You are on page 1of 6

Author : AHMAD SUFYAN CHE ABDULLAH

Article ID : 39
Audience : Default
Version 1.00
Published Date: 2010/11/24 21:17:19
Reads : 6241

Mazhab Hanafi ini telah lahir di bandar Kufah, Iraq. Pada masa zaman khalifah al-Rasyidin,
pemerintah, Khalifah Umar telah menghantar seorang sahabat Rasulullah bernama Abdullah bin
Mas`ud atau lebih kita kenali sebagai Ibn Mas`ud (meninggal tahun 32H). Ibn Mas`ud, kita
selalu dengar, sebagai seorang periwayat hadith yang masyhur juga, bahkan seorang yang
banyak mengetahui tentang hukum fiqh. Kalau antara para sahabat Rasulullah, Ibn Mas'ud
mempunyai aliran perundangan tersendiri, selain daripda Ibn Abbas, Ibn Umar dan Ibn 'Amr.


Dua aliran fiqh yang saling berlawanan. Ibn Mas`ud secara amnya agak rigid, manakala Ibn
Abbas agak fleksibel. Walaupun seorang pakar hadis dan fiqh yang masyhur, Ibn mas'ud
sebenarnya seorang yang amat takut untuk menyebarkan hadis. Pendekatan Ibn Mas'ud, lebih
baik merumuskan hadis Nabi kepada pandangan fiqh, daripada tersilap sebar perkara yang bukan
daripada Nabi. Tak macam orang kita, yang belum tentu hadis atau belum pun kita bantai hadis.
Prinsip rigid Ibn Mas'un ini sebenarnya banyak mempengaruhi aliran mazhab Hanafi.

Datangnya Ibn Mas`ud ke Kufah, telah menghasilkan murid yang menjadi ulama' terkemuka
zaman tabi'in seperti `Alqamah al-Nakh`i, Masruq al-Hamdani, al-Qadi Syurayh, Ibrahim al-
Nakh`i, Amir al-Sya`bi dan Hammad Ibn Abu Sulayman.

Di bandar Kufah ini jugalah, lahirnya mazhab Hanafi, yang berasaskan kepada pemikiran Imam
Abu Hanifah, atau nama sebenarnya Nukman bin Thabit, yang merupakan murid kepada
Hammad bin Abu Sulayman (meninggal 120H). Nukman sebenarnya seorang peniaga kain,
seorang usahawan yang aktif di pasar. Beliau juga seorang yang pintar dan sarjana. Gabungan
kesarjanaan dengan pemikiran usahawan ini menghasilkan suatu pemikiran yg begitu luar biasa,
memberikan beliau kemampuan yang hebat dalam aspek analogi (qiyas) dan pemikiran ekuiti
(istihsan). Justeru, aliran pemikiran beliau dikenali sebagai aliran al-ra'y atau ahli al-ra'y atau
"aliran pemikiran".

Maksud pemikiran ahli al-ra'yi dalam apa yang saya tulis di atas ialah pemikiran berasaskan
logikal dan analogi, berbanding pemikiran berasaskan sumber nas. Lawan kepada pemikiran
aliran ahli al-Ra'yi adalah Ahli al-Hadith. Ahli al-Hadith lebih menggunakan sumber daripada
sirah dan sejarah Rasulullah berbanding mengutamakan penggunaan interpretasi akal.

Antara sebab yang dilihat mengapa Imam Abu Hanifah lebih banyak menggunakan kaedah
Qiyas, atau analogi logikal dan istihsan (perubahan hukum) ialah kerana kedudukannya di Kufah
adalah jauh dengan Mekah dan Madinah yang merupakan pusat pengajian Sunnah dan Hadith
Rasulullah. Sebab itu, menurut kaedah Imam Abu Hanifah, seandainya terdapat dalil yang
kurang diyakini datang daripada Rasulullah, beliau lebih mengutamakan qiyas, atau kaedah
analogi. Apakah kaedah Analogi? Kaedah analogi ialah melakukan persamaan antara hukum
bagi PERKARA BARU YANG TIDAK DISEBUTKAN OLEH NAS (QURAN ATAU HADIS)
berasaskan HUKUM PERKARA YANG DISEBUT OLEH NAS KERANA TERDAPAT
PERSAMAAN 'ILLAH' ANTARA KEDUA-DUA KES TERSEBUT. Qiyas bukan mencari
persamaan hukum moden dengan hukum zaman dahulu. Tapi mencari persamaan hukum moden,
dengan 'illah daripda dalil. Ramai juga para ustaz kita sewenang-wenang menggunakan Qiyas
dengan mencari persamaan hukum moden dengan hukum yang ada dalam buku dan kitab2
zaman dahulu. Itu perbandingan, bukan Qiyas. Qiyas perlu 'illah daripada dalil, bukan dari
hukum hasil ijtihad. Sebab itu imam al-syafi'i kata qiyas adalah ijtihad and vice versa.

