You are on page 1of 19

GE2253 KAEDAH SAINS

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5 PENGAJARAN SAINS DI DALAM MAKMAL

5.0 Pengenalan

Aktiviti makmal merupakan satu kemestian dalam pendidikan sains. Kaedah makmal
adalah satu-satunya kaedah yang melatih pelajar menguasai kemahiran saintifik,
khususnya melalui aktiviti amali atau eksperimen. Bab ini memberi tumpuan kepada
strategi pelaksanaan kaedah eksperimen dan demonstrasi kerana lazimya, kedua-dua
kaedah inilah yang dominan digunakan oleh guru semasa mengajar di dalam makmal.

Supaya aktiviti makmal berjalan dengan lancar dan selamat, anda perlulah
mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang pengurusan makmal sains. Anda juga
perlu menguasai kemahiran-kemahiran pengajaran seperti kawalan kelas, pengesanan,
pertuturan, penyoalan, penerangan, penggunaan papan hitam/putih dan penggunaan
media bantu mengajar. Aspek-aspek ini telahpun dihuraikan dalam kursus GE5112
Kaedah Am, iaitu dalam Bab 7 : Pengurusan Makmal Sains dan latihan Pengajaran
Mikro.

5.1 Objektif Bab

Bab ini bertujuan:

1. Menghuraikan tentang kepentingan kemahiran saintifik dalam Sains KBSM.


2. Menerangkan strategi melaksanakan kaedah eksperimen di dalam makmal sains.
3. Menyatakan strategi melaksanakan kaedah demonstrasi dalam pengajaran sains.
4. Melatih bakal guru merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam makmal sains.
5. Memberi kemahiran mengurus sesuatu aktiviti makmal sains supaya bakal guru dapat
melaksanakannya dengan betul dan berkesan semasa menjalani Latihan Mengajar.
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5.2 Pengajaran dan Pembelajaran Sains KBSM

Pendidikan Sains di Malaysia, sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat


menengah, adalah berteraskan falsafah Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), iaitu melahirkan insan yang
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Untuk mencapai matlamat ini,
pendidikan sains dirancang untuk memberi penekanan ke atas kesepaduan antara ilmu
pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Secara ringkas, tuntutan-tuntutan
pendidikan sains ditunjukkan dalam Rajah 5.1.

Rajah 5.1 Tuntutan pendidikan sains dalam KBSM

INSAN SEIMBANG
• INTELEK
• ROHANI
• EMOSI
• JASMANI

ILMU KEMAHIRAN NILAI


PENGETAHUAN MURNI

SAINTIFIK MANIPULATIF LAIN-LAIN

• MENGUMPUL
MAKLUMAT • BAHASA
• MEREKOD • PENGGUNAAN ALAT • MENULIS DAN
PEMERHATIAN DAN BAHAN SECARA MENGIRA DENGAN
• MEMBUAT BETUL DAN SELAMAT TEPAT DAN JELAS
PENGELASAN
• MENILAI DAN
MENTAFSIR DATA
• MEMBUAT
KESIMPULAN

82
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

Proses pengajaran dan pembelajaran KBSM memberi penekanan kepada kaedah-


kaedah pusatan pelajar iaitu pemerolehan pengetahuan dan kemahiran adalah melalui
penglibatan pelajar secara aktif. Bersesuaian dengan sifat sains itu sendiri, strategi
pengajaran dan pembelajaran bagi mata-mata pelajaran sains (Sains, Kimia, Biologi,
Fizik dan Sains Tambahan) mengutamakan pendekatan inkuiri-penemuan, sama ada
secara induktif ataupun secara deduktif.

