You are on page 1of 3

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KEPADA WANITA

Oleh Zulkifli Ahmad

Sebelum kedatangan Islam, wanita dianggap sebagai golongan yang hina dan bertaraf
rendah. Nilai dan harga diri wanita kepada keluarga dan masyarakat sangat rendah.
Justeru itu mereka tidak dihormati malah telah diperlakukan dengan sesuka hati dan
sewenang-wenangnya.

Di zaman Jahiliah, layanan yang diberikan kepada kaum wanita sangat buruk. Mereka
diperlakukan sewenang-wenangnya seperti disuruh bekerja keras mencari nafkah keluarga
dan boleh dicampuri dengan sesuka hati.Wanita juga tidak mendapat hak pewarisan
terhadap harta pusaka keluarga. Seorang anak perempuan tidak boleh mewarisi harta
pusaka keluarganya. Begitu juga seorang isteri tidak boleh mewarisi harta pusaka
suaminya.

Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kedudukan wanita. Islam telah
mengangkat martabat dan meninggikan taraf yang sewajarnya kepada mereka. Terutama
dalam hubungan antara anak dengan ibu bapanya, Rasulullah s.a.w. menyuruh seseorang
anak supaya memuliakan ibunya dahulu sehingga ada hadis yang menyatakan bahawa
syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu.

Manakala dalam pembahagian harta pusaka kepada golongan wanita, Islam menetapkan
bahawa dalam apa jua keadaan, mereka yang berhak khususnya wanita tetap mendapat
bahagian harta pusakanya.

Pusaka atau faraid merupakan suatu ilmu tentang pembahagian harta seseorang yang
telah mati. Dalam Islam pembahagian harta pusaka adalah berasaskan kepada susunan
keluarga yang bersifat keibubapaan menyeluruh yang mengakui hak bahagian pusaka
anggota keluarga dari ke dua-dua belah pihak lelaki dan perempuan dari sedekat-dekat
hingga sejauh-jauhnya yang ada pertalian darah dan perkahwinan.

Prinsip ini bermakna pewaris dari pihak perempuan sama ada dari pihak ibu atau bapa
diakui bahagian masing-masing dalam pembahagian harta pusaka. Allah s.w.t. menjelaskan
dalam surah an-Nisa’ ayat 7 yang bermaksud;
“Untuk orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapanya dan kaum
kerabatnya dan bagi orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan
ibu bapa dan kaum kerabatnya”

Berpandukan kepada nas al-Quran dan Hadis, para ulama telah mengenal pasti pewaris
perempuan yang berhak menerima harta pusaka seperti berikut iaitu isteri, ibu, ibu kepada
ibu bapa (nenek), anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu
perempuan), anak perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa (adik-beradik
perempuan) dan saudara perempuan seibu.

Dalam pembahagian golongan ahli waris dan kedudukan mereka dalam pembahagian
pusaka, kaum wanita ini tergolong dalam waris ashabul al-furud iaitu golongan yang
ditetapkan jumlah harta pusaka. Terdapat juga beberapa orang di kalangan ahli-ahli waris
ashabul al-furud ini menjadi asabah iaitu sama ada asabah pada dirinya sendiri atau
dengan ditaksibkan. Mereka ialah anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki
(cucu), saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa.

1
Dalam pembahagian harta pusaka, Islam menetapkan kadar pembahagian harta
berdasarkan kepada keperluan dan tanggungjawab yang bakal dipikul oleh ahli waris. Oleh
sebab itu nisbah yang diperolehi oleh para waris tidak semestinya sama rata. Beban dan
tanggungjawab kaum lelaki dalam rumah tangga adalah lebih berat berbanding kaum
wanita. Oleh kerana itu dalam pembahagian pusaka, kaum lelaki ditetapkan dengan kadar
yang lebih banyak daripada kaum wanita. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah
an-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud; “Bahagian seorang anak lelaki seperti dua bahagian
perempuan”

Faraid seorang anak lelaki adalah sama dengan bahagian faraid dua anak perempuan.
Faraid suami bersama anak si mati sebanyak 1/4, manakala faraid isteri dalam keadaan
yang sama sebanyak 1/8 dan lain-lain. Prinsip ini menjelaskan bahawa, Islam mengakui
golongan keluarga lelaki atau dikenali sebagai asabah memainkan peranan dan memikul
tanggungjawab yang utama dalam keluarga.

Haji Abd Kadir Ismail dalam bukunya Sistem Pusaka Islam menyatakan bahawa Islam
menjadikan bahagian wanita setengah dariapada bahagian lelaki yang setarap dengannya
kerana dikehendaki oleh suatu hikmat. Ia sesuai dengan tugas lelaki dan perempuan dalam
urusan dan perkara yang berkaitan dengan kehidupan kerana lelaki wajib bekerja,
berusaha berpenat lelah untuk mencari rezeki dan mempertahankan keluarga dan tanah
air. Lelaki juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya,
keluarganya dan menanggung segala beban kebendaan dan kerohanian.

