You are on page 1of 4

1

ANTARA MEREKA YANG MATI SYAHID DAN MATI JAHILIAH



Peristiwa pencerobohan di Sabah oleh kumpulan pengganas dari Selatan Filipina
membabitkan beberapa isu yang menyentuh hukum syarak. Ada dua perkara pokok
yang menjadi kewajipan Muslim ketika berhadapan dengan setiap perkara yang
menyentuh hukum Islam: beriktikad dan mengamalkannya. Misalnya solat, pertama,
wajib iktikad ianya fardhu dan kedua, wajib menunaikannya. Dalam hukum-hukum
yang diijmakan, tidak beriktikad membawa kepada kufur, dan tidak
mengamalkannya menjadi fasik. Berikut ini huraian isu-isu yang menyentuh hukum
syarak berkaitan dengan peristiwa pencerobohan ini.
2. Memerangi puak penderhaka adalah wajib seperti yang diperintahkan dalam
surah Al-Hujuraat ayat 9 yang bermaksud, maka perangilah puak penderhaka itu
hingga mereka kembali mematuhi perintah Allah. Memerangi golongan ini termasuk
dalam jihad fi sabilillah. Menurut kitab Subulussalam, memerangi kumpulan ini lebih
afdal daripada memerangi orang-orang kafir, kerana kemudaratan yang ditimbulkan
oleh angkara mereka terhadap masyarakat. Keamanan dan keselamatan
masyarakat adalah jaminan Allah. Oleh itu mereka yang merosakkannya dianggap
sebagai memerangi Allah dan Rasul Nya seperti yang ditegaskan dalam ayat 33
surah Al-Maaidah.
3. Oleh kerana peperangan menentang penderhaka adalah jihad maka pasukan
keselamatan yang terlibat dalam operasi menentang penceroboh adalah merupakan
Mujahidin di jalan Allah. Ganjaran yang menanti mereka adalah sangat besar di sisi
Allah Taala, seperti yang diterang dalam hadis-hadis berikut yang bermaksud,
Umpama pahala yang akan diterima oleh seorang mujahid itu ialah seperti pahala
seorang yang berpuasa, sembahyang tahajud, membaca ayat-ayat Allah dan terus
mengerjakan atau sembahyang dan puasa tanpa jemu dan penat sehinggalah
mujahid itu kembali dari medan perjuangan (riwayat Bukhari/Muslim); Sesiapa
yang berjihad di jalan Allah, maka Allah haramkan api neraka daripada
membakarnya (riwayat Bukhari) : Waktu pagi ataupun petang bagi seseorang yang
berjihad di jalan Allah itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya



2

(riwayat Bukhari/Muslim) : Dua mata yang tidak akan disentuh sama sekali oleh api
neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah, dan mata yang
berkawal dalam perjuangan di jalan Allah (riwayat Abu Yasala); sehari berkawal
dalam perjuangan di jalan Allah lebih afdal daripada beribu hari di tempat-tempat
lain.
4. Apabila para pejuang ini gugur dalam pertempuran dengan puak penderhaka
mereka dikurniakan martabat syahadah, yakni mati syahid, hadis sahih riwayat
Ahmad Tabarani dan Ibnu Majah menyatakan bahawa antara kelebihan orang yang
mati syahid ialah diampunkan dosa mereka dari titisan pertama darah yang tumpah,
diperlihatkan tempatnya di syurga, dihiasi dengan perhiasan iman, dilepaskan
daripada azab kubur, dan diberi keamanan pada hari kiamat. Menurut hadis riwayat
Abu Daud dan Tirmizi orang mati syahid mendapat kemuliaan untuk memberi
syafaat kepada tujuh puluh orang daripada kaum keluarganya.
5. Golongan penderhaka dalam Islam di kenali dengan istilah bughah dan
khawarij. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad menyifatkan
golongan ini sebagai Syirar ummati (sejahat-jahat umat ini). Dalam Hadis riwayat
Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Puak penderhaka adalah anjing-anjing neraka. Abu Umamah r.a. ketika melihat
kepala-kepala puak penderhaka yang dibunuh dan diletakkan di perkarangan masjid
Damsyik, beliau mengatakan : Mereka itu adalah anjing-anjing neraka jahanam.
Sejahat-jahat orang yang dibunuh di muka bumi, dan orang-orang yang mereka
bunuh adalah sebaik-baik orang yang dibunuh di bawah rungkup langit .
Tindakan penderhakaan dengan mengangkat senjata adalah perbuatan yang
sangat terkutuk dalam Islam dan boleh membawa seseorang itu terkeluar dari
agama. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad, Rasulullah SAW
bersabda, sesiapa yang mengangkat senjata terhadap kami, ia bukan daripada
agama kami. Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa mereka boleh keluar
dari agama Islam laksana anak panah menembusi sasarannya , yakni dengan cepat
dan tanpa disedari.
Mengenai tindakan kejam mereka terhadap petugas Kerajaan, ia bukan
perkara baru. Ibnu Abi Syaibah menceritakan bahawa segerombolan penderhaka di



