You are on page 1of 6

REFLEKSI LOMPAT JAUH

Pada 2 Februari 2013, kumpulan pertama yang bertanggungjawab untuk mengajar teknik lompat jauh telah melaksanakan isi pengajaran mengikut rancangan latihan olahraga yang disediakan oleh mereka. Sepanjang proses P&P lompat jauh, semua guru pelatih memberikan kerjasama sepenuhnya semasa rakan sekelas melaksanakan isi pengajaran. Walaupun cuaca sangat panas, saya memberi tumpuan sepenuhnya dan melibatkan diri dengan hati terbuka. Saya berasa gembira kerana dapat mengulang kaji apa yang pernah dipelajari dalam Kursus KDC Diploma Perguruan Malaysia pada 10 tahun yang lepas. Pensyarah memberi komen yang membina jika perlu dengan harapan kami dapat belajar teknik yang betul. Semasa penilaian lompat jauh dijalankan, kami diminta menggunakan teknik yang betul semasa melompat jauh. Percubaan diberikan agar kami dapat membina keyakinan dan juga membetulkan kesalahan secara spontan. Walaupun perjumpaan tutorial untuk subjek olahraga hanya 1 jam sahaja, saya memperoleh maklumat dan pengetahuan yang amat berguna dan dapat saya gunakan semasa saya bertugas di sekolah, khasnya mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani.

REFLEKSI LONTAR PELURU

Pada 30 Mac 2013, kumpulan ketiga yang bertanggungjawab untuk mengajar teknik lontar peluru telah melaksanakan isi pengajaran mengikut rancangan latihan olahraga yang disediakan oleh mereka. Sepanjang proses P&P lompat jauh, semua guru pelatih memberikan kerjasama sepenuhnya semasa rakan sekelas melaksanakan isi pengajaran. Walaupun cuaca sangat panas, saya memberi tumpuan sepenuhnya dan melibatkan diri dengan hati terbuka. Sebenarnya acara lontar peluru merupakan acara balapan yang paling saya tidak sukai. Namun, selepas perjumpaan kali ini, saya dapat mempelajari teknik melontar peluru yang betul. Pandangan negatif terhadap acara lontar peluru juga berubah. Semasa penilaian lontar dijalankan, kami diminta menggunakan teknik yang betul semasa melontar peluru. Pensyarah memberi komen yang membina dan percubaan diberikan agar kami dapat membina keyakinan untuk melontar peluru dengan teknik yang betul Walaupun perjumpaan tutorial untuk subjek olahraga hanya 1 jam sahaja, saya memperoleh maklumat dan pengetahuan yang amat berguna dan dapat saya gunakan semasa saya bertugas di sekolah, khasnya mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani.

