You are on page 1of 14

52

OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN
PENDIDIKAN MORAL
PENGENALAN
Topik ini akan menerangkan bagaimana seorang anda boleh melaksanakan sesuatu
sukatan pelajaran yang diberikan dalam bilik darjah dengan cara yang berkesan. Dari segi
pedagogi, anda perlu memilih strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk
mencapai objektif tertentu. Pemilihan ini bergantung kepada pemilihan pendekatan
pengajaran yang sesuai, dimana ia akan dibincangkan dalam tajuk ini.
Terdapat pelbagai pendekatan pendidikan moral yang dilaksanakan dalam beberapa
program pendidikan moral di seluruh dunia. Pendekatan-pendekatan ini boleh dianggap
sebagai satu bahan sumber rujukan yang boleh diubahsuai untuk keperluan guru-guru di
sekolah-sekolah di Malaysia.
PETA MINDA
PENDEKATAN
PENGAJARAN
Pengenalan dan Kepentingan
Pendekatan Pendidikan Moral
Analisis Tujuh
Pendekatan-pendekatan
Pendekatan Pemupukan Pendekatan
Pendekatan Pendekatan Tindakan
Pendekatan Moral Pendekatan Penjelasan Nilai
Pendekatan Analisis Nilai
53
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
OBJEKTIF
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. mengenalpasti pendekatan yang sesuai untuk dilaksanakan di dalam kelas yang
mempunyai pelajar dengan stail pembelajaran yang berbeza;
2. membezakan di antara satu pendekatan dengan pendekatan yang lain;
3. menggabungkan satu pendekatan dengan pendekatan yang lain mengikut
kesesuaian pelajar atau topik pengajaran; dan
4. mengaplikasikan penggunaan pendekatan-pendekatan yang telah dipelajari di
dalam rancangan mengajar.
4.1 PENGENALAN DAN KEPENTINGAN PENDEKATAN
PENDIDIKAN MORAL
Pendidikan moral di sekolah bertujuan untuk membentuk pelajar berperibadi mulia melalui
pemupukan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Untuk
mencapai hasrat ini guru dicadangkan menggunakan beberapa pendekatan dalam proses
pangajaran dan pembelajaran pendidikan moral supaya proses pemupukan, penghayatan
dan amalan nilai-nilai murni berlaku dengan berkesan.
Pada asasnya, terdapat tiga pendekatan berfalsafah bagi pendidikan moral iaitu
tradisional (absolutis), subjektivis (relativis) dan rasionalis. Para tradisionalis menegaskan
pemupukan nilai, iaitu pengajaran satu set peraturan moral yang kekal dan telah diterima
secara langsung oleh masyarakat. Pendekatan ini berpusatkan arahan secara langsung
mengenai set peraturan moral dalam masyarakat untuk diterima dan dipatuhi oleh pelajar-
pelajar tanpa sebarang soalan. Dengan ini, keamanan dapat dikekalkan kerana sikap dan
tingkahlaku moral yang diingini akan tercapai. Ciri utama pendekatan ini adalah latihan
moral dan pembentukan watak, dimana seseorang yang berpendidikan moral ialah
seorang yang dapat mengenalpasti kebenaran dalam nilai-nilai dan bertindak berdasarkan
pengetahuannya. Namun begitu, pendekatan ini telah dikritik kerana pandangannya
terhadap ciri-ciri moral dan pengetahuan moral sebagai sesuatu yang telah ditentukan dan
bersifat kekal adalah tidak sesuai dalam beberapa konteks, seperti apabila berlakunya
perubahan dalam masyarakat.
Relativis menyatakan bahawa nilai-nilai moral adalah arbitrari dan tidak sempurna, dan
menolak pandangan bahawa keputusan moral perlu berdasarkan kepada kod moral yang
sempurna. Mereka menerima nilai-nilai moral sebagai sesuatu yang sentiasa berubah
dalam masyarakat yang berlainan dan mungkin juga berubah mengikut masa dalam
masyarakat yang sama. Contohnya, kemajuan dalam bidang teknologi telah membawa
perubahan sosial dan nilai. Berbanding dengan latihan pembentukan watak dalam
pendekatan tradisional, ciri utama pendekatan subjektivis ialah memberikan pemikiran
terbuka. Setiap individu disarankan atau diminta supaya memberi perhatian kepada ciri-ciri
situasi atau konteks yang berkaitan dan tidak terkongkong dengan prinsip-prinsip dan
peraturan-peraturan moral yang asas dalam membuat keputusan moral mereka. Akan
tetapi, inilah aspek yang tidak diterima oleh para rasionalis.
