You are on page 1of 6

Definisi Pengajaran Berasaskan Projek

.
Pembelajaran berasaskan projek merupakan proses pembelajaran yang berfokuskan
tugasan amali secara sistematik/terancang dalam jangka masa yang tertentu. Ia biasanya
melibatkan kutipan serta analisis data dan satu laporan yang betul. Pembelajaran
berasaskan projek juga merupakan suatu kaedah pengajaran yang menekankan kajian
dalam bentuk projek sebagai cara murid memperolehi ilmu. Kaedah ini menekankan
pembelajaran kendiri serta amalan penerokaan oleh murid.
Kaedah projek adalah satu strategi mengajar yang disarankan oleh professor William
Kilpatrick (1871-1965), dengan pengubahsuaian daripada kaedah penyelesaian masalah
yang dikemukakan oleh Dewey. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, pendekatan
berasaskan projek boleh membantu guru untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran
lebih berkesan dan menarik. Dalam pendekatan berasaskan projek, pengajaran dan
pembelajaran akan lebih menarik apabila guru dan murid dapat mengalami sendiri sesuatu
situasi pembelajaran melalui projek yang dilaksanakan.
Tujuan projek adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam
sesuatu bidang atau domain interdisiplinari. Projek pelajar boleh dilaksanakan secara
berpasukan kerana proses interaksi sosial yang dilalui pelajar memberi kebaikan kepada
diri mereka. Dari segi keberkesanan kerja secara berpasukan, telah banyak kajian
menunjukkan strategi pembelajaran koperatif dan kolaboratif adalah lebih baik daripada
pembelajaran secara individu (Johnson dan Johnson, 1999).
Dalam kaedah ini, pelajar biasanya diberi kebebasan untuk memilih. Tema bagi
projeknya, dipilih dari senarai tema yang disediakan. Dari situ, pelajar mengumpul segala
maklumat dan bahan yang berkaitan projek yang akan dijalankan. Untuk melakukan ini,
pelajar mungkin terpaksa menjangkau dan melangkah bidang yang pelbagai dan luas. Tema
dipilih sedemikian supaya penyatu paduan antara beberapa disiplin boleh berlaku. Dengan
cara ini, projek dapat meluaskan skop pemikiran pelajar.
Kaedah projek adalah berlandaskan teori bahawa pelajar akan lebih mudah
memahami isi pelajaran dengan cara mengalami dan membuat sendiri. Melalui kaedah ini,
pelajar akan dapat menjalankan aktiviti pembelajaran dengan penuh minat dan perhatian
dalam suatu situasi sebenar bagi mendapatkan hasil yang diharapkan. Biasanya pelajar
akan menjalankan projek selepas selesai menguasai sesuatu kemahiran tertentu. Dengan
menjalankan kerja-kerja projek ini, pelajar akan memperoleh pengalaman yang lebih luas di
samping mengembangkan potensi diri mereka secara global dan menyeluruh, selain
mengukuhkan kemahiran-kemahiran yang baru dikuasai.
Kaedah projek ini adalah berlandaskan teori pembelajaran bahawa hasil
pembelajaran murid akan menjadi lebih berkesan jika mereka menaruh minat dan bersedia
untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran yang dirancangkan dengan cara yang menarik.
Dengan hal yang demikian, kaedah projek ini menyarankan bahawa murid-murid belajar
melalui aktiviti permainan, kerja praktikal, kajian dan lawatan. Melalui kaedah ini, murid-
murid dapat menjalankan aktiviiti pembelajaran dengan penuh minat dan perhatian dalam
satu situasi yang sebenar untuk mendapatkan sesuatu hasil yang diharapkan.
Tujuan kaedah ini adalah untuk meningkatkan penglibatan pelajar dengan idea-idea
konseptual dan mengembangkan kemahiran-kemahiran yang tidak mungkin dicapai melalui
kaedah-kaedah pengajaran yang lain. Dalam kaedah ini, peranan utama guru adalah
menyediakan tajuk-tajuk projek dan memberi peluang kepada para pelajar memilih tajuk-
tajuk yang mereka gemari, menyediakan garis panduan secara bertulis serta menerangkan
cara mematuhi garis panduan berkenaan sepanjang projek dijalankan di samping bertindak
sebagai pembimbing.

Kaedah pembelajaran berasaskan projek ini menggalakkan pelajar mempelajari
sesuatu melalui pengalaman, pemerhatian dan percubaan. Pelajar merasa seronok
menjalankan ujikaji aktiviti lain yang dilakukan dalam situasi sebenar dan bermakna.
Biasanya kaedah ini memberi peluang kepada pelajar menggunakan kemudahan alat deria
mereka untuk membuat pengamatan dan penanggapan secara berkesan.








