You are on page 1of 16

PENYEBARAN DAKWAH MELALUI MEDIA PENYIARAN DI MALAYSIA

Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani

PENDAHULUAN

Asas kepada manhaj dakwah disebut oleh Allah S.W.T. dalam surah al-Nahl ayat 125
iaitu dakwah perlu menggunakan pendekatan hikmah, nasihat yang baik dan mujadalah
(perbahasan) yang dikendali secara yang terbaik berobjektifkan mencari kebenaran.
Ketiga-tiga asas manhaj dakwah ini dianggap boleh diaplikasi di sepanjang masa dan di
mana-mana lokasi berdasarkan kesesuaian. Justeru itu, dalam sejarah penyebaran dakwah
di Asia Tenggara khususnya, dakwah disebar melalui pelbagai manhaj seperti melalui
dakwah fardiyyah, aktiviti perdagangan, institusi perkahwinan, institusi kesultanan dan
penggunaan media (wayang kulit). Media penyiaran (broadcasting) adalah manhaj baru
bagi dakwah, dan dalam konteks Malaysia, ia berusia kira-kira tiga dekad. Artikel ini
akan membincangkan pengalaman media penyiaran tersebut meliputi aspek sejarah,
pengurusan, bentuk-bentuk program dan aspek sambutan dan keberkesanan rancangan-
rancangan agama terhadap khalayak.

LATARBELAKANG DAKWAH MELALUI PENYIARAN

Penyiaran di Malaysia bermula sekitar tahun 1930-an iaitu melalui kemunculan Radio
Amatur Kuala Lumpur yang ke udara selama tiga kali seminggu dan setiap siaran
berlangsung selama dua jam. Kerajaan kolonial British kemudiannya menubuhkan British
Malayan Broadcasting Corporation pada tahun 1937 berpusat di Singapura dan apabila
berlaku peperangan Dunia Kedua, stesyen penyiaran berkenaan menjadi medium utama
propaganda bagi menyokong British dan sekutunya. Semasa penaklukan Jepun antara
tahun 1941-1945, penyiaran beroperasi dalam skala kecil iaitu siarannya dipancarkan di
antara Pulau Pinang, Melaka dan Seremban.1 Kerajaan British kemudiannya mengambil
alih dan menubuhkan Jabatan Penyiaran Malaya di mana fokus utamanya ketika itu ialah
bagi menghadapi ancaman komunis dan ia berlarutan sehingga Malaysia mencapai
kemerdekaan. Pada tahun 1959, radio mula beroperasi di Kuala Lumpur manakala
Televisyen Malaysia dilancarkan secara rasmi pada 28 Disember 1963.2

Menyorot sejarah awal penyiaran ini, kesimpulan boleh dibuat bahawa falsafah
awal penyiaran di Malaysia adalah berasaskan falsafah pemikiran cara British. Pengaruh
mereka amat kuat dengan perlantikkan Pengarah Penyiaran warga British yang pertama
selepas merdeka iaitu David Lyttle. Empat tahun kemudian barulah beliau diganti dengan
anak tempatan, Dol Ramli.3 Selain itu, Kanada juga dikatakan turut terlibat memainkan
peranan besar dalam melatih para penyiar baik dalam aspek pembikinan program dan
teknikal. Latarbelakang ini memberi gambaran bahawa falsafah penyiaran yang
dilaksanakan memberi impak kepada Islam di mana Islam tidak berperanan secara
menyeluruh dalam memandu stesyen penyiaran tetapi dikendalikan melalui perspektif
sekular seperti yang berlaku di Britian. Fenomena ini hampir sama di semua negara Islam
akibat kebergantungan kepada teknologi penyiaran dari Barat iaitu berkaitan perkakasan
penyelenggaraan dan penerbitan program. Hal ini ditegaskan oleh Boyd yang
2

merumuskan bahawa hasil kajian beliau di lapan belas buah negara Arab di Timur
Tengah mendapati: “Televisyen di Negara Arab Timur Tengah didominasi oleh cara
Barat; televisyen itu sendiri adalah ciptaan Barat yang mana kandungannya adalah filem-
filem Barat dan juga tradisi artisannya”4

Di peringkat awal penyiaran di Malaysia, rancangan agama hanya diberi ruang


masa penyiaran yang kecil berbanding rancangan kategori hiburan. Data dari Jabatan
Penyiaran Malaysia menyatakan rancangan agama pertama kali disiarkan oleh radio di
pertengahan tahun 1950-an5 manakala terdapat pandangan lain yang ia hanya mula
disiarkan pada awal 1960-an.6 Walaupun begitu, mengikut catatan J.A. Lent 7, terdapat
arahan kerajaan sejak tahun 1957 supaya siaran azan disiarkan oleh Radio Malaysia. Ini
barangkali dilakukan kerana mengambil kira beberapa pengalaman negara Islam lain
khususnya Arab Saudi yang mula menyiarkan siaran azan di radio sejak tahun 1949,
manakala Mesir pula melakukannya pada tahun 1964.8 Begitu juga dengan siaran
membaca al-Qur’an di permulaan dan penutup rancangan. Seorang penyiar memberi
komen tentang rancangan agama di peringkat awal ini seperti berikut:

“Semasa tahun-tahun awal [siaran agama] penglibatan ulama sangat terhad, sama
ada dalam aspek penulisan skrip atau pun aspek penyampaian program. Alasan-
alasannya ialah kerana tidak ada perancangan di organisasi penyiaran dan juga
tiada peruntukkan kewangan. Para pendengar pada waktu itu juga sangat terbatas
berbanding dengan sekarang”.9

Siaran rancangan agama menjadi lebih aktif di sekitar hujung tahun 1960-an
apabila Bahagian Melayu dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan rancangan-
rancangan agama dan beberapa orang penyiar yang mempunyai latarbelakang pendidikan
agama mula dilantik sebagai penerbit walaupun di peringkat awal perlantikan mereka
tidaklah khusus sebagai penerbit rancangan agama.10 Akibat tuntutan dan desakan
masyarakat Islam yang makin tinggi supaya lebih banyak rancangan agama disiarkan
melalui radio dan TV, pada tahun 1971, sebanyak tiga belas buah rancangan agama
disiarkan melalui Radio Malaysia dalam tempoh seminggu iaitu rancangan Islam dan
Masyarakat, Pendidikan Islam, Sinar Islam, Fardu Jumaat, Kandungan Kitab Suci,
Kursus al-Qur’an, Nasyid, Selintas Kisah, Renungan Sepintas Lalu, Berkat Ilahi, Doa,
Azan dan Bacaan al-Qur’an. 11 Program agama di televisyen pula bagaimanapun hanya
disiarkan selama tiga puluh minit seminggu sehingga tahun 1973 disebabkan oleh
kerumitan aspek teknikal yang lebih sukar berbanding dengan radio. Menyedari
kelemahan tersebut, RTM mewujudkan Unit Agama dan Dakwah (UAD) selaras dengan
penstrukturan semula unit-unit lain seperti Unit Berita, Drama, Hiburan, Hal Ehwal
Awam dan Pembangunan dan Pertanian.

