You are on page 1of 12

5.

MENGENAL

PASTI

ADAT

YANG

DIAMALKAN

SEMASA

MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DALAM KALANGAN


MASYARAKAT MELAYU DAN INDIA DI TAMAN MACANG
MANIS, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG.

5.2.1

Melenggang perut

Mengikut adat Melayu tradisional, apabila ibu yang mengandung sulung sudah
tujuh bulan, diadakan upacara lenggang perut atau kirim perut. Upacara ini dilakukan
oleh seorang bidan yang ditempah untuk menjaga dan merawat ibu itu sepanjang
mengandung dan melahirkan anak. Alat-alat yang digunakan dalam upacara ini ialah tujuh
helai kain yang berwarna-warni, segantang beras, sebiji kelapa, beberapa urat benang mentah,
sebatang damar, minyak kelapa, limau, tepak sirih, wang penggeras sebanyak RM 1.50, nasi
kunyit dan lain-lain. Dalam upacara itu bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain dan
ibu yang hamil dibaringkan ke atas kain itu. Minyak kelapa disapu perlahan-lahan di perut
ibu itu. Kemudian buah kelapa pula digulingkan ke alas perut sebanyak tujuh kali. Bidan
seterusnya menarik kain dari bawah ibu yang sedang baring itu, sehelai demi sehelai sambil
melenggang sedikit-sedikit kain itu. Kain yang di bawah sekali dihadiahkan kepada bidan
bersama dengan sirih pinang, nasi kunyit dan penggeras. ( Siri Wajah-wajah Kita Melayu,
2007).
Bagi masyarakat India, adat Valaikaappu (melenggang perut) adalah adat yang
dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan
bulan. Wanita hamil tersebut akan memakai sebentuk gelang tangan baru yang dikenali
sebagai suulkaappu. Suul bermakna kandungan ibu dan kaappu pula bermaksud
perlindungan. Suulkaappu ini dipakai untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada
kuasa-kuasa jahat. Amalan Ciimantam pula adalah upacara yang lebih unik. Amalan itu
dimulakan dengan nyalaan api dan beberapa bahan seperti bijiran, minyak sapi dan
sebagainya dibakar dengan api tersebut. Ibu yang mengandung akan didudukkan menghadap
ke arah timur. Rambutnya akan disikat tengah oleh suami dan kemudian minyak disapu pada
bahagian atas kepala. Sejenis rumput dicelupkan ke dalam minyak dan disapukan pada kepala
ibu tersebut. Pada masa yang sama mantera dibaca sambil memakai serbuk kumkuma pada
dahi ibu mengandung. Kemudian pasangan suami isteri akan berjalan mengelilingi api
sebanyak tiga kali mengikut arah jam. Upacara ciimantam dikendalikan oleh pedanda. Pada

masa itu mereka berdoa kepada Tuhan untuk melindungi ibu dan kandungannya sama ada
daripada anasir jahat mahupun kesulitan ketika bersalin.

Gambar 1 : Adat Valaikaappu (melenggang perut) masyarakat India


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.2

Membelah mulut

Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga


terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara
bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan
langkah mengecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma. Ada juga yang menggunakan
emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu
menjalankan upacara ini, jampi mantera dibacakan. Namun demikian, adat ini pada masa
sekarang lebih kepada menitiskan air zam zam atau makanan manis seperti kurma atau kismis
di bibir bayi. Hal ini diakui oleh Puan Wan Nur Suriati binti Wan Sulaiman, iaitu salah
seorang informen yang ditemu bual dalam kajian ini. Beliau juga menyatakan bahawa

makanan pertama yang masuk ke dalam mulut bayi mestilah sesuatu makanan yang baik dan
mempunyai khasiat.
Dalam kalangan masyarakat India, adat ini lebih dikenali sebagai menyapu
madu. Bayi yang baru dilahirkan akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di
samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran
minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini
dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit.
Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan dapat memudahkan bayi bertutur.
Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan
bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi
tersebut.

