You are on page 1of 12

25

OUM
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
PENGENALAN
Topik ini akan membincangkan tentang beberapa teori etika yang berpengaruh, seperti
Teori Kemoralan Sosial, Teori Keperibadian Mulia dan Teori Virtue. Selain itu, topik ini
juga akan menerangkan tentang dua jenis teori yang berlawanan antara satu sama lain,
iaitu Teori Teologikal dan Teori Deontologikal. Dua jenis teori ini adalah amat penting
untuk difahami kerana ia menerangkan tentang perbezaan tumpuan yang diberikan dalam
mengenalpasti tindakan yang bermoral oleh individu-individu yang berlainan.
Sesungguhnya, sekiranya konsep etika dan kemoralan tidak diperjelaskan, pasti sukar
untuk guru-guru mengajar Pendidikan Moral kerana proses untuk mewujudkan insan
terdidik dan matang dari segi moral adalah rumit dan memerlukan kepakaran yang
sewajarnya.
PETA MINDA
OBJEKTIF
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. mengenalpasti teori-teori etika seperti teori kemoralan sosial, teori keperibadian
mulia dan teori virtue;
2. menganalisis teori-teori etika dan mengaplikasikannya dalam Pendidikan Moral;
3. membincangkan prinsip-prinsip yang terdapat di dalam teori teologikal dan
deontologikal; dan
4. membincangkan perbezaan di antara teori teologikal dan deontologikal.
TEORI-TEORI ETIKA
Teori Kemoralan Sosial
Teori Virtue Teori Keperibadian Mulia
Teori Teologikal Teori Deontologikal
Utilitarianisme
Egoisme Prinsip Kewajipan
Eksistentialis
26
OUM
TOPIK 2
TEORI-TEORI ETIKA
2.1 TEORI KEMORALAN SOSIAL
Manusia hidup berkelompok, maka soal kemoralan sosial menjadi teras dalam kehidupan.
Moral sekular menekankan perlunya kemoralan sosial untuk menjamin manusia terus
hidup dalam keadaan harmoni dan selamat. Manusia terpaksa hidup bermasyarakat untuk
memenuhi keperluan, kehendak dan keinginannya bagi menjamin kelangsungan hidup
(survival). Kemoralan sosial berkait rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri
daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat.
Peraturan masyarakat biasanya menyerupai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai
dan pantang larang. Kesemua ini adalah bagi menjaga kerukunan sosial. Setiap kaum di
negara ini mempunyai adat resam dan pantang larang bagi menjamin keutuhan dan
keharmonian sesebuah masyarakat.
Dalam menilai teori kemoralan sosial, bolehlah dikatakan bahawa jenis etika yang terlalu
berlandaskan peraturan masyarakat ini adalah dogmatik dan autoritarian. Dalam kata lain,
peraturan ini mementingkan masyarakat, bukan individu sebagai matlamat etika. Oleh itu,
mudahlah masyarakat ditentang sebagai melemahkan autonomi serta pertimbangan
bebas dan pilihan sukarela. Peraturan itu juga tidak membenarkan individu menilai dan
mengkritik nilai serta peraturan moral yang telah ditetapkan oleh masyarakatnya. Dalam
bahasa Freud, ego dilemahkan dan tingkahlaku seseorang itu dikuasai super-egonya.
Kemoralan sosial biasanya mendapat sokongan kuat ahli-ahli sosiologi moral bahawa
adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mematuhi pemerintah sebagai
autoriti moral. Emile Durkheim (1961) mengatakan bahawa etika terdiri daripada suatu
sistem peraturan yang ditetapkan terdahulu tentang bagaimana seseorang harus
bertindak dalam sesuatu situasi. Peraturan moral lazimnya menentukan setiap tingkah
laku dan etika boleh menyekat tindakan seseorang. Durkheim (1961) juga menitikberatkan
"disiplin" dan "perasaan masyarakat penyayang". Satu lagi unsur kemoralan sosial ialah
pemahaman individu tentang "order sosial" dan kerelaan mematuhinya.
Kelemahan kemoralan sosial ialah ia bersifat relatif, dimana semua masyarakat atau
komuniti mempunyai peraturan moral masing-masing. Peraturan moral satu masyarakat
boleh bertentangan dengan yang lain. Ini boleh mengakibatkan berlakunya pepecahan
dan membawa kepada ketegangan dan konflik sekiranya setiap masyarakat terlalu agresif
mempertahankan peraturan moral masing-masing.
