You are on page 1of 25

Prof.

Diraja Ungku Abdul Aziz


YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid (dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922) merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan. Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.

Keluarga
Beliau merupakan keturunan diraja Johor. Bapanya, Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid merupakan seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor (JVC). Ibunya bernama Hamidah bte Abdullah, rakyat Turki yang beragama Islam . Pada 1924, ibunya meninggal dunia ketika Ungku Aziz berusia dua tahun. Setelah dilahirkan di London, beliau dibawa pulang ke Batu Pahat, Johor. Datuknya, Ungku Abdul Majid membawanya menjelajah ke serata Eropah.

Hamidah Binti Abdullah, ibu Ungku Aziz.

Ungku Aziz sewaktu berusia 6 tahun.

Ayahnya seorang yang pintar dan pernah belajar di Universiti Cambridge dan boleh menguasai bahasa Parsi, Arab dan Sanskrit. Beliau telah berkahwin dengan Sharifah Azah Aziz dan telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Y.M. Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia pada masa kini.

Pendidikan Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru, kemudian di Sekolah Bukit Zahrah dan seterusnya di English College, Johor Bahru , Sekolah Melayu Batu Pahat, kemudian menyambung pengajiannya di Raffles College kemudiannya Universiti Malaya, Singapura dan mendapat ijazah ekonomi pada tahun 1951. Kemudian pada tahun 1964, beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Universiti Waseda, Tokyo.

Perkhidmatan
Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada 1951, kemudian sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura (1952-1961). Pada tahun 1961-1965, beliau telah dilantik sebagai Professor dan Dekan di Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kemudian dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968 hingga 1988. Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut kira-kira 20 tahun.

Pak Ungku office and family 1988. People in the picture: V.T. Ratnam - Ketua Penolong Pendaftar, 1988. Hubert Kok - Timbalan Bendahari, 1988. Puan Azah Aziz, 1988. Prof DiRaja Ungku A Aziz, 1988. Hadri bin Hj. Asmawi, Bendahari, 1988. Yoong, Penolong Bendahari, 1988. Sarimah Samad, Penolong Pendaftar,1988. Anthony Wee, Kerani Kanan, 1988. Ir. Ng, 1988. Ir. Mohd Sabri, 1988 Anugerah
Beliau yang dianugerahkan gelaran "Profesor Diraja Ekonomi" (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.Ungku Aziz juga merupakan pengasas ANGKASA dan Yang Dipertua ANGKASA sejak ditubuhkan pada 1971 .Pada 21 Julai 2002 beliau telah dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara.

Beliau pernah memenangi Hadiah International Academic Prize of The 4th Fukuoka Asian Cultural Prizes 1993 by the City of Fukuoka. Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga menempa sejarah negara apabila menjadi penerima pertama Anugerah Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 11 Mei 2005. Anugerah disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pada 25 Jun 2005, beliau telah dianugerahkan 'Tokoh Ekonomi Melayu' oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Pada 2006, beliau menerima 'Anugerah Akademik Negara' sempena Majlis Pengisytiharan Universiti Penyelidikan dan Anugerah Akademik Negara 2006 pada 2 Ogos 2007 oleh YAB Dato Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Antara sumbangan dan peranan utama Ungku Aziz kepada negara ialah: Yang Dipertua, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) (Mac 1971-) Ahli Lembaga Pengarah, Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad (KKUM) (1968-) , (Pekanbuku). Fellow Kehormat, Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (1.10.2005 - 30.9.2008) Ahli Majlis Tadbir Urus, Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa, Bank Negara Malaysia (INCEIF Governing Council) (2006-2009) Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membantu bumiputera menikmati agihan kekayaan negara serta Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) II. Pencetus idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LTH) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Mengasaskan Universiti Malaya mencetuskan idea Akademi Islam mencetuskan idea Pusat Asasi Sains Pengerusi Cosmopoint Sdn Bhd (25.9.1995 - ) Pengarah PLUS Expressways Berhad (11.3.2002 - ) Pengarah PLUS Berhad (9.9.1988 - )

"Tidur 10 minit besar kesannya untuk memulihkan tenaga", Ungku Aziz

Puan Azah seterusnya berkata bahawa suaminya adalah orang yang hidupnya amat teratur, misalnya pakaiannya, makan minumnya semenjak akhir-akhir ini lebih menjaga kesihatan. Ini semua penting baginya, Ungku tidak suka makan sebarang makanan. Dia cuma makan waktu makan kalau bukan waktu makan. dia tidak makan. Dia percaya makanan hanya untuk bermanfaat bagi kesihatannya. Selalunya untuk sarapan pagi dia makan cereal jenis yang ada protein yang tinggi, susu dan buahbuahan. Beliau banyak makan buah-buahan sepanjang hari.

Waktu pagi hanya sekeping besar buah betik, tengah hari lepas makan mesti ada nenas. Untuk menjaga berat badan dia membuat teh tidak dicampur gula hanya susu sahaja. Menurutnya gula tidak mengandungi khasiat hanya mengemukkan badan sahaja. Kemudianya beliau berjogging dan bila pulang hanya minum segelas air limau. Selepas mandi beliau bersarapan dengan kopi pahit sahaja. Selalunya tengah hari beliau tidur sekejap. Sekurang-kurannya 10 minit. Beliau percaya tidur 10 minit besar kesannya untuk memulihkan tenaga menghadapi tugas-tugas sebelah petang.

Ungku Aziz sangat meminati Picasso jadi boleh dikatakan setiap buku Pisacco ada di rumahnya. Minat Ungku adalah luar biasa dan luas sekali, merangkuni kebudayaan Islam, seni muzik Islam dan ekonomi Islam.

