You are on page 1of 7

Faedah-faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah.


Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan
tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan
persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan
menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak faedah.
Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi
masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada
masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang
hantu.Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita
daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif
dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu,
kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan
berfaedah.
Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar
menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan
seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan
ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita
akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan.
Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada
jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti
kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.
Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga
kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk
mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk
berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian
kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan
perkhemahan, bersukan dan sebagainya.
Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi
perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-
ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India
dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan
berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat
serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini
akan mengeratkan hubungan sesamakita.
Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita
menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah
mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar
menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak
mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Dengan cara itu,
kita akan dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.








Faedah-faedah Mempelajari Komputer
Komputer merupakan alat elektronik yang menyimpan
maklumat pada cakera atau pita bermagnet, menganalisisnya dan
mengeluarkan maklumat selanjutnya apabila diperlukan.
Penggunaan komputer semakin popular di dunia dewasa ini.
Terdapat pelbagai jenis komputer seperti komputer peribadi,
komputer meja, komputer mudah alih, komputer talapak dan
sebagainya. Murid-murid terdedah kepada dunia komputer sejak
peringkat sekolah rendah lagi.
Pendedahan ini memberikan banyak faedah kepada
mereka. Antaranya, murid-murid boleh meluaskan pengetahuan
dan minda mereka melalui penggunaan internet. Murid-murid
dapat mencari maklumat terkini dengan cepat dan mudah. Oleh
yang demikian, dapat membantu murid-murid dalam proses
pembelajaran. Secara tidak langsung ini akan membantu murid-
murid meningkatkan prestasi akademik mereka.
Di samping itu, komputer memudahkan tugas kita.
Banyak kerja dan tugasan kini dilakukan dengan bantuan
komputer, seperti kerja-kerja penaipan, pelukisan grafik, dan
penyediaan laporan. Komputer membolehkan kita menyiapkan
kerja tersebut dengan mudah dan cepat. Bagi murid-murid,
penggunaan komputer dapat menjimatkan masa dalam
pembelajaran dan pengajaran sama ada di rumah mahupun di
dalam kelas.
Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat
menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur
dan papan hitam yang digunakan pada hari ini mungkin akan
membosankan para murid yang dibesarkan dalam zaman
teknologi maklumat ini. Komputer, dengan konsep multimedia,
iaitu gambar, bunyi dan warna, mampu menarik minat para
pelajar. Sudah pastinya, setiap murid akan berasa seronok dan
ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif.
Justeru, akan memudahkan murid memahami sesuatu pelajaran
kerana mereka mendapat gambaran yang tepat tentang sesuatu
topik yang dipelajari.
Komputer juga mempunyai program untuk
memperkembang bahasa, contohnya tesaurus. Murid-murid
boleh belajar makna perkataan dan penggunaannya. Justeru,
murid-murid akan bijak menyampaikan idea. Penulisan karangan
juga akan menjadi lebih mantap dengan penggunaan kosa kata
yang lebih meluas.
Kesimpulannya, komputer sangat berguna dalam
kehidupan pada hari ini. Guru-guru dan juga murid-murid perlu
menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam
pembelajaran. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak
menggunakan komputer sejak dari kecil lagi agar mereka dapat
menggunakan teknologi komputer sebaik-baiknya.





Faedah Berjimat-Cermat

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil
lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita
miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedah daripada amalan berjimat-cermat
antaranya ialah membolehkan kita menabung. Oleh itu, kita
mestilah berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian, ketika
menggunakan kemudahan seperti air, elektrik, dan telefon dan
sebagainya. Dengan cara ini, wang itu boleh kita simpan bagi
tujuan yang lebih berfaedah pada masa hadapan.

Selain itu, orang yang berjimat-cermat tidak akan
membeli sesuatu tanpa perancangan teliti. Mereka menyelidiki
dahulu sebelum membeli sesuatu barang supaya pembelian
mereka itu berbaloi dengan wang yang telah mereka keluarkan.
Pembelian yang tidak cermat boleh menyebabkan kita terbeli
sesuatu yang membawa kerugian dan penyesalan.