ILLAH atau ratio decidendi ialah persamaan yang boleh dijadikan sandaran antara kedua-dua
perkara itu. Contohnya Dadah tidak disebutkan di dalam al-Quran dan hadis. Namun disebut
Arak dan illah pengharaman arak ialah kerana sifat khayal, mabuk dan merosakkan fungsi akal.
Oleh kerana illah yang sama dengan arak terdapat di dalam Dadah, maka hukum Arak mesti
diletakkan jugak pada dadah. Illah dalam arak adalah Sifat Mabuk, bukan kandungan alkohol,
kerana itu tidak semua perkara yang beralkohol itu haram kalau tak ada sifat mabuk.

Dalam undang-undang lazim Inggeris, kaedah ini dinamakan doctrine of precedent, iaitu
keputsan hakim terdahulu, oleh mahkamah yang sama taraf atau lebih tinggi boleh mengikat
keputusan hakim sekarang, yang mana ratio decidendi dalam sesuatu kes terdahulu dianggap
sifat yang mengikat terhadap kes-kes yang baru jika ada persamaan.

Tapi benarkah Abu Hanafah mengutamakan Qiyas daripada dalil????

Dijelaskan sebelum ini tentang keadah utama yg digunakan oleh Abu Hanifah iaitu al-Qiyas.
Berbalik kepada kisah Abu Hanifah, semasa pemerintahan dinasti Umaiyyah, beliau telah
ditawarkan dengan jawatan mufti oleh Gabenor Iraq, Ibn Hubayrah, namun beliau telah
menolaknya kerana tidak mahu masuk campu dalam politik, lantas beliau telah dihukum sebat.

Pada zaman Abbasiyah pula, zaman yang dikatakan zaman kegemilangan ilmu Islam, setelah
Islam dikuatkan oleh khalifah Umawiyyah sebelum itu, baginda telah ditawarkan sekali lagi
jawatan mufti tetapi sekali lagi beliau menolaknya. Lantas beliau telah dipenjarakan sehinggalah
beliau meninggal pada tahun 150 Hijrah atau 767 masihi. Terdapat beberapa spekulasi
menyatakan tentang hukuman penjara itu adalah kerana beliau tidak bersetuju dengan beberapa
polisi pemerintah pada ketika itu. Ternyata pengaruh aliran rasional dan logik oleh muktazilah
ketika itu meresapi dalam pemerintahan kerajaan, tanpa menafikan sumbangan besar kerajaan
ketika itu dalam dunia ilmu dan peradaban Islam.

Seperti yang dijelaskan dalam tulisan sebelum ini, tentang penerimaan beliau terhadap hadis,
baginda amat kurang menggunakan hadis, kerana bimbang menggunakan hadis yang tidak tepat.
Ternyata sikap berhati-hati Ibn Mas'ud mempengaruhi pendekatan Imam Abu Hanifah ini. Ya
lah, zaman dahulu tidak macam zaman sekarang, segala-galanya di hujung jari. Zaman dahulu
internet tak ada, email tak ada, cdrom tidak ada, Youtube tak ada. Bukan senang untuk
mendapatkan satu hadis. Lagi-lagi zaman dahulu, hadis masih belum dikumpulkan seeperti
zaman sekarang.
Pada zaman itu, hadis perlu didapati daripada primary sources, iaitu daripada mereka yang
menerima hadis daripada mereka yang menerima hadis, sehinggalah sampai kepada Nabi. Ini
penting untuk menjaga kualiti hadis daripada dikritik.

Kompilasi hadis yang dibuat oleh sahabat Rasulullah, walaupun ada, tetapi tidaklah tersebar luas
seperti sekarang. Kalau pun mereka menerima hadis, mereka akan semak, tapis, teliti, kaji dan
pastikan ia benar-benar daripada Rasulullah dahulu, baharulah mereka melaporkan kepada orang
ramai. Justeru, beliau amat berhati-hati untuk menerima sesuatu hadis dikhuatiri ia adalah tidak
benar daripada Rasulullah.

Walaubagaimana pun, Menurut Subhi Mahmasani, Abu Mu'ayyad Muhammad bin Mahmud al-
Khawarizmi (mati 655H) telah membuat satu kompilasi dalam satu jilid, buku bertajuk Jami' al-
Masanid, yang mengandungi 15 karya Hadis membuktikan autoriti Imam Abu Hanifah dalam
penggunaan hadis. Oleh itu dengan ini kita dapat menafikan pendapat Ibn Khaldun dalam al-
Muqaddimah yang menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah cuma menerima 17 hadis Rasulullah.

