You are on page 1of 13

Usaha dan strategi yang diambil oleh kerajaan bagi memantapkan usaha

mencapai perpaduan dan integrasi nasional.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Rakyatnya terdiri daripada


pelbagai etnik dan kaum. Malahan, kepelbagaian ini adalah kekuatan yang
mewarnai corak negara ini. Tidak hairanlah Malaysia menjadi model sebuah
masyarakat majmuk kepada masyarakat yang lain. Oleh itu, perpaduan dan
intergrasi nasional adalah satu keperluan bagi menjamin rakyatnya hidup dalam
suasana aman damai.

Perpaduan nasional umumnya merujuk kepada penyatuan berbagai-bagai


kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza.
Usaha ke arah perpaduan dapat dilihat melalui penyatuan Sabah, Sarawak
dengan negeri-negeri Semenanjung. Selain itu, usaha tersebut juga boleh dilihat
melalui usaha kerajaan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan
meletakkan kumpulan etnik yang berlainan latar belakang di satu kawasan
perumahan yang sama.

Manakala konsep integrasi adalah lebih luas. Ia dikatakan satu proses


yang abstrak, satu penyatuan yang sebati dan berpanjangan. Integrasi
merupakan satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam
masyarakat melalui satu identiti. Ekoran kejadian 13 Mei 1969, kerajaan mula
menumpukan usaha-usaha dan strategi-strategi ke arah mewujudkan integrasi
nasional.

Ringkasnya, perpaduan dan integrasi nasional adalah matlamat asas bagi


nagara Malaysia. Konsep perpaduan sangat penting dalam usaha menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh dan bersatu padu. Secara tidak
langsung, perpaduan dapat menjamin keselamatan negara, kestabilan ekonomi,
politik dalam jangka masa panjang.
Bagi memantapkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai etnik dan
kaum, kerajaan telah mewujudkan beberapa strategi melalui pendekatan
ekonomi, politik dan pendidikan untuk mencapai matlamat-matlamat perpaduan.

1. Strategi Pendekatan Ekonomi

Masalah ekonomi merupakan halangan yang terbesar dalam mewujudkan


perpaduan dan integrasi nasional. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah
merangka pelbagai rancangan dan strategi untuk membolehkan semua kaum
dan etnik dan menyertai pelbagai sektor ekonomi dan semua peringkat
pekerjaan.

Dasar Ekonomi Baru merupakan satu contoh formula yang dilancarkan


oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1970 untuk membetulkan ketidakseimbangan
sosio-ekonomi yang wujud antara kaum, wilayah dan di antara kawasan dalam
wilayah yang sama. Ini merupakan reaksi dari rusuhan kaum yang berlaku pada
13 Mei 1969. Falsafah dasar ini ialah “Pembangunan dan Pengagihan Bersama”.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru mempunyai dua matlamat utama


selain perpaduan negara iaitu (a) pengambilan pekerja-pekerja di pelbagai sektor
ekonomi dan di semua peringkat pekerjaan dan (b) hakmilik produktif yang
terdapat di dalam negara disusun semula supaya orang-orang Melayu dapat
memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah hakmilik tersebut pada tahun
1990.

Selain itu, Dasar Ekonomi Baru mempunyai matlamat serampang dua


mata iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Selain itu, penyusunan
semula masyarakat perlu dilakukan untuk mengurangkan dan seterusnya
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Ini berpunca
daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang telah menyebabkan berlaku tumpuan
kaum mengikut fungsi ekonomi tertentu. Fenomena ini menyukarkan agihan
kekayaan negara, keadilan ekonomi sekaligus menyukarkan perpaduan kaum.
Kerajaan kemudiannya telah melancarkan Dasar Pembangunan
Nasional (DPN) pada tahun 1991, kesinambungan daripada Dasar Ekonomi
Baru. DPN juga bermatlamat untuk menghapuskan ketidakseimbangan sosial
dan ekonomi negara. Dasar ini menggariskan beberapa strategi yang jelas
menggambarkan kemakmuran dan membina bangsa yang bersatu padu.

