You are on page 1of 12

Model, Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik Pegajaran

Model, Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik Pegajaran


Model Pengajaran
Model pengajaran yang digunakan oleh setiap ahli kumpulan berbeza-beza
antara satu sama lain. Model pengajaran mempunyai banyak fungsi, antaranya ialah
untuk memberi panduan kepada guru untuk merancang langkah-langkah mengajar
dengan berkesan, untuk membentuk rangka pengajaran yang lengkap serta sebagai
panduan asas bagi guru dalam sesi maklum balas serta pengubahsuaian untuk sesi
pengajaran yang akan datang.
Terdapat beberapa model pengajaran yang digunakan dalam Rancangan
Pengajaran Harian berkumpulan ini iaitu :
Model Pemprosesan Maklumat
Model Behavioral
Model Sosial
Ketiga-tiga model ini digunakan secara komprehensif dalam rancangan pengajaran
yang berlangsung selama 60 minit dalam kelas yang dipantau oleh pensyarah.

Model Pemprosesan Maklumat
Penggunaan Model Pemprosesan Maklumat dapat dilihat dengan jelas dalam
Rancangan Pengajaran Harian pada set induksi dan pengajaran langkah satu.
Menurut Azizi Bin Yahaya dan Syazwani Binti Abdul Razak, Model pemprosesan
maklumat ialah pendekatan intelek yang diberi keutamaan oleh individu untuk
percambahan maklumat.

Kategori model pembelajaran ini menghuraikan proses bagaimana maklumat
diperoleh, disusun, disimpan dan digunakan. Dalam hal ini, pada langkah set
induksi, guru telah menggunakan konsep Ekspositori daripada Model Pemprosesan
Maklumat ini dengan memberi penerangan yang jelas dan terperinci mengenai
konsep panjang. Guru juga melakukan imbas kembali kepada murid mengenai unit
ukuran bukan piawai yang telah dipelajari oleh murid dalam Darjah 2. Pada
peringkat ini, guru menggunakan kaedah ingatan jangka panjang yang terdapat
dalam Model Pemprosesan Maklumat ini. Hal ini kerana, murid telah pun
mempunyai ingatan semantik mengenai konsep ukuran unit bukan piawai
menggunakan anggota badan.

Model Behavioral
Model kedua yang digunakan ialah model Behavioral. Choong Lean Keow(2011)
menyatakan bahawa kerangka teoretikal yang merentasi model pengajaran
Behavioral telah menggunakan asas teori pembelajaran sosial yang lebih dikenali
sebagai modifikasi tingkah laku dan cybernetics. Model ini telah digunakan dengan
berkesan dalam langkah pengajaran ketiga. Dalam langkah ini, guru menekankan
penguasaan kemahiran akademik yang terdapat dalam Pembelajaran Masteri yang
diasaskan oleh Benjamin Bloom dan James Block, di mana murid mengaplikasikan
kemahiran mengukur yang telah dipelajari dalam langkah pembelajaran sebelum itu.

Di samping itu, guru juga menggunakan Pengajaran Langsung kerana guru
meninjau prasyarat yang diperlukan oleh murid untuk memahami tajuk yang diajar.
Guru memastikan murid memahami kaedah mengukur dengan betul sebelum
mengajar tentang konsep mengukur menggunakan unit sentimeter dan milimeter
menggunakan pembaris. Guru juga memberi peluang kepada pelajar untuk
mempraktis sendiri kemahiran dan konsep yang baru diperoleh. Hal ini dapat dilihat
apabila guru memberi peluang pelajar mengukur sendiri dan membantu murid yang
mengalami masalah ketika mengukur objek.

Model Sosial
Selain itu, model lain yang digunakan ialah model Sosial. Model ini memberi fokus
kepada perkembangan konsep dan kemahiran yang diperlukan untuk bekerja dalam
kumpulan. Terdapat dua jenis pembelajaran di bawah model ini iaitu pembelajaran
koperatif dan pembelajaran berasaskan main peranan dan simulasi. Hafizah Husain
et.al (2006) menyatakan bahawa kaedah pembelajaran koperatif yang berpusatkan
pelajar merupakan satu metodologi pengajaran aktif dalam kumpulan-kumpulan
kecik berbanding kaedah pembelajaran kompetititf atau secara individu yang
berpusatkan guru (pensyarah). Perkara ini tidak dapat dinafikan lagi kerana
pembelajaran koperatif memerlukan setiap ahlinya berbincang dan saling
bekerjasama untuk melakukan tugasan yang diberikan oleh guru. Perkara ini dapat
dilihat dengan jelas dalam pelaksanaan langkah pengajaran kedua. Guru
membahagikan murid kepada dua kumpulan dan memberi tugasan kepada murid.
Murid perlu saling membantu kerana terdapat pelajar yang bermasalah penglihatan
di samping melaksanakan tugasan guru.

