You are on page 1of 4

PUSAT BIMBINGAN GAMMA 492A-2-1, Taman Sri Indah, Air Itam, 11400 Pulau Pinang.

Tel: 012-4984905

PENULISAN ESEI DASAR KERAJAAN (Pupuk budaya ilmu)


Selari slogan Janji Ditepati yang menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan 2012, satu lagi entiti di bawah penjenamaan 1Malaysia diwujudkan demi kemudahan serta faedah rakyat. Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang mula beroperasi semalam di Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) yang dulu dikenali sebagai Pudu Sentral selepas disempurnakan pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Usaha ini umpama inisiatif pelengkap yang menawarkan genre pengisian intelek dan kerohanian sebagai bantuan kepada rakyat untuk mencari inisiatif meneruskan kelangsungan hidup, sekali gus mempersiapkan diri sebagai modal insan cemerlang menjelang 2020. Wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid telah mewawancara Pengerusi Kedai Buku 1Malaysia, Mohd. Khair Ngadiron bagi mendapatkan penjelasan serta rasional penubuhan KB1M. Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerangkan konsep operasi perniagaan turut menawarkan bahan bacaan lebih murah berbanding harga pasaran. MINGGUAN: Apa rasional penubuhan Kedai Buku 1Malaysia (KB1M)? Apakah ia diwujudkan bagi fungsi komersial atau sebaliknya beroperasi seperti sifat perniagaan harga rendah seperti produk di bawah jenama 1Malaysia? MOHD. KHAIR: Secara asasnya, KB1M diwujudkan selari dengan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meringankan beban rakyat. Operasinya menepati konsep produk di bawah penjenamaan 1Malaysia yang menawarkan bahan bacaan lebih murah atau lebih kompetitif, sekali gus menyokong misi kerajaan merealisasikan slogan Janji Ditepati" dan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Lebih daripada itu, KB1M diharap menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan memupuk serta menggalakkan budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia, khususnya generasi muda. Adakah buku harga murah mampu merangsang pembelian bahan bacaan di kalangan rakyat berpendapatan rendah? Ini kerana isu survival mungkin lebih penting bagi golongan tersebut.