Hakikatnya, Abu Hanifah bukan tidak menerima hadis, bukan juga mengutamakan Qiyas
berbanding hadis. Tetapi sikap berhati-hati menyebabkan beliau tidak melaporkan banyak hadis.
Dan beliau takut menyandarkan sesuatu yang pada beliau sendiri ada hadis dan bersumberkan
hadis, tetapi beliau suka menonjolkan hasil ijtihadnya berasaskan Qiyas daripada al-Quran. Ahli
hadis masyhur daripada mazhab Hanafi, al-Allamah Anwar Shah Kasymiri (meninggal tahun
1933 masihi), yang juga ulama' Deobandi terkemuka, telah meneliti hadis-hadis daripada
Musnad Ahmad dan Sunan Abu Daud lalu mengeluarkan hadis-hadis yang sahih yang membawa
implikasi yang sama dengan hukum ijtihad Abu Hanifah, bagi membuktikan bahawa Imam Abu
Hanifah sebenarnya tidak mengutamakan Qiyas tetapi menggunakan hadis, cuma tidak
diriwayatkan dalam bentuk hadis sahaja.

Aspek Hadis

Bercerita tentang aspek hadis, mazhab Hanafi ini agak berbeza dengan mazhab majoriti sarjana
hadis kerana dalam aliran Hanafi, Hadis Masyhur dikategorikan hampir sama taraf dengan hadis
Mutawatir, walaupun autoritiya tidak sama. Hadis masyhur dalam konteks majoriti sarjana hadis
pula ialah hadis daripada kategori Ahad (diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja) tetapi popular
di kalangan orang dan masyarakat. Dalam konteks ini, hadis masyhur tidak semestinya sahih.

Dalam aliran Hanafi, hadis masyhur dianggap hadis yang kuat, bilangan perawinya ramai, tetapi
tidak cukup syarat mutawatir. Autoritinya cukup tinggi berbanding hadis Ahad, bahkan boleh
menjadi asas kepada hukum akidah, boleh menjadi pentakwil kepada ayat al-Quran sama ada
mengkhususkan, mengecualikan, atau seumpamanya. Implikasinya, kalau dilihat dari sudut
fekah, amat banyak sekali. Ini kerana aliran Hanafi tidak menerima hadis Ahad sebagai asas
dalam melakukan takwilan terhadap ayat al-Quran, terutama dalam aspek-aspek rutin dalam
agama dan ibadah. Sebab itu mazhab ini tidak menjadikan NIAT sebagai rukun dalam wuduk
mahupun solat, tidak menjadikan fatihah sebagai rukun solat, dan lain-lain lagi.

Perkembangan Mazhab Hanafi

Dalam mana-mana mazhab terdahulu pun, kebanyakan mazhab dikembangkan oleh murid-
muridnya, bukan oleh diri mereka sendiri. Dalam mazhab Hanafi, karya-karya hukum fekah
mazhab itu kebanyakannya telah disebarkan oleh murid Abu Hanifah melalui penulisan
murid2nya tetapi disandarkan kepada pandangan Abu Hanifah. Hal ini berasaskan kepada
pendekatan dan metodologi yang sama yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah yang diguakan.


Antara empat muridnya yang agak famous ialah:
- Abu Yusuf
- Zufar bin al-Hudhayl bin Qays
- Muhammad bin al-Hasan bin Farqad al-Syaybani
- al-Hasan bin Ziyad al-Lu'lu'i.

Melalui mereka inilah mazhab Hanafi tersebar luas. Terutama melalui Imam Abu Yusuf dan
Muhammad al-Syaybani. Kedua-dua mereka ini dikenali sebagai gelaran Dua Imam dan Dua
Sahabat.

Walau bagaimanapun kalau kita kaji dengan teliti tentang Imam Abu Yusuf, Ya`qub bin Ibrahim
al-Ansari (113 - 182 Hijrah) yang popular dengan karya al-Kharaj itu, pandangan pandangannya
kebanyakannya tidak sama dengan pandangan guru mazhabnya. Bahkan Abu Yusuf sendiri
mengakui hanya 1/4 pandangannya yang sama dengan imam mazhabnya Abu Hanifah, tetapi dia
masih menganggap dirinya mazhab Hanafi.

Abu Yusuf sebenarnya telah dilantik sebagai mufti di Baghdad sewaktu dalam pemerintahan
khalifah Harun al-Rashid. Beliau telah menggunakan peluang ini untuk mempraktiskan mazhab
Hanafi dalam undang-undang tempatan serta dalam fatwa-fatwa semasa.

Imam Muhammad al-Syaybani (132 - 189) juga seorang murid yang mendapat didikan Imam
Abu Hanifah di Iraq. Namun beliau berpindah ke Madinah dan di sini beliau telah banyak
bergaul dengan Ahli Hadith bahkan telah melanjutkan bidang akademik beliau dengan Imam
Malik Bin Anas.