Dengan penstrukturan baru ini, 8 kakitangan tetap di UAD dilantik bagi


menerbitkan rancangan-rancangan agama di radio dan televisyen. Jumlah kakitangan ini
kemudiannya ditingkatkan kepada 29 orang (enam darinya adalah kakitangan sementara)
pada tahun 1976 manakala kuantiti programnya meningkat sehingga 120 rancangan
seminggu terutama sekali akibat pemerolehan teknologi baru yang membolehkan RTM
menyiarkan siaran langsung beberapa rancangan seperti sambutan Maulidur Rasul. 12.
3

Selain itu, rancangan agama dalam bahasa Inggeris, Cina dan Tamil juga mula disiarkan
melalui empat rangkaian radio yang wujud ketika itu. Rancangan agama di televisyen
berkembang agak perlahan walaupun dilakukan beberapa perubahan pentadbiran
disebabkan masalah teknikal dan kemahiran penerbitan, dan menyedari perkara tersebut,
pentadbiran UAD radio dan televisyen akhirnya dipisahkan bagi mengukuhkan
penerbitan rancangan-rancangan agama televisyen khususnya dengan penambahan
kakitangan baru. Walaupun RTM telah meningkatkan struktur UAD setaraf dengan unit-
unit lain, namun sebenarnya tiada polisi tertentu untuk melantik mereka yang mempunyai
kelulusan agama untuk bertugas sebagai penerbit. Tambahan pula tiada sebuah pun
institusi pengajian tinggi agama yang mengeluarkan graduan yang mahir dalam aspek
penyiaran. Justeru itu, terdapat pelbagai kelayakan bagi mereka yang bertugas di UAD
termasuk mereka yang berkelulusan Diploma dalam media massa dari Institut Teknologi
Mara dan Ijazah dari Universiti al-Azhar.

Rancangan-rancangan agama di radio dan televisyen dikatakan disasarkan untuk


memenuhi beberapa objektif seperti berikut:

a) Untuk menguatkan akidah umat Islam supaya dapat mengelakkan


daripada pengaruh ajaran yang bertentangan dengan Islam dalam
konteks membasmi ajaran sesat.
b) Untuk memupuk semangat cintakan Allah, Rasul dan negara dalam
konteks mukmin yang sebenar,
c) Memupuk semangat perpaduan, muhibbah dan toleransi dalam kontkes
Islam agama untuk kesejahteraan,
d) Mendorong umat Islam kuat berusaha, berdikari dan mengejar setiap
lapangan kemajuan dalam knoteks Muslim yang kuat dan maju lebih
diredai oleh Allah dari Muslim yang lemah,
e) Memupuk nilai-nilai kerohanian yang murni supaya tidak
dipesongkan oleh nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam dalam
konteks kesempurnaan ajaran Islam dan tidak ada ajaran lain yang
mengatasi kesempurnaannya, dan,
f) Untuk menyerap kepercayaan tentang keluhuran Islam dengan
menekankan konsep ‘al-din’ atau ‘The Way of Life’ berasaskan agama
Islam itu sentiasa sesuai dengan sebarang masa, keadaan dan tempat.13

Objektif ini telah dijadikan sebagai garis panduan kepada para penerbit dalam merangka
jenis dan bentuk rancangan yang ke udara. Panduan lain ialah falsafah umum
pengendalian RTM secara keseluruhan iaitu berdasarkan falsafah Rukun Negara.
Walaupun terdapat falsafah dan garis panduan dalam pengendalian rancangan agama,
faktor dalaman dan luaran masih tetap wujud dan mempengaruhi dalam membuat
keputusan, umumnya sama seperti operasional organisasi RTM keseluruhannya seperti
yang ditegaskan oleh Jaafar Kamin dan V. Lowe: “A very pious political head is known
to have forbidden scenes showing couples (Muslim with non-Muslim) in an affectioned
situation”.14
4

Isu mengenai keberkesanan rancangan-rancangan agama yang disiarkan melalui


radio dan TV sentiasa muncul dari semasa ke semasa dalam masyarakat. Dasar
Penerapan Nilai-Nilai Islam yang dilancarkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamed (sekarang Tun) telah memberi kesan mendalam kepada RTM secara
keseluruhan dengan bertambahnya peningkatan kuantiti dan kualiti rancangan-rancangan
agama di radio dan TV. Bagi menangani isu ini secara lebih efektif, pada 10 Mac 1994,
UAD di RTM telah dipindahkan secara rasmi ke Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan
Perdana Menteri dengan alasan Bahagian tersebut lebih menguasai isu berkaitan mauduk
Islam. Secara spesifik, Bahagian ini dipertanggungjawabkan untuk:

a) Menyelaras kandungan rancangan agama di radio dan TV


b) Menentukan pemilihan dan penyertaan penceramah-penceramah
c) Menyelaraskan kandungan dan penceramah bagi penerbitan di radio 3 [negeri dan
daerah)
d) Menyediakan program agama dalam bentuk ‘pakej’ untuk siaran di TV3 dan
Metrovision, dan
e) Menyediakan program agama yang sesuai dalam bentuk video untuk keduataan
Malaysia di luar negara.15

Dalam penstrukturan tersebut, RTM masih terus memberi kemudahan dari aspek
teknikal, produksi dan penyiaran. Bahagian ini kemudiannya dikenali sebagai Bahagian
Media Elektronik dan Penyiaran (MEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

BENTUK DAN JENIS RANCANGAN

Rancangan-rancangan agama di radio dan TV lebih dikenal dalam bentuk bacaan al-
Qur’an, doa, azan, ceramah, forum, kapsul, dokumentari dan siaran-siaran khas sempena
sambutan hari-hari tertentu dalam kalender Islam. Sejak penyiaran menjadi medium
untuk menyampaikan mesej dakwah, pendekatan penyampaian melalui rancangan-
rancangan agama agak stereotaip. Rancangan yang dianggap tertua, contohnya Kursus
Membaca al-Qur’an yang disiarkan di radio dan TV menggunakan pendekatan
pembelajaran dalam kelas di mana guru al-Qur’an akan membaca dan menerangkan
hukum-hukum tajwid berkaitan, kemudian meminta murid-murid yang berada di dalam
kelas mengikut dan kemudian beliau membetulkan bacaan mereka. 16 Rancangan ini
dirakamkan di studio dan menjadi antara bentuk rancangan yang paling lama bertahan
sehinggalah kaedah baru iaitu melalui phone-in diperkenalkan.

