You are on page 1of 2

TULANG RUSUK IMAM PATAH

Kini Imam dikelilingi oleh kaki-kaki pukul yang bengis. Mereka memerhatinya dengan renungan
yang tajam.
Tiba-tiba Spyker menengking, “Hei, bangsat! Sejauh manakah kamu hendak menipu kami?”
Salah seorang daripada mereka mencengkam bajunya dan melemparkannya ke dinding.
“Anak haram! Kami akan merebus kamu dalam minyak babi. Kami akan memaksa kamu makan
najis babi,” teriaknya.
Beliau dikutuk dan dimaki hamun bertubi-tubi. Mereka menggunakan kata-kata lucah, kotor dan
kesat yang tidak pernah didengarnya. Beliau melindungi diri dengan tangannya seolah-olah
menangkis serangan lisan dan hembusan nafas yang sedang menyembur ke arahnya. Mereka
menolak dan merodoknya dengan jari, dan sekali-sekala menamparnya. Kini mereka benar-
benar sudah naik berang.
“Tanggalkan pakaianmu!” jerit Spyker.
“Apa?” kata Imam seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarnya itu.
“Tanggalkan. Celaka kamu!” Spyker dan rakan-rakannya serentak mendesak.
“Di sini kamu bukan untuk menyoal. Kamu hanya perlu patuh pada arahan. Letakkan pakaianmu
di situ.”
Mereka mengerumuninya ketika beliau sedang menanggalkan pakaian.
“Cepat! Cepat! Minyak babi sedang mendidih. Kami akan memecahkan kedegilan kamu.
Masanya sudah tiba. Kami akan membuatkan kamu bercakap!” jerit mereka.
Imam pun berbogel. Mereka tertawa sambil mengeluarkan kata-kata lucah. Tiba-tiba mereka
membelasahnya. Tumbukan demi tumbukan menghinggapi perut dan dadanya. Beliau dilempar
daripada seorang polis kepada seorang polis yang lain.
Beliau diperlakukan seperti bola. Apabila beliau jatuh, tubuhnya menjadi sasaran sepak terajang
mereka. Beliau diangkat dan dibaling ke dinding.
Demikian beliau diperlakukan beberapa ketika sehingga akhirnya beliau tersungkur separuh
pengsan. Mereka mengangkatnya ke tepi dinding. Kemudian, beliau disedarkan dengan
beberapa tamparan ke muka.
Seluruh badannya terasa sakit. Imam berkeadaan bingung. Terasa kesakitan yang amat sangat
di sebelah dada kirinya. Salah satu tulang rusuknya telah patah. Beliau mengerang kesakitan dan
mengadu tulang rusuknya telah patah. Namun, aduannya itu disambut dengan gelak ketawa dan
maki hamun daripada para penyeksanya.

***
“Pada 11 Ogos 1969, Imam telah dipindahkan ke balai polis Maitland, lebih kurang tiga atau
empat batu jaraknya dari bandar.
“Bilik kurungan di Maitland agak luas sedikit, 13 kaki 10 inci panjang dan 8 kaki luas. Ada dua
tingkap yang besar dan tandas di suatu sudut.”
 “Pada pagi Sabtu, 27 September 1969, berakhirlah tempoh penahanan selama 130 hari yang
dialami oleh Imam Abdullah Haroon. Satu tempoh yang penuh kekejaman, kezaliman,
penyeksaan dan keganasan.
“Pada jam 10.00 pagi, Kapten Malan dan Sarjan Petrus Rademeger menemui mayat Imam
Abdullah Haroon di dalam biliknya di balai polis Maitland ketika mereka berdua membuat
pemeriksaan. Pihak polis menjadi gempar. Kolonel Pienaar telah dipanggil. Gambar kedudukan
mayat Imam Abdullah Haroon diambil. Kemudian mayat itu dibawa ke rumah simpanan mayat di
Salt River.
“Genis dan Spyker diberi ‘penghormatan’ menyampaikan berita sedih itu kepada Galeima, isteri
Imam. Kedua-duanya tidak tergesa-gesa. Mereka tiba di rumah Galeima pada pukul 8.00 malam.
Mereka memberitahu dengan ringkas,
‘Imam diserang sakit jantung, Imam telah meninggal dunia. Maafkan kami."

***
Nota
Ini adalah kisah benar yang terdapat dalam buku Mutiara Yang Hilang karya Wan Jaffree Wan
Sulaiman, terbitan Ummah Media (1992).  Buku setebal 128 muka surat itu menukilkan kisah
hidup Asy-Syahid Imam Abdullah Haroon, seorang pejuang Islam di Afrika Selatan. Buku itu
mungkin telah dicetak ulang.

Buku itu mencatatkan, umat Islam hanya dua peratus daripada 32 juta penduduk Afrika Selatan,
tetapi mereka menyumbangkan 20 peratus daripada perjuangan menentang Apartheid. Media
massa hanya menonjolkan kisah Steve Biko, nasionalis berkulit hitam yang diseksa hingga mati
sewaktu di penjara dan Nelson Mandela. Tiada berita yang memaparkan perihal Dr. Yusuf Dadu
yang terpaksa melarikan diri ke London dan meninggalkan dunia di sana beberapa tahun lalu.
Begitu juga dengan Maulvi Kachila yang terpaksa melarikan diri daripada kekejaman rejim
negara itu dan Asy-syahid Imam Abdullah Haroon yang menemui Ilahi di dalam penjara. Juga,
Ahmad Hafezi dan Ahmad Timol yang meninggalkan dunia sewaktu dalam tahanan.
Mengapakah kisah mereka tidak disebut langsung?

You might also like