You are on page 1of 1

Biografi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ( Bapa Kemerdekaan )

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilahirkan pada 8


Februari 1903 di Alor Setar, Kedah. Tunku merupakan
putera ketujuh Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan Kedah
ke-24 dan Che Manjalara. Tunku Abdul Rahman
mendapat pendidikan awal di Sekolah Debsurin, Bangkok,
Thailand dan Penang Free School. Atas biasiswa Kerajaan
Negeri Kedah, Tunku melanjutkan pelajaran ke Kolej St.
Catherine, Universiti Cambridge, di mana beliau
menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan
Sejarah pada tahun 1925. Pengalaman pertama dengan
diskriminasi perkauman oleh pihak pentadbir kolejnya
telah mencetuskan semangat kepada Tunku untuk
berjuang menuntut keadilan dan membebaskan
tanahairnya daripada penjajah iaitu Inggeris.
Bakat kepimpinannya juga menyerlah di England.
Menyedari pelajar Melayu tiada wakil dari mana-mana
organisasi, beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of
Great Britain) dan menjadi setiausaha pertamanya. Setelah pulang ke tanahair, Tunku
berkhidmat di Pejabat Penasihat Undang-Undang dan kemudian sebagai Pegawai Daerah
di Kedah. Tunku tidak begitu popular di kalangan pegawai-pegawai British kerana
kelantangannya dan kecenderungannya memperkenalkan reformasi dalam meningkatkan
taraf orang Melayu. Tunku terpaksa menghentikan pelajarannya di Inner Temple,
England pada tahun 1938 setelah meletusnya Perang Dunia Kedua. Tunku menyambung
kembali pengajiannya lapan tahun kemudian dan kembali ke tanahair pada tahun 1949.
Tunku memperolehi kesedaran politik setelah bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai
negara di England dan telah dilantik sebagai pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO) apabila pulang ke tanahair. Pada 26 Ogos 1951 Tunku menjadi Presiden
UMNO menggantikan Dato' Onn Jaafar. Tunku menjelajah ke seluruh negeri berjumpa
dengan rakyat jelata untuk menggalakkan perpaduan. Di bawah kepimpinan beliau,
Perikatan memenangi pilihanraya umum pertama negara pada bulan Julai 1955. Tunku
kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Pada tahun
1956, Tunku mengetuai satu rombongan ke London untuk satu perbincangan dengan
kerajaan Britain berkenaan kemerdekaan Malaya. Pertemuan itu telah membawa kepada
suatu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Merdeka dan ditandatangani di
Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 dan seterusnya kemerdekaan Malaya pada
31 Ogos 1957. Tunku dipilih menjadi Perdana Menteri Malaya yang pertama dan
memimpin Parti Perikatan ke arah kemenangan pada pilihanraya umum tahun 1959, 1964
dan 1969. Tunku telah menyarankan pembentukan gagasan Malaysia pada bulan Mei
1961 yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan
Brunei. Kesemua negeri-negeri tersebut kecuali Brunei menyertai gagasan tersebut pada 9
Julai 1963. Pada tahun 1965, Singapura telah menarik diri dari gagasan Malaysia. Tunku
Abdul Rahman meletakkan jawatan pada 22 September 1970 dan digantikan oleh Tun
Abdul Razak. Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada 6 Disember 1990.

You might also like