You are on page 1of 3

Bukan Islam tiada pilihan, Melayu bagaimana?

FEBRUARY 03, 2014

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Pelbagai alasan diberikan mengapa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang ini perlu disengajakan oleh PKR sehinggakan permohonan maaf terbuka terpaksa dilakukan. Permohonan maaf yang dilakukan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menandakan beliau langsung tidak menjangka penyokong Pakatan Rakyat (PR) memberikan reaksi sebegitu negatif terhadap langkah politik kontroversi ini. Ketika berita Langkah Kajang ini diledakkan, ramai penyokong PR yang menghentam PKR. Bagi pemerhati awam, memberikan laluan kepada Anwar dengan sengaja mengadakan PRK adalah satu tindakan memanipulasikan demokrasi. Bagi mereka, sindrom nafi-mengaku-nafi-mengaku PKR dalam episod ini sangat menjengkelkan, terutamanya sikap ini amat menonjol pada Anwar yang diwar-warkan mereka selama ini sebagai calon perdana menteri. Terbaru, Anwar masih menafikan beliau akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sekiranya menang nanti. Tunggu sahaja penafian ini menjadi pengakuan dengan pelbagai alasan apabila Kajang berjaya dimenanginya nanti. Kajang mempunyai komposisi penduduk 52% bukan Islam dan 48% Islam. Ini adalah faktor utama mengapa Kajang dipilih sebagai medan pertaruhan PKR. Bagi mereka, meskipun pengundi bukan Islam marah, mereka tetap akan kembali ke pangkuan PR kerana menumbangkan Umno-BN menjadi matlamat utama mereka. Setelah pengundi bukan Islam meluahkan kemarahan mereka, mereka berdepan dengan realiti pilihan, sama ada undi PKR, undi Umno-BN ataupun undi rosak. Pengundi kumpulan ini sedar bahawa kerajaan Selangor PR tidak akan tumbang dengan kejatuhan DUN Kajang. Tetapi bayangan untuk melihat Umno-BN, Perkasa dan Jati berpesta di media perdana meraikan kemenangan PRK Kajang adalah way too much untuk penyokong bukan Islam. Oleh itu, meskipun mereka tidak dapat menerima sikap memberi alasan tidak konsisten dan dangkal PKR dalam memaksa PRK Kajang, mereka tetap tidak akan memberikan kemenangan kepada UmnoBN.

Keinginan mereka untuk kejatuhan Umno-BN melebihi segalanya dan ini dimanipulasikan dengan baik oleh PKR dalam strategi Langkah Kajang. Di sudut pengundi Islam pula, PRK Kajang ini membawa makna berbeza. Dalam episod Langkah Kajang ini, PKR bertindak secara bersendirian sebelum mendapat persetujuan daripada DAP dan PAS. Atas dasar Kajang ialah kerusi PKR, maka PKR berhak menentukan siapa calonnya, DAP dan PAS menerima Anwar sebagai calon di DUN Kajang. Namun, ini tidak bermakna mereka bersetuju dengan langkah politik yang diadakan. Dalam soalan mengadakan PRK Kajang, bagi PAS dan DAP, PKR meminta persetujuan selepas nasi sudah menjadi bubur. Setuju atau tidak setuju, Adun Kajang akan meletak jawatan dan memberikan laluan kepada Anwar. Sama ada PAS dan DAP gembira atau tidak, akhirnya mereka terpaksa memberi sokongan atas semangat setiakawan. Namun, PAS dan DAP hanya bersetuju Anwar menjadi calon DUN Kajang tetapi tidak MB Selangor. Walaupun PAS dan DAP mempunyai masalah dengan Khalid, tetapi bagi mereka, ia tidak sampai tahap Khalid perlu ditukarkan. Menukar MB Selangor memerlukan konsensus dan ini akan dibincangkan lagi selepas tamatnya PRK Kajang. Secara sinis, sebenarnya tiada apa yang perlu dibincangkan jika kata-kata Anwar yang menafikan bahawa beliau tidak akan menggantikan Khalid boleh dipercayai. Namun, Anwar ialah Anwar, yang kata-kata politiknya boleh berubah dengan pelbagai alasan, terutamanya ia adalah salah Umno. PAS perlu menunjukkan mereka mempunyai suara di dalam PR, dan bukan sekadar mengikut kehendak PKR dan DAP semata-mata. DAP berani menyatakan sokongan mereka kepada PKR di PRK Kajang meskipun penyokongnya marah dengan tindakan PKR dalam Langkah Kajang atas semangat setiakawan dan barangkali mereka sedar bahawa bukan Islam tidak mempunyai pilihan lain. PAS juga akan menyokong PKR di DUN Kajang atas semangat setiakawan dan Islam yang melarang pengkhianatan terhadap sahabat. Namun ini tidak bermakna PAS tidak akan berani mengkritik PKR secara berdepan apabila merasakan sahabat mereka mengambil kesempatan pada mereka dalam Langkah Kajang dengan memberi keyakinan bahawa mereka adalah payung yang lebih baik daripada Umno. Tidak seperti bukan Islam, orang Melayu-Islam tidak mempunyai masalah untuk melihat Umno-BN menang di Kajang.

Orang Melayu-Islam mempunyai dua pilihan, sama ada kekal di pangkuan Umno-BN atau berhijrah ke PR. Di mata orang Melayu-Islam, pengganti Umno ialah PAS, dan bukannya PKR dan DAP. Sekiranya PAS dilihat tidak mempunyai suara yang setara seperti DAP dan PKR di dalam PR, amat dibimbangi bahawa situasi ini akan menyebabkan orang Melayu-Islam pula tiada pilihan selain terus mendokong Umno-BN meskipun mereka semakin tenggelam. Bagaimana pengundi Melayu-Islam akan mengundi kini menjadi dilema Anwar dan PR di PRK Kajang. Apakah mereka masih boleh menaruh harapan pada PR, atau kembali ke pangkuan Umno-BN? Apakah isu Allah, di mana Anwar mengambil pendirian berbeza daripada Khalid juga akan menjadi faktor penentu pengundi Melayu-Islam di Kajang? Segalanya hanya dapat diuji sekiranya Umno meletakkan calon berdepan dengan Anwar dan bukannya MCA. Apakah Umno, terutamanya Najib berani mencuba mood pengundi Melayu-Islam pada mereka? Seperti Anwar, PRK Kajang juga akan menjadi risiko kepada karier politik Najib jika BN mengalami penurunan undi daripada kalangan pengundi Melayu-Islam. 3 Februari, 2014. * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

You might also like