Langkah keempat juga menerapkan kaedah koperatif ini dimana murid dibahagikan
kepada kumpulan dan diminta untuk mengambil objek yang boleh diukur dan objek
yang tidak boleh diukur daripada sebuah kotak misteri yang diberikan. Pelajar perlu
berinteraksi bersama pasangannya untuk menentukan barang yang dipilih.

Kesimpulannya, model-model pengajaran ini telah digunakan secara komprehensif
dan menyeluruh dalam Rancangan Pengajaran berkumpulan ini. Dengan ini,
pengaplikasi terhadap model-model ini perlu diterapkan dalam pengajaran di
sekolah pada masa akan datang.


Teori Pembelajaran
Saya dan ahli kumpulan saya telah menerapkan beberapa teori pembelajaran
semasa kami menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian untuk subjek
matetematik tahun 3 topik ukuran panjang. Antara teori pembelajaran yang telah
kami pilih ialah teori pembelajaran kognitif ausubel dan bruner, teori pembelajaran
behaviouris dan teori pembelajaran konstrutivisme.

Penggunaan pelbagai teori pembelajaran boleh dilihat dalam setiap langkah
pengajaran kami supaya isi pelajaran yang kami ingin sampaikan boleh difahami
oleh semua pelajar. Teori pertama yang telah kami gunakan ialah teori pembelajaran
kognitif ausubel dalam langkah 1. Teori ini mementingkan pembelajaran penemuan
dan secara resepsi. Tetapi, kami telah memilih pembelajaran secara resepsi yang
murid akan terima maklumat secara bermakna dan bukan secara hafalan. Pelajar
akan terima maklumat yang tersusun dan teratur dari guru.

Dalam langkah 1, guru akan beri definisi panjang kepada murid. Murid hanya perlu
dengar dan memahaminya. Selain itu, guru akan kaitkan unit bukan piawai yang
telah dipelajari pada tahun 2 dengan unit piawai yang akan diajar pada sesi
pengajaran nanti.

Manakala untuk Langkah 2, Teori pembelajaran yang telah kami gunakan ialah teori
pembelajaran konstruktivisme. Teori pembelajaran konstruktivisme ialah murid
sendiri akan membina pengetahuan baru dengan menyesuaikan maklumat
pengetahuan sedia ada dan membuat kaitan dengan persekitaran.

Murid akan menyesuaikan sebarang maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada
mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan
interaksi sosial bersama rakan dan gurunya. Guru telah menggunakan pendekatan
5E dalam pengajaran ini. E yang pertama ialah menarik perhatian murid dengan
menggunakan gambar dan pembaris. E yang kedua ialah guru memberi arahan
kepada murid mencari jawapan untuk gambar rajah yang diberi oleh guru. E yang
ketiga ialah murid diminta menyatakan unit piawai yg sesuai untuk objek yg diukur. E
yang keempat ialah guru menerangkan perbezaan unit piawai cm dan mm. Akhir
sekali ialah E yang kelima murid diminta memberi contoh lain untuk objek besar dan
kecil.

Seterusnya untuk Langkah 3 yang menggunakan Teori behaviouris. Teori ini
mementingkan rangsangan sekali dengan gerak balas serta peneguhan. Sebagai
contoh, guru memberi ganjaran kepada murid semasa jawapan soalan dengan betul.
Ganjaran yang diberi ialah token ekonomi atau cap kepujian. Guru juga
menggunakan prinsip yang terlibat dengan aktif dalam pembelajaran. Murid
melibatkan diri semasa perbincangan dengan guru dan kumpulan lain.

Tambahan pula, guru perlu menyediakan bahan pelajaran disusun dalam urutan
yang logik semasa P&P dijalankan. Antara susunan yang patut diikuti ialah memberi
bahan, menyusun bahan mengikut urutan, mengukur mengikut objek yang diberi,
tuliskan atau catatkan jawapan dalam kertas, dan akhir sekali guru bincang dengan
murid. Jika murid mendapat jawapan yang betul atau respon yang tepat, guru akan
memberi ganjaran sebagai galakkan atau motivasi.

