You are on page 1of 11

LAPORAN PELAKSANAAN LAWATAN

Sebelum

Sebelum saya dan rakan guru pelatih, Affiq Ariffin bin Mohd. Samsi
melaksanakan program lawatan ini, saya merasa gentar untuk melaksanakan lawatan
ke Universiti Malaysia Sabah ini. Memandangkan kami hanya guru pelatih, ditambah
lagi ini merupakan kali pertama kami mengiring murid ke sebuah lawatan, perkara yang
paling kami runsing ialah keselamatan murid-murid. Walaupun begitu, kami telah
dibimbing dan dimotivasikan oleh guru pembimbing agar meneruskan hasrat murni
kami tanpa ragu-ragu. Rakan guru lain juga banyak memberi semangat agar kami
berani mencuba.

Kami turut menghadapi masalah semasa menghasilkan kertas kerja lawatan. Hal
ini kerana kertas kerja lawatan bagi kelas kami di Institut Pendidikan Guru berbeza
dengan kertas kerja lawatan untuk membawa murid sekolah. Kertas kerja ini perlu lebih
lengkap dengan maklumat murid yang menyertai. Perkara ini perlu dilakukan tanpa
sebarang kesilapan agar tiada murid yang mengikut lawatan ini tanpa kebenaran.
Selain itu, jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kehilangan, nama murid
tersebut boleh terus dirujuk di dalam kertas kerja. Setelah berbincang, kami
memutuskan untuk membawa murid tahun 6 untuk melawat Akuarium dan Muzium
Marin Universiti Malaysia Sabah. Kami bersepakat memilih lokasi ini kerana sekolah
kami berpraktikum, SK Malawa berada hampir dengan Universiti Malaysia Sabah
(UMS). Memandangkan sekolah ini juga pernah berurusan dengan Universiti Malaysia
Sabah sebelum ini untuk mengadakan Kejohanan Olahraga Tahunan di situ, kami
merasakan pihak UMS tidak keberatan untuk menerima kami.

Semasa dalam proses menyiapkan kertas kerja, kami turut berkolaborasi dengan
guru pembimbing kami, merangkap Ketua Panitia Sains, Pn Edzruha Elias dan guru
Sains Tahun 6, Encik Erwan bin Jaini. Mereka berdua banyak membantu kami memberi
idea dan cadangan aktiviti semasa lawatan tersebut. Mereka juga ingin memastikan
lawatan ini dapat berjalan lancar dan murid mendapat pengetahuan semasa lawatan.
Mereka juga turut membetulkan tentatif yang telah kami sediakan kerana berdasarkan
pengalaman mereka, tentatif awal yang kami sediakan kurang sesuai. Lembaran aktiviti
yang kami sediakan turut mereka baiki. Menurut mereka lagi, soalan yang ada dalam
lembaran aktiviti semasa lawatan tidak perlu terlalu banyak atau rumit. Memandangkan
lawatan sambil belajar ini sepatutnya membenarkan murid belajar dengan santai,
soalan yang mudah sahaja perlu disediakan. Jika soalan yang sukar ingin ditanya,
soalan tersebut perlu diaju sebelum lawatan agar murid boleh bersedia mencari
jawapan semasa lawatan.

Pada awalnya, kami memilih tarikh 21 Ogos 2013 sebagai tarikh pelaksanaan
lawatan tersebut kerana waktu itu kami tidak mempunyai kelas mengajar. Tarikh Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) juga tidak terlalu hampir. Namun, apabila kertas
kerja ini dibentang kepada Guru Besar Cemerlang SK Malawa, Encik Judin bin Diana,
beliau meminta kami meminda tarikh tersebut kepada 28 Ogos 2013. Menurut beliau,
murid tahun 6 akan dihantar untuk Program Selangkah ke Menara Gading di UMS pada
tarikh 28 Ogos tersebut. Bagi memudahkan tugas kami, beliau meminta kami agar
menukar tarikh tersebut agar murid Tahun 6 tidak perlu kerap keluar masuk sekolah
semasa sebelum UPSR. Kami amat berbesar hati kerana kertas kerja kami diluluskan.
Selain itu, kami juga tidak perlu pergi ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk memohon
surat kebenaran kerana perkara itu telah diuruskan bagi Program Selangkah ke Menara
Gading. Kami hanya perlu menumpang lawatan tersebut . Guru besar juga telah
memaklumkan kepada pihak UMS bahawa sekolah akan melanjutkan lawatan sehingga
tengah hari untuk melawat Akuarium dan Muzium Marin UMS.

Kami kemudian memaklumkan 30 orang murid yang terpilih dan mengedarkan


surat kebenaran ibu bapa kepada mereka. Kami meminta mereka agar menghantar
surat kebenaran tersebut selewat-lewatnya seminggu sebelum lawatan agar urusan
makanan dan hal lain dapat diuruskan dengan awal. Kami juga meminta murid agar
membawa alat tulis, bekalan air minuman serta buku catatan semasa lawatan tersebut
nanti. Kami turut meminta murid datang awal ke sekolah agar tentatif program dapat
berjalan lancar.