Selain itu, kemoralan sosial juga mungkin menjadi terlalu ketat dan tidak fleksibel,
contohnya kesukaran menyesuaikan peraturan masyarakat dengan situasi baru dan
semasa. Peraturan yang konservatif dan mutlak tidak dapat membantu dan membimbing
seseorang menghadapi semua dilema moral baru kerana masa dan keadaan sentiasa
berubah.
2.1.1 Teori Keperibadian Mulia
Keperibadian mulia ialah kecenderungan untuk sesuatu tujuan. Ia bukanlah perasaan atau
kebolehan dan kekuasaan manusia merasai, kerana seseorang itu tidak boleh dipuji atau
dikeji dan dikatakan baik atau jahat hanya atas sebab perasaannya atau kerana dia
berupaya merasai. Seterusnya, keperibadian mulia dianggap tidak dihasilkan di dalam diri
seseorang oleh alam semulajadi, yakni tidak dikudratkan atau dilahirkan dengan sifat baik
27
OUM
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
atau jahat. Sebaliknya, cara untuk memperolehi atau memiliki keperibadian mulia adalah
menerusi latihan dan pengamalan sehingga menjadi satu kebiasaan yang menyenangkan
dan menyeronokkan.
Teori ini berkait rapat dengan "kaedah sikap baik" dan sifat-sifat seorang insan moral.
Persoalan yang ditekankan ialah "Apakah yang patut saya jadi?" dan bukan "Apakah yang
patut saya lakukan?" Konsep keperibadian mulia bermula dengan masyarakat Yunani
pada abad ke-4 SM dan salah seorang pelopornya ialah Aristotle. Keperibadian mulia
didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa (excellence). Terdapat dua jenis
keperibadian mulia:
1. Keperibadian mulia intelektual
2. Keperibadian mulia moral
Keperibadian mulia intelektual adalah kebaikan atau keistimewaan akal seperti kebolehan
memahami dan membuat taakulan yang baik. Aristotle menganggap bahawa sifat
intelektual ini boleh dipelajari daripada seorang guru. Sementara itu, keperibadian mulia
moral tidak terhasil dalam seorang individu secara semula jadi, iaitu seseorang itu tidak
dilahirkan dengan sifat baik dan jahat. Mengikut Aristotle, keperibadian mulia mewajibkan
kita bertingkah laku baik. Sifat-sifat ini tidak dipelajari melalui ajaran seorang guru tetapi
menerusi latihan, tindakan-tindakan yang kerap diulang sehingga menjadi satu kebiasaan,
menyenangkan serta menyeronokkan.
Ciri-ciri keperibadian mulia
Seseorang dianggap berkeperibadian mulia sekiranya mempunyai ciri-ciri berikut:
1. Menyedari moral adalah satu kewajipan yang tidak boleh dipersoalkan.
2. Mempunyai keikhlasan dan kejujuran dari segi nilai.
3. Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh melakukan kebaikan dan mengelakkan
keburukan.
4. Berpegang kepada prinsip.
5. Tidak mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan.
6. Sedia menerima dengan tenang sesuatu yang dianggap kesusahan dan
kesengsaraan.
Penjelasan Aristotle menerima banyak kritikan kerana beliau berpendapat bahawa
keperibadian mulia itu bukan sesuatu yang semula jadi ditentang oleh golongan yang
percaya kepada Tuhan. Mereka percaya bahawa sesetengah insan, seperti para nabi dan
rasul, memiliki keperibadian mulia secara semula jadi kerana pemberian dan keredaan
Tuhan. Pemerolehan keperibadian mulia juga boleh diperoleh menerusi pemerhatian dan
pergaulan rapat dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia kerana manusia
dikatakan suka meniru atau mengikut teladan.
Walaubagaimanapun, teori ini menggalakkan supaya mewujudkan insan yang mempunyai
sifat-sifat baik dan terpuji seperti kejujuran, baik hati, amanah dan lain-lain. Namun, adalah
kurang pasti sama ada sifat-sifat mulia wujud secara semula jadi atau mesti dipelajari
melalui pengalaman. Selain itu, teori ini juga menekankan kesederhanaan sikap, tingkah
laku dan sifat-sifat lain serta melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Di sini,
kesederhanaan boleh disalah tafsir sebagai kelemahan dan ketidakprihatinan.