Akhir sekali ialah Langkah 4 yang menggunakan Teori Pembelajaran Kognitif
Bruner. Teori ini menyatakan pembelajaran konsep atau kategori mempunyai ciri-ciri
yang berbeza berbanding objek dengan objek yang lain. Contohnya guru minta
murid membuat banding beza antara bahan dapat diukur dan tidak dapat diukur.
Selain itu, murid-murid diberi peluang untuk meneroka, memegang dan merasa. Ini
merupakan pembelajaran penemuan yang dipentingkan dalam teori kognitif Bruner.
Sebagai contoh, guru menyediakan kotak misteri dan murid diminta menutup mata
sambil mencari bahan-bahan yang dapat diukur dan tidak dapat diukur.

Murid-murid juga bekerja dalam kumpulan serta perbincangan dengan ahli
kumpulan. Penyataan ini boleh dibuktikan dalam situasi selepas murid mendapat
bahan-bahan tersebut, guru meminta murid-murid membincang dengan ahli
kumpulan sama ada bahan itu dapat diukur atau tidak serta mencatat dalam jadual
yang disediakan oleh guru
Secara kesimpulannya, penggunaan semua teori pembelajaran ini adalah untuk
membantu guru mencapai objektif pengajaran dan murid dapat mencapai hasil
pembelajaran. Selain itu, dengan menerapkan nilai-nilai murni seperti bekerjasama,
bertolak ansur, tolong-menolong dapat dipupuk melalui pembelajaran menggunakan
teori. Sebagai contoh, semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan murid perlu
memiliki sikap seperti bekerjasama, bertolak ansur, tolong-menolong antara satu
sama lain supaya kelas boleh mewujudkan keadaan yang harmoni.



Pendekatan
Menurut Edward M. Anthony (1963) , maksud pendekatan ialah satu set
andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta
mempunyai unsur aksiomatik. Pendekatan pengajaran terbahagi kepada beberapa
jenis pendekatan iaitu induktif, deduktif, eklektif, tematik dan kesepaduan.

Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini kumpulan, kami telah
mengaplikasikan dua pendekatan yang berbeza iaitu induktif dan deduktif.
Berdasarkan Ahmad Subki Miskon dan Syed Ismail Syed Mustapa (2013), mereka
telah menjelaskan bahawa pendekatan induktif merupakan suatu pendekatan
apabila guru memulakan pengajaran dengan memberikan contoh yang khusus dan
di akhir pembelajaran murid akan membuat rumusan.

Kumpulan kami telah menggunakan pendekatan induktif dalam langkah 3. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan ialah guru telah memberi bahan-
bahan maujud sebagai bahan bantu mengajar seperti sepit rambut, syiling 5 sen,
getah rambut, rantai kunci, putik kapas, blok kayu, dan butang. Kemudian, guru
memberi contoh umum tentang bahan-bahan yang boleh diukur dengan
menggunakan unit centimeter (cm) dan unit milimeter (mm). Contohnya, objek-objek
yang bersaiz kecil akan diukur dengan milimeter manakala objek-objek yang bersaiz
besar akan diukur dengan sentimeter (cm).

Seterusnya, kumpulan kami juga mengaplikasikan pendekatan deduktif dalam aktiviti
tersebut. Menurut pendapat daripada Ahmad Subki Miskon dan Syed Ismail Syed
Mustapa (2013), mereka menyatakan bahawa pendekatan deduktif boleh
didefinisikan sebagai pendekatan mengajar yang bermula dengan hukum, peraturan,
dan rumus. Kemudian ia diikuti dengan aplikasi ke atas contoh-contoh yang khusus.

Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kumpulan kami ini juga, kami telah
menggunakan pendekatan deduktif pada langkah 1, langkah 2 dan langkah 4. Pada
langkah 1, guru telah menerangkan tentang definisi panjang dan meminta murid
memberi contoh objek yang panjang dengan berdasarkan alat bantu mengajar yang
telah disediakan seperti pembaris. Guru juga menjelaskan maksud unit bukan piawai
serta meminta murid-murid menyenaraikan contoh-contoh unit bukan piawai yang
menggunakan anggota badan manusia seperti hasta dan jengkal.

Pada langkah 2, guru telah memberi pendedahan kepada murid tentang konsep unit
piawai sentimeter (cm) dan milimeter (mm) secara ringkas. Kemudian, guru
mengarahkan murid-murid untuk melakukan analisis serta memilih unit piawai yang
amat sesuai untuk mengukur bahan-bahan yang telah diberi oleh guru.