Sikap "kiasu"
Prof Diraja Ungku Aziz, tokoh akademik yang sering mencetuskan pelbagai idea untuk membasmi kemiskinan Bumiputera, mencabar masyarakat itu supaya menjadi lebih berani dan mengamalkan sikap "kiasu" iaitu tidak mahu mengalah, ke arah menjadi usahawan berjaya. "Kiasu adalah perkataan Hokkien (bermaksud takut kalah) yang popular dalam kalangan rakyat Singapura. Saya berpendapat masanya sudah tiba bagi penduduk luar bandar kita turut mempunyai sifat kiasu dan menjadi agresif sedikit. "Disebabkan kiasu ini, seseorang itu akan kata dia mahu menjadi yang terbaik, menjadi nombor satu. PM (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) pula bercakap mengenai 'towering Malays' (Melayu hebat). Namun tidak semua Melayu boleh menjadi hebat tetapi semuanya boleh mempunyai sifat kiasu. "Saya rasa penduduk luar bandar bersifat kompleks, pemalu, terlalu baik hati untuk menyemai sifat kiasu ini. Ini adalah satu daripada perkara penting untuk menjadi seorang usahawan Bumiputera yang berjaya," katanya. Ungku Aziz berkata usahawan Bumiputera harus mempunyai kemahiran berfikir, sesuatu yang tidak diajar di sekolah, bagi memahami perkara seperti pengurusan risiko dan perakaunan asas. Katanya usahawan yang baik perlu mempunyai sifat sadiq, amanah dan telus. Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini berkata : "Sadiq bermakna yang benar...bercakaplah apa yang benar. Kita juga mesti amanah, yang bermakna kita hendaklah menjadi orang yang boleh dipercayai...jika berjanji, tunaikan. Kalau tak mampu, jangan berjanji. Kita juga hendaklah telus. Amalan menyogok untuk menjalankan sesuatu urusan tidak baik untuk pembangunan luar bandar. Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah semua pihak yang terlibat dalam pembangunan luar bandar mestilah telus, bermakna mereka mestilah terbuka, tidak memihak kepada sesiapa dan memilih kasih." Ungku Aziz juga meminta usahawan luar bandar mengamalkan 4 S iaitu Sopan, Santun, Selalu Senyum.

"Dengan 4 S ini, anda akan menjadi ahli perniagaan dan usahawan yang baik," katanya. Beliau juga berharap untuk melihat satu "ledakan bumi" di luar bandar, seperti fenomena "ledakan bayi" yang berlaku apabila tentera pulang daripada Perang Dunia. "Mereka (Bumiputera) mesti meledak dan berkembang dengan banyak untuk menjayakan program pembangunan luar bandar," katanya. Ungku Aziz juga bercakap mengenai perlunya "perubahan generasi" bagi membolehkan usahawan muda mendapat peluang menikmati pekerjaan lebih baik dan mengumpul kekayaan di sektor luar Bandar. "Ini akan mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan lulusan universiti," katanya. Ungku Aziz berkata produktiviti yang rendah merupakan satu masalah yang melibatkan modal insan di luar bandar. Katanya tumpuan perlu diberi ke arah mengutamakan penduduk luar bandar dalam pelaksanaan program modal insan. Beliau juga berharap untuk melihat kurangnya projek infrastruktur besar yang berprestij, bangunan contoh, malahan jambatan. Ungku Aziz mengaitkan kemiskinan luar bandar antaranya kepada salah pengurusan hutan tropika dan dasar imperialis penjajah yang memusnahkan sistem sosial, menjejaskan kestabilan pertubuhan politik dan hubungan budaya masyarakat. Oleh itu, kita perlukan satu penyusunan semula tanah bagi melindungi petani luar bandar kerana penggunaan tanah masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat semasa era imperialisme," katanya.

Nilai Seorang Pekerja Di Mata Prof. Diraja Ungku Aziz Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya. Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah. Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang. Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka? Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu. Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru,wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat.Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit. Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja. Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif. Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan,banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu. Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak. Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul. Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969,tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama. Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan. Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan,maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap . Tetapi itulah minda Melayu sekarang. Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

"Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai."


Untuk menjadi seorang Melayu Unggul atau yang Terbilang, seseorang perlu mempunyai prinsip dan halatuju hidup. Halatuju hidup Pak Ungku Aziz adalah berteraskan kepada apa yang diutarakan oleh Allahyarham Pendita Za'aba iaitu: "Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai." Kata Pak Ungku lagi, Segala kejayaan seseorang itu adalah terletak kepada "dirinya sendiri." Di dalam temubual ini Pak Ungku telah menyentuh tentang kehidupan remaja, bagaimana mereka menjalani hidup mereka, dan beberapa perkara yang boleh mempengaruhi hidup mereka. Ini termasuklah peranan media - elektronik, cetak dan maya - yang membentuk minda dan khayalan mereka, dan pendidikan. Ini telahpun saya tekankan dalam penulisan awal saya berjudul "Secebis Pendapat" yang memperkatakan tentang beberapa "sistem" menjana "social engineering" dalam pemerintahan negara yang perlu diberi perhatian serious dan memerlukan perubahan mengikut acuan yang berpaksikan ala-Malaysia. Akhir sekali, Pak Ungku menekankan peri pentingnya ditanamkan sifat-sifat atau nilai-nilai positif seperti "berani, jujur, amanah, berhemah, rajin, mempunyai cita-cita tinggi, dan sentiasa suka berkata benar" kepada para remaja kita yang bakal memimpin negara. Sehubungan dengan ini, maka perjumpaan yang akan membincangkan "Social Engineering" oleh mantan Perdana Menteri kita, YAB Tun Dr Mahathir Muhamad, pada 25 Mei nanti, bukan saja relevan kepada apa yang diperkatakan oleh Pak Ungku itu, malah penting dan kena pada masanya. "Social Engineering" hendaklah bermula dari awal, sepertimana kata Pak Ungku, "melentur buluh hendaklah dari rebung." Saya kira ia harus bermula dari peringkat tadika lagi, sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi dengan kibutsnya, orang German, orang Jepun, Korea, China, Singapura dengan "PAP Kinergatennya", dan lain-lain lagi.