Bagi rancangan agama yang disiarkan oleh RTM, purata masa siaran bagi
rancangan agama berbanding rancangan kategori lain berada dalam lingkungan 10 %. Ini
termasuk siaran beberapa acara rasmi negara berkaitan agama Islam seperti siaran
langsung tilawah al-Qur’an peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan sambutan Maal
Hijrah. Berdasarkan data yang diperolehi dari MEP, kedudukan purata masa siaran
rancangan agama bagi radio pada tahun 1999 adalah seperti dalam jadual 1 di bawah:
5

Jadual 1 Masa/Minggu bagi Rancangan-Rancangan Agama Radio 1999.

Bil. Radio Purata


jam/seminggu
1. Radio 1 22’
2. Radio 4 (Inggeris) 3’ 45”
3. Radio 5 (Mandarin) 3’ 30”
4. Radio 6 (Tamil) 7’
5. Radio 7 (Temiar & Semai) 2’
6. Suara Islam 4’
7. Radio Negeri Sarawak 17’
8. Radio Negeri Kelantan 8’ 23”
9. Radio Negeri Johor 9’ 05”
10. Radio Negeri Sabah 35’ 10”
11. Radio W. Persekutuan Labuan 10’ 30”
12. Radio Negeri Sembilan 4’ 56”
13. Radio Negeri Pulau Pinang 10’ 15”
14. Radio Negeri Kedah 10’
15. Radio Negeri Perak 15’ 25”
16. Radio Negeri Perlis 9’ 45”
17. Radio Negeri Melaka 12’ 09”
18. Radio Negeri Terengganu 11’ 05”
19. Radio Negeri Pahang 8’ 25”
20. Radio Negeri Selangor 12’ 56”
21. Radio W. Persekutuan K. Lumpur 1’

Sumber: MEP, JAKIM, Kertas Laporan Mengenai Rancangan-Rancangan Agama Terbitan Bahagian MEP,
JAKIM untuk Siaran Melalui Radio dan TV, 3 Ogos 1999.

Semua rancangan agama di radio memberi fokus kepada menyampai informasi,


mendidik dan hiburan bermesej iaitu melalui nasyid. Rancangan seperti Kapsul Agama,
Pagi Syahdu, Intisari al-Qur’an, Muslimah, Rumahku Syurgaku dan Ke Arah
Kesejahteraan (lihat lampiran A) memberi perhatian kepada isu-isu kekeluargaan,
sejarah, kemasyarakatan, akidah, ekonomi, kesihatan dan isu gender. Terdapat beberapa
rancangan yang disiarkan secara langsung seperti Dinamik, Teladan, Tamadun serta
Solat Fardu Jumaat. Dalam rancangan kategori ini, ada yang memberi peluang kepada
khalayak untuk berinteraksi dengan tetamu jemputan melalui telefon seperti rancangan
Dinamik yang disiarkan pada jam 1.30 tengahari di Radio 1 setiap hari Isnin-Khamis.
Kebanyakkan siaran mengambil masa antara 5 hingga 30 minit dengan pelbagai
pendekatan dan selingan untuk mengekalkan minat pendengar.

Di peringkat perancangan, setiap rancangan didapati menyatakan objektif dan


format rancangan yang memandu penerbit dengan jelas dalam proses penerbitannya.
Contohnya, rancangan Rumahku Syurgaku dicatatkan berobjektifkan: “Membina sebuah
keluarga yang bahagia, rumahtangga bagaikan syurga”. Formatnya dicatatkan untuk
mengikut beberapa peringkat iaitu muzik pengenalan, mukaddimah, selingan, skrip
6

sisipan, bahan (artis jemputan 1), skrip sisipan, lagu, skrip sisipan, selingan, skrip sisipan,
bahan (artis jemputan 2), skrip sisipan, selingan dan penutup.17 Ini adalah antara bentuk
rancangan yang tidak begitu sukar untuk diterbitkan. Oleh kerana radio hanya bergantung
kepada deria pendengaran, skrip ceramah disampaikan berselang seli dengan lagu
selingan untuk mengekalkan minat pendengar serta memastikan keberkesanannya berada
pada tahap maksimum.

Radio Tiga di negeri –negeri memperuntukan ruang masa yang berbeza-beza


seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1 di atas. Radio Negeri Sabah, Sarawak dan Perak
memperuntukkan ruang masa yang besar kepada rancangan agama iaitu masing-masing
35 jam 10 minit, 17 jam dan 15 jam 25 minit seminggu berbanding negeri lain, dan yang
terkecil ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Radio Negeri Sembilan iaitu
masing masing 1 jam dan 4 jam 56 minit. Selain itu, rancangan agama di radio 4
(Inggeris), Radio 5 (Mandarin) dan Radio 6 (Tamil) lebih tertumpu kepada bentuk kapsul
yang memberi maklumat pendek tentang Islam dalam lingkungan lima minit bagi setiap
siaran. Radio 6 (Tamil) diperuntukkan ruang masa siaran rancangan agama lebih panjang
berbanding Radio 4 dan 5 kerana untuk memenuhi keperluan warganegara India Muslim.
Terdapat 15 jenis rancangan agama seminggu di Radio 6 meliputi bentuk kapsul,
ceramah, forum, drama dan dialog. Jambatan Persahabatan contohnya disiarkan dalam
bentuk forum yang cuba membentuk jalinan persahabatan antara warga India Muslim
dan yang bukan Islam. Tidak ketinggalan ialah rancangan agama di Radio 7 yang
difokuskan kepada Orang Asli iaitu dalam Bahasa Temiar dan Semai berbentuk kapsul
pendek dan drama. Rancangan berbentuk drama disiarkan pada setiap hari Jumaat selama
15 minit dengan sasarannya kepada masyarakat Orang Asli beragama Islam dan bukan
Islam.

Bagi TV pula, tempoh masa rancangan agama dalam masa seminggu yang
disiarkan melalui TV1 dan TV2 adalah seperti dalam jadual 2 di bawah:

Jadual 2 Masa/Minggu Rancangan Agama di TV 1999.