Berjimat-cermat juga menggelakkan seseorang daripada
terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan
boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga
mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat
dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri.

Berjimat-cermat juga bermaksud kita menggunakan masa
dengan sebaik mungkin. Elakkan daripada menangguh-nangguh
sesuatu tugas dan sebagai pelajar, buatlah jadual harian agar kita
dapat mengisi masa dengan sebaik-baiknya seperti mengulang
kaji pelajaran dan sebagainya.

Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan
seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat
tentang penjimatan dan kecermatan seperti sentiasa menutup
kembali kipas selepas digunakan.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadikan
amalan berjimat-cermat sebagai budaya kita. Oleh itu, yakinlah
bahawa amalan ini pasti akan membawa kebaikan kepada diri
sendiri.









Faedah-faedah Membaca

Membaca jambatan ilmu. Ibu bapa haruslah memupuk
minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi.
Terdapat pelbagai bahan bacaan yang sesuai dibaca seperti surat
khabar, majalah, buku cerita, komik dan lain-lain lagi. Bahan-
bahan ini boleh didapati di perpustakaan ataupun membelinya di
kedai buku.

Membaca dapat memberikan pelbagai faedah kepada
kita. Antaranya membaca dapat menambah ilmu pengetahuan.
Dengan membaca buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang
seperti bidang sejarah, ekonomi, perubatan dan sebagainya,
menjadikan kita pelajar yang berpengetahuan luas dan otak cair.
Secara tidak langsung akan membantu kita menjadi pelajar yang
cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru-guru.

Dengan membaca juga kita akan dapat mengetahui isu-isu
semasa. Apabila kita membaca surat khabar, kita akan tahu berita
semasa di dalam dan di luar negara. Contohnya berita tentang
gempa bumi di Jepun, peperangan di Palestin, Banjir di Johor dan
sebagainya.

Di samping itu, membaca juga dapat menghiburkan kita.
Apabila kita berasa penat setelah menelaah pelajaran, kita boleh
membaca buku-buku yang boleh menghiburkan kita seperti
komik, majalah dan lain-lain lagi. Dengan itu, kita dapat
menghilangkan rasa penat.

Seterusnya, membaca dapat mengisi masa lapang kita.
Kita dapat mengelakkan diri kita daripada bergaul dengan kacang
hantu atau kutu embun. Secara tidak langsung, kita tidak akan
terjebak dengan gejala sosial seperti melepak, bergaduh,
vandalisme dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, membaca amat penting kepada para
pelajar. Oleh itu, kita haruslah tanamkan sikap suka membaca
pada setiap masa. Rakyat yang suka membaca adalah rakyat yang
berilmu.
























Cara menggunakan masa dengan berfaedah

Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat.
Antaranya ialah "Masa itu Emas", "Masa ialah Kehidupan" dan
sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam
kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh
itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu
sahaja.
Masa dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita
memenuhinya dengan melakukan hobi yang bermanfaat.
Contohnya, bersukan, melancong, berekreasi, mengumpul setem
dan sebagainya. Jika kita gunakan masa dengan hobi yang
bermanfaat akan dapat memberikan kepuasan kepada kita.
Selain itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan
menziarahi sanak saudara, datuk dan nenek serta teman-teman.
Selain dapat bersiar-siar, kita akan dapat mengeratkan hubungan
kekeluargaan dan persahabatan.
Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang
ialah membaca. Pelbagai bahan bacaan dapat dibaca seperti buku
rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Kita
dapat mencedok ilmu dan maklumat sebanyak mungkin daripada
bahan bacaan ini.
Di samping itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang
dengan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah. Kita
perlu faham situasi ibu bapa kita yang seharian penat bekerja.
Oleh itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu
sampah dan sebagainya, kita secara tidak langsung dapat
meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan
hubungan kekeluargaan.
Kesimpulannya, kita sebagai manusia sewajarnya
mendisiplinkan diri supaya tidak membuang masa begitu sahaja
kerana masa sangat berharga. Oleh itu, uruslah masa dengan
bijak.





