`Hidup bukan Que Sera, Sera'' - Usaha capai keperibadian unggul bergantung kepada diri sendiri
``Saya sebenarnya takut. Secara peribadi (anugerah) ini membimbangkan saya kerana menjadi terbilang bermakna lebih tinggi daripada orang lain. ``Saya tidak fikir sesiapa saja yang berjaya suka merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain, melihat semua orang lain duduk di bawah,'' kata Pak Ungku kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI yang menemu bualnya, petang kelmarin. Temu bual tersebut diatur untuk mencungkil pandangan beliau mengenai personaliti Melayu unggul serta usaha-usaha yang harus dilakukan untuk mencapai cita-cita itu. ``Kalau kita hendak kenal orang Melayu yang unggul dan berjaya, atau mahu mewujudkan acuan yang boleh dicontohi, kita sebenarnya bercakap tentang hal-hal yang sepatutnya ada pada orang Melayu,'' katanya. Pak Ungku menggariskan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan dalam usaha untuk membentuk personaliti yang diharap akan dapat mengangkat martabat orang Melayu itu. Menyentuh soal pendidikan, beliau mencadangkan beberapa perubahan yang perlu dilakukan untuk melahirkan generasi masa akan datang yang unggul. Beliau menyebut juga tentang pentingnya sukan bagi melahirkan masyarakat yang sihat. Pak Ungku juga mengulangi keyakinan yang dipegangnya tentang hubung-kait antara pemakanan yang seimbang dan kecemerlangan bangsa teori yang dipegangnya sejak membuat kajian tentang pembasmian kemiskinan pada tahun 1970-an. Disamping itu, ada satu lagi perkara penting yang dibangkitkan oleh tokoh akademik yang kuat membaca ini. Beliau menyarankan semua orang Melayu supaya membaca buku tulisan Pendeta Za'ba, Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri.

Katanya, "dalam buku itu ada amanat penting Za'ba yang menunjukkan jalan bagaimana orang Melayu boleh berjaya dan menjadi unggul," MINGGUAN: Bagaimanakah kita boleh melahirkan Melayu unggul? Apakah yang seharusnya dilakukan? UNGKU AZIZ: Kita perlu terlebih dulu memahami perjalanan hidup manusia atau apa yang disebut oleh William Shakespeare sebagai tujuh peringkat umur manusia. Ini proses hidup yang lazimnya dialami oleh setiap orang. Dalam melalui satu demi satu peringkat umur itu, cabaran yang kita hadapi ialah bagaimana hendak mengenal jalan ke arah kesempurnaan - untuk jadi berjaya dan unggul serta memahami falsafah -falsafah yang berkaitan.

Saya sebenarnya banyak terpengaruh dengan buku yang ditulis oleh Pendeta Za'ba iaitu "Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri." Saya suka hendak mengulangi falsafah yang diungkapkan oleh Za'ba bahawa kejayaan seseorang itu bergantung kepada diri sendiri. "Semuanya datang daripada diri kita sendiri. Berapa banyak pun seseorang itu berdoa tidak ada jaminan bahawa dia akan mendapat apa yang diinginkan melainkan melalui usaha." Kalau berusaha, kemungkinan untuk dia mendapatkannya ada. MINGGUAN: Apa kaitannya falsafah Za'ba itu dengan peringkat umur manusia? UNGKU AZIZ: Mencari keunggulan adalah satu usaha. Semasa berumur sekitar 15 tahun, seseorang itu umumnya tidak begitu bertanggungjawab - ada tanggungjawab tetapi tidak banyak. Apabila meningkat dewasa tanggungjawab itu bertambah, dan beban mencari kesempurnaan juga bertambah. Masa depan seseorang apabila dewasa - apa yang akan berlaku apabila umur meningkat - bergantung kepada apa yang dilakukannya semasa remaja. Kalau pada peringkat awal sudah tidak betul, kesannya juga mudarat. Ini sesuatu yang sangat serius. Kalau sudah dewasa dan sudah menentukan hidupnya sendiri, persediaan seseorang itu untuk menghadapi hidup seharusnya sudah lengkap. Itu sebabnya saya melihat zaman remaja sebagai satu tempoh yang sangat penting dalam kita hendak membentuk peribadi yang dikatakan unggul itu. MINGGUAN: Kenapa golongan remaja? UNGKU AZIZ: Kalau kita mahu membina personaliti unggul kita harus melihat kepada remaja. Kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung. Masa depan itu ada di tangan mereka. Ini bukan satu pandangan yang klise tetapi ini realiti. Gambaran masa depan kita ialah bagaimana keadaan remaja pada hari ini. Tidak ada orang yang dewasa tanpa melalui zaman remaja. Orang banyak terlupa tentang hakikat ini. Kita tidak ada pilihan sebenarnya - bagaimana keadaan kita pada hari ini begitulah keadaannya pada masa depan. MINGGUAN: Bagaimana Pak Ungku melihat remaja hari ini? UNGKU AZIZ: Kita jangan terlalu cepat menyalahkan remaja, mengatakan mereka hanya suka melepak, pemalas dan banyak angan-angan. Kita sepatutnya cuba memeriksa bagaimanakah keadaannya menjadi remaja pada zaman ini, pada tahun 2005 ini. Ini topik kegemaran saya sejak kebelakangan ini. Saya sebenarnya banyak memikirkan hal ini: Bagaimanakah kita boleh memahami masalah utama remaja Melayu pada hari ini? Ada banyak masalah, dan masalahnya pelbagai. Tetapi pada umumnya saya rasa remaja hari ini mengalami krisis jati diri. Mereka tidak dapat menjawab dengan tegas soalan yang ditanya oleh (ahli falsafah) Socrates: ``Siapakah aku?'' Kepada saya, setiap remaja sepatutnya selalu bertanyakan soalan itu kepada diri sendiri, dan harus ada jawapan yang memuaskan hati. MINGGUAN: Kenapa soalan itu? UNGKU AZIZ: Hidup ini bukanlah seperti lagu Que Sera, Sera - apa hendak jadi biarlah terjadi. Masa depan itu terpulang kepada kita sendiri Ini berbalik kepada falsafah Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.