28
OUM
TOPIK 2
TEORI-TEORI ETIKA
Sebagai kesimpulan, walaupun terdapat beberapa pendapat yang mengkritik, teori ini
adalah berguna secara umumnya kerana ia menyarankan manusia supaya menyatukan
taakulan dan emosi serta mengelakkan berlakunya gejala sosial yang tidak sihat,
sekaligus dapat menjamin kebahagiaaan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
2.1.2 Teori Virtue
Etika kebaikan (virtue) memperkatakan tentang penyemaian tret berakhlak mulia dalam
sifat seseorang sebagai antara fungsi asas perlakuan moral. Pilihan yang betul yang
dibuat adalah berdasarkan kepada perasaan tanggungjawab tetapi tidak semestinya
menentukan seseorang itu sebagai seorang yang berakhlak mulia. Seseorang yang
memiliki ethical egoism bertindak kerana hanya melaksanakan tanggungjawab
kadangkala dianggap sebagai tidak ikhlas dan lebih kepada memenuhi keperluan
moralnya.
Sesuatu etika yang berasaskan kepada kebaikan adalah bergantung kepada penilaian
daripada beberapa tret sifat yang terpilih dan seharusnya tidak terkeliru dengan prinsip
atau kenyataan tentang apa yang sepatutnya dilakukan. Etika kebaikan adalah berkaitan
dengan sifat-sifat semulajadi tabiat atau tret yang dimiliki oleh seseorang atau keinginan
yang dimilikinya. Moral kebaikan boleh dikatakan sebagai sifat semulajadi yang kekal,
tabiat atau tret yang berkaitan dengan moral yang terpuji. Dengan kata lain, kebaikan
(virtue) adalah berhubung dengan kualiti dalaman yang dimiliki oleh seseorang dan dilihat
menerusi aktiviti sehariannya. Etika kebaikan adalah berasaskan kepada keadaan
semulajadi daripada apa yang telah dilakukan.
Falsafah tentang kebaikan adalah berbeza dan bergantung kepada kewujudan dalam
kehidupan moral seseorang itu. Agama Kristian menyatakan bahawa kebaikan, kesetiaan,
pengharapan dan kasih sayang sebagai tret utama dalam sifat-sifat yang bermoral. Ini
boleh ditambahkan lagi dengan kearifan, keberanian, kesederhanaan dan keadilan yang
mana merupakan kebaikan yang diperkenalkan oleh para ahli falsafah purba Greek.
Kearifan, keberanian, kesederhanaan dan keadilan merupakan kebaikan utama dan tidak
boleh dipisahkan antara satu sama lain serta moral kebaikan yang lain dipercayai sebagai
cabang daripada kebaikan-kebaikan di atas. Kebaikan yang berkaitan dengan keadilan,
kesetiaan dan mengenang budi juga dipercayai atau merupakan kualiti yang seharusnya
dimiliki dan ditunjukkan oleh seseorang yang bermoral. Dalam islam, kesanggupan meniru
sifat-sifat ketuhanan seperti takwa, keimanan, sabar, ikhlas, jujur, zuhud dan segala sifat
kesempurnaan Allah yang lain merupakan syarat kesempurnaan etika. Pembentukan etika
yang berkesan adalah menerusi hati daripada sebarang perkara lain melainkan Allah dan
pencetusan etika yang terpuji adalah yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta
bertunjangkan akidah, syariah dan akhlak.
Aristotle mengatakan bahawa moral kebaikan secara umumnya adalah ciri-ciri terpuji yang
dimiliki oleh sifat seseorang dan telah wujud dalam diri seseorang. Seorang yang
berakhlak mulia adalah seorang yang mempunyai matlamat dan berada dipertengahan
dan tidak keterlaluan serta mengelakkan tindakan yang berlebihan atau berkurangan.
Imbangan sifat keterlaluan ini ditentukan menerusi tindakan kearifan oleh seseorang yang
mempunyai pengalaman dan mempunyai kemahiran pertimbangan dalam menghadapi
sesuatu situasi yang baru. Seseorang yang memiliki kearifan tahu akan matlamat yang
hendak dituju dan apa yang hendak dicapai dengan memelihara emosi dengan baik dan di
29
OUM
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
samping memperlihatkan imbangan yang sesuai di antara taakulan, perasaan dan
kemahuan.