REFLEKSI KEJOHANAN MINI OLAHRAGA PPG KOHORT1 Pada 27 April 2013, kami guru-guru pelatih PJJ PGG Kohort 1 Semester 4 yang terdiri daripada 15 kelas dari pelbagai opsyen iaitu PJ1, MT1, MT2, MT3, MT4, BM1, BM2, BM3, PC2, PC3, BI1, RBT1, SN1, BT1 dan Pemulihan2 telah berjaya menganjurkan Kejohanan Mini Balapan dan Padang yang bertempat di Padang IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor. Penganjuran Kejohanan Mini Olahraga ini adalah bagi memenuhi keperluan syarat kursus wajib Kokurikulum Olahraga WAJ 3112 (PPG Semester 4). Kursus ini memperuntukkan 30% markah untuk penganjuran dan pengelolaan kejohanan olahraga pada semester ini. Sebelum menjayakannya, terdapat pelbagai perkara yang perlu dirancang dengan teliti. Bak kata pepatah Inggeris, If you fail to plan, you are planning to fail. Selepas pensyarah memberi taklimat, kami telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 15 kelas yang tersebut di atas. Kami telah mendapatkan bimbingan dan panduan daripada para pensyarah yang ternyata sudah berpengalaman dalam menganjurkan temasya seperti ini. Kami telah mengadakan mesyuarat dalam memastikan kelancaran kejohanan ini. Apabila tiba hari Kejohanan Olahraga ini, kami telah berganding bahu untuk memastikan mini olahraga ini dilaksanakan dengan lancar dan berjaya. Semua pihak bekerjasama dan bertanggungjawab terhadap bidang-bidang tugas yang ditetapkan. Saya merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Minuman Dan Jamuan Pegawai. Di bawah pimpinan pengerusi, Mohd. Nizam Bin Isnin dari PJ1, saya dan AJK lain telah bekerjasama untuk memastikan proses pengagihan minuman dan makanan dijalankan dengan lancar. Untuk memastikan semua pegawai dan peserta mendapat minuman dan makanan, ketua-ketua rumah telah diarahkan untuk menghantar ahli-ahli rumah masing-masing untuk mengambil makanan. Selain itu, Shaiful Lizan dan Halida pula telah menggunakan sebuah kereta serong sebagai kenderaan untuk menghantar minuman dan makanan. Jawatankuasa kami sangat gembira semasa menjalankan tugas. Tambahan pula, minuman dan makanan yang disediakan adalah dalam keadaan bersih. Set makan pagi ini terdiri daripada sekotak nasi ayam, sebiji epal dan sebotol air mineral. Kombinasi set ini adalah berkhasiat dan sesuai untuk semua peserta dan pegawai. Pada pukul 1 petang semua acara telah tamat dan kami sekali lagi telah bergotongroyong untuk membersihkan padang. Saya dan guru pelatih lain telah berganding bahu untuk memastikan keadaan padang cantik dan bersih seperti biasa. Kami semua berpuas hati dengan penganjuran yang telah dijalankan. Malah para pensyarah juga telah mengucapkan tahniah. Benarlah kata pepatah, Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya telah mendapat pelbagai manfaat dan pengalaman dari penganjuran ini.

Kejohanan Mini Olahraga ini mempunyai beberapa kekuatan yang saya amat kagumi. Semua guru pelatih memberi sambutan yang amat menggalakkan untuk mengendalikan pelaksanaan kejohanan ini. Mereka hadir tepat masa dan kehadiran hampir 100%. Bagi mereka yang mengambil bahagian dalam acara olahraga, mereka cuba bersungguh-sungguh dan sedaya upaya dalam bahagian yang disertai oleh mereka. Semangat kesukanan yang tinggi dapat dilihat pada mereka. Jawatankuasa-jawatankuasa masing-masing menjalankan

tanggungjawab mereka dengan sepenuhnya. Cuaca yang cerah merupakan satu lagi kekuatan yang menjayakan kejohanan kali ini. Segala yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna dengan adanya kerjasama antara pensyarah-pensyarah dan guru-guru pelatih serta cuaca yang mengizinkan. Walau bagaimanapun, kejohanan mini olahraga ini juga mempunyai kelemahan yang tidak dapat dielakkan. Kesuntukan masa bagi semua ketua-ketua opsyen untuk bertemu dan berbincang bersama-sama merupakan kelemahan yang utama. Masalah ini timbul kerana ketua-ketua opsyen bukan semuanya tinggal di daerah Johor Bahru. Ada sebahagian yang berasal dari daerah lain di Johor. Ini menyukarkan pertemuan semua ketua-ketua opsyen untuk bertemu bersama. Lantaran ini, pembahagian tugas menjadi agak lambat dan tidak lancar. Kertas Kerja yang sempurna hanya kami terima pada dua hari sebelum Kejohanan Olahraga Mini ini. Selain itu, senarai peserta dibincangkan pada saat yang terakhir iaitu sebelum Kejohanan Olahraga Mini bermula. Guru-guru pelatih terpaksa menulis nama pada saat terakhir sama ada secara suka rela atau paksa rela demi kepentingan rumah sukan sendiri. Untuk menambah baik kelemahan yang disebutkan di atas, pihak IPG seharusnya merancang program olahraga PPG lebih awal lagi dan memberitahu semua guru-guru pelatih pada perjumpaan tutorial kali pertama. Perancangan yang sempurna dan sistematik membolehkan kami mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan lebih awal dan sempurna untuk kejohanan mini olahraga. Sungguhpun begitu, pengalaman yang saya peroleh dalam penglibatan kejohanan mini olahraga ini cukup membantu saya dalam mengendalikan sesuatu acara dan mengadilinya mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Pengalaman ini cukup bermakna dan berguna untuk saya aplikasikan untuk masa-masa akan datang.

