You are on page 1of 2

Bicara Agama Suami isteri - Terima pasangan seadanya

Oleh MD ZAWAWI ABU BAKAR

Pernikahan merupakan satu syariat dan rahmat daripada Allah s.w.t. kepada
manusia. Melaluinya akan terjalin perasaan kasih sayang antara lelaki dan
perempuan. Sesungguhnya perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia yang
memerlukan teman bagi perkongsian hidup di dunia ini. Sejarah penciptaan
Adam dan Hawa membuktikan betapa pentingnya hubungan antara lelaki dan
perempuan. Selain berkongsi kasih sayang, ia juga mampu mengembangkan zuriat
manusia sehingga hari ini. Justeru itu perkahwinan diciptakan oleh Allah
s.w.t. dengan penuh hikmah kepada hamba-Nya.

Sehubungan itu, setiap manusia sama ada lelaki mahupun perempuan pastinya
mempunyai keazaman untuk berumah tangga. Cumanya, cepat atau lambat bertemu
jodoh adalah ketentuan dan bidang kuasa Allah s.w.t. semata-mata. Ada
individu yang cepat bertemu jodoh tetapi berakhir dengan perceraian dan ada
pula yang ringan jodohnya dan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
Sebenarnya ia adalah senario biasa di dalam kehidupan masyarakat. Justeru
bagi pasangan yang berumah tangga, peliharalah masjid yang dibina dengan
sebaiknya iaitu mengikut saranan agama dan mencontohi rumah tangga
Rasulullah s.a.w. Nikah adalah sunah Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umat
baginda. Bahkan Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud;

``Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan


rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,
isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran
bagi orang berfikir.''
(Ar-Rum:21)

Ayat di atas menunjukkan betapa kejadian manusia lelaki dan perempuan atau
suami dan isteri adalah rahmat daripada Allah s.w.t. Justeru setiap manusia
sama ada lelaki atau perempuan berhak menikmati kasih sayang dan rahmat
tersebut.

Merujuk kepada anak dara lanjut usia atau andalusia yang pernah hangat
dibincangan dalam masyarakat. Sebenarnya ia bukanlah suatu isu besar jika
masyarakat kembali kepada prinsip, iaitu soal jodoh pertemuan yang merupakan
ketentuan Allah s.w.t. Andalusia bukanlah masalah sosial yang berat di dalam
masyarakat jika dibandingkan dengan permasalahan yang ditanggung oleh ibu
tunggal, anak yatim atau dibandingkan dengan berbagai-bagai kes salah laku
akhlak seperti seks bebas, sumbang mahram dan sebagainya. Namun demikian,
kaum wanita tidak boleh berpegang kepada prinsip jodoh semata-mata. Ini
kerana Allah s.w.t. mengurniakan akal dan usaha untuk mencapai sesuatu
matlamat. Islam membolehkan wanita berusaha dan merancang untuk membina
rumah tangga dengan lelaki pilihan. Pepatah Melayu `perigi mencari timba'
bukanlah suatu yang menyalahi syariat.

Tradisi ini telah dipecahkan melalui perkahwinan Siti Khadijah r.a. dengan
Rasulullah s.a.w. Sama ada wanita yang berjawatan tinggi atau sebaliknya,
apa yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ini boleh dijadikan
teladan kepada sekalian umat. Apa kurangnya Siti Khadijah jika hendak
dibandingkan dengan wanita professional hari ini? Beliau wanita kaya, tokoh
korporat yang berjaya dan juga banyak umurnya ketika berkahwin dengan
Rasulullah s.a.w. yang berusia 25 tahun. Tetapi soal yang paling penting
ialah sejauh manakah setiap wanita boleh menerima perkongsian dengan lelaki
di dalam hidup mereka. Ini kerana pernikahan merupakan satu perkongsian
antara lelaki dan perempuan.

Justeru itu, kaum wanita berhak menentukan lelaki pilihan masing-masing


sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan Siti Khadijah r.a.
Untuk itu, wanita boleh mempraktikkan garis-garis yang dianjurkan Islam
dalam pemilihan jodoh atau calon suami. Sama ada lelaki atau perempuan,
mereka diberikan kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing mengikut
kesesuaian diri masing-masing. Di antara garis-garis anjuran syarak ialah :

i. harta

ii. keturunan

iii. kecantikan

iv. agama

Meskipun saranan ini seringkali diamalkan oleh pihak lelaki ketika


memilih calon isteri, sebenarnya wanita juga boleh mengaplikasikannya ketika
memilih calon suami. Empat ciri yang dianjurkan syarak boleh membantu
membentuk keluarga bahagia. Namun demikian sekiranya keempat-empat ciri
tidak dapat dipenuhi oleh calon suami, maka utamakan anjuran keempat iaitu
agama. Selain itu, konsep sekufu juga boleh diamalkan dalam pemilihan calon
suami ketika mengatur atau merancang berumah tangga. Persamaan taraf ini
juga perlu diberi perhatian agar perkahwinan yang dibina kekal bahagia
hingga akhir hayat. Ini kerana kegagalan sesebuah rumah tangga membawa kesan
lebih buruk lagi terutamanya pihak suami-isteri, anak-anak dan masyarakat
amnya.

Oleh itu, setiap pasangan harus menyedari bahawa perkahwinan bukanlah


bertujuan memenuhi tuntutan naluri seksual semata-mata. Sebaliknya
perkahwinan adalah satu perkongsian hidup antara dua insan lelaki dan
perempuan. Kedua-dua pihak mestilah sedia berkongsi dalam apa jua hal, sama
ada kasih sayang, tanggungjawab, peranan dan sebagainya. Justeru itu, tidak
wujud istilah lelaki atau wanita kolot yang diperkatakan dewasa ini jika
amalan perkongsian dipraktikkan. Jika isteri sanggup berkongsi membantu
suami menambahkan sumber pendapatan keluarga, maka suami pula mestilah
ringan tulang membantu isteri di rumah seperti memasak, membasuh dan
sebagainya. Sebenarnya nilai kesefahaman dan kerjasama suami isteri sangat
penting dalam membina rumah tangga yang rukun dan tenteram. Setiap pasangan
sama ada lelaki atau perempuan mestilah menerima pasangan masing-masing
dengan seadanya. Ini kerana setiap individu ada kekurangan dan ia boleh
diatasi dengan kelebihan pasangannya. Kesimpulannya soal jodoh pertemuan
adalah ketentuan Allah s.w.t., tetapi manusia dikurniakan akal dan kudrat
untuk merancang kehidupan masing-masing. Apa yang pasti kebahagiaan rumah
tangga bermula daripada pemilihan bakal suami atau bakal isteri mengikut
saranan agama. Manakala rumah tangga yang bahagia terletak kepada semangat
perkongsian dan musyawarah antara suami isteri serta menerima pasangan
masing-masing seadanya.

- MD ZAWAWI ABU BAKAR, Pensyarah, Sekolah


Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

You might also like