Dengan yang demikian terdapat sedikit perbezaan antara kebaikan dalam etika dengan
dalam prinsip etika di mana kebaikan dalam etika menfokuskan kepada tret-tret sifat yang
seharusnya dimiliki oleh seseorang dan berpegang kepadanya serta diperlukan dalam
mengarah seseorang itu ke arah tindakan yang beretika dan apa yang seseorang akan
menjadi kelak. Seseorang yang berpegang kepada etika kebaikan seharusnya
mempercayai teori etika bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang yang berakhlak
mulia bukan satu yang dapat melambangkan kewajipan manusia.
Memandangkan Teori Kebaikan (Virtue) tidak menfokuskan kepada tindakan, timbul satu
persoalan: Bagaimanakah teori ini boleh menentukan betul atau salah sesuatu tindakan
itu? Seseorang yang berakhlak mulia kadangkala tidak tahu apa yang seharusnya
dilakukan dalam situasi tertentu kerana dia mungkin tidak tahu akan adanya alternatif lain
ataupun tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang sesuatu perkara. Membuat
penilaian tentang kualiti moral terhadap sesuatu tindakan dengan menilai kualiti moral
seseorang adalah kurang tepat. Malah seseorang yang berakhlak mulia boleh bertindak di
luar sifatnya dan melakukan tindakan moral yang salah dan ini tidak bermakna seseorang
yang berakhlak mulia boleh melakukan kesalahan dan kesalahan tersebut dibenarkan.
Tetapi sekiranya seseorang itu benar-benar berpegang kepada etika kebaikan maka
adalah sukar untuk mengetahui samada tindakan tersebut salah atau tidak.
Etika kebaikan dan prinsip etika saling berkait. Teori etika yang lengkap memerlukan
prinsip yang boleh digunakan untuk menilai tindakan yang bermoral dan mengkhususkan
kebaikan tersebut akan boleh memaparkan ciri-ciri seseorang itu. Berdasarkan kepada
kedua-dua pendekatan, kita boleh mengetahui seseorang itu berakhlak mulia menerusi
tindakannya. Sekiranya untuk melihat kebaikan,kita boleh melihat menerusi tindakan yang
diambil terhadap sesuatu dan dalam persekitarannya.
2.2 TEORI TEOLOGIKAL
Dalam sejarah etika terdapat dua pandangan utama, iaitu Teori Teleologikal
(Consequentialist Theory) dan Teori Deontologikal (Non-consequentialist Theory). Pada
prinsipnya, kedua-dua teori ini bertentangan antara satu sama lain dalam menentukan
nilai-nilai sesuatu perlakuan moral. Tumpuan Teori Teleologikal ialah hasil atau akibat
sesuatu tindakan manakala tumpuan Teori Deontologikal ialah tindakan atau jenis
tindakan itu. Tugas etika adalah menyediakan garis panduan kepada tindakan yang tekal
dengan anggapan umum tentang maksud etika atau moral.
Perkataan teleologikal berasal daripada perkataan Yunani "telos" yang bermaksud
"tujuan" atau "matlamat". Seseorang ahli teleologis akan menentukan sama ada bercakap
bohong adalah betul atau salah melalui akibatnya, tetapi seseorang ahli deontologis akan
Latihan 2.1
Terangkan kekuatan dan kelemahan Teori Kemoralan Sosial.
30
OUM
TOPIK 2
TEORI-TEORI ETIKA
melihat nilai betul salah sesuatu tindakan secara intrinsik, iaitu sama ada berbohong itu
merupakan tindakan baik atau buruk tanpa menilai kesannya.
Teori teleologikal menganggap tindakan atau perbuatan yang membawa kebaikan
bermoral manakala yang mendatangkan keburukan adalah tidak bermoral. Kalau
akibatnya baik, maka wajib dilakukan dan kalau sebaliknya, perbuatan itu tidak harus
dilakukan. Kalau membohong menyelamatkan nyawa seseorang, maka mengikut ahli
teleologis, perbuatan membohong itu adalah betul dan wajib dilakukan. Akibat yang baik
boleh ditafsirkan sebagai kelakuan yang membuat orang lain bahagia dan yang
menguntungkan diri sendiri.