Bil Rangkaian TV Purata


jam/minggu
1. TV1 15 jam
2. TV2 3 jam

Sumber: MEP, JAKIM, Kertas Laporan Mengenai Rancangan-Rancangan Agama Terbitan Bahagian MEP,
JAKIM untuk Siaran Melalui Radio dan TV, 3 Ogos 1999.

Sebanyak lima belas rancangan disiarkan oleh TV1 dalam tempoh seminggu iaitu
rancangan Mutiara, Lughatul Arabiyah,Forum Perdana Ehwal Islam,Ilham Suci, Hawa,
Nasyid Selingan, Solat Jumaat, Furqan, Diari, Adikku Sayang, Muhasabah Diri, Islam
dan Kehidupan, Keluarga, Seni Islam dan Hiwar. Bagi TV 2 pula 4 rancangan disiarkan
seminggu iaitu Uswah dalam bahasa Tamil yang ditujukan kepada masyarakat India
Muslim, Iman dalam bahasa Mandarin yang ditujukan kepada masyarakat Cina Muslim,
Pedoman dan Thought for the Day dalam bahasa Inggeris untuk tontonan umum.
7

Rancangan dalam bahasa Cina dan Tamil ini juga difokus untuk meningkatkan
pengetahuan penonton bukan Islam kepada ajaran Islam bagi tujuan integrasi nasional.

Jika dilihat kepada keseluruhan rancangan agama di TV, ia disusun untuk


meliputi semua sasaran khalayak iaitu dari golongan dewasa, remaja, wanita dan kanak-
kanak. Ia disampaikan dalam bentuk ceramah, forum, majalah, dokumentari, dokudrama
dan nasyid selingan. Rancangan Forum Perdana Ehwal Islam, iaitu rancangan forum
yang diubahsuai dari rancangan asal Sinar Islam boleh dikatakan antara rancangan agama
yang pernah muncul antara sepuluh rancangan TV paling popular pernah disiarkan
dengan jumlah penonton melepasi satu setengah juta orang pada tahun 1996-97. Ia
bergantung kepada beberapa aspek iaitu masa siaran pada waktu perdana, kredibiliti
panel jemputan dan sensitiviti keislaman semasa masyarakat. Selain itu, sebagai stesyen
penyiar rasmi kerajaan, RTM menyiarkan pelbagai rancangan khas sempena hari-hari
kebesaran Islam yang disambut di dalam kalender Islam seperti sambutan Maal Hijrah,
Solat Tarawih dari Mekah dan Tadarus di bulan Ramadan, Ibadat Haji, Maulidur Rasul
serta Tilawah al-Qur’an peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti yang boleh
dilihat dalam Lampiran C.

Tumpuan masa bagi rancangan agama di radio dan TV ialah pada waktu
pembukaan dan penutup siaran, waktu petang antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam
dan pada hari Jumaat iaitu hari yang yang dianggap paling mulia dalam Islam (lihat
lampiran A dan B). Walaupun begitu, terdapat beberapa rancangan tertentu yang pernah
diberi ruang siaran pada waktu perdana (8.00 malam-9.30 malam) seperti Forum
Perdana Ehwal Islam dan Diskusi. Waktu perdana jarang diberi kepada rancangan
agama kerana dikatakan tidak banyak pihak yang sanggup tampil menaja rancangan-
rancangan berkaitan berbanding dengan rancangan berbentuk hiburan. Antara syarikat
dan badan yang pernah menaja rancangan agama ialah Zaitun Idustries Sdn. Bhd. dan
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YPEIM).

Selain RTM, di kalangan stesyen swasta yang agak aktif ialah TV 3 yang turut
menyiarkan rancangan-rancangan agama seperti al-Kulliyah, Jejak Rasul, Kuiz Yang
Arif, al-Hidayah dan al-Din khususnya melalui Unit Penerbitan Pendidikannya.
Berbanding dengan RTM, rancangan agama di stesyen penyiaran swasta lebih kecil
jumlahnya walaupun adakalanya corak persembahan sesuatu rancangan lebih menarik
dan tinggi sambutan khalayak seperti yang pernah dialami oleh rancangan Jejak Rasul.

Apakah mauduk yang dipersembahkan oleh rancangan-rancangan agama dalam


dunia penyiaran di negara kita? Soalan ini adalah antara isu yang pernah dikaji oleh
beberapa penyelidik dalam tempoh tertentu untuk mengetahui isi kandungan penyiaran.
Sebagai contoh, dalam kajian Ahmad Lutfi terhadap 60 tajuk Forum Perdana Ehwal
Islam yang dirakam di antara 10-3-1996 hingga 10-12- 1996, beliau membahagikan
tajuk-tajuk tersebut kepada tema berkaitan akidah, syariah dan akhlak. Beliau mendapati
kandungan berkaitan akhlak adalah lebih dominan (24 tajuk) berbanding dengan tema
akidah (13 tajuk).18 Contoh tajuk berkaitan akhlak ialah Nilai Kasih Sayang dan
Kebahagiaan, Penderaan, Amanah dalam Kehidupan, Hasad Dengki Penghalang
Kemajuan, Anak Soleh Harta Paling Berharga, Nilai Murni Teras Kehidupan dan
8

Keruntuhan Akhlak… Di Mana Noktahnya. Sementara itu, tema akidah digarap bertujuan
menyebarkan mesej berkaitan untuk mengukuhkan pegangan akidah khalayak
berdasarkan isu-isu yang timbul dalam masyarakat. Contohnya tajuk Syiah Pemecah
Ummah dan Akidah Asas Kebangkitan Ummah adalah respons kepada isu kewujudan
kumpulan tertentu yang dianggap cuba mengamalkan ajaran yang berbeza dengan
pegangan majoriti umat Islam iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, tema
berkaitan syariat juga di ketengahkan seperti tajuk Amar Makruf Nahi Munkar, Solat
Tiang Agama, Perkahwinan… Sekadar Zuriat, Masjid… Sekadar Persinggahan, Fadilat
Ramadan dan Penghayatan Aidilfitri. Pelbagai mauduk Islam disiarkan kepada khalayak
sasaran dengan harapan mereka akan mengambil iktibar dan pengajaran ke arah
mengubah sikap untuk menjadi insan cemerlang yang mempunyai maklumat Islam dan
kukuh jati dirinya.