54
OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
Para rasionalis tidak menolak sepenuhnya peraturan yang telah ditetapkan oleh
tradisionalis dan subjektivis, tetapi mereka menitikberatkan penggunaan sebab-sebab
yang munasabah dalam membuat keputusan dan tindakan moral dalam peraturan-
peraturan tersebut. Dalam kata lain, seseorang boleh menolak atau menerima peraturan
tertentu berdasarkan pada situasi tertentu dan merit. Pendekatan ini menyarankan
pembentukan tabiat, khususnya dalam perkembangan aspek moral kanak-kanak yang
memainkan peranan penting. Para rasionalis juga menerima kedudukan psikologi dan
pedagogi bahawa kanak-kanak perlu dilatih dalam tingkahlaku tertentu, dimana mereka
akan menerima peraturan-peraturan sebagai satu tabiat rasional sehingga mereka
berupaya untuk berfikir secara matang dan kritikal mengenai alternatif-alternatif rasional
kepada peraturan-peraturan tersebut.
Pendekatan pengajaran pendidikan moral dibentuk berdasarkan kepada teori-teori
pembelajaran yang berkaitan dengan proses perkembangan moral dan pembentukan
sahsiah individu. Melalui pendekatan ini kita dapat melihat cara penggunaan teori-teori
pembelajaran yang berkaitan dengan moral dalam teknik pengajaran dan pembelajaran.
Dengan menguasai pendekatan ini, guru dapat memilih teknik-teknik pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai. Semasa memilih sesuatu teknik, guru juga perlu
mengambilkira tahap-tahap kematangan pemikiran moral pelajar, kesesuaian nilai, situasi
dan isu moral yang hendak disampaikan dalam sesuatu pengajaran.
4.2 ANALISIS PENDEKATAN-PENDEKATAN PENDIDIKAN
MORAL
Berpandukan pendekatan berfalsafah yang diterangkan di atas, beberapa pendekatan
pendidikan moral telah dikenalpasti untuk membantu guru dalam usaha melaksanakan
proses pemupukan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sekolah
di Malaysia. Antara pendekatan itu adalah:
1. Pemupukan Nilai
Pemupukan nilai adalah satu pendekatan yang bertujuan untuk menanamkan set nilai
budaya masyarakat ke dalam diri ahli masyarakatnya bagi menjalin kesinambungan
budaya masyarakat tersebut.
Set nilai ini dianggap sebagai standard atau peraturan-peraturan tingkah laku moral
yang dianggap mulia patut diamalkan atau kehidupan hariannya sama ada secara
peribadi atau dalam hubungannya dengan orang lain.
Dalam konteks pendidikan moral, pendekatan ini membolehkan pelajar dipupuk
dengan nilai murni masyarakat Malaysia yang merupakan pola-pola perlakuan positif
untuk amalan seseorang. Pendekatan ini juga membolehkan nilai murni dipupuk
secara langsung dengan memberi justifikasi moral mengapa nilai murni tersebut patut
dihayati dan diamalkan. Pendekatan permupukan nilai boleh dilaksanakan melalui
beberapa cara seperti berikut:
Latihan 4.1
Apakah perbezaan antara pendapat-pendapat absolutis, relativis dan
rasionalis?
55
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(a) Melalui contoh teladan daripada tokoh-tokoh sejarah, lagenda, kesusateraan atau
yang lebih dekat lagi seperti tokoh negara dan komuniti, ibu bapa, guru serta rakan
sebaya.
(b) Pengukuhan perlakuan positif melalui pengajaran dan dendaan di mana pelajar
diberi pengukuhan kepada tingkah laku yang baik dan mengelak daripada
melakukan tingkah laku negatif.
(c) Penerangan dan manipulasi di mana guru memberi keterangan serta
memanipulasi keadaan atau pengalaman yang dialami oleh pelajar supaya mereka
terpengaruh dan menerima dengan baik sesuatu nilai yang dikehendaki.
Teknik yang sesuai untuk melaksanakan pendekatan ini adalah seperti berikut:
(a) main peranan;
(b) simulasi;
(c) cerita;
(d) lakonan; dan
(e) permainan.
Pendekatan ini lebih sesuai untuk peringkat menengah rendah kerana pada peringkat
ini pelaja biasanya sanggup menerima arahan guru. Bagaimanapun guru harus
berhati-hati dalam melaksanakan pendekatan ini agar tidak bersikap autokratik kepada
pelajar. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada menggunakkan pendekatan ini
untuk tujuan propaganda sesuatu fahaman atau agama.
