You are on page 1of 2

TEKS UCAPAN TUAN PENGETUA SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU SMK SERI HARTAMAS 2014.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.k,


Selamat Sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Selamat menyambut Hari Guru tahun 2014.

Yang Berbahagia, Tn Hj AR Azuan bin Dato Zakariah, Yang Dipertua PIBG SMK Hartamas bagi sesi
2014/2015 merangkap tetamu kehormat Sambutan Hari Guru SMK Seri Hartamas,

Yang Berbahagia, Inspektor Alwizan bin Jaafar, Pegawai Perhubungan SMK Seri Hartamas,

Yang Berusaha, En. Kamarul Azman B. Md. Arif, Guru Penolong Kanan 1, En. Manmohan Singh A/L Kartar
Singh, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Pn. Chuah Siew San, Guru Penolong Kanan
Kokurikulum

Yang Dihormati Guru-Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-guru Cemerlang, Guru-guru SMK Seri Hartamas,
Barisan AJK PIBG, seterusnya Yang Dikasihi para pelajar sekalian.


Pertama-tamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana
dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah
bagi Tahun 2014, dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang.
Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan sambutan hari guru. Pada tahun ini
perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan disambut di PWTC. Justeru, tidak terlewat untuk saya
mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Sambutan Hari Guru yang
diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang
telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan
penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan
ini menandakan harapan dan keparcayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru
dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika
Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang
bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih,
penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.
YDP PIBG dan Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,....
R. Smith pernah berkata, berilah peluang kepadaku untuk mengelola pelajaran nescaya aku akan berjanji
mengubah alam. Guru mempunyai potensi besar mempengaruhi dan merubah pemikiran pelajar.
Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab, ada rasa belas kasihan dan mampu
memperlakukan mereka sebagai anak sendiri. Seterusnya Imam Al Ghazali pernah berkata, hak seorang
guru adalah lebih besar daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab ianya lahir ke dunia
sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperolehi hidup kekal abadi. Tanpa guru, apa yang
diperolehi oleh anak akan hancur. Dalam pembentukan sahsiah pelajar pula, guru mempunyai peranan
yang sangat penting. Prof. Mohd Kamal Hassan berkata, contoh teladan pendidik inilah yang banyak
membantu pembentukan akhlak pelajar. Justeru, mereka seharusnya dilengkapi dengan ciri-ciri akhlak
mulia, berilmu, kasihkan ilmu dan luas pembacaan, mempunyai azam yang kuat dan tegas,
berkebolehan menimbulkan motivasi kepada pelajar, bersedia menerima dan menguasai kaedah baru
dalam pendidikan dan sebagainya.

Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, sudah
tiba masanya guru benar-benar menjadi pencetus kreativiti dan penjana inovasi dalam mendidik murid.
Ini adalah amat penting memandangkan negara kita sedang menuju era negara maju di mana ekonomi
negara kita perlu dipacu oleh daya inovasi rakyat. Untuk menghadapi persaingan global yang semakin
sengit dalam persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita sebenarnya
memainkan peranan yang amat penting dalam menjana daya inovasi rakyat.

Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberi penekanan terhadap elemen kreativiti
dan inovasi. Selaras dengan itu juga, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah
yang merangkumi tujuh elemen iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, sumber, sokongan masyarakat,
ko-kurikulum dan bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah diperkukuh melalui Program i-Think iaitu
satu program yang membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya
pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan
penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid. InsyaAllah, menerusi program i-Think ini kita akan
dapat melahirkan para pencipta generasi masa depan Malaysia yang hebat dengan kebolehan dan
kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.
Justeru, Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini
mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan
setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-
benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?. Sesungguhnya ia
merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya
kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada
kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup berkorban bukan sahaja
dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.
Akhir kata, saya akhiri dengan serangkap pantun.
16 Mei sentiasa dinanti
Sambutan meriah penuh tradisi
Terima kasih guru-guru yang dikasihi
Jasa baktimu sentiasa diingati

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU. TERIMA KASIH CIKGU.

You might also like