SAMBUTAN DAN KESAN RANCANGAN AGAMA

Terdapat pelbagai teori pernah dikemukakan tentang kesan penyiaran kepada masyarakat.
Di peringkat awal penyiaran diperkenalkan, anggapan utama ketika itu ialah media
penyiaran mempunyai kesan yang cukup kuat untuk mempengaruhi khalayak sehingga
timbul pelbagai teori berkaitan seperti Teori Peluru Ajaib, Teori Jarum Suntikan dan
Teori Lilitan Talipinggang. Teori-teori ini mengandaikan bahawa setiap individu yang
terdedah kepada kandungan media penyiaran, mesej akan ‘disuntik’ secara langsung lalu
membentuk pemikiran dan mengubah sikap mereka seperti yang dikehendaki oleh
pengurus media.

Namun dalam kajian lain kemudiannya, didapati khalayak mempunyai hak untuk
memilih mendedahkan diri kepada mesej tertentu yang kemudian dinamakan sebagai
Teori Pendedahan Terpilih. Teori ini beranggapan khalayak tidak pasif iaitu mereka
selalunya akan menentukan apakah kandungan yang mereka ingin mendedahkan diri
berdasarkan minat dan kecenderungan. Teori yang hampir sama anggapannya ialah
“switch on/ switch off”, iaitu khalayak akan menukar dan memilih-milih rangkaian
kegemaran mereka. Selain itu, terdapat juga kajian yang merumuskan sebenarnya
khalayak akan menjadi penentu dalam pemilihan kandungan untuk memuaskan keperluan
masing-masing yang dikenali dengan Teori Kegunaan dan Kepuasan. Mereka akan
memilih rancangan mana yang diminati atas asas memberi kepuasan kepada diri sendiri.

Jika dilihat kepada perbincangan tentang kesan media penyiaran kepada khalayak
di negara ini, di pihak pengiklan mereka mempunyai anggapan yang pasti bahawa media
penyiaran khususnya televisyen mempunyai pengaruh yang cukup kuat. Justeru itu,
pengiklan sanggup membayar sehingga RM 19,100 bagi tempoh 60 saat pada waktu
perdana di antara jam 8.21-8.50 malam di TV1 dan RM 9690 bagi tempoh yang sama
pada jam 7.00-9.30 malam di TV3.19 Sikap di pihak khalayak pula akan menentukan
kesan perancangan dan pelaksanaan sesebuah rancangan. Oleh itu, pihak penyiar
khususnya penerbit akan berusaha menentukan sesebuah program yang dirancang akan
memenuhi keperluan sasaran khusus yang dipilih. Mengikut data dari AC Neilson dan
Kementerian Penerangan Malaysia, pada tahun 2001, potensi penonton TV di Malaysia
ialah seramai 7.3 juta orang manakala bagi radio pula ialah sebanyak 7.5 juta orang (bagi
9

khalayak berumur 15 tahun ke atas) purata bagi tempoh seminggu. 20 Jika diambil separuh
dari jumlah berkenaan iaitu yang beragama Islam berdasarkan kepada komposisi
penduduk negara, ini bermakna rancangan-rancangan agama yang disiarkan oleh media
penyiaran mampu menjangkau lebih 3.5 juta khalayak Muslim secara puratanya dalam
tempoh seminggu. Jumlah ini tentunya cukup besar bagi tujuan pembentukan pendapat
dan penyampaian maklumat Islam.

Bagaimanakah sambutan dan kesan rancangan agama di media penyiaran negara


ini? Jawapan kepada soalan ini secara umum ialah kesannya adalah pelbagai, bergantung
kepada sikap individu yang memilih untuk mendedahkan diri kepada rancangan
berkenaan. Kesan amat berkait rapat dengan sambutan kepada rancangan yang disiarkan.
Bagi rancangan agama di radio, Bahagian Penyelidikan, Kementerian Penerangan
Malaysia (KPM) telah menjalankan kajian sendiri pada tahun 1994 iaitu dengan
menggunakan panel pendengar RTM serta diedarkan juga secara random kepada 88
daerah di Semenanjung Malaysia (10 soalselidik setiap daerah). Dari 1064 borang
soalselidik yang dikembalikan, dapatannya menunjukkan bahawa 800 responden (75%)
menyatakan mereka mendengar rancangan agama di radio dalam tempoh tiga bulan lepas,
manakala 264 orang (25%) mengatakan tidak. Dapatan ini menunjukkan sambutan yang
diberikan kepada rancangan agama boleh dikatakan memberansangkan walaupun jumlah
masa yang diperuntukkan oleh setiap responden adalah berbeza. Bagi mereka yang
memberi jawapan “tidak” (25%), pelbagai alasan dikemukakan seperti “tidak berminat”
(59%), “tiada masa”, “mendengar program lain”, “tidak mengetahui sebarang program
agama”, dan “rancangan agama tidak menarik”. Walaupun jumlah ini agak kecil, namun
terdapat asas yang kuat untuk membaiki kelemahan yang wujud dalam penyiaran
program agama di radio.

Menariknya, terdapat beberapa dapatan yang berbeza dari anggapan awal iaitu
penduduk di kawasan bandar lebih mendengar rancangan agama di radio berbanding
kawasan kampung (di Radio 1 nisbahnya ialah 54:46) dan golongan lelaki melebihi
perempuan (nisbah Radio 1, 69:39). Trend yang biasa difahami berkenaan karakter
pendengar radio ialah golongan wanita di kawasan luar bandar lebih cenderung
mendengar radio berbanding lelaki. Barangkali andaian yang boleh dilakukan ialah
kerana waktu awal pagi dan petang ketika rancangan agama banyak disiarkan adalah
waktu yang sibuk bagi golongan wanita untuk menyediakan sarapan pagi dan makan
malam berbanding dengan golongan lelaki. Sementara itu, kesedaran keislaman dan
penghayatan Islam umat Islam di kawasan bandar sejak isu kebangkitan Islam bermula
pada awal tahun 1970-an melebihi kawasan luar bandar. Trend ini boleh dilihat ketika
waktu solat Fardu Jumaat yang selalunya melimpah ke luar kawasan masjid di kawasan
bandar berbanding luar bandar. Mendengar radio pula boleh dilakukan dalam keadaan
‘bersahaja’ seperti ketika memandu kenderaan atau memasak.