Teori teologi menyatakan bahawa kriteria dan piawai asas tentang sesuatu tindakan atau
peraturan yang benar, baik, salah, jahat dan sebagainya ialah penghasilan nilai bukan
moral yang dianggap baik. Menurut teori ini, kebaikan atau kejahatan ditentukan oleh nilai
instrumentalnya. Sebagai contoh, sesuatu tindakan dianggap bermoral jika jumlah
kebaikan yang dihasilkan melebihi kejahatan. Bagaimanapun, ahli-ahli teologi mempunyai
pandangan yang berbeza tentang apa yang dikatakan baik dan jahat serta kebaikan siapa
yang hendak dimajukan. Ini menyebabkan wujudnya beberapa jenis teori teologi yang
berbeza seperti utilitarianisme dan egoisme.
2.2.1 Utilitarianisme
Diasaskan oleh Jeremy Bentham (1748-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873),
utilitarianisme berasal daripada perkataan "utility" yang bermaksud "berguna" atau
"kegunaan". Doktrin moral ini mengkehendaki kita supaya sentiasa bertindak untuk
menghasilkan kebaikan/keseronokan maksima kepada bilangan orang yang sebanyak
mungkin atau semua pihak yang terlibat.
Teori ini ialah salah satu aliran dalam teleologis (iaitu teori akibat). Mereka memandang
akibat dan natijah baik sebagai matlamat kerja mereka. Ianya diasaskan oleh pemikir
Jerman iaitu Jeremy Benthan (1784-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873). Mereka
bermaksud kebaikan yang dimaksudkan ialah yang terbaik dan untuk dinikmati oleh
seramai mungkin faedah tindakan itu. Bagi mereka ungkapan seperti jangan menipu dan
tepatilah janji adalah sesuatu yang umum. Hal ini boleh dilanggar sekiranya ada kebaikan
yang lebih besar. Teori ini mengakibatkan manusia mula menjadi alat atau komoditi sains.
Mereka ingin berfikir semaksima yang mungkin untuk memudahkan manusia dengan
mengabaikan beberapa nilai moral yang dikatakan sebagai teori umum. Teori ini telah
diserapi dengan nilai machiavellian iaitu matlamat menghalalkan cara. Walaubagaimana
pun, sikap menepati janji dan berkata benar yang melampau sehingga memusnahkan
masyarakat dan sistem pemerintahan Islam juga adalah dilarang dalam Islam. Berjanji
dengan golongan musuh, bercakap benar dengan musuh secara jelas dilarang di dalam
banyak ayat Al Quran. Hal ini sebenarnya memerlukan pertimbangan semasa. Hal inilah
yang menjadikan Islam sebagai agama yang waqiiyyah (mengikut zaman dan tempat).
Etika utilitarianisme berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu sepatutnya
melakukan tindakan yang akan menghasilkan kebaikan yang paling banyak kepada setiap
orang atau kebahagiaan yang paling banyak kepada sejumlah insan yang paling ramai.
Disini, kebahagiaan yang dimaksudkan ialah keseronokan, iaitu sesuatu yang bukan
bersifat moral. Pengukuran keseronokan (dan kesengsaraan) dilakukan melalui Kalkulus
Hedonistik Bentham. 7 elemen mesti ditimbangkan dalam kalkulus ini iaitu:
31
OUM
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
1. Kedalaman (Intensity) Berapa dalamkah kesan pengalaman terhadap setiap
orang?
2. Kelamaan (Duration) Berapa lamakah keseronokan atau kesengsaraan
akan berlangsung?
3. Kepastian (Certainty) Berapa pastikah timbulnya keseronokan dan
kesengsaraan dari sesuatu tindakan?
4. Kesegeraan (Propinquity) Berapa cepat?
5. Kesedaran (Fecundity) Bagaimanakah kemungkinan perasaan seronok di
masa depan?
6. Keberkesanan (Purity) Bagaimanakah kemungkinan perasaan sengsara di
masa depan?
7. Had (Extent) Berapa banyak kesengsaraan dan keseronokan
dihasilkan dalam kehidupan orang lain?
Contoh pengiraan: Merompak seorang warga tua kerana memerlukan wang membaiki
kereta.
Jadual 1.1
Elemen Warga Tua Perompak
Kedalaman (Intensity) -10 +2
Kelamaan (Duration) -10 -2
Kepastian (Certainty) -10 +7
Kesegeraan (Propinquity) -10 +8
Kesedaran (Fecundity) +1 +10
Keberkesanan (Purity) -8 -4
Had (Extent) -2 +2
Jumlah -49 +23
Dengan berdasarkan jadual di atas, Bentham mengatakan bahawa merompak adalah
salah kerana ia menghasilkan lebih banyak kesengsaraan dari keseronokan.