2. Pendekatan Bertimbang Rasa
D. P. Superka (1976) menyatakan bahawa kaedah pemupukan nilai dalam pendidikan
moral adalah bertujuan untuk mempengaruhi atau menanamkan ke dalam diri pelajar
beberapa nilai tertentu yang dikehendaki; yang mana nilai-nilai itu pula dipandang
sebagai standard atau peraturan-peraturan tingkahlaku yang berpunca daripada
budaya atau masyarakat. Oleh itu, proses dalam mana nilai-nilai itu diperolehi telah
dihubungkan dengan diri seseorang, kumpulan atau masyarakat. Sebagai satu kaedah
dalam pengajaran nilai, pendekatan ini mempunyai rasional yang teguh, telah terbukti
keberkesanannya dan amat popular di tahun-tahun 1920-an.
H. Lasswell 91976) mengelarkan kaedah ini sebagai bag of virtue approach, iaitu satu
kaedah yang digunakan dalam pendidikan tingkahlaku yang mengajar pola-pola
perlakuan yang positif bagi amalan seseorang.
McPhail dan rakan-rakannya (1973) telah menyatakan bahawa bagi membantu pelajar
sekolah menengah bersikap prihatin terhadap orang lain, mereka perlu belajar
membuat pilihan supaya tindakkannya tidak menyinggung perasaan orang lain. Dalam
pendekatan ini, sikap prihatin merujuk kepada tiga perkara berikut:-
(a) bertimbang rasa dan peka kepada keperluan, perasaan serta kepentingan kendiri
dan orang lain;
(b) belajar memahami pendapat-pendapat yang berbeza dan bersifat empati; dan
(c) belajar menyesuaikan diri dengan orang lain.
Proses membuat pilihan pula mengandungi tiga unsur berikut:
56
OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(a) mengenal pasti pilihan;
(b) menimbang kesan-kesan pilihan; dan
(c) membuat keputusan yang bersesuaian sengan apa yang dihargai oleh diri sendiri
dan orang lain.
Pendekatan ini memberi fokus kepada konsep bertimbang rasa yang dikatakan
menjangkau konsep membuat pertimbangan seperti yang terdapat dalam pendekatan
lain yang hanya tertumpu kepada menganalisis peraturan dan moral.
Projek ini telah menghasilkan tiga set bahan pengajaran yang dilaksanakan secara
berurutan.
(a) In other peoples shoes
Bahan ini menyentuh situasi yang melibatkan hubungan biasa antara induividu
dengan individu. Dalam mengkaji isu ini pelajar perlu menentukan:
(i) apa yang perlu dilakukan;
(ii) menimbang apa yang kesan dan akibat tindakannya,
(iii) memahami pandangan orang lain tentang konflik
Contoh konflik dalam situasi adalah isu jantina, umur, bangsa, budaya dan politik.
(b) Proving the rule
Melalui bahan ini pelajar dirangsang untuk mengenal pasti peraturan, harapan dan
tekanan supaya mereka dapat belajar menyesuai diri dengan keadaan tersebut
sesuai dengan pegangan nilai mereka. Situasi yang dikemukakan adalah
mengenai hubungan seseorang individu dengan orang lain, di rumah, sekolah dan
kawasan sejiran serta konflik-konflik yang wujud dari hubungan tersebut.
(c) What would you have done
Bahan ini merupakan hasil kajian kes yang dijalankan tentang beberapa masalah
budaya di seluruh dunia yang berlaku sekitar abad 20. Situasi yang dikemukan
lebih kompleks dan berkait dengan beberapa tanggungjawab, konflik ras, bencana,
sikap penyayang dan masalah dadah.
Pendekatan ini boleh dilaksanakan mengikut langkah-langkah berikut:
(i) mengemukakan situasi moral sama ada dalam konteks perhubungan
peribadi, kepentingan kumpulan, autoriti atau isu-isu semasa.
(ii) mencari alternatif tindakan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi
dengan menggunakan fakta-fakta dan penaakulan.
(iii) mentafsirkan kesan alternatif tindakan ke atas diri sendiri dan orang lain.
(iv) membuat keputusan setelah mempertimbangkan kesan ke atas diri sendiri
dan orang lain dengan memberi keutamaan kepada keperluan, perasaan
serta kepentingan orang lain.
Teknik yang dicadangkan bagi pendekatan ini adalah seperti berikut:
(a) simulasi;
(b) perbahasan;
57
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(c) perbincangan;
(d) projek;
(e) kajian kes;
(f) temuramah;
(g) main peranan; dan
(h) drama.