Sementara itu, bagi penonton rancangan agama di televisyen, dalam dua kajian
yang dikeluarkan oleh KPM iaitu pada tahun 1983 dan 1990 juga mendapati trend yang
hampir sama dengan pendengar radio. Data tahun 1983 menunjukkan 98 % responden
dari jumlah keseluruhan 399 orang mengaku pernah menonton rancangan agama di TV,
manakala dalam kajian pada tahun 1990, daripada 771 orang responden didapati 93%
10

dari mereka menonton rancangan berkenaan.21 Jumlah ini boleh dijadikan bukti bahawa
media penyiaran mempunyai signifikasi yang kukuh untuk menjadi medium penyebaran
dakwah yang menjangkau khalayak yang ramai. Kajian ini juga mendapati tiada
perbezaan ketara antara trend penontonan bagi lelaki dan wanita seperti yang berlaku
kepada radio, begitu juga dengan kawasan bandar dan luar bandar. Kesannya kepada
setiap individu bagaimanapun adalah berbeza kerana terdapat beberapa penemuan dalam
kajian-kajian lain yang mendapati ada antara para penonton TV yang bersikap menonton
apa sahaja yang disiarkan, menonton sambil makan, membaca dan pelbagai aktiviti lain
tanpa perhatian sepenuhnya kepada apa yang ditonton.

Apa yang menarik berkenaan rancangan agama di TV ialah kemunculan


rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sebagai antara 10 rancangan paling popular di
TV di sekitar tahun 1996-1997 di mana sambutan penonton seringkali melepasi jumlah 1
juta orang. Jadual 3 di bawah menunjukkan sebahagian dari rating rancangan tersebut
dalam tahun berkenaan. Pelbagai faktor menyumbang kepada pencapaian cemerlang bagi
rancangan tersebut. Contohnya, selain barisan ahli panel yang dihormati, tajuk Fadilat
Ramadan menarik jumlah penonton hampir 2 juta orang kerana disiarkan sehari sebelum
bulan Ramadan di mana sentimen kesedaran keagamaan umat Islam berada pada tahap
yang tinggi dan disiarkan pada waktu perdana.

Jadual 3 Rating Penonton Forum Perdana Ehwal Islam 1996-97

Tarikh Masa Jumlah Tajuk Pengerusi/ahli panel


Siaran Siaran Penonton
(‘000)
19.12.1996 21.08 1268 Keluarga Bahagia Mohd. Adam Mohd. Said
Asas Dr. Badrul Amin Hj. Bahron
Kecemerlangan Lt. Kol. Jamil Khir Baharom
Hajah Noraini Ahmad
26.12.1996 21.04 977 Islam Agama Ahmad Bashir Aziz
Kemajuan Dato’ Md. Hashim Yahya
Ust Baderudin Hj. Ahmad
Ustaz Zulkifli Mohd. Yusof
2.1. 1997 21.05 1410 Istiqamah Mohd. Redzuan Tee Abdullah
Dato’ Dr. S. Othman al-Habshe
Ust. Tuan Ibrahim Tuan Man
Ustaz Zulkifli Mohd. Yusof
9.1.1997 21.11 1923 Fadhilat Ramadan Mohd. Redzuan Tee Abdullah
Ust. Uthman Muhammady
Dato’ Dr. Mokhtar Shafie
Dato’. Mohd. Nooh Gadut
16.1.1997 21.06 1396 Pembaziran dalam Ruslan Hj. Kasim
Islam Dato’ Dr. Abdullah Muhammad Zin
Dr. Badrul Amin Hj. Bahron
Prof. Madya Alias Othman

Sumber: Ubahsuai Survey Research Malaysia dan Ahmad Lutfi Ibrahim, op. cit
11

Oleh kerana pengukuran kesan rancangan agama kepada individu adalah sukar, ia
selalunya dilihat dalam bentuk yang lebih umum iaitu dengan menganggap rancangan tersebut
boleh mengukuhkan persepsi seseorang individu terhadap sesuatu isu. Teori Penyuburan
selalunya digunakan iaitu dengan anggapan sesuatu isu yang diulang berkali-kali akan
mempengaruhi khalayak terutama apabila mereka perlu membuat keputusan. Dalam soal selidik
berkaitan rancangan agama di radio dan TV, soalan seperti “adakah anda menunggu rancangan
agama yang anda minati?”, didapati jawapan responden tidak begitu memberansangkan. Ini
bermakna mereka mendengar atau menonton tanpa merancang. Dalam trend seperti ini, bagi
rancangan yang disusun secara bersiri, keberkesanan mauduk tidak akan berlaku sepenuhnya.

Trend sambutan penonton terhadap rancangan agama didapati tidak dapat bertahan lama,
antaranya disebabkan pelbagai cabaran yang muncul dalam masyarakat serta minat dan sentimen
keislaman yang berubah-ubah. Kewujudan stesyen radio dan TV swasta baru seperti NTV7,
ASTRO (menyediakan 22 rangkaian TV dan 8 perkhidmatan radio) dan 8TV menjadi cabaran
utama khususnya kepada rancangan agama di RTM. Timbalan Ketua Pengarah (Rancangan),
RTM, Haji Abdul Rahman Hamid turut mengakui bahawa RTM ketinggalan jauh di belakang
TV3 dan NTV7 dalam pelbagai kategori rancangan. Contohnya data dari AC Neilson pada
minggu pertama September 2001 menunjukkan Berita Perdana di TV1 hanya ditonton oleh 350
ribu penonton berbanding dengan Buletin Utama TV3 iaitu sebanyak 1.5 juta orang.22 Imej umum
rangkaian penyiaran juga dikatakan turut mempengaruhi rancangan lain. Mungkin kerana itu
didapati rancangan al-Kulliyah yang disiarkan oleh TV3 setiap petang Jumaat masih dapat
bertahan dengan jumlah penonton dalam lingkungan 300 hingga 550 ribu orang. Trend pemilihan
rangkaian ini secara tidak langsung turut menjejaskan rating bagi rancangan agama yang banyak
disiarkan oleh RTM.

Jadual 4 di bawah memperlihatkan secara lebih jelas trend penurunan jumlah penonton
bagi rancangan-rancangan agama di TV bagi minggu terpilih tahun 2002. Rancangan Forum
Perdana Ehwal Islam berada di tangga 38 dari 300 rancangan popular TV, manakala sebahagian
besar rancangan lain tidak termasuk dalam kategori ini. Memandangkan Forum Perdana Ehwal
Islam pernah menduduki antara 10 rancangan paling popular, barangkali ia memerlukan suntikan
baru dari segi persembahan dan panelis untuk mengubah imej stereotaip lama. Selain dari
khalayak tetap yang sedia ada, usaha untuk memperolehi khalayak baru perlu difokus supaya
sejarah kecemerlangan rancangan tersebut boleh digilap kembali.