Langkah yang terakhir iaitu langkah 4, guru telah memberitahu kepada murid-murid
tentang bahan-bahan yang dapat mengukur panjang dan bahan yang tidak dapat
diukur dengan menggunakan pembaris. Guru juga menyediakan contoh bahan-
bahan seperti pensel, tali, sudu, sikat, bedak, batu, pasir, minyak wangi dan lain-lain.
Penggunaan bahan bantu mengajar ini dapat membantu murid-murid lebih
memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas. Guru akan menerangkan
sebab-sebab bahan-bahan dapat diukur dan tidak dapat diukur. Selepas itu, guru
akan menyuruh murid-murid mencari bahan-bahan yang dapat diukur dan tidak
dapat diukur dalam kotak misteri serta mencatat dalam kertas latihan. Melalui
kaedah ini, murid-murid akan lebih memahami konsep pengukuran tersebut.



Strategi Pengajaran dan Pembelajaran
Strategi pengajaran dan pembelajaran merupakan suatu penentuan dan
perancangan kaedah dengan menggunakan teknik mengajar. Melalui kedah ini
jangka sesuatu pendekatan dapat dilakasanakan dengan secara berlancar dan
berjaya mencapai matlamat. Antara strategi pengajaran adalah strategi pemusatan
guru, strategi pemusatan murid, strategi berdasarkan tugasan / aktiviti dan strategi
pemusatan bahan.

Kumpulan kami hanya mengaplikasikan dua strategi iaitu, strategi
pemusatan murid dan strategi pemusatan bahan dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Strategi pemusatan murid adalah murid-murid memainkan peranan
yang amat penting dalam sesi pengajaran dan pembelajaran manakala guru menjadi
fasilitator untuk memberi bimbingan kepada murid-murid. Secara tidak langsung,
murid-murid akan melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran.

Strategi yang seterusnya adalah strategi pemusatan bahan. Terdapat dua
jenis bahan yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu bahan
pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan pengajaran merupakan bahan yang
perlu digunakan oleh guru iaitu bahan-bahan maujud. Manakala bahan
pembelajaran merupakan bahan yang mesti diguanakan oleh murid seperti buku
teks, buku latihan dan lain-lain.

Pada langkah 1 guru menggunakan bahan maujud supaya murid-murid
dapat membanding beza antara bahan yang panjang dan bahan yang pendek.
Secara tidak langsung murid-murid telah diberi pendedahan tentang
perbendaharaan kata mengenai ukuran. Murid-murid menggunakan unit bukan
piawai anggota badan untuk mengukur objek yang diberikan.

Seterusnya pada langkah 2 murid-murid akan diberi dua gambar yang
berlainan dan pembaris daripada guru. Tujuannya adalah murid-murid untuk
mengajar murid-murid menggunakan pembaris dengan betul untuk mengukur
panjang dalam gambar yang disediakan. Aktiviti ini dijalankan secara berpasangan
dengan melakukan perbincangan antara satu sama lain.

Selain itu, dalam langkah 3 murid-murid telah diberi peluang untuk meneroka
bahan-bahan maujud seperti sepit rambut, syiling 5 sen, getah rambut, rantai kunci,
putik kapas, blok kayu, dan butang. Pembaris digunakan untuk mengukurkan bahan-
bahan dalam unit ukuran piawai iaitu centimeter (cm) dan milimeter (mm). Murid-
murid dapat membezakan antara bahan kecil yang perlu menggunakan milimeter
(mm) dan bahan besar yang menggunakan sentimeter (cm).

Akhirnya, pada langkah 4, murid-murid diberi satu permainan iaitu permainan
explorace untuk meneroka kepanjangan sesuatu bahan. Bahan-bahan telah
diletakkan dalam satu kotak misteri dan murid-murid dihendaki menggunakan
penutup mata untuk menutup mata untuk mencari bahan-bahan yang telah
disenaraikan daripada guru. Murid-murid akan mencuba mendapatkan bahan-bahan
serta membuat perbandingan antara bahan yang boleh diukur dan bahan yang tidak
boleh diukur.
JUSTIFIKASI PEMILIHAN DAN PENGAPLIKASIAN KAEDAH
Dalam merangka perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
kesan terdapat beberapa kaedah yang difikirkan bersesuaian digunakan misalnya
kaedah pemudahcaraan, perbincangan dan demonstrasi.