Pendekatan bertimbang rasa menggalakkan seseorang melakukan pemerhatian dan
memahami semua isyarat komunikasi, lisan dan bukan lisan, ke arah meyedari
keperluan, perasaan dan kepentingan orang lain. Pendekatan ini juga dapat memupuk
sikap amalan hidup bertimbang rasa di kalangan pelajar dalam kehidupan seharian.
Dalam mengendalikan pendekatan ini guru seharusnya memilih situasi moral yang
dapat mencetuskan tindakbalas emosi pelajar. Walaupun pendekatan ini
mengambilkira penggunaan pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan moral,
ia lebih memberi tumpuan kepada emosi pelajar. Oleh itu guru disaran
menggabungjalinkan pendekatan ini dengan pendekatan yang lebih berbentuk kognitif.
3. Pendekatan Rasional
Pendekatan ini dipelopori oleh Shaver dan Strong (1976) yang memberi penekanan
kepada proses penaakulan dan kemahiran membuat analisis terhadap nilai-nilai yang
diperlukan oleh seseorang warganegara dalam masyarakat demokrasi.
Kerangka teori pendekatan ini mengandungi tiga bahagian iaitu:
(a) Tanggapan tentang maksud nilai
Nilai boleh dianggap sebagai suatu konsep, berdimensi dan tidak semestinya
dinyatakan secara ekspilisit. Nilai digunakan untuk membuat justifikasi terhadap
sesuatu pertimbangan. Oleh kerana itu konflik antara nilai tidak dapat dielakkan.
Adalah penting bagi pelajar mengkaji makna nilai dan fungsi pegangan nilai
seseorang. Dengan berbuat demikian seseorang itu bukan sahaja menguji
pegangan nilainya sendiri tetapi juga mengaitkannya dengan pegangan nilai orang
lain.
(b) Tanggapan tentang maksud demokrasi
Fahaman tentang demokrasi perlu dikaitkan dengan prinsip kemuliaan diri yang
bermaksud bahawa setiap individu mempunyai harga diri dan peranan masing-
masing dalam masyarakat. Ini bererti setiap individu adalah makhluk berakal dan
mempunyai kebolehan membuat pilihan yang rasional dan munasabah. Dengan itu
guru dan pelajar perlu memahami dimensi nilai dalam masyarakat demokrasi
seperti kebebasan, keadilan, toleransi, perpaduan dan semangat bermasyarakat.
(c) Tanggapan tentang pendidikan moral dalam masyarakat demokrasi
Dalam masyarakat demokrasi, pendidikan moral seharusnya berfokus kepada
penggunaan penaakulan dan hak-hak seseorang individu membuat sesuatu pilihan
secara bebas dan berautonomi.
Pendekatan ini dapat dilaksanakan mengikut langkah-langkah berikut:
(i) mengenal pasti jenis-jenis nilai, menjelskannya dan mencari perhubungan
antara nilai tersebut;
58
OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(ii) membentuk pernyataan di mana pelajar akan mengaitkan pegangan nilai
kendiri dengan nilai-nilai yang lebih umum dan yang diterima oleh masyarakat
demokrasi;
(iii) menganalisis nilai di mana pelajar menimbangkan kesan dan akibat yang
mungkin berlaku ke atas keputusan moral yang diambil;
(iv) membuat justifikasi kepada keputusan moral yang diambil dengan menyatakan
kriteria dan keutamaan serta membandingkan dengan pegangan nilai orang
lain; dan
(v) mengembangkan komitmen emosi moral pelajar supaya dapat hidup lebih
harmonis dalam masyarakat demokrasi.
Teknik yang dicadangkan bagi pendekatan ini adalah seperti berikut:
(a) perbahasan
(b) pidato
(c) forum
(d) projek
(e) perbincangan
Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar membina kemahiran berfikir secara
rasional. Selain daripada itu ia juga dapat mengembangkan komitmen emosi moral
supaya dapat menerima amalan hidup masyarakat demokrasi. Oleh kerana konsep
dan nilai demokrasi yang dikemukakan merujuk kepada sistem demokrasi di Amerika
Syarikat, guru harus menyesuaikan konsep dan nilai demokrasi tersebut mengikut
amalan sistem demokrasi di Malaysia.