MINGGUAN: Apakah krisis identiti yang dihadapi oleh remaja Melayu? UNGKU AZIZ: Remaja pada umumnya tidak dapat mengenal jati dirinya sendiri. Kenapa jadi begini? Ini teori saya; kalau salah, salahlah saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya. Saya rasa orang yang hendak mencari jati diri mesti boleh bertanya dan menjawab soalan Socrates itu. Tetapi mereka pada hari ini sukar hendak menjawab soalan itu kerana disimbah dengan pelbagai jenis identiti gantian. Inilah masalahnya. Saya minta maaf kerana terpaksa menyebut siapa yang bertanggungjawab besar dalam perkara ini...(ketawa) MINGGUAN: Media, maksudnya? UNGKU AZIZ: (Ketawa) Inilah masalah yang paling besar. Media membentuk identiti dan jati diri mereka kerana medialah yang mewujudkan, membentuk dan membina selebriti. Orang tertarik kepada celebrity dan kemudian meresap masuk ke dalam identiti yang dibina itu. Lihat saja identiti celebrity yang dibentuk oleh media, baik melalui iklan atau penyanyi, orang paling kuat, paling lemah, paling kacak dan sebagainya. Minda remaja ini diserang seperti dihujani peluru dengan pelbagai jenis identiti kecil daripada para selebriti ini. Akibatnya mereka tidak dapat membuat pilihan. Mereka tidak dapat memastikan dengan tegas dan yakin tokoh yang harus mereka ikuti. Media ini pula datang dalam pelbagai bentuk - cetak dan elektronik atau maya. Media maya ini paling efisien dan berkesan, paling merosakkan berbanding yang lain. Orang terbuai dengan media sama seperti tikus-tikus dalam cerita Pemain Seruling dari Hamlin. Inilah yang berlaku sekarang. Pemain seruling itu sekarang ialah media. Orang yang menguasai media memanipulasikan keadaan dengan membina celebrity. Celebrity itu sekarang menjadi model kecil kepada remaja sehingga mereka merasakan ``kalau dapat jadi seperti itu, cukuplah.'' Kepada golongan remaja, konsep keunggulan itu merujuk kepada model selebriti yang dilihatnya melalui media. Tetapi pada masa yang sama mereka sendiri barangkali cukup insaf bahawa mereka mungkin tidak dapat jadi seperti itu. MINGGUAN: Insaf, kenapa? UNGKU AZIZ: Kita lihat iklan katakanlah hendak menjual rokok, misalnya. Jadi ditunjukkan lelaki pakai tali leher dan sut turun dari kereta mewah masuk ke hotel dan ada perempuan cantik menunggunya. Dia kemudian menghisap rokok jenama yang diiklankan itu. Remaja yang melihat iklan ini tadi cuma tinggal hisap rokok saja. Dia tidak dapat apa-apa, tidak ada kereta mewah, tidak ada perempuan cantik dan tidak ada tali leher. Ini satu tragedi. Kita umpan remaja yang mencari model dengan gambaran imej seperti itu. Imej itu bukan realiti, dan ia mengelirukan remaja yang masih mencari-cari identiti. Mereka tidak dapat menangkap makna identiti dan jati diri. Jati dirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Remaja tertawan kepada imej-imej itu kerana ia membuatkan mereka rasa seronok dan menarik. Tetapi semuanya hanya angan-angan.

