You are on page 1of 1

Pada cuti sekolah yang lalu, aku dan rakan-rakan mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

Seawal jam 7.00 pagi, kami telah berkumpul di dataran perhimpunan. Aku berasa seronok kerana inilah kali pertama aku menyertai aktiviti perkhemahan. Cikgu Afiq memberi taklimat ringkas tentang perkhemahan ini. Sebaik sahaja bas yang disewa khas tiba, kami pun beratur menaiki bas. Sampai sahaja tiba di tapak perkhemahan Gunung Pulai, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diketuai oleh seorang guru pengiring. Kami ditugaskan untuk mendirikan khemah mengikut kumpulan masing-masing. Selesai tugas mendirikan khemah, kami bersama-sama mencari kayu api seperti yang diarahkan oleh guru. Kami sempat menyediakan hidangan ringkas sebagai juadah pada tengah hari itu iaitu sambal sardin. Selesai menjamu selera, kami menjalani aktiviti meredah hutan. Inilah aktiviti yang aku nanti-nantikan. Kami ditugaskan untuk mencatat nama flora dan fauna yang kami temui sepanjang aktiviti ini dijalankan. Pokok-pokok yang terdapat di dalam hutan ini sangat besar dan tinggi-tinggi belaka. Ini adalah kerana mereka bersaing untuk mendapatkan cahaya matahari. Kumpulan aku berpeluang mengambil gambar flora dan fauna yang agak ganjil yang tidak pernah kami temui sebelum ini. Pastinya buku skrap kumpulan aku akan memenangi pertandingan kali ini. Pada waktu malam, aktiviti burung hantu pula diadakan. Sebelum aktiviti ini dimulakan, Cikgu Fahmi telah memberi penerangan dan peraturan yang perlu kami patuhi sepanjang aktiviti ini dijalankan. Inilah aktiviti yang paling mencabar dan meresahkan aku. Sepanjang aktiviti ini berjalan, mulutku tidak berhenti-henti terkumat-kamit membaca segala ayat suci al-Quran yang aku ketahui. Aku terdengar ada antara rakan-rakanku yang menjerit dan menangis ketakutan kerana ditinggalkan keseorangan di dalam hutan yang sunyi dan gelap. Mujurlah aku berjaya melalui cabaran ini hingga dijemput pulang ke khemah oleh guru-guru yang bertugas. Seterusnya, kami diminta berkongsi pengalaman dan perasaan ketika menjalani aktiviti tersebut. Aku bersikap jujur dengan berterus terang kepada semua rakan dan guru-guru yang ada bahawa aku sentiasa membaca ayat suci al-Quran untuk menghilangkan perasaan takut yang menghantui diri. Ramai juga rakan-rakan dan guru-guru mentertawakan gelagatku. Selanjutnya, kami menyalakan unggun api yang besar dan duduk mengelilinginya. Cikgu Azdi mula memetik gitar dan kami menyanyi bersama-sama. Guru-guru yang ada turut menyanyi bersama-sama kami. Inilah saat manis yang tidak akan aku lupakan. Keesokan harinya, selesai bersarapan pagi kami mula berkemas untuk pulang ke sekolah. Kami membuka khemah dan membersihkan kawasan perkhemahan. Cikgu mengarahkan kami untuk memastikan agar kawasan perkhemahan tersebut ditinggalkan dalam keadaan yang bersih. Setelah selesai, kami berangkat pulang ke sekolah. Segala pengalaman pahit manis yang aku perolehi sepanjang menyertai perkhemahan ini tidak akan aku lupakan.

You might also like