4. Pendekatan Tindakan Sosial
Pendekatan ini memberikan peluang yang tertentu kepada pelajar untuk bertindak
keatas nilai-nilai kendiri sebagai agen moral. Sebagai agen moral, ia perlu
mempertimbangkan apakah yang sepatutnya dibuat dalam situasi yang melibatkan
konflik. Konflik ini mungkin berlaku di antara kepentingan diri dan kepentingan orang
lain, atau di antara hak-hak seseorang individu dalam konflik itu. Pendekatan ini tidak
melibatkan pembelajaran di bilik darjah sahaja bahkan di luar bilik darjah juga. Nilai-
nilai yang diperlihatkan mempunyai sumber-sumber yang lebih luas iaitu bukan sahaja
di dalam sesebuah masyarakat ataupun pada diri seseorang individu tetapi meliputi
interaksi antara individu dan masyarakat secara keseluruhannya. Pendekatan tindakan
sosial berbeza daripada pendekatan-pendekatan lain iaitu seseorang individu
bukanlah perantaraan (penjelasan nilai); penggerak (penjelasan nilai dan analisis nilai)
mahupun kedua-duanya (perkembangan moral kognitif) tetapi sebagai agen yang
saling bertindak.
Pendekatan ini menggalakkan pelajar membayangkan perasaan mereka mengenai
isu-isu moral yang melibatkan diri mereka dan komuniti. Dengan ini mereka akan
melibatkan diri dalam projek atau kumpulan tindakan sosial yang dipilih sendiri seperti
kumpulan perlindungan pengguna, kumpulan perlindungan alam sekitar atau kelab
kebajikan. Untuk mencapai matlamat ini guru bolehlah menggunakan garis panduan
ini:
(a) Menyedari isu atau masalah yang dihadapi oleh pelajar dan komuniti
59
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(b) Memahami isu dan mengambil pendirian untuk:
(i) mengumpul dan menganalisis maklumat; dan
(ii) mengambil pendirian sendiri ke atas isu tersebut.
(c) Memutuskan samada akan bertindak dengan:
(i) menjelaskan nilai-nilai mengenai tindakan tersebut; dan
(ii) memutuskan penglibatan diri sendiri.
(d) Merancang dan menggubal matlamat dan strategi dengan:
(i) menjelaskan nilai-nilai berkonflik dan kemungkinan kesan-kesan dalam
matlamat itu; dan
(ii) mengorganisasikan tindakan-tindakan yang boleh diambil.
(e) Melaksanakan rancangan tindakan dengan bekerja secara individu atau
berkumpulan untuk mencapai matlamat yang digubalkan.
(f) Merenung tindakan-tindakan yang telah diambil dan menimbangkan tindakan
selanjutnya dengan:
(i) meneliti kesan-kesan tindakan ke atas orang lain, diri sendiri dan berhubung
dengan isu atau masalah; dan
(ii) memikir tentang tindakan-tindakan selanjutnya yang boleh diambil.
Dalam pendekatan tindakan sosial, guru melibatkan diri sebagai pakar sumber,
kaunselor dan penggerak dalam projek tindakan sosial. Tambahan pula, sokongan
dan usahasama daripada ibubapa, pemimpin tempatan, agensi-agensi kerajaan dan
sukarela yang berkenaan juga diperlukan. Ini mungkin melibatkan sumber yang luas
dan masalah dalam pentadbiran atau pengurusan. Namun begitu, pendekatan ini
menberikan peluang yang luas untuk membolehkan pelajar terlibat secara aktif dalam
projek yang berorientasikan masyarakat. Selain daripada itu, kedua-dua konsep
penggabungjalinan dan penyerapan nilai dalam sistem pendidikan sekolah dan
maktab perguruan masa kini dapat dilaksanakan melalui pendekatan ini.
5. Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif
Pendekatan perkembangan moral yang juga dikenali sebagai pendekatan penaakulan
moral berdasarkan kepada teori perkembangan kognitif yang telah dikaji oleh
beberapa ahli psikologi perkembangan seperti Piaget (1932) dan Kohlberg (1975).
Pendekatan ini memberi tumpuan kepada proses penaakulan moral yang melibatkan
perkembangan moral secara berperingkat iaitu bermula daripada peringkat seseorang
mematuhi peraturan moral supaya tidak dikenakan hukuman oleh pihak yang
berautoriti sehingga ke satu peringkat di mana seseorang telah mencapai peringkat
berautonomi.
Pendekatan ini mengandaikan bahawa proses penaakulan moral adalah bersifat
universal serta berlaku secara berperingkat dan berurutan. Selain daripada andaian
tersebut, pendekatan ini juga menganggap bahawa pelajar biasanya membuat
penaakulan moral pada peringkat yang mampu dikuasainya, tetapi ia lebih cenderung
untuk membuat penaakulan moral pada satu peringkat yang lebih tinggi daripada
keupayaan tersebut. Oleh itu guru yang menggunakan pendekatan ini perlu
mengetahui peringkat penaakulan moral yang lebih tinggi.