Jadual 4 Posisi Rancangan Agama TV dalam 300 Rancangan Popular (‘000)

Rancangan Posisi Jumlah penonton Jumlah Posisi


29/9- 5/10/ 02 penonton 22/9-
28/9/ 02
Forum Pedana E. 38 824 587 80
Islam (TV1)
Fardu Jumaat 91 496 453 120
(TV1)
KAFA (TV1) 127 432 340 179
Furqan (TV1) 132 413 447 124
Jejak Qari/Ah 137 402 291 214
(TV1)
Al-Kuliyyah 151 370 378 158
(TV3)
12

Al-Hidayah (TV3) 173 330 251 248


An-Nur (TV1) 174 329 281 222
Nasyid (TV1) 191 308 407 144
Khutbah Jumaat 250 226 402 146
(TV1)
The Omayad 281 182 - -
Mosque (TV2)
Keluarga (TV1) * 262 239
Majlis Penutup * * 1152 16
Tilawah (TV1)
Majlis Tilawah al- * * 1066 23
Qur’an (TV1)
Hiwar (TV1) * * 333 186
The Quest for * * 196 296
Glory (TV2)

* Keluar dari 300 rancangan popular


Berdasarkan anggaran penduduk 15 tahun keatas (12.3 juta)
Data AC NIELSON

KESIMPULAN

Medium penyiaran mempunyai kelebihan untuk menyampaikan mesej kepada khalayak


dengan cepat dan jumlah yang besar. Dalam menyebarkan mesej dakwah, ternyata
penyiaran di negara ini telah melalui liku-liku pengalaman tersendiri dan memainkan
peranan penting sebagai sumber yang membekalkan khalayak dengan mesej Islam.
Sentimen kesedaran khalayak kepada penghayatan Islam telah diperkukuhkan dengan
fungsi yang dimainkan oleh medium penyiaran dan ia dijadikan sebagai wadah untuk
mempelajari ilmu-ilmu Islam serta tafsiran-tafsiran yang betul berkaitan dengannya.
Memandangkan cabaran kewujudan pelbagai rangkaian dan persaingan pelbagai
program, rancangan-rancangan agama di radio dan TV perlu sentiasa dipantau dan
diperbaiki sama ada dari aspek persembahan, format, panelis dan juga imej keseluruhan
agar rancangan tersebut lebih menarik. Selain itu, penglibatan mereka dalam bidang
pengajian Islam yang menguasai mauduk Islam perlu dipertingkatkan dalam bidang
penyiaran seperti penulis skrip, artis, penerbit dan juga pentadbir, dan mereka perlu
berubah kepada sikap yang lebih proaktif.
13

Lampiran A Rancangan-Rancangan Agama Siaran Radio 1 RTM 1998

Bil Rancangan Masa Siaran


1 Pagi Shahdu 0505-0555
2 Azan Subuh 0555-0600
3 Panduan Waktu Sembahyang 0805-0806
4 Kapsul Maju Malaysia 0825-0830
5 Kapsul Famili 0930-0935
6 Kapsul Harmoni 1010-1015
7 Kapsul 11-1 1100-0100
8 Intisari al-Qur’an 1230-1245
9 Bacaan al-Qur’an 1250-1300
10 Siaran Fardu Jumaat 1300-1400
11 Azan Zohor 1315-1320
12 Dinamik 1330-1400
13 Azan Asar 1630-1635
14 Muslimah 1835-1900
15 Teladan 1815-1900
16 Bersama Tetamu 1815-1900
17 Tamadun 1835-1900
18 Titian Ilmu 1815-1900
19 Rumahku Syurgaku 1835-1900
20 Kursus membaca al-Qur’an 1835-1900
21 Azan Magrib 1905-1910
22 Bacaan al-Qur’an 1910-1920
23 Kapsul lembayung Indah 1920-1925
24 Nada Ilham 1925-1940
25 Ke Arah Kesejahteraan 2230-2250
26 Bacaan al-Qur’an 2345-2400
27 Tinta Dinihari 0305-0335

Sumber: Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran JAKIM, Kerta penilaian Keberkesanan Program
agama Radio dan TV, JAKIM 1999.
14

Lampiran B Jadual Rancangan Agama TV1 dan TV2 (1999)

Bil Masa Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad


1 6.55- Bacaan al- BA BA BA BA BA BA
0700 Qur’an (BA)
2 11.02- Ilham
11.30 Suci
3 12.15- Hawa
12.45
4 13.00- Nasyid
13.15 Selingan
5 13.15- Azan Zohor AZ AZ AZ AZ AZ AZ
13.20 (AZ)
6 13.15- Solat
14.00 Jumaat
7 15.00- Furqan
15.30
8 15.30- Seni
16.00 Islam
9 16.25- Azan Asar AA AA AA AA AA AA
16.30 (AA)
10 18.30- Mutiara Islam & Keluarga Lughatul Diari Adikku Hiwar
19.00 Kehidupan Qur’an Sayang
11 19.20- Azan Magrib AM AM AM AM AM AM
19.25 (AM)
12 20.30- Azan Isya’ AI AI AI AI AI AI
20.35 (AI)
13 21.00- Forum
22.00 perdana
14 23.00- Ktutbah
23.30 Jumaat
15 23.50- Muhasabah MD MD MD MD MD MD
23.55 Diri (MD)
16 23.55- Doa Penutup DP DP DP DP DP DP
24.00 (DP)
TV 2
17 6.55-7.00 Bacaan BA BA
al-
Qur’an
(BA)
18 15.00- BA BA BA
15.05
19 16.00- Uswah Pedoman Iman
16.30
20 23.00- Thought for TFD TFD TFD TFD TFD TFD
23.05 the Day
(TFD)
21 24.00- DP DP DP DP DP DP DP
00.05

Sumber: Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran, JAKIM, Kertas Laporan Hasil Bengkel Perancangan
Program Agama Radio dan TV Bagi Tahun 1999.
15