Pandangan Utilitarianisme terbahagi kepada dua, iaitu Utiliarianisme Tindak dan
Utiliarianisme Peraturan. Mengikut Utilitarianisme Tindak, setiap orang patut melakukan
tindakan yang akan membawa kebaikan maksima untuk setiap orang yang dipengaruhi
oleh tindakan itu. Peraturan tidak diperlukan untuk tindakan kerana setiap situasi dan
orang adalah berlainan. Setiap orang mentafsirkan situasi dirinya dan menentukan
tindakan yang manakah akan membawa sebanyak mungkin akibat yang baik bagi setiap
orang yang terlibat dalam situasi itu.
Namun, terdapat kelemahan dalam Utilitarianisme Tindak, dimana adalah sukar untuk
menentukan akibat baik bagi orang lain dan semua pihak. Ia juga adalah tidak praktik
untuk bermula semula dalam setiap situasi; setiap situasi memerlukan penilaian baru, dan
tiada penilaian yang boleh digunakan untuk semua situasi. Selain itu, dengan
32
OUM
TOPIK 2
TEORI-TEORI ETIKA
menggunakan teori ini, adalah sukar untuk mendidik kanak-kanak atau orang jahil kerana
ia tidak mempraktikkan penggunaan peraturan, hanya perkiraan sahaja.
Manakala Utilitarianisme Peraturan pula menyatakan bahawa setiap orang patut
membentuk dan mengikut suatu peraturan atau peraturan-peraturan yang akan membawa
kebaikan maksima bagi semua orang terlibat. Pendukung teori ini percaya terdapat niat,
tindakan dan situasi manusia yang serupa untuk mewajarkan pembentukan peraturan
yang akan diaplikasikan kepada semua orang dalam apa jua situasi. Contohnya, setelah
ditentukan bahawa membunuh akan membawa lebih banyak keburukan daripada
kebaikan bagi pihak teramai dan dalam situasi terbanyak maka pembunuhan tidak harus
dilakukan kecuali dalam keadaan tertentu seperti mempertahankan diri.
Kelemahan dalam Utilitarianisme Peraturan ialah sukar untuk menentukan akibat baik bagi
orang lain dan semua pihak. Di samping itu, peraturan sejagat adalah sukar untuk
dilaksanakan tanpa pengecualian tertentu dalam banyak aspek.
2.2.2 Egoisme
Egoisme Psikologikal
Mengikut teori ini,
(i) manusia sentiasa bertindak demi kepentingan diri kerana dibentuk secara mental
untuk berbuat demikian; dan
(ii) terdapat orang yang kerap, tetapi tidak selalu, bertindak demi kepentingan.
Egoisme Etika
Egoisme Etika adalah bersifat normatif. Ia terbahagi kepada 3 bentuk iaitu:
1. Egoisme etika individu
Setiap orang patut bertindak untuk kepentingan saya.
2. Egoisme etika personal
Menentukan apa yang harus dilakukan oleh orang lain.saya patut bertindak untuk
kepentingan diri sendiri tetapi saya tidak berhak.
3. Egoisme universal
Setiap orang patut bertindak demi kepentingan diri kecuali kepentingan orang lain juga
memenuhi kepentingannya.
Latihan 2.2
Apakah prinsip etika Utilitarianisme?
33
OUM
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
2.3 TEORI DEONTOLOGIKAL
Dalam membuat pertimbangan tentang etika dan moral, seseorang itu tidak sahaja
membuat penilaian terhadap tindakan seseorang samada betul atau salah, ia juga perlu
membuat penilaian dari segi perwatakan yang baik atau buruk. Kritikan dibuat adalah
secara positif atau negatif dan bukan setakat berdasarkan kepada apa yang dilakukan
tetapi siapa mereka dan apakah perwatakan dalaman yang dipamerkan. Atas alasan ini,
Teori Deontologikal telah diperkenalkan.
Deontologi berasal dari perkataan Yunani "deon" yang bermaksud "yang diharuskan atau
diwajibkan". Teori ini menegaskan bahawa betul atau salahnya sesuatu tindakan itu tidak
berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan tersebut. Seperti Teori
Teleologikal, terdapat beberapa jenis Teori Deontologi iaitu Deontologi Tindak (Act) -
Eksistensialisme (Etika Situasi) dan Deontologi Peraturan (Rule) - Prinsip Kewajipan.