Dengan terhapusnya perbezaan kuasa ekonomi mengikut satu kaum


sahaja, perpaduan dapat dalam sektor ekonomi dapat diwujudkan. Secara tidak
langsung, taraf pembangunan ekonomi nasinal keseluruhannya dapat
ditingkatkan.

2. Strategi Pendekatan Politik

Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan


kumpulan etnik yang berbeza dari segi agama, pekerjaan, kebudayaan dan
sebagainya. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan suasana politik yang stabil
bagi menjamin keamanan dan ketenteraman rakyat di segenap lapisan
masyarakat.

Menerusi kaedah konsesus atau persetujuan, perpaduan politik negara


dapat diwujudkan. Ini bermakna rakyat boleh menentukan kerajaan yang
memerintah melalui proses pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali.
Pemimpin-pemimpin politik yang dipilih ini perlu mengamalkan semangat
perundingan dan kerjasama di kalangan parti-parti politik untuk memastikan
penyertaan bersama dalam proses pentadbiran negara.

Penubuhan Barisan Nasional yang merupakan komponen perikatan


UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti yang asalnya adalah parti pembangkang
telah diperluaskan. Semua komponen parti dalam Barisan Nasional telah
membuat persetujuan politik untuk menghadapi segala masalah dalam bidang
politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan kebudayaan melalui perbincangan dan
mencari penyelesaian bersama di meja rundingan.
Kerjasama, persefahaman dan persetujuan di kalangan semua parti politik
secara tidak langsung membawa kepada kestabilan dan perpaduan politik.
Penghayatan dan pemahaman menerusi perpaduan politik dapat mengatasi
sebarang pertelingkahan. Maka, wujudlah Negara Malaysia yang aman dan
makmur.

3. Strategi Pendekatan Pendidikan

Sistem pendidikan merupakan salah satu cara memupuk integrasi dan


mewujudkan perpaduan di antara kaum dan etnik. Dari situlah pelbagai kaum
atau etnik dapat mempelajari nilai-nilai murni sesuatu kaum dan sterusnya
menghayati proses sosialisasi secara mudah. Dengan cara tersebut bolehlah
mereka mewujudkan perpaduan sebagaimana yang diharapkan oleh sekolah,
masyarakat dan bangsa.

Menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan, pelbagai strategi telah digubal


untuk mencapai matlamat perpaduan kaum antaranya ialah menjadikan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar utama. Penggunaan satu bahasa rasmi
akan dapat mengeratkan perhubungan dan perpaduan di kalangan murid-murid
dan seterusnya di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Kurikulum yang
seragam dan berorientasikan Malaysia di semua sekolah tanpa mengira bahasa
pengantarnya juga telah diperkenalkan.

Unsur-unsur pendidikan kewarganegaraan juga telah diterapkan ke dalam


semua mata pelajaran. Melalui dasar ini juga, kerajaan mengamalkan
pendemokrasian pendidikan dari segi peluang dan mutu pendidikan untuk
memastikan agar semua kaum atau etnik dapat menikmati kemudahan yang
sama. Peruntukan dan perhatian diberikan dengan adil, tidak kira sama ada
bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar mahupun golongan yang tidak
bernasib baik. Dasar pendidikan kebangsaan juga turut digubal di peringkat
maktab dan universiti bagi mencapai matlamat perpaduan yang lebih kukuh.
Pendidikan berperanan memupuk semangat patriotik kepada negara di
kalangan pelajar sekolah. Di samping itu, pendidikan turut membentuk sifat-sifat
toleransi, persefahaman dan tolak ansur bagi melahirkan sebuah masyarakat
yang bersetupadu.

2. Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah


bagi menjayakan hasrat kerajaan itu.

Sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita


dalam menjayakan hasrat kerajaan mewujudkan integrasi di antara etnik. Antara
usaha-usaha yang boleh dilakukan di peringkat seolah untuk mencapai hasrat
tersebut ialah:

i) Mengadakan dan Mempergiatkan Program-program Integrasi

Menurut Mohd Salleh Lebar (1998), integrasi yang diterima atau yang
biasa dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan
masyarakat majmuk atau pelbagai kaum dan mewujudkan pula pembentukkan
kebudayaan kebangsaan atau nasional yang tersendiri di kalangan mereka.
Program integrasi perlu dianjurkan di sekolah-sekolah agar budaya integrasi
antara pelbagai etnik dan budaya dapat dipupuk.

Perpaduan dapat dipupuk melalui program-program integrasi seperti


aktiviti ko-kurikulum dengan menyertai kelab-kelab, persatuan-persatuan, badan-
badan beruniform, aktiviti-aktiviti sukan dan sebagainya. Penglibatan pelajar
secara tidak langsung dapat memupuk persefahaman dan perpaduan di
kalangan mereka yang berbilang kaum. Kementerian Pendidikan telah
mengeluarkan arahan kepada semua sekolah agar menggalakkan penyertaan
murid-murid dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum daripada semua kaum dan
segenap lapisan masyarakat.
Program-program integrasi yang dijalankan di semua peringkat hendaklah
terus dipergiat dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini bertujuan supaya
matlamat perpaduan di antara pelajar berbilang kaum dan pelbagai lapisan dapat
dicapai.

ii) Menanamkan Konsep Anak Malaysia di Kalangan Para Pelajar

Konsep ‘Saya Anak Malaysia’ ini patut diserapkan di kalangan rakyat


Malaysia yang berbilang kaum dan pelbagai kepercayaan semasa di peringkat
sekolah rendah lagi. Melalui konsep ini, pelajar yang berjiwa patriotisme dapat
dilahirkan. Konsep ‘Saya Anak Malaysia’ ini juga adalah pemangkin kepada
masa depan bangsa Malaysia seperti yang dirancang dalam Wawasan 2020.
Selain dapat menanamkan semangat bersatu padu dan mengeratkan perpaduan
di kalangan rakyat yang pelbagai bangsa dan agama, konsep ini juga menjamin
Malaysia ke arah negara yang aman dan makmur.

iii) Menubuhkan Kelab Rukun Negara di Setiap Sekolah

Rukun Negara merupakan salah satu hasil penyatuan pemikiran


cendikiawan dan pemimpin Negara yang ingin melihat rakyat di negara ini peka
kepada perlunya pembangunan bangsa yang mempunyai identiti sendiri.
Kesedaran terhadap pentingnya Rukun Negara dalam menjadi asas perpaduan
rakyat telah membawa idea tertubuhnya Kelab Rukun Negara.

Menerusi kelab ini, para pelajar akan sentiasa menghayati konsep yang
terkandung dalam Rukun Negara hingga dewasa kelak. Kelab ini patut
ditubuhkan di setiap sekolah agar dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa
bermuafakat bagi menghadapi sebarang ancaman selain satu usaha untuk
menyemai kesedaran tentang pentingnya perpaduan di kalangan rakyat
Malaysia. Langkah menubuhkan kelab ini di setiap sekolah bertujuan menjamin
perpaduan di kalangan para pelajar kerana mereka merupakan pewaris
masyarakat pada masa akan datang.

iv) Memperkukuhkan Keharmonian dan Perasaan Muhibah

Kepelbagaian etnik dan kaum yang mempunyai agama, kepercayaan dan


adat budaya masing-masing dapat dilihat di dalam sesebuah sekolah. Pihak
sekolah boleh memperkukuhkan keharmonian dan perasaan muhibah di
kalangan warga sekolah melalui kemeriahan sambutan perayaan sesuatu kaum,
aktiviti-aktiviti perpaduan dan sebagainya. Ini membantu menimbulkan sentimen
perpaduan dan kerjasama di antara pelbagai etnik dan kaum serta membolehkan
mereka berinteraksi serta bercampur gaul di antara satu sama lain. Keharmonian
dan perasaan muhibah mampu menyumbang kepada perpaduan kaum di
Malaysia.