Berdasarkan kaedah pertama iaitu pemudahcaraan, justifikasi yang
menjadikan kaedah ini sebagai pilihan ialah kerana melalui kaedah ini guru dapat
memotivasikan murid, membimbing dan mengalakkan murid melibatkan diri di
dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pendekatan sebegini amatlah
sesuai dijalankan di sekolah rendah kerana kaedah ini lebih dekat dengan murid
dimana pada peringkat inilah mereka memerlukan bimbingan yang berterusan untuk
memahami sesuatu konsep yang konkrit kepada konsep yang lebih abstrak lagi.

Bukan itu sahaja, apa yang lebih penting lagi, kaedah ini juga dapat
membantu melicinkan pembelajaran agar tiada sebarang gangguan.Tambahan pula,
kaedah ini turut mampu mengukuhkan kemahiran pertuturan di samping melatih
murid untuk berfikir dengan cepat dan spontan bagi menyelesaikan sesuatu
masalah. Situasi sebegini boleh diwujudkan kerana jika guru menguasai teknik
menyoal yang kesan sudah pastilah pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan
dengan baik serta dapat mencapai objektif pembelajaran yang disasarkan.

Sebagai contohnya, pada langkah yang kedua guru telah memilih kaedah ini
untuk diaplikasi di dalam proses pengajaran dan pembelajarannya yang mana guru
ini telah melakukan sesi soal jawab dengan murid-murid berkaitan cara bagaimana
mengukur objek dengan unit piawai yang betul. Responnya murid dapat memberi
jawapan yang spontan dan cepat kepada guru semasa tempoh pengajaran tersebut.

Selanjutnya ialah berkaitan justifikasi pemilihan dan pengaplikasian kaedah
perbincangan di dalam pengajaran dan pembelajaran. Secara amnya, mengapa
kaedah ini dipilih ialah kerana untuk memberi peluang kepada murid-murid saling
bertukar-tukar idea dan berkongsi pengalaman serta ilmu yang mereka peroleh
bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain. Melalui cara ini mereka dapat
melatih diri murid-murid untuk berfikiran lebih rasional dalam mengemukakan
sebarang idea dan pendapat.

Biar kita ambil contoh pengaplikasian kaedah ini. Jika dilihat dengan teliti
kaedah ini telah diaplikasikan sebanyak dua kali iaitu semasa di langkah pengajaran
3 dan 4. Kedua-dua langkah ini tidak jauh berbeza kerana guru telah memberikan
bahan rangsangan serta arahan yang jelas untuk melaksanakan aktiviti tersebut. Di
dalam proses pengajaran tersebut, guru membenarkan murid-murid untuk berkongsi
idea dalam menyelesaikan masalah selain melontarkan pendapat mengenai isu
yang bercanggahan dengan kumpulan yang lain.

Selain itu juga, kaedah ini secara tidak langsung mampu memberi
rangsangan kepada murid-murid untuk mempunyai sifat ingin membaca bagi
mencari dan menambahkan maklumat sedia ada mereka. Senario ini berlaku kerana
mereka merasakan satu kepuasan jika dapat melontarkan idea yang bernas
bersama-sama bukti yang kukuh iaitu melalui pembacaan. Tambahan pula, keadaan
ini turut mendorong kepada perkembagan mental mereka kerana kaedah ini telah
berjaya memupuk murid-murid untuk berfikiran lebih kritis, analitis dan kreatif
semasa menjalani sesi perbincangan.

Akhir sekali, kewajaranan memilih kaedah demostrasi ialah kerana kaedah
ini mampu melatih murid melakukan pemerhatian dan seterusnya melaksanakan
aktiviti tersebut mengikut prosedur yang tertentu. Ini penting kerana murid-murid di
sekolah rendah akan lebih mudah memahami sesuatu isi pelajaran jika mereka
diberikan contoh untuk dilihat. Bukan itu sahaja, melalui kaedah demostrasi ini juga
akan mempercepatkan proses kefahaman murid melalui pemerhatian disamping
membuka peluang untuk murid lebih memahami apa yang hendak dipelajari.

Contoh mudah pengaplikasian kaedah demostrasi ini ialah guru melakukan
demostrasi untuk mengukur bahan dalam unit piawai. Semasa demostrasi ini
berlangsung, murid-murid akan memerhati dan menilai aktiviti tersebut dan apabila
mereka diberi peluang untuk melakukannya dengan mudah mereka dapat boleh
memahami apa kemahiran yang ingin disampai oleh guru tersebut. Ini menunjukkan
bahawa objektif pembelajaran guru tersebut telah tercapai dan murid dapat
menguasai kemahiran itu dengan baik.

You might also like