Kelebihan dan Kekurangan Pembelajaran Berasaskan Projek
Kaedah pembelajaran berasaskan projek dalam pengajaran dan pembelajaran Sains
ini mempunyai beberapa kelebihan. Melalui strategi ini, hubungan guru dengan pelajar akan
lebih mesra kerana guru dan pelajar saling berkomunikasi dan bertukar pendapat. Persepsi
negatif pelajar kepada guru juga akan berubah kerana proses interaksi sentiasa berlaku.
Tujuan utama strategi ini ialah untuk menggalakkan pelajar mengembangkan kemahiran diri
dalam mengemukakan hujah, pendapat, menyoal serta menyelesaikan masalah. Keadaan
ini membolehkan pelajar berfikiran dengan lebih luas dan mendidik pelajar supaya berani
dan yakin kepada diri sendiri dalam mengemukan hujah, pendapat dan seterusnya
menyelesaikan masalah. Galakan daripada guru akan menambahkan lagi keyakinan pelajar.
Topik yang dipilih oleh guru mestilah sesuai dengan objektif pembelajaran dan pengajaran
serta dapat menarik minat pelajar. Keadaan ini membolehkan pelajar belajar dalam keadaan
yang gembira tanpa tekanan yang membebankan.
Kelebihan yang seterusnya ialah murid-murid boleh menggunakan pengetahuan dan
kemahiran yang dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah untuk
mencubanya dalam situasi yang sebenar dan menghasilkan sesuatu. Ini akan mendorong
mereka belajar dalam situasi yang seronok dan bermakna.
Selain itu, semangat kerjasama dan sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui
kerja projek berdasarkan kumpulan pelbagai kebolehan, pelajar turut melibatkan diri secara
aktif dalam membuat dan menyediakan projek secara berkumpulan dan menanamkan sikap
koperatif dalam kalangan pelajar. Hal ini kerana, kebiasaannya sesuatu projek dilakukan di
dalam kumpulan, dengan ini, semangat bekerjasama antara ahli kumpulan dapat disemai
dan dipupuk.
Antara kelebihan lain yang diperoleh melalui perlaksanaan projek dalam pengajaran
dan pembelajaran Sains ialah mewujudkan komunikasi positif dan perhubungan kolaboratif
dalam kalangan pelajar yang pelbagai terutama dalam kumpulan pelajar.
Murid-murid juga, dapat belajar mengumpul maklumat dan menganalisis.
Kebanyakan projek memerlukan sumber yang memberi peluang kepada pelajar untuk
mencari sendiri maklumat yang diperlukan. Pelajar-pelajar boleh menggunakan pelbagai
jenis sumber seperti pusat sumber, media massa dan internet.
Kemahiran membentangkan tugasan juga dapat diperoleh oleh para pelajar.
Kebiasaannya guru akan meminta setiap pelajar membentangkan hasil tugasan yang
mereka lakukan untuk sesebuah projek. Ini akan dapat meningkatkan lagi kemahiran dan
keyakinan para pelajar ketika berhadapan dengan rakan-rakan lain.
Seterusnya, strategi ini mempunyai beberapa kelebihan lain, antaranya ialah minat
pembelajaran dan daya kreatif murid dapat dipupuk, serta mampu mengembangkan
kemahiran psikomotor dan daya kreatif murid-murid. Tambahan pula, melalui projek ini, ia
dapat memberi peluang kepada murid mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang
berfaedah. Projek ini juga mampu menarik perhatian murid-murid terhadap satu-satu topik
yang khusus, Memberi peluang mereka menjana idea mengenai topik tersebut, mengajar
mereka untuk menerima dan menghormati perbezaaan individu, mengalakan mereka untuk
sedia menanggung risiko dalam berkongsi idea dan pandangan masing-masing serta
menunjukan bahawa sumbangan idea mereka dihargai.
Selain daripada itu juga, pelajar mengamalkan kemahiran berfikir dan menyelesaikan
masalah yang mereka alami sepanjang mengendalikan sesuatu projek dan pastinya aktiviti
yang dijalankan bermakna dan berilmiah.
Pembelajaran berasaskan projek juga mampu menarik minat dan memotivasikan
pelajar yang kurang menumpukan perhatian dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran,
menolong pelajar dalam memahami dan mengaplikasikan pengetahuan, menolong pelajar
dalam pembelajaran dan menguasai kemahiran menyelesaikan masalah, berkomunikasi
dan pengurusan kendiri, mengintegrasikan bidang kurikulum, pengajaran bertema dan isu-
