnya menerobos ke seluruh arkipelago, yang telah memperkuat dan mengutuhkan kesatuan umat di rantau ini, sebagaimana dilukiskan oleh Hamka tetapi rumpunnya tetap satu, iaitu darah melayu yang mengalir dalam setiap tubuh kita, yang telah subur disiram oleh ajaran agama Islam (Hamka, 1952).

Warisan Bangsa Asia Bagi mempertahankan warisan dan sumber sejarah yang signifikan di Selat Melaka, United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization (UNESCO) pada tahun 2008 telah mengisytiharkan bandar Melaka dan Georgetown, dua bekas Jajahan Selat British, sebagai World Heritage Sites (Tapak Warisan Dunia) (Melaka and George Town, Historic Cities of the Straits of Malacca 2011) Pengisytiharaan ini telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan yang tangkas di kedua daerah ini. Kemajuan yang digerakkan ini turut memacu pertumbuhan dan menghasilkan pertahanan yang ampuh dalam memulihara warisan dan khazanah bangsa yang strategik ini.

Inisiatif penting ini telah melakar sejarah penting dalam peta Melaka dalam mengangkat peradabannya dan mempertahan dan mengekalkan ciri-ciri sejarah dan budayanya yang tinggi, sebagai pusaka dunia kelautan (heritage of the maritime world) yang berharga. (Mohd Hazmi bin Mohd Rusli, 2012).

Perkembangan Moden Dalam perkembangan moden, keutuhan Selat Melaka terus dipertahan oleh negara serantau melalui pelbagai inisiatif dan jaringan kerjasama yang produktif. Dalam hubungan ini, kegiatan lanun yang telah berleluasa selama ini dapat dibanteras dan ditumpaskan setelah rondaan di perairan Selat Melaka dipertingkatkan dengan kerjasama negara-negara jiran (Utusan Malaysia, 3 Okt, 2011). Ini menzahirkan keazaman negara-negara serumpun untuk memerangi jenayah rompakan dan lanun, seperti dilaporkan oleh Biro Maritim Antarabangsa (IMB) dalam akhbar bahawa kes rompakan di kawasan perairan Selat Melaka telah menunjukkan kepada angka sifar dalam tempoh 1 Januari sehingga 3 Jun lalu (2011), berbanding 45 kes yang dicatatkan pada 2004. (Utusan Malaysia, 3 Okt, 2011). Kejayaan menghapuskan anasir lanun ini turut dibantu oleh kecanggihan sistem pengesanan yang telah menyumbang kepada pembanterasan habis-habisan terhadap kegiatan lanun di perairan, kejayaan ini juga adalah hasil daripada pemasangan menyeluruh sistem pengesanan automatik yang dikawal selia oleh Jabatan Laut yang membolehkan pergerakan dan maklumat kapal di perairan negara dapat diperoleh. (Utusan Malaysia, 3 Okt, 2011). Di samping itu kerajaan juga telah mengadakan kerjasama dengan syarikat perkapalan nasional, MISC Bhd. (MISC) yang mengubah suai dua kapal kontena menjadi kapal pengiring dengan dilengkapi kemudahan pertahanan, yang ditugaskan mengiring kapal-kapal yang berdaftar di Malaysia berlayar ke Teluk Aden. Manakala itu, dalam usaha menangkis keganasan di perairan, dan menghalang kekacauan, adalah perlu bagi masyarakat maritim dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa terus memberi penekanan terhadap isu keganasan dan kegiatan lanun terutama di Teluk Aden. Ini kerana, situasi keganasan dan kegiatan lanun tersebut akan merencatkan sistem pengangkutan laut dan mengganggu sektor perdagangan serta ekonomi negara ahli. Demikian tegas Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Mersat selepas merasmikan Hari Maritim Sedunia 2011 di Institut Pentadbiran dan Pengurusan Pengangkutan Laut (ILPPPL) di Pelabuhan Klang. Selain itu isu-isu lain yang turut dibangkitkan dalam wacana negara serantau melibatkan kepentingan Selat Melaka termasuklah kebebasan melayari lautan, isu persempadan perairan (Abd. Kadir Mohd. Ayob, 2011), potensi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sumber alamnya, ancaman dan bahaya terhadap wilayah dan perbatasan, sertakerusuhan sosial, politik dan bencana alam seperti masalah kerosakan akibat tsunami, pencemaran yang berasal dari