MOHD. KHAIR: Sebenarnya menerusi KB1M, kami tidak memberi ikan, tetapi sebaliknya menjual kayu pancing yang boleh dibeli pada harga lebih murah. Apa yang kita harap, rakyat belilah pancing itu kerana dengannya mereka boleh mula menangkap ikan. Dalam kata lain, KB1M menawarkan pengisian intelek dan kerohanian minda sebagai bantuan kepada rakyat untuk mencari inisiatif meneruskan kelangsungan hidup. Bermakna, kehidupan susah boleh diubah, tetapi ia tidak datang percuma sebaliknya perlukan ilmu, usaha dan sedikit modal. Itulah yang kami harap mampu digerakkan KB1M. Pendek kata, sumbangan KB1M bukan dalam bentuk pemberian langsung sebagaimana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sebaliknya disampaikan menerusi penetapan harga lebih rendah demi membolehkan bahan bacaan menjadi mampu milik, sekali gus merakyatkan budaya pembacaan bagi menyokong usaha kerajaan melahirkan modal insan cemerlang menjelang 2020. Dimaklumkan bahawa lokasi pertama KB1M dipilih bagi membolehkan ia beroperasi secara kelompok dengan lebih 30 agensi lain di Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTCKL). Apa rasionalnya keputusan tersebut? MOHD. KHAIR: Keputusan itu tiada udang di sebalik batu. Kami memang kebetulan sedang menimbang beberapa lokasi untuk cawangan pertama sebagai flag ship store KB1M apabila diajukan tawaran untuk mengisi lot unit di UTCKL. Selain memiliki pasaran komersial yang baik dan sedia ada, keputusan itu juga membolehkan kami seiringan dengan kerajaan menawarkan khidmat secara berkelompok, sekali gus memudahkan rakyat beroleh perkhidmatan secara setempat. Pada masa sama, kami juga berharap supaya aktiviti yang digerakkan di KB1M dapat menyumbang kepada UTC sebagai faktor penarik untuk orang ramai mengunjungi lokasi tersebut, sekali gus berfungsi sebagai game changer menyatukan pelbagai bangsa kerana buku adalah item universal yang mampu menjadi medium penyatuan sosial. Di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), produk yang dijual adalah dalam kualiti sama tetapi dibuat pembungkusan semula yang lebih menjimatkan. Justeru, ia ada justifikasi bagi harga murah. Bagaimana dengan KB1M? MOHD. KHAIR: Bagi produk bacaan, kami mengekalkan bahan sama seperti dijual di semua kedai buku lain. Tiada beza, baik dari aspek kandungan, saiz, hasil cetakan mahupun jenis kertas digunakan. Keputusan ini kekal baik untuk jangka pendek mahupun jangka panjang kerana kita tidak mahu mewujudkan kasta di kalangan pembaca akibat daripada buku yang diterbitkan dalam kualiti berbeza. Pada masa sama, itu juga satu cara untuk kita menghormati ilmu. Dengan menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran, tidakkah praktik itu dalam jangka panjang boleh menjejaskan perniagaan kedai buku lain? MOHD. KHAIR: Sebenarnya tidak. Walaupun KB1M menawarkan produknya dengan harga lebih rendah, namun amalan sama sebenarnya turut dipraktikkan semua kedai buku. Bezanya cuma mekanisme persembahan atau bagaimana ia ditawarkan. Antara contoh ialah menawarkan diskaun istimewa, baucar tunai, tawaran pembelian atas pembelian atau iklan penghabisan stok yang antaranya mencecah sehingga 90 peratus. Ini adalah strategi perniagaan dan dipraktikkan semua kedai buku, baik di Malaysia mahupun seluruh dunia. Pendek kata, semuanya menawarkan harga murah, tetapi dalam mekanisme yang berlainan, bergantung kepada situasi, keperluan dan kepentingan berlainan. Bezanya KB1M ialah harga jualan diturunkan sejak awal lagi dan tiada diskaun tambahan akan ditawarkan kepada pelanggan. Secara tidak langsung, KB1M sebenarnya perlu bekerja lebih keras, sekali gus perlu jadi lebih 2