Deontologi selalu dikaitkan dengan Immanuel Kant, seorang ahli falsafah German (1724-
1804) yang pernah mengajar di University of Konigsberg di bahagian barat Rusia. Kant
percaya bahawa apa yang memberi nilai moral kepada sesuatu tindakan bukan akibatnya
kerana akibat-akibat tindakan kita tidak sentiasa berada di bawah kawalan kita. Akan
tetapi motif (niat) tindakan kita adalah di bawah kawalan kita dan, oleh itu, kita harus
bertanggungjawab secara moral atas motif kita untuk membuat kebaikan atau keburukan.
2.3.1 Eksistensialisme
Jean Paul Satre adalah pelopor utama dalam eksistensialisme. Eksistensialisme
melemahkan peraturan tradisional dan mutlak yang berfungsi sebagai panduan moral.
Bagi eksistensialisme, kemoralan berasaskan andaian "kebebasan". Menurut Satre, jika
individu mematuhi peraturan masyarakat secara buta tuli, dia mempunyai pandangan
"mitologi" yang menjejaskan kebebasannya. Mitos ini mesti dihapuskan dari alam
kemoralan.
Tidak dapat dinafikan bahawa individu tidak dapat membuat apa-apa terhadap hakikat
bahawa dia telah lahir, bagaimana dia lahir, dalam abad berapa dia lahir, ibu bapanya dan
lain-lain, tetapi dia boleh menentukan bagaimana dia hendak hidup. Individu mesti
bertanggungjawab terhadap pertimbangan dan tingkah laku moralnya sendiri. Aspek ini
sama dengan pandangan Heideggar yang memperkenalkan konsep "kewujudan sah".
Kewujudan ini merujuk kepada individu membuat pilihan dan keputusan moral yang tulen
dan tidak membenarkan dirinya dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan orang lain
dalam membuat pilihan dan keputusan moral. Apabila individu itu membenarkan orang
lain membuat pilihan moral untuk dirnya, dia dianggap berada dalam kewujudan yang
tidak sah.
Golongan eksistensialisme menitikberatkan kebebasan memilih dalam situasi yang
mereka berada. Terdapat tiga bentuk kebebasan:
1. Kebebasan jasmani
2. Kebebasan kehendak
3. Kebebasan moral
34
OUM
TOPIK 2
TEORI-TEORI ETIKA
Kebebasan moral bermaksud kebebasan bertindak tanpa amanah, paksaan dan larangan.
Mengikut eksistensialisme, seseorang itu merasakan kewajipannya bukan suatu yang
dipaksa dari luar, tetapi sesuatu yang dikehendaki olehnya sendiri. Dengan menjauhi
semua prinsip dan peraturan moral, individu mesti menggunakan kebebasannya untuk
mendapat fakta yang betul berhubung dengan situasi yang dihadapinya, iaitu menilai
secara teliti situasi berkenaan, kemudian membuat pilihan dan keputusan moralnya
sendiri. Eksistensialisme menekankan pilihan terus daripada sumber asal.
2.3.2 Prinsip Kewajipan
Menurut Kant, prinsip kemoralan ialah kewajipan. Kecuali atau tekad baik, tiada yang baik
tanpa syarat. Tekad baik diterangkan sebagai taakulan praktikal (keupayaan untuk
melaksanakan prinsip atau peraturan). Kant menyatakan bahawa "bakat minda"
seseorang seperti kecerdasan, kebijaksanaan dan pertimbangan; "hadiah atau pemberian
alam" seperti kekuasaan, kekayaan, dan kehormatan, dan "ciri watak" seperti keberanian,
ketabahan hati, dan sifat-sifat lain memang baik dan diingini dalam banyak hal atau
perkara. Walaupun begitu sifat-sifat ini tidak boleh dianggap baik tanpa syarat.
Tumpuan diberi dan diletak atas niat, tujuan dan motif seseorang, dan bukan atas apa
yang dilakukannya. Motif yang menjadikan sesuatu tekad itu baik bukanlah cita rasa,
kemahuan atau kecenderungan semula jadi. Sesuatu tindakan akan mempunyai nilai
moral apabila dilakukan dengan kerelaan dan seseorang itu akan mempunyai kerelaan
hati jika motif tindakannya ialah satu tanggungjawab moral yang diakui. Satu-satu tindakan
yang dianggap betul dari segi moral tidak dianggap memadai jika ia dilakukan semata-
mata untuk kepentingan diri.