kegiatan pelayaran dan industri, masalah kemiskinan, migrasi haram antara kawasan di selat dan penipisan sumber alam dan bermacam lagi. (Solvay Gerke & Hans-Dieter Evers, 2011) Dalam rencananya yang bertajuk mekanisme kerjasama di Selat Melaka, Nazery Khalid, Felo Penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA) menyebut bahawa usaha mewujudkan mekanisme tersebut telah dirundingkan dan kerjasama telah dicapai pada mesyuarat negaranegara pesisir Selat Melaka, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di Singapura pada September, 2007. Mesyuarat tersebut mengandungi tiga komponen, iaitu Forum Kerjasama, Jawatankuasa Koordinasi Projek dan Dana Bantuan Pelayaran. Mekanisme tersebut menggariskan kesedaran untuk merealisasikan objektif memantau dan menguruskan keselamatan dan alam sekitar di laluan perkapalan yang tersibuk di dunia ini. Usaha mengadakan kerjasama ini selaras dengan Artikel 43 UNCLOS atau Konvensyen Perundangan Lautan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyediakan rangka kerja rasmi bagi negaranegara tersebut berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa untuk menjamin keselamatan di laluan strategik ini dan memelihara persekitarannya. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh delegasi dari 38 negara dan badan-badan pertubuhan yang mewakili industri perkapalan, yang sepakat memberikan sokongan terhadap mekanisme kerjasama yang dicadangkan. Ini termasuk negara-negara pengguna intensif Selat Melaka seperti Australia, China, Jerman, India, Jepun, Norway, Panama, Korea Selatan, Britain dan Amerika Syarikat serta organisasi penting yang banyak mendukung projek pengurusan Selat Melaka seperti Intertanko, International Chamber of Shipping dan Yayasan Nippon. Enam projek telah dicadangkan dalam mekanisme tersebut bagi meningkatkan tahap keselamatan pelayaran dan pemeliharaan alam sekitar di Selat Melaka. Usaha ini meliputi pengalihan bangkai-bangkai kapal di dalam kawasan Skim Penyuraian Trafik (TSS) di Selat Melaka; pembinaan kapasiti bagi membersihkan tumpahan bahan-bahan berbahaya; demonstrasi sistem pengenalan transponder automatik yang dipasang di atas kapal-kapal kecil; penyediaan sistem pengukuran aras laut, ombak dan angin; dan penggantian dan penyelenggaraan peralatan mengemudi pelayaran, termasuk penggantian sistem pelayaran yang rosak akibat tsunami pada tahun 2004. (Nazery Khalid, 2011) Langkah-langkah ini dipercayai dapat meningkatkan tahap pengurusan Selat, menangani kesibukan trafik, dan menghadapi dan mengatasi pencemaran ekosistemnya.

Kesimpulan Berdasarkan perbincangan ringkas di atas, dapatlah disimpulkan kenyataan yang jelas tentang sumbangan penting Selat Melaka dalam mempelopori pertemuan budaya yang signifikan di rantau ini. Ia telah mewujudkan sistem perhubungan yang teratur, membuka pelabuhan maritim dan memperluas dan mengembangkan pengaruh perdagangannya ke seluruh dunia. Dari laluan sempit yang kecil ia berkembang sebagai kota pelabuhan dan empayar yang besar, yang menguasai arus perdagangan dan perniagaan rempah ketika itu. Kefahaman tentang sejarah kebudayaan melayu dan pertumbuhannya di Selat Melaka ini penting dalam menghidupkan kegemilangannya dan mempertahankan warisannya dan kelangsungan budaya Asia di semenanjung arkipelago.

Rujukan Abd. Kadir Mohd. Ayob. Kontroversi Perairan Selat Melaka. Dewan Masyarakat, Okt. 2011. Andaya, L. Y. Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka. Honolulu: University of Hawaii Press, 2008. Hamka. Bohong di Dunia. Maktabah al-Haj Abdullah bin Muhammad Nur ad-Din ar-Rawi: Penang, 1952. Husin, N. Historical Development of Coastal Ports and Towns in the Starits of Malacca. Dalam H.M. Ibrahim & H.A. Husin (eds.), Profile of the Straits of Malacca: Malaysias Perspective. Kuala Lumpur: Maritime Intstitute of Malaysia, 2008. Ismail Ali. The Culture of Outrigger Boat in the Malay Archipelago: A Maritime Perspective. Tawarikh: International Journal for Historical Studies, 1 (1) 2009, 57-70. Ismail Ali. Observation and Discussion on the History of Maritime Archipelago. Tawarikh: International Journal for Historical Studies, 1 (2) 2010, 139-158. Kes Rompakan Lanun Sifar di Perairan Selat Melaka. Utusan Malaysia, 3 Okt, 2011, h. 21. Melaka and George Town, Historic Cities of the Straits of Malacca. 2011. Dilayari 1 Mac, 2013, dari http://whc.unesco.org/en/list/1223. Mohd Hazmi Bin Mohd Rusli. Straits of Malacca and Singapore: Pride of the Malay Archipelago, Priceless Maritime Heritage of the World. Jurnal Hadhari (2012), 109-127. Mohd Rusli, Mohd Hazmi and Mustafa, Maizatun and Wan Talaat, Wan Izatul Asma. Replacing the transit passage regime with freedom of navigation in the Strait of Malacca: a case study with special reference to the Korea Strait. Ocean & Coastal Management (78) 2013, 25-34. Nazery Khalid. Mekanisme Kerjasama di Selat Melaka. Utusan Malaysia. 19 Nov 2007. Nordin Hussin. Geografi dan Perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800. Akademika 73 (Mei) 2008, 3-26. Solvay Gerke & Hans-Dieter Evers. Selat Melaka: Jalur Sempit Perdagangan Dunia. Akademika 81 (1) 2011: 5-14.