Ini sama seperti cerita usahawan yang berangan-angan macam Mat Jenin - suatu hari nanti mahu ada pejabat, ada setiausaha cantik dan sebagainya. MINGGUAN: Apa salahnya berangan-angan? UNGKU AZIZ: Angan-angan ini memuaskan diri dalam jangka masa pendek tetapi kalau terlalu berangan-angan mereka boleh terjerumus terlibat dengan dadah. Statistik menunjukkan majoriti yang terlibat dengan dadah ialah Melayu. Tidak cukup dengan fantasi di rumah mereka berkhayal melalui dadah. Saya tahu bukan semua remaja terlibat tetapi sebahagian besarnya ialah mereka yang berangan-angan ini. Saya fikir nisbah lelaki yang hidup dalam angan-angan jauh lebih besar berbanding wanita, boleh dikatakan dua pertiga. Majoriti remaja wanita lebih stabil, kurang angan-angan dan ada imej yang jelas tentang matlamat hidup masa depan. Itu sebabnya sekitar 70 peratus pelajar di universiti hari ini ialah wanita. Ini bukti bahawa jati diri gantian ini mempengaruhi lebih ramai lelaki berbanding wanita. Malah kalau kita kaji, remaja lelaki Melayu jugalah yang paling banyak di pusat permainan video. Remaja wanita tidak banyak yang bermain permainan video kerana mereka realist. Mereka ada citacita dan mahukan kebebasan. Mereka tahu kalau ada kerja, mereka ada kebebasan. Cita-cita mereka realistik. Krisis identiti ini lebih bahaya di kalangan lelaki berbanding wanita. Kalau kita hendak membina Melayu yang unggul kita perlu mengukuhkan jati diri terutamanya di kalangan remaja lelaki. Kita harus ada keseimbangan kuasa dalam masyarakat antara lelaki dan wanita. MINGGUAN: Bagaimana hendak membentuk jati diri yang betul di kalangan remaja? UNGKU AZIZ: Kita mesti berbalik kepada pendidikan kerana ia menentukan masa depan.Kalau tidak rajin belajar, mereka akan banyak berpoya-poya, hidup berangan-angan dan duduk melepak. Ini semua fenomena sosial yang melemahkan remaja Melayu. Kita perlu mengubahnya dengan segera tetapi ia tidak mudah. Kita juga harus menanam hidup yang lebih berdisiplin. Kenapa misalnya di Jepun dan Switzerland, orang tahu berbaris tetapi di sini semua orang berebut-rebut hendak ke depan? Tidak ada disiplin sosial.

Kita juga harus menanam sifat jujur dan amanah. Kalau jumpa dompet di tengah jalan kita pulangkan. Tetapi dalam masyarakat kita orang yang buat begitu adalah golongan yang terkecuali. Ia tidak normal, dan apabila berlaku ia jadi bahan berita. Malah orang merasakan kalau jumpa dompet di tengah jalan itu rezeki. Konsep rezekinya pun sudah salah. Kesedaran tentang nilai-nilai murni ini mesti dibina dari awal. Pada fikiran saya, pergerakan pengakap di sekolah dulu boleh menanam nilainilai ini. Sekarang ia sudah dipolitikkan. MINGGUAN: Apa lagi yang perlu kita tanam kepada remaja? UNGKU AZIZ: Sifat kesetiaan dan patriotisme. Kepada saya, remaja yang dipanggil tetapi tidak pergi ke Program Latihan Khidmat Negara itu dalam jati dirinya tidak ada nilai patriotisme.

Kita tidak boleh melihatnya sebagai hero. Kalau patriotik, apabila dipanggil dia mesti pergi. Itu satu tanggungjawab. Remaja juga harus berani buat apa saja, bersedia pada bila-bila masa. Ini sifat yang kepada saya harus ada tidak kira pada semua orang yang mahu berjaya. Kalau hendak membina remaja yang unggul apabila dewasa kita kena pastikan mereka ada nilai-nilai ini - berdisiplin, berani, jujur, amanah dan patriotisme. Ini boleh kita buat melalui pendidikan tetapi kena fokus. MINGGUAN: Apakah kita perlu mengetengahkan model-model baru kepada remaja? UNGKU AZIZ: Barangkali model itu ada tetapi kita simpan dalam almari (ketawa). Kita kena keluarkannya dari almari dan gilap sedikit. Kalau kita melihat tempoh 100 tahun yang lalu, saya fikir model itu banyak. Malah dalam sejarah juga ada tokoh-tokoh yang boleh dijadikan model, Hang Tuah misalnya. Dia mungkin tidak pernah wujud tetapi sifat-sifatnya boleh kita baca dalam Hikayat Hang Tuah. Dia perkasa, suka menuntut ilmu dan belajar banyak bahasa. Dia juga setia; baik atau buruk kesetiaannya itu, usah ditanya. Sifat-sifat terpuji daripada model-model inilah yang akan membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin masa depan yang memberikan harapan kepada bangsa. Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja. MINGGUAN: Apakah yang tidak harus ada pada orang Melayu untuk menjadi unggul? UNGKU AZIZ: Harus tahu membezakan antara realiti dan fantasi. Orang muda hari ini lebih cenderung kepada angan-angan kerana pengaruh media yang saya sebutkan tadi, terutamanya media elektronik. MINGGUAN: Usaha ini banyak bergantung kepada media? UNGKU AZIZ: Ya, kerana media ada hubungan langsung dengan kelompok ini. Pada masa yang sama perlu juga ada peranan ibu bapa dan guru. Semua pihak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sapu rata salahkan media saja - kononnya kalau baik media, semuanya akan baik. Tidak begitu? Para pemimpin juga ada peranannya. Suka atau tidak suka, mereka adalah model yang unggul; seharusnya begitulah. Kalau orang mahu berjaya mereka harus membetulkan diri sendiri. Jangan jadi seperti Enron dan WorldCom yang melahirkan tokoh-tokoh korporat berjaya tetapi mengerjakan duit orang beratus bilion. Itu bukan model yang baik. MINGGUAN: Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa? UNGKU AZIZ: Berikan perhatian kepada pemakanan anak-anak mereka. Masalah kritikal orang Melayu sejak berpuluh tahun lalu ialah umumnya saiz badan mereka kecil. Mengikut teori saya, 90 peratus masalah ini berpunca daripada makanan. Kalau kita lihat orang yang masuk tentera atau yang keluarganya berpendapatan tinggi yang mendapat makanan lebih baik, saiz tubuh mereka lebih besar, tinggi dan lebih sihat. Masalah saiz kecil ini boleh ditangani pada zaman awal praremaja, semasa kanak-kanak.Tujuh tahun pertama dalam hidup manusia adalah tempoh pembesaran fizikal yang penting. Kalau tidak dapat makanan yang seimbang ketika itu, pembesarannya akan terganggu. Kalau mahu jadi bangsa yang unggul orang Melayu mesti bersaiz lebih besar.