isu komuniti, menggalakkan akauntabiliti dan penentuan matlamat, serta memenuhi
keperluan pelajar yang mempunyai tahap pembelajaran dan gaya pembelajaran yang
berbeza.
Kaedah projek ini mempunyai beberapa kelebihan lain, di antaranya adalah minat
pembelajaran dan gaya kreatif murid dapat dipupuk. Di samping itu murid dapat
menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi untuk menghasilkan sesuatu.
Tambahan pula ia memberi peluang kepada murid menggunakan masa lapang yang
berfaedah. Apabila sesuatu objek dihasilkan dengan baik, dan dipamerkan akan
membolehkan murid menikmati rasa kejayaan serta kebanggaan. Perasaan ini akan
mendorong murid supaya berusaha secara berterusan dengan lebih tekun lagi.
Walaupun terdapat banyak kebaikan di dalam aktiviti pembelajaran berasaskan
projek, namun terselit juga beberapa kelemahannya. Misalnya strategi berasaskan projek ini
memerlukan banyak tenaga dan masa untuk dilaksanakan. Murid-murid dan guru terpaksa
meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk menyiapkan sesebuah projek.
Sebagaimana maklum, sesebuah projek yang dihasilkan mengambil masa sekitar dua
hingga tiga minggu untuk dilaksanakan. Hal ini menyebabkan banyak masa dan tenaga
terpaksa dihabiskan semata-mata untuk menyiapkan projek ini.
Seterusnya, kelemahan strategi berasaskan projek dalam pengajaran yang lain ialah
mengurangkan fokus pelajar terhadap pengajaran yang dijalankan. Ini kerana aktiviti secara
berkumpulan adalah menekankan kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Dengan ini ia
akan memudahkan sesetengah pelajar untuk tidak melibatkan diri secara aktif dalam
pengajaran yang diberikan. Permasalahan ini juga turut menyumbang kesulitan kepada
pengajaran guru. Ini kerana kaedah perbincangan yang diterapkan menyulitkan para guru
untuk mengenalpasti tahap kefahaman setiap pelajar. Sepertimana yang kita ketahui, daya
intelek dan tahap kefahaman setiap pelajar adalah berbeza. Dengan ini, ia akan
menyebabkan sesetengah pelajar yang tidak menguasai tahap kefahaman terhadap
pengajaran yang diberikan terus hanyut dan lemah untuk menguasainya. Keyakinan dan
kesungguhan pelajar untuk berusaha memahami pengajaran yang diberikan akan terus
berkurang sehingga boleh menyebabkan pelajar tersebut lalai dalam memperoleh ilmu
pengetahuan terhadap aspek yang diajar. Oleh itu, guru harus memastikan setiap pelajar
mengambil bahagian dalam tugasan yang diberikan dan memantau setiap kumpulan sambil
bersoal jawab dengan setiap pelajar dalam kumpulan.
Kelemahan yang seterusnya ialah, perbelanjaan untuk menghasilkan projek pula
melibatkan kos yang tinggi. Untuk menghasilkan sesebuah projek pelajar harus
mengeluarkan perbelanjaan yang banyk untuk membeli bahan dan alatan yang diperlukan
untuk membuat projek. Contohnya dalam projek buku skrap, pelajar perlu membeli alatan
seperti pensil warna, Buku Skrap, kertas mah-jong, Marker, gam, gunting, kertas warna dan
banyak lagi.
Melalui pembelajaran berasaskan projek, ianya memerlukan guru yang serba boleh
dan menambah beban tugas guru kerana peranannya amat penting dalam menjayakan
sesuatu projek. Kelemahan yang terakhir ialah, Murid-murid yang menghasilkan projek yang
kurang menarik tidak mendapat peluang untuk mempamerkan projek yang mereka hasilkan,
hal ini akan menyebabkan mereka berasa kecewa kerana menganggap hasil kerja mereka
tidak diiktiraf. Perasaan negatif ini mungkin mendatangkan kesan yang buruk terhadap
pembelajaran mereka pada masa hadapan.
Kesimpulannya, pembelajaran berasaskan projek ini mendatangkan lebih banyak
kebaikan kepada pelajar dan guru berbanding keburukan. Strategi ini lebih menekankan
kepada penglibatan guru dan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya
kedua-dua belah pihak memberi kerjasama yang baik ketika pengajaran berlaku, maka
suasana pengajaran akan menjadi lebih bermakna dan baik mampu diwujudkan berbanding
menggunakan cara pengajaran seperti biasa.

You might also like