Ringkasnya, pendidikan di sekolah juga memainkan peranan dalam


membentuk perpaduan kerana terdapat kepelbagaian kaum atau etnik di bawah
satu bumbung yang sama. Dari situlah mereka dapat mempelajari nilai-nilai
murni sesuatu kaum dan seterusnya menghayati proses sosialisasi secara
mudah dan seterusnya perpaduan dapat diwujudkan sebagaimana yang
diharapkan oleh sekolah, masyarakat dan bangsa.

3. Apakah bentuk-bentuk halangan yang wujud dan bagaimanakah


mengatasinya.

i) Perbezaan Agama dan Kebudayaan

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai


penduduk yang berbilang bangsa, keturunan agama, bahasa dan adat budaya.
Contohnya, majoriti orang Melayu beragama Islam dan mengamalkan tradisi
nenek moyang mereka. Orang-orang India beragama Hindu manakala orang-
orang Cina beragama Buddha, Lao-Tze dan Conficius. Masing-masing
mengamalkan budaya yang dibawa masuk dari negara mereka.

Setiap etnik adalah jahil mengenai kebudayaan dan adat resam


kumpulan-kumpulan etnik yang lain. Mereka menganggap kebudayaan mereka
adalah terbaik. Oleh kerana tiada dasar yang tegas dan polisi semasa
pentadbiran British untuk menyatu padukan mereka, maka timbullah sikap
praasangka yang kuat dan saling curiga-mencurigai di kalangan mereka. Ini
semua menghalang perpaduan di antara mereka.

ii) Perbezaan Taraf Hidup dalam Bidang Ekonomi

Pada zaman pentadbiran British, orang-orang Melayu menguasai sektor


primer yang memerlukan banyak tenaga manusia dan berteknologi rendah
seperti mengusahakan pertanian tradisional dan nelayan. Orang-orang Cina
memonopoli sektor perlombongan dan perdagangan yang lebih maju dan
berteknologi moden manakala orang-orang India pula kekal mengusahakan
estet-estet. Penglibatan ekonomi dan perbezaan taraf hidup menjadi jurang
pemisah di antara golongan etnik ini dan menjadi penghalang untuk mencapai
perpaduan di kalangan mereka.

iii) Pemisahan Tempat Tinggal

Faktor ekonomi merupakan punca utama wujudnya penumpuan sesuatu


golongan etnik di sesuatu penempatan. Hampir keseluruhan orang-orang Melayu
tinggal di desa-desa, orang-orang Cina menetap di kawasan bandar-bandar
manakala orang-orang India tinggal di kawasan estet-estet.

Terdapat dua faktor pemisahan kaum iaitu: (a) Mengelakkan perselisihan


atau pertentangan pendapat. Ini kerana setiap golongan etnik pada masa itu
mengamalkan adat resam dan menganut agama yang berlainan. (b) Kaum
pendatang berkecenderungan untuk berkampung sesama sendiri. Pada fikiran
mereka, berada dalam kumpulan yang sama keturunan, agama dan budaya
adalah lebih selamat.

iv) Fahaman dan Pengaruh Politik

Rentetan dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British, buruh
Cina dan India yang dibawa masuk ke negara ini menganggap penghijrahan
mereka adalah bersifat sementara semata-mata untuk mencari rezeki. Oleh itu,
timbullah perbezaan fahaman politik yang jelas di antara mereka. Kesannya,
Parti Perikatan sukar untuk menang majoriti 2/3 dalam pilihan raya yang
diadakan pada tahun 1969. Perti tersebut hanya memenangi 67 daripada 104
kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Ditambah lagi dengan sikap setiap kumpulan etnik yang berusaha


mengekalkan identiti, kaum, bahasa, budaya mereka menggunakan saluran-
saluran seperti akhbar, pendidikan, program keagamaan dan persatuan-
persatuan sosial.

v) Sistem Pendidikan

Terdapat empat aliran pendidikan ketika zaman pentadbiran British iaitu


Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Walaupun pihak Brirish mengutamakan
pelajaran Melayu dan Inggeris, sedikit sebanyak pertimbangan masih diberikan
kepada pelajaran Cina dan Tamil. Bagaimanapun, tanggungjawab untuk
pendidikan Cina telah diambil-alih oleh orang-orang Cina.