REFLEKSI KENDIRI KESELURUHAN

Pada semester 4 ini, pihak IPG Kampus Temenggong Ibrahim telah menawarkan mata pelajaran gerak kerja kokurikulum yang merangkumi olahraga kepada semua guru pelatih PJJ PGG. Kami hanya berjumpa dengan pensyarah sebanyak 5 kali sepanjang semester ini. Setiap kali hanya 1 jam. Masa itu emas dan kami semua memang menggunakan 1 jam yang diperuntukkan dengan sebaik-baiknya. Pensyarah yang dihormati iaitu En. Zainal sebenarnya pernah mengajar saya semasa saya mengikuti Kursus KDC Diploma Perguruan Malaysia (2000 2004). Beliau merupakan seorang pensyarah yang berdedikasi dan bertanggungjawab. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas tunjuk ajar dan nasihat beliau kepada kelas kami. Kekuatan: Subjek olahraga yang saya pelajari dapat membantu saya meningkatkan pengetahuan saya berkaitan dengan olahraga. Semasa mengikuti olahraga ini, saya mempelajari cara-cara mengajar dan melatih pelajar untuk mengikuti sesuatu acara balapan dan acara padang atau lebih dikenali sebagai olahraga. Saya juga dapat mempelajari latihan-latihan ansur maju yang boleh membina kecekapan dan stamina murid untuk mengikuti sesuatu olahraga. Internet merupakan alat yang amat berguna bagi guru pelatih untuk mengakses maklumat tambahan yang berkaitan dengan olahraga. Kelemahan: Dalam segi pengurusan masa untuk menyiapkan folio olahraga, saya menghadapi masalah kesuntukan masa kerana saya juga mempunyai beberapa kerja kursus yang lain yang memerlukan saya siapkan dalam ruang masa yang singkat. Saya terpaksa mengorbankan masa tidur saya untuk menyiapkan kerja kursus yang berlonggok. Tidur yang tidak mencukupi kadangkala mengganggu tumpuan saya terhadap kerja saya pada waktu siang.

Peluang: Kejohanan Mini Olahraga PPG telah pun dilaksanakan pada 27 April 2013 dari pukul 8 pagi hingga pukul 1 petang. Saya telah diberi tugas untuk mengagihkan makanan dan minuman kepada pegawai-pegawai dan peserta-peserta kejohanan. Saya dan rakan-rakan berasa amat gembira kerana dapat menyumbang tenaga terhadap kejohanan ini. Semua orang berpuas hati kepada makanan dan minuman yang dibekalkan. Saya berasa amat besar hati dan terharu

kerana dapat menyertai kejohanan olahraga ini dari permulaan sehingga saat yang terakhir. Kejohanan olahraga ini telah membawa kenangan yang manis . Cadangan Penambahbaikan: Kesimpulannya sebagai seorang guru pelatih yang bertugas di sekolah di samping melanjutkan kursus ijazah di IPG, aktiviti-aktiviti yang saya ambil bahagian dalam olahraga ini pasti memberikan peluang pendedahan dan pengetahuan terhadap pelbagai perkara baru seperti cara menganjurkan sukan olahraga dan cara mengajar pelajar teknik-teknik olahraga. Sebagai seorang guru pengetahuan-pengetahuan ini amat penting kepada kami untuk menjalankan tugas kami dengan efektif di sekolah pada masa kini.

You might also like