MINGGUAN: Apa hubung kaitnya? UNGKU AZIZ: Cuba kita lihat di sekeliling kita. Orang yang berjaya biasanya tubuh mereka besar dan tinggi, bahu mereka lebar. Ini semua datang daripada pemakanan yang baik. Pemakanan bukan saja mempengaruhi saiz badan tetapi lebih penting pembinaan otak. Otak mereka lebih cekap seperti bateri yang sudah dicas dengan baik. Otak kita ini seperti bateri. Kita charge otak dengan makanan yang berzat dan seimbang. Kita harus melakukannya dari sekolah rendah. MINGGUAN: Bagaimana? UNGKU AZIZ: Kita harus mula menyusun program makanan yang lebih baik dan menyeluruh untuk sekolah-sekolah. Sekarang kita buat tetapi tidak di semua sekolah dan tidak teratur. Kenapa tidak kita mula menyediakan makan tengah hari yang seimbang dengan lebih sistematik, sehari sekali di sekolah? Kanak-kanak yang membesar harus makan paling kurang sebiji telur seminggu. Tetapi ia tidak berlaku kerana sesetengah orang Melayu tidak mampu. Apatah lagi sekarang ini harga telur dan makanan keseluruhannya sudah naik. Tetapi saya percaya usaha ini boleh dilakukan oleh kerajaan. Kalau kita percaya bahawa remaja adalah harapan masa depan, kita harus mula membina mereka sejak peringkat praremaja lagi. Kita harus menjaga anak harapan bangsa ini sejak dari kecil lagi. MINGGUAN: Apa lagi selain menjaga makanan? UNGKU AZIZ: Jaga kesihatan dengan bersukan. Kita boleh melahirkan manusia unggul melalui sukan. Kita harus galakkan orang menjadikan sukan sebagai satu cara hidup. Tetapi sekarang sudah terbalik - kita cari juara, beri duit dan jadikan mereka selebriti. Ini melampau. Kita tidak harus sampai ke tahap itu. Melalui sukan orang akan jadi lebih sihat, kuat dan aktif. Kita galakkan orang bersukan bukan untuk menang tetapi semata-mata untuk bersukan. Apa salahnya kita galakkan bersukan untuk suka-suka. Kalau mahu mencari keunggulan kita harus juga melihat kepada aspek sukan kerana ia ada kaitan dengan kesihatan. MINGGUAN: Pak Ungku sudah membincangkan tentang perubahan sikap, pemakanan dan kesihatan. Bagaimana dengan pendidikan? UNGKU AZIZ: Apabila sampai kepada satu peringkat golongan remaja akan mula matang fikirannya. Mereka mula berfikir. Kita harus ada satu sistem yang lebih baik untuk mengajar orang berfikir. Kepada saya, salah satu kelemahan sistem pelajaran kita pada hari ini ialah ia tidak mengajar orang berfikir. Para pemimpin kita selalu bercakap tentang masyarakat inovatif dan kreatif. Tetapi bagaimana mahu melahirkan masyarakat seperti itu kalau mereka tidak diajar untuk inovatif dan kreatif? Ia perlu diasuh dan dipupuk dari awal. MINGGUAN: Apakah sistem pendidikan kita membantu pembentukan bangsa unggul? UNGKU AZIZ: Saya fikir ada banyak kekurangan dan kelemahannya. Ini hakikat yang perlu saya suarakan. Kalau ada menteri-menteri yang hendak marah dengan kenyataan ini, tidak mengapa. Saya pun sudah 83 tahun (ketawa), tidak kisah apa-apa lagi. Saya hanya menyuarakan pandangan, bukan untuk mengenakan sesiapa. Kita harus memikirkan hala yang hendak kita tuju, dan menyusun langkahnya dari situ. Selepas itu jangan ditukar-tukar separuh jalan.