Tiada sebarang sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu ketika itu


sehingga Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 diperkenalkan. Setiap golongan
etnik menghantar anak-anak ke sekolah rendah yang menggunakan bahasa
ibunda mereka. Keadaan ini membataskan pergaulan murid-murid di kalangan
pelbagai bangsa.
Kurikulum sekolah Melayu mengutamakan kemahiran membaca, menulis
dan mengira manakala sekolah Cina dan Tamil berasakan pendidikan yang
dibawa daripada Negara China dan India. Ketiadaan bahasa pengantar yang
tunggal serta kurikulum yang mempunyai objektif kebangsaan menimbulkan
masalah kepada kerajaan untuk menyatupadukan seluruh rakyat.

Usaha dan Langkah Kerajaan untuk Mengatasi Halangan-Halangan


Perpaduan dan Intregrasi Nasional

Rusuhan etnik 13 Mei 1969 telah menjadi satu titik utama ke arah
pemikiran semula dasar-dasar negara dan proses re-enggineering masyarakat
dilakukan dengan komprehensif meliputi semua bidang iaitu ekonomi, sosial dan
politik. Kerajaan telah melancarkan usaha-usaha tertentu dalam menangani
halangan-halangan. Antaranya ialah usaha politik, ekonomi, sosial dan
pendidikan. Langkah ini dijalankan secara serentak dan saling bertindan. Ia
bertujuan merapatkan semula jurang antara kaum yang selama ini wujud dalam
hubungan sosial mereka.

Perpaduan Politik

Perpaduan politik di Malaysia dapat dilihat bermula pada tahun 1950-an.


Sistem ‘kerajaan campuran’ dari segi kepelbagaian kaum merupakan salah satu
cara bagi menggabungkan fahaman politik berbilang kaum dan
diperkembangkan lagi melalui sistem politik yang fleksibel.

Ini jelas kelihatan apabila munculnya parti ‘Perikatan’ yang merupakan


hasil gabungan dengan parti UMNO, MCA dan MIC. Keanggotaan parti
komponen dalam parti ini juga semakin bertambah setelah kemunculan Barisan
Nasional. Sistem ini juga tidak mengenepikan parti-parti politik di Sabah dan
Sarawak yang boleh menyertai kerajaan campuran pada peringkat pusat di
Kuala Lumpur.
‘Kerajaan Demokrasi’ juga merupakan satu alternative mengatasi
halangan perpaduan yang wujud. Semua warga Negara yang memenuhi syarat
dan tidak melanggar undang-undang Negara boleh menyuarakan pendapat dan
kritikan. Pemilihan calon dalam pilihanraya juga adalah bebas dan adil. Calon
yang memenangi pilihanraya dengan suara majoriti berhak menjadi wakil rakyat
dan boleh menyuarakan aspirasi rakyat melalui Dewan Undangan Negari atau
Dewan Rakyat.

Perpaduan Ekonomi

Proses perkembangan ekonomi telah dirangka untuk membolehkan


semua kaum menyertai semua bidang dan peringkat kegiatan ekonomi. Untuk
mencapai hasrat tersebut, kerajaan telah mengambil langkah dengan
mengintegrasikan ekonomi.

Beberapa dasar pembangunan telah digubal seperti Dasar Ekonomi Baru,


Dasar Pembangunan Nasional, dan lain-lain dasar pembangunan ekonomi
negara. Dasar-dasar ini diambil untuk memastikan pembangunan yang
seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan
lebih sama rata dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tujuan dasar-
dasar ini diperkenalkan adalah kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk
meninggikan taraf hidup rakyatnya. Dasar-dasar ini juga merupakan satu usaha
kerajaan untuk melibatkan semua rakyat menyertai pembangunan negara
supaya negara boleh mencapai kemajuan yang lebih membanggakan.