Gambar 2 : Adat Membelah mulut masyarakat Melayu


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.3

Potong tali pusat

Bagi

masyarakat

Melayu,

sejurus

selepas

bayi

lahir,

bidan

akan

menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi
dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di
atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong

menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi dibubuh kunyit dan kapur lalu
dibungkus dengan daun sirih yang dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal
sendiri.
Bagi masyarakat India pula, tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama
uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan
pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak daripada dikorek oleh
binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir. ( Siri Warisan Bangsa Adat Warisan,
2013 )

5.2.4

Bertindik

Bertindik dilakukan kepada anak-anak perempuan. Ada yang ditindik semasa


berumur tujuh hari selepas tanggal pusat. Ada yang bertindik selepas bercukur rambut dan
ada pula yang telah besar dan menjadi dana sunti. Bertindik bermaksud melubang cuping
telinga kanan dan kiri. Tujuannya ialah supaya anak-anak boleh memakai subang atau antinganting. Kelengkapan dan barang-barang yang diperlukan untuk bertindik ialah nasi kunyit,
beras kunyit dan bertih, wang penggeras, kunyit basah, minyak kelapa, benang hitam, duri
limau atau jarum jahit. Semasa menjalani upacara bertindik, anak perempuan dipakaikan
dengan pakaian yang indah-indah. Ada kalanya anak itu diletakkan di atas pelamin. Dalam
upacara itu mula-mula doa selamat dibacakan. Kemudian tukang tindik menaburkan bertih
dan beras kunyit kepada anak itu. Seterusnya cuping telinga anak itu dicucuk dengan jarum
dan benang hitam yang telah bercucuk dengan kunyit terus. Benang itu diikatkan di telinga
anak itu bersama dengan kunyit itu sekali. Ada kalanya subang halus berbentuk cincin
dipakaikan sekali pada telinga anak itu. Salah seorang informen, iaitu Encik Abidin bin
Ahmad juga menerangkan bahawa adat bertindik amat penting kepada anak perempuan dan
bahawa adat ini harus diamalkan oleh generasi kini dan yang akan datang

5.2.5

Mendodoi bayi

Mendodoi bayi adalah upacara yang paling penting dalam masyarakat India.
Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai taalaattu yang bermaksud penggoyangan
lidah. Upacara mendodoi bayi dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-

cerita nasihat. Lagu-lagu ini merupakan harapan ibu bapa supaya bayi tersebut akan
menjadi seorang yang berguna seperti yang terkandung dalam lirik tersebut.
Kebiasaannya lagu-lagu ini dinyanyikan oleh golongan tua sahaja. ( Siri Wajah-wajah
Kita India, 2007 )

Gambar 3 : Buaian yang digunakan oleh masyarakat India


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.6

Mandi selepas bersalin

Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, ibu dan bayi dipisahkan daripada
keluarga yang lain dan dimasukkan ke bilik khas. Bilik tersebut dibersihkan supaya
tidak mengganggu kesihatan ibu dan anaknya. Orang ramai dilarang masuk ke dalam
bilik tersebut selama dua minggu melainkan untuk perubatan sahaja. Ibu yang baru
bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua minggu dan hanya perlu dilap dengan
kain yang basah sahaja. Jika tidak, ibu tersebut mendapat penyakit atau anggota badan
menjadi lemah. Setelah itu ibu akan dimandikan dengan air mandian dicampur dengan
herba. Antara herba tersebut seperti kunyit, minyak bijan, kas-kas dan sebagainya.

Rambut yang basah akan dikeringkan dengan asap kemenyan yang mampu
menghindar penyakit demam, selsema dan sebagainya.
Bayi dimandikan ketika waktu petang. Mandian bayi dilakukan dengan
menyiram air pada seluruh anggota bayi. Air suam digunakan untuk menghindarkan
pelbagai penyakit. Air mandian juga boleh dicampur dengan bahan-bahan herba. Ini
bertujuan mengelakkan bayi dari diserang penyakit sawan atau kuning. Ketika bayi
dimandikan, urutan secara perlahan dilakukan dan tulang belakang bayi diurut supaya
tidak bengkok. Kemudian hidung, kening dan telinga diurut juga untuk bertujuan
menjaga kecantikan. Sebaik sahaja dimandikan, bayi akan ditonggengkan dengan
mengangkat kedua-dua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk
mengeluarkan kahak. Setelah itu, bayi dilap dengan menggunakan asap kemenyan.
Bedak yang diperbuat daripada tepung beras disapu pada seluruh anggota badan
supaya tidak dihinggapi ruam. Setelah itu, bayi dibedung dengan kain yang bertujuan
meluruskan seluruh badan bayi supaya tidak bengkok.