(a) Kategorikal Imperatif
Kewajipan atau undang-undang mutlak dikenali sebagai satu set prinsip moral iaitu
Kategorical Imperatif atau perintah mutlak/tanpa syarat. Prinsip moral yang ditetapkan
oleh individu itu mestilah juga dipatuhi oleh orang lain. Individu itu mestilah bertindak
sebagaimana dia inginkan orang lain bertindak terhadapnya.
(b) Praktikal Imperatif
Satu lagi formula yang penting ialah Praktikal Imperatif yang menyatakan bahawa
kemanusiaan hendaklah sentiasa menjadi matlamat dan bukan alat perlakuan individu.
Kemanusiaan adalah suatu nilai intrinsik manusia.
Secara keseluruhannya, terdapat beberapa kelemahan dan kekuatan dalam Teori
Deontologikal. Pertamanya, teori ini menyarankan supaya melahirkan insan yang
patuh dan taat kepada kewajipan, peraturan, undang-undang dan agama, tetapi
bolehkah kita mengetepikan akibat daripada suatu tindakan di dalam menentukan satu
sistem moral yang berkesan? Keduanya, mewujudkan individu yang
bertanggungjawab terhadap dirinya. Akan tetapi, apakah faedah sesuatu sistem moral
itu kalau tidak membawa akibat baik terhadap diri kita sendiri, orang lain dan kedua-
duanya? Dan ketiganya, sifat ikhlas adalah dasar utama teori ini. Tanpa kerelaan dan
keikhlasan sesuatu tindakan tiada nilainya. Namun, apa gunanya mengamalkan
sistem moral yang begitu rigid sedangkan ia tidak semestinya boleh membawa
kebaikan pada masa-masa tertentu?
35
OUM
TOPIK 2 TEORI-TEORI ETIKA
Kewajipan Prima Facie
Sir William David Ross (1877-1940) bersetuju dengan Kant bahawa kemoralan pada
asasnya tidak patut berdasarkan akibat tindakan kita tetapi beliau tidak bersetuju dengan
kemutlakan teori-teori Kant. Ross percaya bahawa terdapat kewajipan prima facie tertentu
yang patut kita sentiasa patuhi kecuali apabila keadaan atau alasan yang serius
memerlukan kita buat yang berlainan.
Prima facie = ("at first glance" atau "on the surface of things")
Kewajipan prima facie Ross termasuk mengatakan kebenaran, menunaikan janji,
mengakui kebaikan yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita, mengamalkan keadilan
dan tidak mencederakan orang lain, dan lain-lain. Seperti Kant, Ross percaya terdapat
peraturan yang patut dipatuhi oleh manusia kerana ini adalah obligasi manusia
melakukannya.
RUMUSAN
Setelah mengakhiri tajuk ini, diharap anda dapat memahami beberapa teori-teori etika
yang penting untuk memahami sistem pendidikan moral di Malaysia. Di samping itu,
penerangan tentang Teori Teologikal dan Teori Deontologikal serta perbezaannya diharap
dapat membantu anda dalam menentukan yang mana adalah lebih signifikan dalam
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral.
UJIAN 1
1. Terangkan maksud Utilitarianisme.
Nyatakan prinsip yang ditegaskan oleh Utilitarianisme.
2. Berikan definisi kemoralan sosial.
UJIAN 2
1. Terangkan perbezaan di antara Teori Teologikal dan Teori Deontologikal.
2. Jelaskan tentang teori Virtue.
Latihan 2.3
Mengapakah Teori Deontologikal terbahagi kepada dua, iaitu
Eksistentialisme dan Prinsip Kewajipan?
36
OUM
TOPIK 2
TEORI-TEORI ETIKA
BIBLIOGRAFI
Ausubel, D.P. (1968). Educational Psychology: A Cognitive View. New York: Hoet,
Rinehart & Winston.
Mohammed Sani Ibrahim. (1998). Perancangan Dan Strategi Pelaksanaan Latihan Guru-
Guru Sekolah Bestari. Proseding Seminar Isu-isu Pendidikan Negara. Universiti
Kebangsaan Malaysia.November .26-27
Wittrock, M.C. (1986). The Cognitive Movement in Education. Educational Psychologist,
13, 15-29.

You might also like