kreatif kerana strategi diskaun sudah tidak boleh digunakan sebagai mekanisme promosi untuk menarik pelanggan. Justeru, KB1M adalah satu lagi persaingan sihat dalam industri. Selain harga lebih murah, apa aspek lain yang membezakan KB1M dengan kedai buku lain? MOHD KHAIR: Menerusi KB1M, kami berharap untuk menggerakkannya sebagai pusat aktiviti mini yang menyediakan ruang serta peluang kepada penerbit dan penulis untuk menganjurkan aktiviti tertentu bagi mempromosi buku mereka masing-masing. Secara tidak langsung, ia juga menjadi game changer dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan generasi pelbagai usia, sekali gus menggalakkan usaha merakyatkan budaya membaca di kalangan rakyat. Dalam kata lain, KB1M secara holistiknya bukan operasi komersial, sebaliknya diatur bagi membolehkan manfaatnya dikongsi semua pihak, baik kerajaan, pemain industri, penulis dan paling utama, orang ramai. Itu antara sifat yang membezakan KB1M dengan kedai buku lain. Ertinya, kita tidak mengutamakan keuntungan dalam bentuk tunai semata-mata, tetapi juga mensasarkan faedah dalam perspektif sosial. Adakah KB1M menerima stok buku daripada semua penerbit Malaysia? MOHD. KHAIR: Secara asasnya kita membuka peluang sama rata kepada semua penerbit. Setakat ini memang tiada pengecualian dan kita juga tiada perancangan untuk berbuat demikian, kecuali bagi judul tertentu yang telah disenarai hitam oleh kerajaan. Kalaupun berbeza, mungkin dalam jumlah unit yang diambil bagi setiap judul, kerana tempahan perlu dibuat berdasarkan segmen pasaran dan demografi kumpulan sasaran di setiap cawangan KB1M. Ini bukan keputusan pelik sebaliknya amalan biasa dalam operasi perniagaan. Jika demografi pasaran adalah orang kampung, bacaan tema agama mungkin lebih sesuai mendominasi stok di cawangan berkenaan, berbanding koleksi buku berkaitan teknologi tinggi. Itu maksud saya. Bagaimanapun, KB1M akan berusaha sedaya mungkin untuk bertindak sebagai platform sokongan kepada semua penerbit, termasuklah mengutamakan buku terbitan tempatan khususnya dalam bahasa Melayu berbanding penerbitan luar negara. Bagaimana dengan bahan penerbitan ilmiah? MOHD. KHAIR: Sebagai entiti yang mengutamakan rakyat dan berazam untuk bersama-sama kerajaan membangunkan modal insan negara, KB1M tidak dapat lari daripada mengutamakan koleksi penerbitan penerbit tertentu. Bagaimanapun, pihak dimaksudkan bukan organisasi komersial sebaliknya mereka ini terdiri daripada penerbit ilmiah yang mempunyai tanggungjawab terhadap pembangunan ilmu dan modal insan negara. Antara yang termasuk dalam senarai ini ialah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Pertimbangan ini dibuat kerana koleksi mereka kebanyakannya adalah bacaan berat yang bersifat ilmiah, sekali gus berdepan sedikit kesukaran untuk menembusi pasaran kedai buku komersial. Justeru, KB1M diharap dapat menjadi penyelesai kepada konflik tersebut dan keputusan ini jelas bukan satu praktik yang bias, sebaliknya bertujuan membentuk keseimbangan kepada industri, malah sebenarnya turut menjadi pelengkap. Siapa sebenarnya pelanggan sasaran KB1M? MOHD. KHAIR: Jika secara holistik, semua rakyat Malaysia adalah pelanggan sasaran KB1M. Kita menyediakan satu bentuk kemudahan dan mensasarkan supaya peluang itu diambil setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa, agama mahupun latar belakang politik berbeza. 3

Bagaimanapun, apabila diperincikan kepada pecahan cawangan KB1M yang kelak akan diwujudkan di seluruh negara, maka pelanggan sasaran pasti berbeza dengan mengambil kira demografi masyarakat di sekitar lokasi. Ada cawangan mungkin menetapkan golongan muda berusia antara 16 hingga 25 tahun sebagai kumpulan sasaran utama, ada cawangan menetapkan individu berkeluarga dan berpendapatan sederhana sebagai kumpulan sasaran utama dan ada cawangan pula mungkin melihat golongan berpendapatan rendah sebagai kumpulan sasaran utama. Bagaimanapun, semua segmen masih diberi perhatian. Kita sekadar pecahkan kumpulan sasaran dengan menetapkan kumpulan mana sebagai sasaran utama, kedua dan ketiga bagi memudahkan usaha merangka strategi pemasaran dan promosi setiap cawangan. Pendek kata, ciri demografi pelanggan setempat akan mempengaruhi keputusan berkaitan jualan, pemasaran dan promosi KB1M di setiap cawangan, sekali gus menjadikan setiap satunya unik dan tersendiri.

Apa harapan saudara terhadap KB1M? MOHD. KHAIR: Kami berhasrat menambah cawangan KB1M di seluruh negara termasuk di bandar sekunder serta Sabah dan Sarawak. Akan menyusul selepas ini ialah di Ipoh, Perak sebelum diikuti dengan Johor Bharu di Johor. Justeru, kami berharap semoga KB1M beroleh sokongan baik dan dialu-alukan masyarakat umum kerana kembali kepada idea asalnya, KB1M tidak berteraskan keuntungan semata-mata, tetapi turut berfungsi dengan mengambil kira faedah semua pihak, baik kerajaan, pemain industri dan rakyat khususnya.

You might also like