Sedangkan kaum wanita tidak begitu, kerana sebelum ia berkahwin, nafkahnya ditanggung
oleh orang yang lebih hampir dengannya jika ia tidak mempunyai suami dan tidak
dibebankan ke atas dirinya supaya ia menanggung nafkah dirinya. Sekiranya ia berkahwin,
maka nafkahnya berpindah pula ke atas suaminya meskipun ia adalah seorang yang kaya.
Sekiranya diceraikan, maka nafkahnya dipertanggungjawab kembali ke atas walinya.

Dalam sejarah sistem pusaka, sesungguhnya prinsip tersebut merupakan sifat pertengahan
antara tiga sistem pusaka yang ekstrim. Pertama, sistem pusaka yang menegah wanita
daripada menerima bahagian pusaka. Sistem ini dianuti oleh bangsa Greek purba, Hindu,
Yahudi dan Romawi. Kedua, sistem pusaka yang terlalu memberi keistimewaan kepada
kaum wanita. Sistem ini diamalkan oleh Adat Pepatih. Ketiga, sistem pusaka yang
menyamakan habuan antara pewaris lelaki dan wanita. Sistem ini merupakan undang-
undang pusaka moden yang diamalkan di kebanyakkan negara Eropah dan negara yang
mengamalkan undang-undang sekular.

Bagaimanapun kadar yang ditetapkan dalam sistem pusaka Islam ini boleh berubah dan
masih boleh diketepikan jika ada persetujuan dan kerelaan para ahli waris untuk memberi
semua atau sebahagian harta pusaka kepada mana-mana satu pewaris yang patut diberi
perhatian dan pembelaan. Pengecualiaan ini jelasnya adalah melihat kepada maslahah
kaum wanita atau keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam sistem pusaka Islam, prinsip ini terkandung dalam peruntukan pengecualiaan
pembahagian pusaka iaitu at-Takharuj. Prinsip ini ditakrifkan dengan penarikan diri daripada
bahagian harta pusaka sama ada atas sebahagian atau kesemuanya dengan seorang atau
beberapa ahli waris lainnya secara sukarela dan kepadanya dibayar ganti rugi kerana
penarikan diri itu.

Dalam mengulas mengenai peruntukan pengecualiaan ini, Abd Rashid Abd Latif telah
memberikan pengesahan dalam bukunya Hukum Pusaka Dalam Islam bahawa
berpandukan kepada matlamat keadilan dalam pembahagian pusaka, maka dibolehkan

2
untuk ahli-ahli waris yang berhak bertolak ansur atau mengenepikan sama sekali
pembahagian menurut hukum pusaka atau bersetuju membahagikan mengikut cara yang
lebih sesuai dalam keadaan harta yang ada dan keperluan masing-masing.

Bahkan menurut peraturan at-Takharuj atau penarikan diri dari harta pusaka adalah
dibolehkan seseorang ahli waris itu untuk menarik diri sama ada dengan semua
bahagiannya atau sebahagian daripadanya dalam harta pusaka sama ada penarikan diri iru
disyaratkan dengan pembayaran ganti rugi kepadanya atau tidak.

Dalam pembahagian harta pusaka peraturan at-Takharuj boleh diandaikan seperti berikut;
simati meninggalkan ahli waris berikut, isteri 1/8 (3/24), bapa 1/6 (4/24) dan anak lelaki
17/24 (baki). Dalam kes ini bapa bersetuju menarik diri dengan menyerahkan harta pusaka
miliknya kepada isteri. Setelah dibahagikan semua bahagian harta pusaka maka faraid
bapa sebanyak 4/24 diberikan kepada isteri dan dengan itu bahagiannya berjumlah 7/24.

Kesimpulannya kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kedudukan wanita


dalam pewarisan harta pusaka. Kini dalam keadaan apa jua pun mereka yang berhak akan
mendapat bahagian harta pusaka. Bagaimanapun kadar yang diperolehi oleh pewaris
wanita tidaklah sama dengan pewaris lelaki. Prinsip ini ditetapkan oleh Islam berdasarkan
tanggungjawab dan beban kaum lelaki lebih berat daripada kaum wanita. Namun dalam
keadaan tertentu melihat kepada maslahah kaum wanita dan ahli keluarga yang lain, kadar
ini boleh diketepikan mengikut peruntukan pengecualian at-Takharuj

Lain-lain artikel lawati www.mediajaya.my/artikel.htm

You might also like