MINGGUAN: Apakah yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul? UNGKU AZIZ: Ini terpulang kepada diri masing-masing, berbalik kepada apa yang saya petik daripada Za'ba di awal tadi. Saya sudah sebut sebelum ini, dan saya hendak ulang lagi: Buku Za'ba itu adalah bacaan wajib untuk semua orang Melayu. Secara ringkas, apa yang dikatakan oleh Za'ba dalam bukunya itu ialah kalau ada keyakinan kita boleh melakukan apa saja. Kita boleh menjadi unggul tetapi usaha itu bergantung kepada diri kita sendiri. Malah apa yang disebut oleh Za'ba itu adalah falsafah yang digali daripada ajaran al-Quran. Itulah yang harus kita tekankan kepada remaja hari ini. Ini soal mahu atau tidak mahu, mahu lebih atau mahu kurang - pilihan masing-masing. Tetapi kalau pemikirannya terkongkong oleh modelmodel kecil yang dibentuk oleh media, mereka akan sukar membuat pilihan kerana tidak boleh berfikir. Mereka hendak bergembira saja tetapi hidup ini bukan bergembira sepanjang masa. Ini masalahnya. Orang selalu bercakap tentang sifat-sifat negatif Melayu - malas dan suka buang masa, misalnya - sehingga menimbulkan rasa rendah diri untuk mereka maju. MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku dalam hal ini? UNGKU AZIZ: Sifat malas itu ada kaitannya dengan kemiskinan dalam masyarakat. Dari segi ekonominya, kemiskinan menyebabkan orang tidak ada tenaga kerana tidak mendapat pemakanan yang baik. Rasa rendah diri pula sifat yang sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu. Ini soal budaya. Tetapi orang yang menjadi berjaya adalah mereka yang mampu mengeluarkan diri daripada kepungan budaya itu - kepungan budaya yang ada dalam minda. Ia boleh diatasi, bergantung kepada diri sendiri. Tidak ada yang mustahil. Tidak ada apa-apa yang menghalang orang Melayu untuk menjadi unggul. MINGGUAN: Pak Ungku pernah sebut sesetengah orang Melayu yang berjaya daripada Dasar Ekonomi Baru ibarat kacang lupakan kulit; tidak membantu anak bangsa lain berjaya sama. Tidakkah mereka boleh menjadi pemangkin pembinaan Melayu unggul ini? UNGKU AZIZ: Ini bukan soal boleh; tetapi itulah yang sepatutnya. Siapa lagi kalau bukan mereka? MINGGUAN: Pak Ungku telah mengupas tentang zaman remaja yang cukup kritikal dalam pembinaan sahsiah bangsa. Pak Ungku semasa remaja bagaimana? UNGKU AZIZ: Zaman saya remaja sekitar tahun 1930-an dan 1940-an dulu adalah satu zaman yang sama sekali berlainan, zaman perang. Tetapi saya bekerja kuat kerana yakin bahawa kejayaan adalah dengan memiliki ijazah. Jadi saya belajar bersungguh-sungguh. Arwah ayah tidak banyak mempengaruhi saya, tidak banyak meninggalkan nasihat. Dia hidup dalam dunianya sendiri tetapi dari semasa ke semasa kami berbincang juga. Dia banyak meninggalkan saya dengan dunia saya sendiri. Tetapi ada satu perkara yang dia tekankan: Kalau tidak berjaya dalam pelajaran kamu tidak akan jadi sesiapa.

Dia nasihatkan bahawa dalam apa keadaan saya mesti belajar kerana kejayaan itu datang daripada usaha kita belajar. Ini tidak ada galang-gantinya. Dia menanam dalam dada saya bahawa kejayaan akan datang dengan belajar bersungguh-sungguh. Jadi semasa di English College, Johor Bahru saya belajar bersungguh-sungguh. Selepas ayah meninggal pada tahun 1939, saya jadi anak yatim piatu. Ibu meninggal semasa saya umur 4 tahun. Semasa itu pun saya tidak suka pergi kepada ahli keluarga untuk minta bantuan. Apabila bapa saudara saya (Datuk Onn Jaafar) jadi Menteri Besar Johor pun saya tidak rasa saya perlu minta kerja, sokongan atau duit daripada dia. Saya pernah jadi kerani semasa menunggu keputusan peperiksaan. Apa yang saya buat itu adalah sebahagian daripada usaha untuk berjaya, pemikiran yang sudah tertanam dalam diri saya. Saya tidak kisah jadi kerani untuk cari duit supaya dapat belajar. Saya tidak pernah segan macam kebanyakan graduan yang menganggur sekarang. Saya fikir sikap inilah yang harus ada pada setiap orang muda yang mahu berjaya.

MINGGUAN: Sikap terhadap pelajaran? UNGKU AZIZ: Ya, sudah semestinya. Sebelum Perang Dunia Kedua saya sudah masuk ke Raffles College tetapi kemudian terganggu apabila Jepun datang. Tetapi semasa itu pun saya terus belajar juga. Saya ke Universiti Waseda di Jepun, sempat belajar dua tahun. Orang perang atau tidak perang, saya belajar juga. Apabila semua universiti di Jepun ditutup saya balik semula ke Johor dan berkhidmat sekejap dengan kerajaan negeri. Apabila Raffles College buka semula saya sambung belajar sampai lulus. Kepada saya jentera dalam mindalah yang menggerakkan saya untuk berjaya. Kemahuan untuk berjaya itu harus ada dalam minda terlebih dulu. Soal hendak jadi kaya tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. MINGGUAN: Apakah antara perkara penting yang Pak Ungku belajar yang membentuk diri Pak Ungku sampai ke tahap ini? UNGKU AZIZ: Satu perkara yang saya belajar semasa di Jepun ialah sifat samurai: Kalau dicabar, tarik pedang dan lawan. Kalau menang, menanglah; kalau kalah,mati. Habis cerita. Saya fikir orang yang hendak jadi unggul ini perlu ada semangat seperti itu - pantang dicabar. Tidak tahu takut, tidak kenal undur. Semangat samurai ini kepada saya ialah sifat perkasa. Dalam falsafah al-Ghazali pun ada disebut bahawa sifat orang yang berjaya ialah mereka yang berani. MINGGUAN: Boleh Pak Ungku namakan Melayu unggul yang boleh dicontohi? UNGKU AZIZ: Susah bagi saya hendak menamakannya tetapi orang itu harus ada ciri-ciri yang kita bincangkan tadi. Dia harus berani, jujur, amanah, berkata benar, berhemah, bekerja keras dan semangat tinggi. Dia mesti bersungguh-sungguh bak kata pepatah genggam bara api biar jadi abu.

Kita jangan jadi bangsa hangat-hangat tahi ayam. Dan keunggulan mereka itu tentunya akan diukur dari segi kejayaan, baik dalam bidang apa sekalipun. MINGGUAN: Sekarang ini orang melihat kepada Pak Ungku? UNGKU AZIZ: (Ketawa) Saya tidak berani. Lihatlah diri saya ini. Saya begini saja. Saya tidak suka pakai tali leher dan saya makan simple saja. Ini bukan saya buat-buat; saya memang begini. Ini memang saya. Susah untuk orang jadi macam saya. Saya tidak fikir orang boleh meniru cara saya. Tetapi kalau dedikasi saya - dedikasi ini perkataan yang besar - terhadap pendidikan, barangkali, ya. Saya fikir orang boleh tiru sifat-sifat baik yang mereka fikir ada pada saya.