Semasa

Pada hari lawatan, 28 Ogos 2013, tepat jam 7.30 pagi, kami telah meminta 30
orang murid yang terlibat ini untuk berkumpul di kantin sekolah. Murid-murid telah
diberikan sarapan pagi. Semasa mereka sedang bersarapan, kami menyampaikan
secara ringkas tentang perjalanan pada hari ini. Murid juga diingatkan agar berkelakuan
baik sepanjang lawatan. Amaran turut diberikan jika mereka melanggar peraturan dan
berkelakuan tidak baik.

Pada jam 8.30 pagi, Guru Besar Cemerlang, Encik Judin bin Diana bersama
Guru Penolong Kanan 1 hadir memberi sedikit pesanan kepada kami dan murid yang
mengikuti rombongan. Beliau berpesan agar murid-murid mendengar arahan guru dan
menjaga nama baik sekolah. Beliau turut berharap agar kami dapat menjaga
keselamatan murid-murid dari pergi hingga kami balik. Kemudian, selepas membaca
doa selamat, Guru Besar Cemerlang melepaskan rombongan kami menaiki bas.
Apabila menaiki bas, kami mengedarkan lembaran aktiviti kepada setiap murid untuk
mereka isi semasa lawatan. Kami menerangkan sekali lagi tentang tentatif lawatan dan
peraturan semasa lawatan. Kami mengulang-ulang peringatan dan pesanan agar
mereka dapat menjaga kelakuan dan keselamatan mereka.

Rombongan kami dijangka tiba seawal jam 9.00 pagi di UMS tetapi atas sedikit
kesesakan lalu lintas, kami terlewat 15 minit daripada yang dijadualkan. Kami dan guru
pengiring lain memohon maaf kepada pihak UMS atas kelewatan kami tetapi mereka
tidak mempunyai masalah dan faham situasi kami. Malahan, mereka menerima kami
dengan besar hati. Setibanya di UMS, kami telah diberi sedikit taklimat. Kemudian, kami
dibawa menuju ke Galeri Perdana UMS. Di sana, mereka berkumpul dan mengikuti
Program Selangkah ke Menara Gading. Murid-murid kelihatan berkelakuan baik
semasa mendengar penerangan. Mereka turut teruja melihat pameran dalam galeri
tersebut.

Pada jam 11.00 pagi, kami meneruskan lawatan ke Akuarium dan Muzium Marin
UMS. Di sini, program lawatan yang kami uruskan bermula. Apabila kami tiba, mereka
memberi taklimat terlebih dahulu tentang bangunan Akuarium dan Muzium Marin ini
sendiri, spesis ikan yang ada, penjagaan hidupan marin dan sebagainya. Kemudian,
murid dilepaskan untuk melawat kawasan tersebut dengan diiringi oleh pihak UMS dan
guru pengiring. Sewaktu ini, kami berpesan kepada murid agar sambil bergembira,
mereka perlu membuat pemerhatian dan mengisi lembaran aktiviti yang diberi.
Walaupun telah dipesan berulang kali, masih terdapat murid yang agak nakal. Mereka
mungkin terlalu teruja namun kami terus menghampiri mereka dan berpesan agar
menjaga kelakuan. Perkara yang kami risaukan ialah berlaku sebarang kerosakan di
Akuarium dan Muzium Marin ini akibat tingkah laku murid serta murid hilang pergi ke
tempat lain. Kami memastikan murid berjalan dalam pasangan dan murid tersebut perlu
sentiasa mengawal pergerakan pasangan mereka.

Pada jam 12.10 tengah hari, kami mengumpulkan murid dan mengira kehadiran
murid. Semua murid cukup dan tiada yang hilang. Peralatan atau bahan pameran juga
tiada yang rosak. Kami kemudian bertanya samada lembaran aktiviti tersebut sudah
dilengkapkan. Kami kemudian meninggalkan Akuarium dan Muzium Marin dan menuju
ke Masjid UMS untuk menunaikan solat Zohor bagi yang beragama Islam. Selepas itu,
kami menaiki bas dan mengira semula bilangan murid dan berangkat pulang ke
sekolah. Kami tiba di kantin sekolah pada jam 1.30 petang dan murid-murid diberikan
makan tengah hari.

Selepas

Apabila tiba di sekolah, kami memastikan semua murid cukup da mendapat


makanan. Lembaran aktiviti juga kami kutip dan kumpul daripada murid. Kami bersama
murid-murid menunggu ketibaan ibu bapa mereka menjemput pulang. Terdapat murid
yang berjalan kaki pulang ke rumah kerana rumah mereka hampir sahaja dengan
sekolah.

Pada 29 Ogos 2013, kami mengadakan sesi refleksi dan post mortem bersama
guru pengiring lain. Sesi ini diadakan bagi menilai kelemahan, kekuatan dan cadangan
penambahbaikan lawatan yang telah dijalankan.

Di hadapan Galeri UMS.

Pihak UMS memberi penerangan kepada murid.

Murid bersama bahan pameran.

Murid memerhatikan bahan pameran.

Murid mendengar taklimat daripada pihak UMS semasa di Akuarium dan Muzium Marin

Murid melawat dan memerhati ikan

Antara jenis ikan dan hidupan marin yang boleh diperhatikan.

You might also like