3

zaman Saidina Ali r.a menangkap Abdullah bin Khabab, seorang pengikut baginda
serta isterinya yang hamil. Abdullah disembelih di tebing sebatang sungai. Isterinya
pula, bukan sahaja dibunuh, tetapi juga dibelah perutnya. Setelah peristiwa ini,
Saidina Ali r.a mengambil keputusan untuk memerangi mereka habis-habisan,
walaupun sebelum itu, baginda berlembut dan memberi tempoh agar mereka
kembali ke jalan yang benar.
Memandangkan perbuatan mereka yang sangat keji, puak penderhaka ini
bukan sahaja dikecam di atas lidah Pembawa Syariat sewaktu hidup, tetapi juga
ketika mereka mati. Kematian mereka disifatkan seperti mati jahiliah
Dalam sebuah Hadis riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
maka sesungguhnya sesiapa yang mengambil langkah penderhakaan terhadap
pemerintah walaupun sekadar sejengkal, mati ia seperti mati jahiliah .
Berasaskan nas-nas syarak dan melalui penelitian terhadap tindak tanduk
mereka, Imam Muhammad bin Al-Husin Al-Aajuri menyatakan dalam bukunya kitab
Al-Syariah, Puak penderhaka adalah golongan yang meluas kejahatannya, najis
lagi keji ..... Tindakan kerajaan memerangi mereka adalah mengikut hukum syarak
seperti yang diperintahkan dalam surah Al-Hujuraat ayat 9, dan juga dalam sebuah
hadis riwayat Muslim yang bermaksud, Sesiapa yang datang kepada kamu sekalian
pada hal kamu berada di bawah pemerintahan seseorang daripada kalangan kamu.
Ia ingin melakukan penderhakaan, maka hendaklah ia dibunuh, tanpa mengira
siapakah orangnya .
6. Memandangkan peperangan menentang puak penderhaka adalah wajib dan
merupakan satu jihad, maka setiap Muslim yang benar imannya tiada pilihan
melainkan bersama Kerajaan dan para mujahiddin yang berjihad di barisan hadapan.
Ini bukan sahaja satu kewajipan tetapi juga untuk mendapatkan keberkatan daripada
kelebihan-kelebihan yang Allah janjikan untuk para mujahid dan juga syuhada,
seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad
) yang bermaksud, Seseorang itu akan bersama dengan orang
yang ia suka



4

Imam Al-Manawi dalam kitabnya Faidh al-Qadir ketika mensyarahkan hadis
ini menyatakan bahawa Sesiapa yang menyukai sesuatu kaum dengan ikhlas, maka
ia akan bersamanya, sama ada daripada segi balasan maupun tempat. Sesiapa
yang ingin mengetahui dimanakah kedudukannya, hendaklah ia melihat bersama
siapakah ia di dunia ini, adakah bersama dengan golongan yang dimuliakan Allah
atau golongan yang dikutuk .
Maka berasaskan maksud hadis di atas, dalam suasana hari ini, setiap
daripada kita berada di persimpangan sama ada memilih untuk bersama para
mujahidin dan syuhada dengan kelebihan-kelebihan yang disediakan Allah untuk
mereka ataupun bersama puak penderhaka yang dikutuk di atas lidah Pembawa
Syariat, dan disifatkan dengan sifat-sifat yang keji seperti Kilabunnar (anjing-anjing
neraka), syiraar ummati (sejahat-jahat umat ini), mati jahiliah dan sebagainya.
Allah Subhanahu wa Taala yang Maha Adil akan memberi ganjaran mengikut pilihan
masing-masing. Di awal tulisan ini saya sebutkan bahawa persoalan hukum syarak
membabitkan akidah selain daripada amalan. Menurut Imam Al-Manawi, sesiapa
yang menghalalkan penderhakaan terhadap pemerintah dengan menggunakan
senjata, ia menjadi kafir kerana menghalalkan perbuatan yang haram dengan dalil
yang qatie dan diijma oleh ulama. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama
para auliya, mujahidin, syuhada dan solihin golongan yang terbaik untuk kita
bersama mereka di dunia dan di akhirat.


DATUK HJ WAN ZAHIDI BIN WAN TEH
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

28 Rabiulakir 1434/11 Mac 2013

You might also like