Dengan terhapusnya gejala perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum


akan dapat melahirkan perpaduan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi di kalangan
rakyat berbilang kaum. Ini akan meninggikan lagi taraf pembangunan ekonomi
negara.
Perpaduan Sosial dan Kebudayaan
Melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN),
kerajaan telah melaksanakan beberapa program dan aktiviti ke arah memelihara
dan memperkukuhkan semangat perpaduan negara melalui strategi jangka
pendek dan jangka panjang.

Strategi jangka pendek adalah melalui pelaksanaan aktiviti yang


menggalakkan interaksi dan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang
berbilang kaum. Strategi jangka pendek dilaksanakan secara berterusan di
peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kawasan-kawasan Rukun Tetangga.
Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan melibatkan masyarakat setempat dari pelbagai
peringkat umur dan keturunan etnik mencakupi bidang sosial pendidikan, sukan,
rekreasi, kesenian dan kebudayaan serta kesihatan dan alam sekitar, kebajikan,
keagamaan, ekonomi dan keselamatan. Lawatan-lawatan integrasi juga
dianjurkan untuk para penduduk melawati wilayah-wilayah lain ketika majlis-
majlis perayaan umum negara. Dengan adanya aktiviti yang berterusan ini, akan
membolehkan rakyat berinteraksi dan menjalinkan perhubungan antara mereka.
Di samping itu, dapat mewujudkan suasana persefahaman yang mesra dan
harmoni.

Sementara itu, strategi jangka panjang pula dilaksanakan melalui dasar-


dasar dan program-program kerajaan yang menjurus ke arah perpaduan
nasional seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Belia Negara, Dasar Sosial
Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan sebagainya termasuklah
program-program sukan, kebudayaan dan perayaan-perayaan seperti majlis-
majlis rumah terbuka Malaysia sempena menyambut hari perayaan-perayaan
umum kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia.

Akhirnya apabila perpaduan dapat dijadikan sebagai satu budaya


masyarakat Malaysia kita akan mencapai perpaduan dalam erti yang sebenar
mewujudkan bangsa Malaysia yang kita telah tentukan sebagai matlamat
terulung negara.
Perpaduan Pendidikan

Matlamat pendidikan Negara adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan


Negara dalam memupuk semangat kewarganegaraan dan rasa bangga terhadap
bangsa dan agama. Dasar yang dimainkan oleh pendidikan pula sangat penting
dalam proses integrasi dan pembangunan sesebuah negara.

Pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak merdeka hingga ke hari untuk


menyeragamkan sistem pendidikan. Jawatankuasa Barnes, Laporan Fenn-Wu,
Ordinan Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar
Pendidikan Kebangsaan dan lain-lain dasar berhubung isu pendidikan
berperanan untuk memupuk perpaduan. Pendemokrasian Pendidikan yang
diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan agar
semua kaum atau etnik diberi perhatian dan peruntukan serta kemudahan yang
sama dan adil dalam pendidikan sama ada mereka bersekolah di dalam bandar
atau di luar bandar.

Oleh itu sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya terus mempertahankan


nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Hanya menerusi pendidikan
saja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan
sejak kecil hinggalah dewasa.

Penutup

Kesimpulannya, perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama.


Justeru, segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha memupuk
integrasi antara kaum haruslah disokong sepenuhnya oleh setiap rakyat
Malaysia. Sesuai dengan perubahan masa, pelbagai dasar yang telah
diperkenalkan sejak zaman merdeka hinggalah sekarang perlu sering disemak
bagi memastikan setiap dasar yang dirancang dapat mewujudkan perpaduan
dan integrasi antara etnik dengan berkesan.

You might also like