You are on page 1of 1

Membaiki Dasar Perhubungan Antara Kaum Di Malaysia

Tindakan sesetengah pihak mempolitikkan isu perkauman di Malaysia merupakan salah satu punca keretakan dalam hubungan antara kaum di negara tersebut. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 daripada pihak Inggeris, perkembangan sosiopolitik di negara tersebut sangat dipengaruhi oleh faktor perbezaan kaum, budaya dan agama. Konsep kontrak sosial yang tidak terkandung secara langsung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa Malaysia yang wujud sekarang. Namun, ketidaksamaan hak di kalangan rakyat negara tersebut telah mengundang provokasi dan ketidakpuashatian. Tragedi berdarah rusuhan kaum 1969 merupakan hasil daripada kepincangan dalam hubungan antara kaum. Dasar Pecah dan Perintah pihak Inggeris di Tanah Melayu telah memporakperandakan struktur masyarakat tempatan. Oleh yang demikian, jurang ekonomi dan sosial di antara kumpulan-kumpulan etnik melebar dan membantutkan usaha untuk menyatukan mereka. Akibat terdapat perbezaan yang ketara dari sudut pegangan ekuiti dan tahap pendidikan, kerajaan telah melaksanakan dasar yang dianggap mampu menyelesaikan masalah berkenaan. Hakikatnya, dasar tersebut tidak menjamin penyelesaaian terhadap isu di tangan, malah memburukkan lagi keadaan. Kaum-kaum bukan Melayu telah mendakwa mereka dianaktirikan oleh kerajaan yang dikuasai pembesar-pembesar Melayu. Berhujahkan kontrak sosial pemimpin-pemimpin Melayu menafikan tuntutan kaum bukan Bumiputera untuk mendapatkan hak sama rata. Hasilnya, perang dingin antara kaum di Malaysia telah menjadi duri dalam daging yang membantutkan usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara demokrasi yang mendukung dasar kesamarataan antara manusia tanpa mengira warna kulit. Ideologi Ketuanan Melayu yang dipegang pemimpin-pemimpin UMNO khususnya dilihat sebagai bersifat perkauman dan tidak adil. Hal ini menyebabkan Malaysia dilihat sebagai mengamalkan dasar mendiskriminasi kaum selain Bumiputera. Walaupun pelbagai penjelasan telah diberikan oleh kerajaan, namun dasar-dasar yang berbentuk perkauman dan pro-Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru tetap dilihat sebagai tidak adil. Walaubagaimanapun, niat baik kerajaan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan tetap wajar dipuji, tetapi bantuan perlulah diberikan kepada semua rakyat yang ternyata memerlukannya. Jelas sekali bahawa sangat ramai orang-orang Melayu yang hidup di bawah garis kemiskinan, tetapi terdapat sebilangan besar juga masyarakat bukan Melayu yang sangat memerlukan bantuan kerajaan terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Pembahagian hasil negara perlu dilakukan dengan telus dan adil tanpa mengira warna kulit. Setiap rakyat Malaysia berhak mendapat layanan yang lebih adil. Orang Melayu tidak sepatutnya dilihat sebagai bangsa yang lemah. Mereka juga mampu berjaya dengan kudrat mereka sendiri. Janganlah kita memandang rendah terhadap keupayaan mereka untuk berjaya. Pepatah Arab ada menyebut, siapa berusaha dialah yang akan berjaya. Tidak salah untuk memberi galakan kepada orang Melayu, tetapi janganlah sampai kita mendiskriminasi bangsa lain. Rasulullah S.A.W tidak mengajar kita bersikap tidak adil kepada bangsa lain. Malah baginda menyeru kita melayan manusia lain dengan penuh hormat, keadilan dan kasih sayang. *Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis. Pendapat pembaca amat dihargai.

You might also like