You are on page 1of 3

Rasional Anwar sebagai menteri besar Selangor

FEBRUARY 02, 2014

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" diwww.twitter.com/aminiskandar.
"Politik itu bukan sains tetapi seni," kata Oto Von Bimarck, canselor pertama Jerman. Sebab itu politik itu sukar diduga. Bukan seperti sains yang sudah mempunyai formulanya. Begitu juga dengan politik di Selangor, apa yang berlaku hari ini bukanlah sesuatu yang dijangka. Krisis di antara Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan dapat diselesaikan di meja rundingan. Jika tiada apa-apa dilakukan, tidak mustahil Selangor akan mengulangi sejarah Kedah di mana, pergaduhan dalaman PAS menyebabkan negeri jelapang padi itu kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Krisis ini lebih baik diselesaikan sekarang daripada dibiarkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14. Peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang mengejutkan ramai pihak. Lebih mengejutkan lagi apabila Abdul Khalid mengumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Ramai yang marah. Laman sosial Facebook dan Twitter dipenuhi dengan caci maki kepada Anwar dan PKR. Pengguna laman sosial beranggapan Anwar dan PKR lebih mementingkan parti berbanding rakyat. Ada juga yang mengatakan Anwar tamak dan rakus kerana mahu menjadi menteri besar Selangor. Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press, Datuk A Kadir Jasin pula menganggap Anwar mengorbankan cita-citanya sejak 1982 untuk menjadi perdana menteri Malaysia dan sanggup menjadi menteri besar demi menyelesaikan krisis Selangor.

Umno dan BN mengatakan Pilihan Raya Kecil DUN Kajang merupakan satu pembaziran dan berlaku kerana masalah dalaman PKR. Umno mungkin terlupa, pada 1997 perkara sama dilakukan apabila Tan Sri Muhammad Muhd Taib meletak jawatan dan Tan Sri Abu Hassan Omar mengambil alih sebagai menteri besar Selangor. Beberapa pemimpin PAS juga terang-terangan "membelasah" PKR kerana membelakangkan mereka sebelum keputusan mengosongkan DUN Kajang dibuat. Mungkin pemimpin muda PAS ini juga tidak membaca sejarah satu ketika dahulu, krisis dalaman parti Islam itu menyebabkan darurat diisytiharkan sehingga tumbang kerajaan Kelantan. Menurut Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman, jika Abdul Khalid ditukar, mereka akan menamakan Iskandar Samad sebagai calon menteri besar. Tidak dapat dinafikan, Abdul Khalid memang popular di kalangan rakyat Selangor. Beliau juga hebat dalam mengurus wang negeri. Berbilion wang rizab negeri berjaya dikumpul. Tetapi, itu semua belum mencukupi untuk menjadi seorang menteri besar yang baik kerana untuk menguruskan negeri, kemahiran berpolitik lebih penting. Jika watak politik yang kuat seperti Anwar memimpin Selangor, sudah pasti penjawat awam tidak berani lagi mensabotaj dasar kerajaan negeri seperti dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu. Abdul Khalid pula hanya membiarkan sahaja Jais bertindak sewenang-wenangnya sehingga kerajaan Selangor pimpinannya dilihat lemah kerana tidak dapat mengawal sesebuah jabatan. Jika berjaya mempertahankan DUN Kajang dan Abdul Khalid digantikan Anwar sebagai menteri besar Selangor, jangan persia-siakan bakat dan kebolehan bekas tokoh korporat itu. Abdul Khalid boleh dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan saya percaya sudah pasti keuntungan syarikat berkenaan akan berlipat kali ganda. Itulah kemahiran dan kepakaran sebenar Abdul Khalid dan untung rugi sememangnya sifir sesebuah syarikat. Sementara Anwar sebagai menteri besar juga tidak akan berdepan laluan mudah. Sekiranya berjaya menang di DUN Kajang dan dilantik sebagai menteri besar Selangor, banyak perkara perlu diselesaikannya. Isu kalimah Allah dan rampasan Bible berbahasa Melayu oleh Jais perlu ditamatkan daripada terus dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik. Selain itu, Anwar perlu menjinakkan pegawai kerajaan yang sudah "naik lemak" di bawah Abdul Khalid sejak 2008. Bekas timbalan perdana menteri itu harus memastikan negeri terkaya Malaysia itu tidak diuruskan sepertimana Umno memerintah dahulu.

Untuk menjadi menteri besar Selangor, cabaran terbesar Anwar sekarang bukan Istana tetapi PAS kerana Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan tidak mahu ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggantikan Abdul Khalid. Menurut satu sumber dalaman parti Islam itu, Isnin lalu Abdul Hadi menolak permintaan Anwar untuk bertemunya sebaliknya presiden PAS itu bertemu Abdul Khalid. DAP sudah menyatakan setiakawannya kepada PKR dan bersedia untuk menerima Anwar untuk menjadikan negeri itu role model kepada pemerintahan Pakatan Rakyat (PR). Tanpa sokongan DAP, PAS juga tidak mungkin dapat kerusi menteri besar melainkan parti Islam itu keluar PR dan bergabung dengan Umno. Akhirnya, yang terbaik kerusi menteri besar kekal kepada PKR jika PR mahu terus bersama di Selangor. Mengenai kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih berhubung isu peletakan jawatan Adun PKR Kajang, itu sememangnya harus dilakukan. Sekurang-kurangnya pengerusi baru, Maria Chin Abdullah membuktikan Bersih bukanlah alat PR untuk merampas Putrajaya. Lebih baik lagi jika Bersih menganjurkan demonstrasi di hadapan ibu pejabat PKR bagi membantah tindakan parti itu yang dikatakan tidak bertanggungjawab terhadap pengundi. Jika ini dilakukan maka BN akan mulai percaya Bersih memang ikhlas memperjuangkan isu dan bukannya hanya berdemonstrasi apabila menentang mereka. Maka tidak hairanlah mengapa Oto Von Bimarck mengatakan politik itu seni dan bukannya sains. - 2 Februari, 2014. * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

You might also like