60
OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
Bagi melaksanakan pendekatan ini, guru disaran menggunakan beberapa episod
dilema moral. Episod dilema moral merujuk kepada satu keadaan di mana terdapatnya
konflik nilai dan memerlukan seseorang menimbang beberapa pilihan sebelum
membuat keputusan. Dilema moral yang baik mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:
(a) Dilema itu mestilah mudah, ada watak utama atau satu kumpulan pelakunya.
(b) Jawapan kepada dilemma mestilah terbuka.
(c) Dilema harus melibatkan dua atau lebih isu yang mempunyai implikasi-implikasi
moral.
(d) Dilema harus menyediakan dua pilihan dalam tindakan.
(e) Dengan soalan haruskah watak utama itu berkelakuan begitu atau tidak?
Setelah guru menentukan dilema moral, langkah-langkah berikut perlulah
dilaksanakan.
(a) memahami masalah moral dan faktor-faktor yang boleh dipertimbangkan untuk
membuat keputusan moral seperti bagaimana tradisi, undang-undang dan
keadaan boleh mengusutkan dilema moral.
(b) meneliti secara jelas dilema moral yang tersirat dalam sesuatu keadaan/isu, dan
menyatakan fakta dan keadaan dilema itu dengan perkataan sendiri.
(c) memberi pandangan terhadap dilema itu serta menerangkan sebab munasabah.
(d) menguji pandangannya tentang isu moral dengan membandingkan pendapatnya
dengan pendapat orang lain dalam kumpulannya, menyatakan sebab munasabah,
menyatakan juga pendiriannya bila dilema moral menjadi kompleks, dan
menyatakan tentang sikap pelbagai watak dalam dilema.
Teknik yang dicadangkan ialah:
(a) perbincangan;
(b) main peranan;
(c) simulasi;
(d) bercerita;
(e) lakonan; dan
(f) perbahasan.
Pendekatan ini mendorong pelajar berfikir secara rasional dan logik dalam membuat
sesuatu keputusan berasaskan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Dalam
mengendalikan pendekatan ini guru harus menerima pendapat pelajar dengan fikiran
terbuka dan membimbing mereka meningkatkan tahap penaakulan moral. Oleh kerana
pendekatan ini hanya memberi tumpuan kepada perkembangan moral yang bersifat
kognitif, guru perlu menggabungjalinkan pendekatan ini dengan pendekatan lain
supaya proses penghayatan dan amalan nilai tidak terabai.
6. Pendekatan Penjelasan Nilai
Kaedah ini telah dipelopori oleh L. Raths, M. Harmin dan S. B. Simon (1978), atas
kepercayaan bahawa pada masa itu, terdapat ramai orang telah mengalami kesulitan
untuk mengenali nilai diri masing-masing. Akibatnya, apabila seseorang ingin
61
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
membuat sesuatu keputusan, keadaan-keadaan yang wujud selalunya amat
mengusutkan; tekanan-tekanan pula lahir dalam pelbagai bentuk dan perubahan yang
ingin dilakukan pula menjadi sesuatu yang tidak pasti. Raths dan rakan-rakannya
percaya bahawa teori mereka dapat membantu setiap individu bagaimana untuk
menjelaskan nilai diri masing-masing.
Penjelasan nilai adalah satu pendekatan yang merupakan satu usaha untuk
membantu seseorang individu yang mangalami kesulitan mengenali nilai dirinya dalam
membuat keputusan moral dengan lebih jelas berdasarkan pemikiran rasional dan
kesedaran emosi. Dalam pendekatan ini, terdapat empat unsur penting yang perlu
diberi perhatian iaitu:
(a) Penumpuan kepada aspek-aspek kehidupan samada dalam dirinya sendiri atau
hubungannya dengan orang lain.
(b) Penerimaan sesuatu pandangan, fikiran, sikap dan keputusan orang lain
seadanya.
(c) Menggalakkan seseorang membuat refleksi dan penaakulan kendiri supaya dia
sedar akan adanya pilihan-pilihan dalam membuat keputusan.
(d) Menghargai keupayaan sendiri dalam membuat keputusan dan bertindk mengikut
keputusan yang diambil.
Pendekatan penjelasan nilai menyarankan tiga proses yang mengandungi tujuh
langkah untuk dilaksanakan dalam usaha menjelaskan nilai kendiri seseorang iaitu:
(a) Proses memilih:
(i) memilih secara bebas;
(ii) dari pelbagai pilihan yang sedia ada; dan
(iii) menimbangkan secara refleksi dan rasional setiap pilihan yang ada.
(b) Proses menghargai:
(i) menghargai setiap keputusan yang telah diambil; dan
(ii) menyatakannya secara terbuka.
