You are on page 1of 3

Kesan-kesan pengambilan makanan segera

Dalam arus pemodenan ini, makanan segera sudah tidak asing lagi kepada masyarakat tempatan
khususnya golongan remaja dan kanak-kanak. Saban hari media massa mengiklankan pelbagai jenis makanan
segera seperti ayam goreng, kentang goreng, burger, hot dog, mi segera dan pizza. Makanan-makanan ini
sangat mudah didapati, enak rasanya dan berpatutan harganya. Oleh itu, makanan segera amat popular dan
berjaya mengubah selera masyarakat kita. Ini juga dikaitkan dengan pemodenan yang merangkumi keseluruhan
cara hidup termasuk pemakanan dan cita rasa, serta dikatakan menepati era moden yang mementingkan masa.
Persoalannya, apakah kesan-kesan pengambilan makanan segera terhadap kanak-kanak?

Namun dari segi kesihatan, makanan segera sebenarnya banyak mendatangkan kesan negatif yang harus
diberi perhatian oleh masyarakat umum. Kesibukan dalam tugas seharian dalam kehidupan telah mendorong
masyarakat pada hari ini untuk mencari jalan pintas dengan mengambil makanan segera sebagai alternatif
daripada makanan berat. Jika pada masa dahulu, mi segera menjadi pilihan utama makanan segera, kini
terdapat ribuan jenama makanan segera dikeluarkan atas keperluan pasaran. Selain kurang berkualiti dan
kandungan zat makanan yang tidak seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat kerana kandungan
garam dan bahan kimia di dalam serbuk perisa `monosodium glutimate yang membahayakan kesihatan. Bahan
kimia ini menyebabkan seseorang itu mudah diserang penyakit darah tinggi dan buah pinggang.

Pada hari ini, masalah komplikasi kegemukan atau obesiti telah menjadi satu sindrom baru masyarakat
kita yang dikatakan berpunca daripada pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandung lemak dan
gula yang tinggi. Makanan tersebut seperti aiskrim, minuman berkarbonat dan sebagainya adalah antara
makanan segera kegemaran kanak-kanak dan remaja kini. Kegemukan ialah risiko peningkatan kolesterol
dalam darah yang jika tidak diberi perhatian akan menyebabkan penyakit jantung. Kajian oleh pakar
pemakanan menunjukkan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak. Ini disebabkan otak manusia
memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik, namun kandungan lemak yang terlalu banyak boleh
mengganggu peranan glukosa yang seterusnya boleh merosakkan daya konsentrasi dan tahap ingatan.

Selain itu, pengambilan makanan segera yang berlebihan juga akan mengancam radang paru-paru yang
boleh membawa kepada penyakit asma yang kronik. Berdasarkan satu kajian sains pemakanan mendapati
bahawa daripada 100 orang kanak-kanak yang mengambil makanan segera menunjukkan bahawa mereka yang
kurang mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat besi dan susu amat mudah
menghadapi risiko diserang penyakit asma yang berlarutan. Makanan segera tidak mengandungi vitamin A
yang amat diperlukan oleh tubuh kita. Vitamin ini penting untuk membina sel-sel baru, di samping berfungsi
untuk penjagaan kulit dan mata. Gentian yang dapat membantu penghadaman dan mengelakkan sembelit tidak
terdapat dalam makanan segera.

Makanan sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, malang sekali pada masa kini
makanan turut membawa kesengsaraan kepada manusia. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan diri daripada
dijangkiti pelbagai penyakit akibat pengambilan makanan segera yang berlebihan, kita harus membentuk tabiat
pemakanan yang seimbang dan sihat. Jangan terlalu memilih jalan mudah dalam soal makan minum. Ambillah
makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk menjamin kesihatan tubuh badan yang berterusan.

Langkah-langkah menyelesaikan jenayah ragut
Di negara kita sekarang ini, kes ragut semakin berleluasa dan membimbangkan semua pihak
kerana acap kali berakhir dengan kematian. Kajian menunjukkan bahawa kes ragut semakin
meningkat di negara kita. Hal ini disebabkan oleh kurangnya kesedaran jasmani, emosi, rohani dan
intelek dalam diri peragut. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah drastik perlu
diimplementasikan bagi membendung masalah ini terus berleluasa.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa langkah yang boleh dilakukan adalah
dengan member maklumat kepada umum terutamanya kaum hawa agar mereka bersedia dan
berwaspada. Kehausan wang merupakan punca utama peragut sanggup menindas kaum yang lemah ini.
Ironinya, wanita dewasa ini sering memperagakan barang kemas sebagai simbol kemewahan tetapi
mereka kurang arif bahawa obsesi itu berkemungkinan memakan diri mereka. Oleh itu, keprihatinan
masyarakat amat penting agar masalah ragut dapat dikurangkan.
Lanjutan daripada huraian di atas, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus melakukan anjakan
paradigm dengan memperkasakan hukuman terhadap pesalah ragut. Hal ini dikatan demikian kerana,
undang-undang dan hukuman yang sedia ada tidak tegas dan ketat. Jika PBT terus berpeluk tubuh,
sampai bilakah orang ramai akan terus alpa dengan persepsi bahawa hukuman jenayah ragut adalah
ringan? Maka, apabila hukuman tersebut wujud dengan izhar, secara tidak langsung hal tersebut
berjaya menimbulkan ketakutan di hati orang ramai yang cuba meragut.
Sudah terang lagi bersuluh, pihak yang dominan seperti kerajaan dan badan-badan bukan
kerajaan juga perlu menggerakkan kewujudan kempen-kempen memerangi kes ragut. Kekurangan
kempen-kempen yang dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat telah mengakibatkan
orang ramai tidak mengambil berat terhadap isu ini. Perkara ini berikutan, masyarakat tempatan masih
mengambil ringan tentang kesan negatif jenayah ragut terhadap mangsanya. Penjanaan kempen-
kempen kesedaran di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan mangkin yang efektif
demi mengurangkan jumlah kes ragut di peringkat tempatan secara holistik.
Selanjutnya, masyarakat juga harus bekerjasama dengan pihak berkenaan dalam menyelesaikan
kes ragut. Terdapat segelintir masyarakat yang dikatakan bersikap bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing dalam mengambil berat kes ragut yang berlaku di sekeliling mereka.
Sikap ini telah memberanikan peragut untuk meragut di merata-rata. Sebaliknya, masyarakat haruslah
menjadi mata dan telinga pihak polis supaya kes jenayah ragut dapat dikurangkan. Contohnya,
program rakan cop yang diwara-warakan oleh pihak polis harus disambut baik oleh pihak masyarakat.
Tegasnya, semua masyarakat harus bersinergi dalam membendung masalah ini.
Konklusinya, semua golongan harus mengamalkan usaha yang pragmatik agar imej negara
tidak tercalar di mata dunia. Janganlah kita mengambil sikap sambil lewa dan hanya akan sedar
sekiranya berlaku kematian dalam kalangan mangsa ragut seperti kata peribahasa Melayu, sudah
terhantuk baru terngadah. Saya berharap negara kita bebas daripada kes ragut supaya negara kita
terus aman dan damai dalam menuju ke arah Wawasan 2020.

You might also like