Gambar 4 : Adat mandi selepas bersalin masyarakat India


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.7

Membawa bayi pulang ke rumah

Dalam kalangan masyarakat India, bayi yang dilahirkan di hospital akan


dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan
hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke dalam rumah, upacara aalati akan dilakukan.
Upacara aalati dilakukan untuk mengelakkan bala atau kecelakaan yang bakal ditempuhi
bayi. Serbuk kunyit dan kapur sirih dicairkan ke dalam sebuah dulang. Seketul arang
dimasukkan ke dalam dulang dan dipusing-pusingkan sebanyak tiga kali di hadapan ibu dan
bayi mengikut arah jam dan sekali berlawanan arah jam. Dulang akan diayunkan sebanyak
tiga kali juga. Perempuan yang mempunyai suami dan anak harus mencelup ibu jari ke dalam
dulang yang berisi serbuk kunyit dan kapur. Bahan tersebut akan dipalitkan pada dahi ibu dan
bayi. Setelah itu barulah ibu dan bayinya dibawa masuk ke dalam rumah dan aalati dibuang.
( Siri Wajah-wajah Kita India, 2007 )

Gambar 5 : Bahan yang digunakan dalam upacara aalati


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.8

Memberi nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud
yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama
para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan
dipilih. Nama bayi sunat diberikan pada hari ketujuh kelahiran bayi dan diikuti dengan

penghasilan sijil kelahiran bayi. Pada zaman sekarang, bayi sudah boleh didaftarkan untuk
mendapatkan Mykad mereka pada hari pendaftaran nama dibuat.
Bagi masyarakat India pula, sebaik sahaja bayi berusia 16 hari, upacara
pemberian nama dilakukan. Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan
dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang
berkaitan dengan dewa-dewa. Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang
sebagai tanda kesyukuran. Terdapat juga upacara memuja Dewa Pecciyamman dan Dewi
Kaatteeri dilakukan oleh segelintir masyarakat India. Upacara pemujaan dilakukan dengan
membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahanbahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan kering dan
sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan namanya diumumkan pada
orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri
dengan jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi. Nama-nama
yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh kelahiran bayi. Namanama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih
bagi bayi tersebut. Hal ini diakui salah seorang informen, iaitu Puan Saraswathi a/p
Muniandy. Beliau menyatakan bahawa nama yang dipilih bagi bayi akan mempengaruhi
perwatakannya pada masa hadapan.

5.2.9

Jejak Tanah / Turun tanah

Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai
meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil
dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini
dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara
mahupun barangan yang digunakan. Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk
mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai
alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi
pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di
dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut,
gunting, bubur, air sejuk dan wang.

Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak


tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barangan tersebut dan dihadkan mengambil tiga
barangan sahaja. Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal
masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya, jika kanakkanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat
ini juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke
piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah
dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca. ( Siri Adat
dan Budaya Kaum Utama Melayu, 2013 )

Gambar 6 : Adat jejak tanah masyarakat Melayu


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.10 Naik Buai


Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat
sambutan dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam
suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau
cucu sulung. Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian
yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan.
Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara

berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki
atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan
ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi
nama dan adat cukur rambut. ( Siri Warisan Bangsa Adat Warisan, 2013 )

Gambar 7 : Adat naik buai masyarakat Melayu


Sumber : Kajian Lapangan 2015

5.2.11 Cukur rambut / Potong jambul


Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Kenduri nasi kunyit
dan doa selamat diadakan pada hari tersebut. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa
kelengkapan disediakan. Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air
tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya
dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan

diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil.
Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di
kelilingnya. Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam
yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya
dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan
ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan
menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.
Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam
bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki
menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai
kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya
oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur
akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut ditanam di sekitar halaman
rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu
dilahirkan. Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak,
akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ketujuh selepas anak
dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan berakikah sekali sahaja seumur
hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah
ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah
dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah
sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan
pada hari ketujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan
adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain. ( Siri Warisan
Bangsa Adat Warisan, 2013 )

Gambar 8 : Adat cukur rambut / potong jambul masyarakat Melayu


Sumber : Kajian Lapangan 2015

You might also like