(c) Proses bertindak:
(i) Bertindak ke atas keputusan yang telah diambil; dan
(ii) Sentiasa mengamalkan nilai yang dipilih secara tekal.
Teknik yang dicadangkan bagi pendekatan ini adalah seperti berikut:
(a) Bercerita
(b) Lakonan
(c) Nyanyian
(d) Main peranan
(e) Aktiviti simulasi kumpulan
(f) Perbahasan
(g) Forum
62
OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(h) Permainan
(i) Simulasi
Dalam pendekatan ini, guru harus berperanan sebagai seorang fasilitator atau
pembimbing. Dia dikehendaki menerima segala keputusan yang telah diambil oleh
pelajar tanpa memihak kepada sesiapa pun. Masalah akan timbul sekiranya set nilai
yang dipegang oleh pelajar bertentangan dengan nilai murni masyarakat Malaysia.
Untuk mengatasi masalah ini guru harus menggabungkan pendekatan ini dengan
pendekatan pemupukan nilai atau analisis nilai supaya pelajar dapat membuat
keputusannya yang bersesuaian dan seiring dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Negara dan Prinsip Rukun Negara.
Sebagai rumusan, kaedah ini menyediakan asas kepada guru untuk merancang
pengajaran-pengajaran moral yang boleh membantu para pelajar supaya mereka lebih
sedar dan kenal akan nilai nilai kendiri masing-masing berbanding orang lain. Kaedah
ini juga boleh membantu pelajar untuk menyatakan secara terbuka dan jujur tentang
pegangan dan amalan nilai sendiri dangan melandaskannya kepada kesedaran emosi
dan pemikiran yang rasional.
7. Pendekatan Analisis Nilai
Pelopor utama kepada kaedah ini ialah L. Metcalf, D. Oliver dan J. P. Shavers (1971).
Kaedah ini merupakan satu cara bagaimana isu-isu awam boleh dibincangkan secara
jelas dan teratur apabila klasifikasi-klasifikasi nilai dilakukan. Metcalf mencadangkan
supaya dibuat perbezaan di antara nilai-nilai objek dengan nilai pandangan.
Nilai-nilai objek boleh didefinisikan sebagai perkara yang bernilai yang dipegang oleh
seseorang, manakala nilai pandangan pula adalah satu standard dimana seseorang
menilai sesuatu perkara. Metcalf mengatakan bahawa nilai-nilai pandangan
merupakan:
(a) penilaian seseorang terhadap sesuatu;
(b) dilahirkan samada dalam bentuk positif, negatif atau neutral; dan
(c) boleh dikelompokkan mengikut sudut-sudut pandangan seperti aestatik, moral,
ekonomi, kebijaksanaan dan lain-lain.
Pendekatan ini merupakan satu cara bagaimana isu-isu semasa dapat dikaji secara
jelas dan teratur serta dapat dibincangkan secara logik apabila klasifikasi nilai
dilakukan. Ia memerlukan pelajar mengumpul dan menimbangkan fakta-fakta yang
relevan sebelum membuat sesuatu keputusan.
Menurut pendekatan ini, nilai boleh diklasifikasikan kepada dua, iaitu nilai objek dan
pertimbangan nilai. Nilai objek ialah sesuatu yang dianggap penting untuk dinilai.
Sementara pertimbangan nilai pula ialah penilaian seseorang terhadap sesuatu yang
boleh dikelompokkan dalam bentuk positif, negatif, neutral atau dikelompokkan
sebagai nilai estetika, moral, ekonomi, budaya, sosial dan perundangan. Dengan
menggunakan pendekatan ini dalam pengajaran pendidikan moral, guru boleh:
(a) mengajar pelajar memberi markat kepada sesuatu nilai objek.
(b) membantu setiap pelajar memberi pertimbangan yang rasional dan dapat
digunakan untuk mempertahankan sesuatu nilai objek.
63
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
(c) menyediakan pelajar dengan keupayaan dan kecenderungan untuk membuat
pertimbangan nilai yang rasonal dan boleh dipertahankan.
(d) mengajar pelajar bagaimana untuk berperanan sebagai ahli kumpulan yang boleh
bekerjasama untuk mencapai sesuatu keputusan demi kebaikan bersama.
Bagi membolehkan seseorang itu memainkan peranannya, model ini mensyaratkan
tiga kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar, iaitu:
(a) Kemahiran dalam rangkai kerja nilai, dimana untuk membolehkan seseorang
membuat penghakiman, asas kemahirannya ialah mengetahui dan memahami
nilai-nilai kunci yang menjadi dasar kepada sistem etika masyarakat tersebut.