Lampiran C Siaran Khas Agama TV 1999

Bil Rancangan Masa Tarikh


1 Solat Terawih dari Mekah 01’30”X10 Jan 1999
2 Syiar Ramadan 30”X30 Dis 98-Jan 99
3 Kapsul Ramadan 05”X30 Dis.98-Jan 99
4 Takbir Hari Raya Puasa TV1&2 05” Jan 99
5 Tadarus 01’30”X30 Dis 98-Jan 99
6 Dokumentari Aidilfitri TV1 30” 18/1/99
7 Solat hari Raya Puasa dari Masjid Negara 01’00” 19/1/99
8 Solat Hari Raya Puasa dari Mekah 01’00” 19/1/99
9. Dokumentari Aidilfitri (English) TV2 30” 19/1/99
10. Perisytiharan Hari raya Puasa 05” 17/199
11. Nasyid Khas Hari Raya Puasa TV1 30” 19/1/99
12 Nasyid Khas Hari Raya Puasa TV2 30” 19/1/99
13 Nasyid Aidilfitri Hari ke 2 TV1 45” 20/1/99
14 Panduan Ibadah Haji 30”X10 Feb 99
15 Perisytiharan hari Raya Haji 05” 19/3/99
16 Solat hari Raya Haji Masjid Negara 01’00” 28/3/99
17 Solat hari raya Haji dari Mekah 01’00” 28/3/99
18 Wukuf dari Padang Arafah 01’00” 27/3/99
19 Nasyid Khas Hari Raya Haji TV1 30” 28/3/99
20 Nasyid Khas hari Raya Haji TV2 30’ 28/3/99
21 Perhimpunan Maal Hijrah 04’00” 17/4/99
22 Azan Maal Hijrah 30” 16/4/99
23 Nasyid Khas Maal Hijrah TV1 30” 17/4/99
24 Nasyid Khas Maal Hijrah TV2 30” 17/4/99
25 Mjlis Perhimpunan Maulidur Rasul 04’00” Jun 99
26 Nasyid Khas Maulidur Rasul TV1 30” Jun 99
27 Nasyid Khas Maulidur Rasul TV2 30” Jun 99
28 Menghafaz al-Qur’an Kebangsaan 30”X30 Julai 99
29 Festival Nasyid Kebangsaan 1’00” Julai 99
30 Majlis Tilawah al-Qur’an Kebangsaan 02’30”X5 Okt 99
31 Dokumentari Israk dan Mikraj 30” Okt. 99
32 Majlis Tilawah al-Qur’an Antarabangsa 02’30”X 6 Nov 99
33 Solat Terawikh dari Mekah 01”30”X10 Dis 99
34 Syiar Ramadan 30”X30 Dis 99
35 Kapsul Ramadan 05”X30 Dis 99
36 Tadarus 01’X30”X30 Dis 99
37 Dokumentari Nuzul al-Qur’an 30” Dis 99
38 Solat hari Raya Puasa Masjid Negara 01’00” Dis 99
39 Solat Hari Raya Puasa Dari Mekah 01’00” Dis 99
40 Dokumentari Aidilfitri (English) TV2 30” Dis 99
41 Perisytiharan Hari raya Puasa 05” Dis 99
42 Nasyid Khas Hari Raya Puasa TV1 30” Dis 99
43 Nasyid Khas Hari Raya Puasa TV2 30” Dis 99

Sumber: Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran, JAKIM, Kertas Laporan Hasil Bengkel Perancangan
Program Agama Radio dan TV Bagi Tahun 1999.
1
Asiah Sarji, “The Historical Development of Broadcasting in Malaya (1930-1957) and Its Social and Political Significant”,
Media Asia, vol 9, 1982, hal. 151.
2
Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia, Penyiaran 4 Dekad Bersama Anda, Kuala Lumpur: Penyiar, 1987, hal 80-81.
3
Ibid., hal 20-24.
4
Douglas A. Boyd, Broadcasting in the Arab World: A Survey of Radio and Televisyen in the Middle East. Philadelphia:
Temple University press, 1982, hal. 9.
5
Jabatan Penyiaran Malaysia, “Garis Panduan Rancangan-Rancangan Agama dan Dakwah Radio-TV Malaysia”, Kuala
Lumpur, Oktober 1982, hal. 2.
6
Haji Azharudin Hussein, “The Role of Electronic Media in the Preaching of Islam: The RTM Experience, kertas kerja di
bentangkan di Conference on Communication from the Islamic Perspective, Shah Alam, 5-7 Oktober, 1989, hal 1.
7
John A. Lent, “Television in Malaysia”, Television Quarterly, vol. VIII, May-Julai 1976, hal. 51-55.
8
Boyd. Op. cit. , hal 23-24.
9
Haji Azharuddin Hussein, op. cit., hal. 1.
10
Antara mereka yang bertanggungjawab menerbitkan rancangan agama di peringkat ini ialah Ustaz Haji Abdul Ghani
Lutfi, Ustaz Mohd. Noori Ali, Ustaz Mohd. Said Mohd. Saman dan Ustazah Wan Halimah Wan Ali. Temubual dengan
Ustazah Wan Halimah Wan Ali (Februari 1994) yang mula berkhidmat dengan RTM pada tahun 1964.
11
Abu Bakar Ahmad, Dakwah Islam Melalui Radio dan TV”, dalam Kumpulan Kuliah dan Syarahan dalam Kursus latihan
bagi Kadi dan Kursus Pegawai-Pegawai Penerangan Ugama dan Mubaligh Seluruh Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan
Perdana Menteri , 1971, hal. 59-60.
12
Jabatan Penyiaran Malaysia, Kertas Kerja Upgrading Bahagian Agama dan Dakwah, Kuala Lumpur, 1982, hal 4-5.
13
Wardziah Abd. Rahman, “Agama dan Anda” dalam Penyiaran 4 Dekad Bersama Anda, op. cit., hal 97.
14
Vincent Lowe dan Jaafar Kamin, TV Programme Management in a Plural Society, Singapore: Asian Mass
Communication Research and Information Centre, 1982.
15
Memorandum Arahan kabinet bil 2988/1933/94, 4 Mei 1994.
16
Kamaludin Laila, “Muqaddam di Televisyen Alami Perubahan”, Utusan Qiblat, Mac 1990.
17
MEP, Kertas Penilaian Keberkesanan, op. cit.
18
Ahmad Lutfi Ibrahim, Penyebaran Dakwah di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM): Kajian Khusus Forum Perdana
Ehwal Islam, Latihan Ilmiah, Universiti Kebangsaan Malaysia 1996/97.
19
Rahmah Hashim, Dasar Penswastaan Negara: Kesannya Kepada Industri Penyiaran elevisyen diMalaysia, Bangi:
Jabatan Komunikasi, UKM, 1997, hal. 40-42.
20
Haji Abdul Rahman bin Hamid, “RTM dalam Era Globalisasi: Harapan dan Cabaran”, kertas kerja dibentangkan di
Seminar Penyiaran dan Masyarakat, Universiti Putra Malaysia, 5 September 2002.
21
Bahagian Penyelidikan, Kementerian Penerangan Malaysia, “Laporan Kajian Rancangan Agama Islam TV Malaysia
1983”, dan “Laporan Kajian Rancangan Agama TV Malaysia 1990”, Kuala Lumpur.
22
Haji Abdul Rahman Hamid, op. cit.

You might also like