Imam Muhammad al-Syaybani seorang yang hebat, mahir dalam kaedah analisis induktif dan
deduktif. Bahkan mahir juga dalam undang-undang pewarisan harta. Karya Imam al-Syaybani
ini diklasifikasikan kepada dua jenis:
- Zahir al-Riwayah
- al-Nawadir

Dalam jenis yang pertama ini adalah kompilasi kepada buku-buku seperti al-Mabsut, Jami` al-
Kabir, Jami` al-Saghir, al-Siyar al-Kabir dan al-Ziyadat. Kemudian keenam-enam buku ini pula
telah dikumpul, dikompilasikan oleh Abu Fadel al-Marwazi (meninggal 344H). Koleksi ini
seterusnya telah dihuraikan menjadikan 30 jilid oleh seorang sarjana terkemuka iaitu Imam
Muahmmad bin Ahmad al-Sarakhsi, dalam sebuah kompilasi bernama al-Mabsut. Imam al-
Sarkhasi juga terkenal dengan buku teori hukum (usul fiqh) bernama Usul al-Sarkhasi.

Aspek Usul Fiqh

Bercerita tentang aspek Usul Fiqh, mazhab Hanafi mempelopori aliran tersendiri dalam usul
fiqh, bahkan menjadi pelopor kepada kaedah fiqhiyyah sebelum mazhab lain mengikutinya.
Bahkan majoriti sarjana aliran Hanafi mendakwa Imam Hanafi terlebih dahulu menulis buku
tentang Usul Fiqh sebagai disiplin ilmu sebelum karya agong Imam al-Syafi'i, al-Risalah, tetapi
ini gagal dibuktikan kerana tidak ada bukti empirikal.

Apapun, aliran Hanafiyah mempunyai pendekatan berbeza dengan aliran majoriti sarjana Usul
Fiqh. Aliran ini menggunakan hukum cabang dan pendapat Imam Abu Hanifah lantas
menjadikannya sebagai teori yang boleh menjadi asas kepada penyelidikan yang baru. Kaedah
ini ialah kaedah induktif iaitu mengumpulkan bukti-bukti untuk mencipta teori umum.
Berasaskan teori ini, Ibn Khaldun menganggap kaedah Hanafiah sebagai praktikal dan lebih
mudah difahami berbanding teori usul fiqh aliran Syafiiyah dan mutakallimun (termasuklah
aliran muktazilah), walaupun majoriti sarjana usul fiqh tidak menolak bahawa teori majoriti lebih
fundemental, berbanding aliran Hanafiyyah.

Pendekatan induktif ini bukan satu perkara yang asing kepada aliran Hanafiyyah kerana Qawaid
Fiqhiyyah juga mula terbentuk melalui sarjana mazhab Hanafi separti Ibn Nujaym. al-Qawaid
Fiqhiyyah atau islamic legal maxims ini ialah kaedah umum yang boleh dipakai untuk mencari
hukum baru contohnya, "keyakinan tak dapat dihapuskan dengan sangkaan" atau "Sesuatu
perkara itu dinilai berasaskan objektifnya" dan banyak lagi cabang-cabangnya yang mula
dipopularkan oleh mazhab Hanafi seterusnya dikembangkan oleh ramai mazhab lain. Kaedah2
sebegini sebenarnya disusun berasaskan kepada pemerhatian yang mendalam dan menyeluruh,
terhadap pelbagai hukum fekah.

Tak Boleh Makan Sotong?

Sebenarnya banyak perkara yang berbeza dalam mazhab Hanafi berbanding mazhab kita Syafii
dan majoriti, contohnya kaki tidak menjadi aurat bagi wanita, cara azan dan iqamah, solat jamak,
cara solat, najis dan macam-macam lagi Tapi saja diakhiri dengan bab makanan. Sebenarnya
dalam banyak-banyak mazhab, aliran Hanafi sahaja yang agak berbeza dari aspek makanan
kerana mereka mengharamkan memakan makanan selain daripada ikan. Paling ringan pun dalam
mazhab Hanafi, makan udang ada yang mengatakan makruh dan kebanyakannya haram. Sotong,
ketam dan lain-lain lagi sudah tentulah. Oleh kerana itu, mereka juga menganggap industri
makanan laut haram bagi mereka dan kita janganlah pula pelik dengan pandangan ini.

Kalau dikaji asas hukum ini bukan sembarangan dalil yang mereka gunakan, bahkan sekali
tengok, tafsiran mereka dalam konteks ini lebih konsisten berbanding mazhab Syafi'i. Tapi oleh
kerana methode dalam resaerch adalah berbeza, terimalah saja perbezaan ini sebagai rahmat.

Wallahu A'lam......
| Rate Article

Dialu-alukan komentar menggunakan akaun Facebook:

You might also like