(b) Kemahiran membuat klasifikasi dan menyelesaikan masalah. Pada kebiasaannya,
masalah atau isu timbul daripada adanya kontroversi atau konflik di antara dua
atau lebih nilai.
Namun, jika dibuat penelitian yang mendalam, konflik itu sebenarnya bukan
bersangkutan dengan persoalan-persoalan asas yang ada dalam nilai-nilai kunci
masyarakat itu. Oleh itu, bila seseorang cuba menyelesaikan satu-satu konflik, dia
haruslah mahir dalam membuat klasifikasi isu.
(c) Kemahiran yang berhubung dengan pemilikan ilmu pengetahuan tentang isu-isu
masyarakat dan politik semasa. Untuk mendapatkan kemahiran ini, para pelajar
haruslah mendedahkan diri mereka kepada satu spektrum yang luas berhubung
dengan masalah-masalah semasa dalam aspek-aspek politik, ekonomi dan sosial
yang sedang dihadapi oleh masyarakatnya melalui pelbagai cara, seperti
pembacaan, seminar, perbincangan dan sebagainya.
Pendekatan analisis nilai boleh dilaksanakan dengan menggunakan langkah-langkah
berikut:
(a) memilih isu moral yang ingin dianalisis.
(b) menjelaskan maksud yang tersurat dan tersirat di dalam isu.
(c) mengenalpasti dan membezakan antara nilai objek dan pertimbangan nilai yang
terdapat dalam isu moral.
(d) memberi markat kepada nilai objek.
(e) menggunakan pertimbangan nilai untuk menganalisis nilai objek samada positif,
negatif, neutral atau tergolong dalam kelompok seperti estetika, pertimbangan
moral dan akonomi.
(f) menguji pertimbangan nilai dengan sokongan fakta-fakta yang relevan dan hujah-
hujah yang meyakinkan.
(g) menguji pertimbangan nilai kendiri dengan:
(i) mengambilkira pertimbangan orang lain;
(ii) situasi yang berbeza;
(iii) mengumpul maklumat baru untuk meyakinkan atau mengubah pendiriannya;
atau
(iv) meletakkan dirinya dalam situasi sebenar.
(h) membuat keputusan yang objektif setelah menimbangkan segala langkah di atas.
64
OUM
TOPIK 4
PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
Teknik-teknik yang boleh digunakan menggunakan pendekatan analisis nilai ialah
seperti:
(a) perbincangan;
(b) perbahasan;
(c) kajian kes;
(d) forum; dan
(e) projek.
Pendekatan ini amat sesuai digunakan pada peringkat sekolah menengah kerana ia
boleh menghidupkan suasana pembelajaran moral di kalangan pelajar melalui
penglibatan aktif dalam proses menganalisis nilai. Pendekatan ini boleh dirancang
dalam bentuk projek dan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun atau dalam
beberapa siri pembelajaran. Namun begitu, pendekatan ini kurang mementingkan
aspek emosi pelajar tentang isu moral yang dianalisis. Oleh itu guru disarankan agar
menggabungjalinkan pendekatan ini dengan pendekatan bertimbangrasa.
RUMUSAN
Topik ini telah membincangkan tentang tujuh jenis pendekatan yang penting dalam
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral di Malaysia. Kesemua pendekatan ini
telah dikaji dan dibuktikan keberkesanannya. Dengan berpandukan kefahaman tentang
konsep-konsep dan teori-teori yang telah dipelajari di dalam tajuk 1, 2, 3 dan 4, anda
diharapkan dapat menggunakan dan mengaplikasikan pendekatan-pendekatan ini di
dalam bilik darjah kelak.
UJIAN 1
1. Nyatakan cara penggunaan pendekatan analisis nilai di dalam bilik darjah.
2. Berikan perbezaan di antara pendekatan tindakan sosial dengan pendekatan
penjelasan nilai, analisis nilai dan perkembangan moral kognitif.
Latihan 4.2
Berdasarkan pendekatan-pendekatan yang telah diterangkan, pada
pendapat anda, yang mana satu adalah pendekatan yang paling berkesan
untuk pelajar-pelajar sekolah rendah? Berikan justifikasi kepada jawapan
anda.
65
OUM
TOPIK 4 PENDEKATAN PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL
UJIAN 2
1. Nyatakan beberapa cara untuk melaksanakan Pendekatan Pemupukan Nilai di dalam
kelas.
2. Terangkan tiga proses yang mengandungi tujuh langkah dalam pendekatan
penjelasan nilai untuk dilaksanakan dalam usaha menjelaskan nilai kendiri
seseorang.

You might also like