Zeti Akhtar bersama bapanya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan anaknya, Alif Ayman (kanan) pada majlis sambutan Maal Hijrah 1432H di Putrajaya hari ini. Foto Bernama.

Profesor Ungku Aziz sedang menyuraikan demonstrasi pelajar di hadapan Dewan Tunku Canselor.

Dari kaca mata YM. Professor Diraja Ungku Abdul Aziz,

Rajin Berkerja, Rajin Bercakap - Bagus Rajin Berkerja, Malas Bercakap - Kena Buli Malas Berkerja, Rajin Bercakap - Wayang Cina Malas Berkerja, Malas Bercakap - Tak Guna Malas Berkerja, Suka Mengadu - Lalat Hijau Malas Berkerja, Suka Ponteng - Lebih Baik Berhenti Malas Berkerja, Suka Termenung - Lebih Baik Mati

Tragedi pemikiran Melayu KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar. Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah. Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu. Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa? Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik. Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu. Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi. Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul. Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya. Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesankesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini. PROF DIRAJA UNGKU AZIZ BERI DEFINISI PEMIMPIN YANG MELAYU PERLU ADA SAAT INI..! MINGGUAN: Apakah pandangan Pak Ungku tentang perpaduan negara sekarang? UNGKU AZIZ: Bahasa ialah penyatuan bangsa. Kita ada bahasa Melayu yang boleh menyatukan semua bangsa di negara kita. Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Mereka harus jelas tentang peranan dan apa yang dipimpin. Jangan terlalu mengutamakan pangkat dan duit. Kita harus hidup bersederhana, barulah kita boleh melaksanakan segala yang dirancang demi perpaduan. Apakah yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan apa yang kita ada sekarang termasuk Perlembagaan negara? UNGKU AZIZ: Apa yang kita ada sekarang menunjukkan bahawa sistem yang kita ada itu betul. Tetapi apa yang kita mahu ialah keadaan sekarang ini jadi semakin baik. Bagi saya, Perlembagaan tidak perlu dicuit. Apa yang sedia ada cukup baik untuk perpaduan dan masa depan negara. Bagaimana Pak Ungku melihat perpaduan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sekarang? UNGKU AZIZ: Pada pandangan saya, perpecahan bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, ini termasuklah Melayu kota dengan Melayu luar kota. Melayu dalam UMNO dengan Melayu dalam Pas dan PKR. Antara orang Melayu yang muda dengan tua. Hal ini sama kalau dibuat perbandingan dengan Arab Spring yang tak akan terjadi sebab orang Melayu sendiri banyak masalah yang tidak diatasi. Bukan saya nak komen tapi dalam kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut. Tokoh itu mesti garang dan bersemangat. Pada hari ini tak ramai pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini - tiada pendirian yang teguh. Pemimpin macam Winston Churchill, dia tak suka kompromi. Pemimpin macam dia berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri? Kalau pemimpin itu tegas, kalau dia kata jangan buang sampah di tepi jalan, orang suka atau tidak dia tidak peduli. Itu pendiriannya. Orang Melayu kita sejak beratus tahun lalu ada yang suka tikam dari belakang. Ini diajarkan oleh penjajah kepada orang Melayu dan diamalkan sampai sekarang. Bagaimana Pak Ungku melihat isu kenaikan harga barang ketika ini?

UNGKU AZIZ: Harga barang naik kerana kuasa pasaran. Kita tidak boleh menghalang keadaan ini. Tetapi apa yang lebih penting ialah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini. Orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang. Saya dilatih oleh arwah bapa saya supaya tidak berhutang sejak usia saya tujuh tahun lagi. Saya masih ingat ketika saya berusia 17 tahun, saya mahu membeli kamera tetapi duit saya tidak cukup. Apa yang saya lakukan ialah menyimpan duit dan akhirnya saya berjaya membeli kamera tersebut. Malah kereta pertama yang saya beli tunai ialah kereta terpakai jenis Ford lama. Saya juga telah melakukan penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan. Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang Bagaimana Pak Ungku melihat penggunaan bahasa Melayu sekarang? UNGKU AZIZ: Bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita. Ada perkataan bahasa Melayu yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa Melayu. Saya tahu bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Saya tidak nafikan bahasa Cina (Mandarin) bakal menguasai global dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang. Apakah yang perlu dilakukan bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan? Ini kerana ada kaum yang langsung tidak mahu mempelajari bahasa Melayu. UNGKU AZIZ: DI Amerika Syarikat kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa Inggeris Amerika. Bukan bahasa Inggeris England. Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika. Berbagai kemudahan disediakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, termasuk institusi-institusi pelajaran untuk orang dewasa.

Namun tidak ada kaum imigran yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima sebagai bahasa rasmi. Sebaliknya rakyat Amerika amat bangga dengan bahasa Inggeris Amerika. Keadaan berbeza dengan Malaysia, kita tidak ada kelas khas untuk mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu. Apa salahnya kita wujudkan kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu. Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan. Kita mesti ada satu bahasa untuk semua orang sebagai simbol perpaduan. Bagaimana Pak Ungku melihat peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu? UNGKU AZIZ: Masalah paling utama ialah kita tiada penguasaan. Lama-kelamaan semangat cintakan bahasa Melayu akan hilang. Kita ada banyak rancangan tetapi pelaksanaan kurang. Itulah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa. Mereka harus melaksanakan kuasa, kalau tidak, semuanya akan terlepas.

You might also like