Cara-cara membalas jasa ibu bapa

Setiap insan sudah pastinya mempunyai ibu bapa.
Sesudah sembilan bulan dikandung ibu, dengan izin Allah, kitapun
dilahirkan. Sesudah lahir, kita dijaga dengan penuh kasih sayang,
bagai menatang minyak yang penuh.
Sebagai anak, kita sewajarnya membalas jasa kedua-dua
ibu bapa kita. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk membalas
jasa mereka. Antaranya, kita perlu belajar bersungguh-sungguh.
Kejayaan yang cemerlang dalam UPSR sudah tentu mampu
menggembirakan ibu bapa kita. Sesungguhnya setiap ibu bapa
inginkan anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaran boleh
menentukan masa depan kita.
Kita juga sebagai anak yang baik sewajarnya
mempamerkan tingkah laku yang mulia. Apabila bertutur dengan
ibu bapa, elakkan bercakap kasar. Segala nasihat mereka perli
didengar dengan teliti dan diikuti sebagai pedoman hidup. Kita
janganlah menyinggung perasaan mereka dengan tingkah laku
kita yang boleh menyebabkan hati mereka sakit, bagai dihiris
dengan sembilu.
Kita juga haruslah bersikap tangan terbuka membantu
mereka. Seharian mereka bekerja untuk mencari nafkah
menanggung kita sekeluarga. Dengan sikap kita yang suka
membantu ibu bapa, sudah pastinya akan meringankan beban
mereka yang sudah penat bekerja. Kita boleh membantu mereka
mengemas rumah, memasak, menyiram pokok bunga dan
sebagainya.
Sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa
menyediakan keperluan asas kepada kita. Namun, sebagai anak
yang baik, kita janganlah mendesak mereka memenuhi apa yang
kita inginkan. Contohnya, kita mendesak mereka membeli
komputer, pakaian yang mahal-mahal dan sebagainya. Kita
janganlah membandingkan kemampuan ibu bapa kita dengan
kemampuan orang lain. Kita sepatutnya perlu ukur baju dibadan
sendiri, agar kita tidak dianggap seperti kacang lupakan kulit.
Sesungguhnya, pengorbanan ibu bapa tidak dapat dinilai
dengan wang ringgit. Segala perit jerih mereka membesarkan kita
seharusnya dihargai. Oleh itu, kita perlu sedaya upaya berusaha
untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka.















Cara-cara membalas jasa guru

Tugas guru ialah mengajar di sekolah.Guru mendidik
pelajar supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan
negara. Guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana
pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Oleh itu, sebagai
murid kita sewajarnya menghargai guru. Terdapat banyak cara
untuk menghargai guru kita.
Antara cara untuk menghargai jasa guru ialah dengan
menghormati mereka. Guru perlu dihormati kerana guru
menyampaikan ilmu kepada kita. Mereka mendidik kita supaya
menjadi insan yang berguna. Contohnya, kita boleh mengucapkan
salam apabila berjumpa dengan guru. Kita juga tidak boleh
sombong terhadap guru.
Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara
menyiapkan kerja sekolah mereka. Guru memberikan kerja
sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya
sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Oleh itu,
kita mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang
ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan
membetulkannya. Ini pastinya dapat membantu pelajar untuk
membuat pembetulan.
Kita juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin
semasa di sekolah. Disiplin sangat penting untuk menjadi pelajar
yang berjaya dalam pelajaran. Contohnya, kita perlu datang awal
ke sekolah dan tidak terlibat dalam kes-kes buli, gengsterisme,
vandalisme, ponteng sekolah, dan lain-lain.
Pelajar boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.
Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku
guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada
guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei.
Pelajar boleh menghargai guru dengan mengenang jasa
guru. Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Contohnya,
kita boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan
Hari Guru pada 16 Mei.Kita juga perlu menunjukkan kasih sayang
kepada guru. Kita bolehlah menziarahi guru ketika mereka sakit.
Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap
pelajarnya.
Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi
orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Ini
kerana, jasa guru tidak ternilai harganya dalam melahirkan insan-
insan yang berjaya, cemerlang dan gemilang.

You might also like