Kaedah Pengajaran Dalam Makmal

Pengajaran di dalam makmal tidak hanya terbatas kepada kaedah eksperimen sahaja.
Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1996) menegaskan bahawa, dalam sesuatu sesi
pengajaran, wujud gabungan beberapa kaedah pengajaran Ini bermakna, kaedah
eksperimen tidak boleh berdiri sendiri. Keberkesanannya bergantung juga pada kaedah-
kaedah yang lain seperti kuliah, demonstrasi, perbincangan, dan soal-jawab. Contoh
yang berikut memperjelaskan integrasi pelbagai kaedah pengajaran dalam proses
pengajaran dan pembelajaran sains di makmal:

Dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran sains selama dua waktu (80 minit)
guru memilih kaedah eksperimen bagi mencapai salah satu atau beberapa
objektif pengajaran yang telah ditentukan. Para pelajar tidak terus melakukan
eksperimen. Sebenarnya beberapa proses terlibat sebelum, semasa dan selepas
pelajar-pelajar melakukan eksperimen.

Sebelum melakukan amali, para pelajar perlu memahami konsep yang terlibat,
langkah-langkah amali, teknik-teknik menggunakan alat radas, aspek
keselamatan dan cara-cara pengumpulan, persembahan, penganalisisan dan
perbincangan data yang diperolehi. Aspek ini boleh dicapai melalui beberapa
pendekatan, misalnya:
(a) Guru sendiri menerangkan konsep yang terlibat dan bagaimana
eksperimen berkenaan dijalankan (langkah-langkah eksperimen,

83
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

aspek keselamatan, persembahan data, pembersihan dan sebagainya),


atau,
(b) Sebelum memulakan amali, para pelajar diberi masa membaca
prosedur amali berkenan, atau,
(c) Para pelajar diarah membaca prosedur amali yang berkenaan di
rumah.

Sering kali juga guru melakukan demonstrasi, terutamanya bagi menunjukkan


aspek-aspek khusus (misalnya teknik pemasangan alat/radas, cara penggunaan
alat/radas tertentu dan cara membuat pemerhatian/pengukuran yang tepat.

Seterusnya, pelajar-pelajar melakukan eksperimen sama ada secara individu


ataupun berkumpulan. Data yang diperolehi kemudiannya dibincangkan (sama
ada oleh guru atau oleh setiap kumpulan pelajar). Pelajar-pelajar kemudiannya
dikehendaki menyediakan satu laporan bertulis atau menjawab soalan-soalan
tentang eksperimen yang dilakukan.

Ini bermakna, guru mestilah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam


berbagai-bagai kaedah pengajaran supaya dapat mengenal pasti dan seterusnya
menggunakan kaedah-kaedah yang paling sesuai dan berkesan dalam sesuatu unit
pengajaran.

5.3 Kepentingan Amali

Kajian sains adalah berasaskan pemerhatian terhadap fenomenon semula jadi.


Tujuan pemerhatian adalah untuk mendapatkan data yang kemudiannya diorganais dalam
bentuk yang bermakna dan dibincangkan. Hasil perbincangan membolehkan kita
membuat generalisasi tentang fenomenon yang dikaji itu. Secara amnya, proses yang
terlibat boleh diringkaskan seperti berikut:

84
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

FENOMENON Perkara biasa, tidak


menghairankan,
tidak perlu dikaji

Mencetuskan kehairanan
dan perlu dikaji

LANGKAH-LANGKAH KAJIAN
(KEMAHIRAN PROSES SAINS)

1. MEMBUAT ANDAIAN (HIPOTESIS)


2. MENGUMPUL DATA
3. MEREKOD DATA
4. MENGANALISIS DAN MENTAFSIR DATA
5. MEMBUAT INFERENS ATAU PERBINCANGAN
6. MEMBUAT KESIMPULAN
7. KOMUNIKASI

1. MEMBUAT ANDAIAN (HIPOTESIS)

Sesuatu fenomenon atau kejadian yang mencetuskan kehairanan sudah


tentulah menimbulkan persoalan seperti apa, mengapa dan bagaimana.
Jika kita ingin mencari jawapan kepada sesuatu persoalan, langkah
pertama adalah mengenal pasti persoalan atau masalah yang hendak dikaji.
Lazimnya, masalah yang hendak dikaji dinyatakan dalam bentuk soalan
yang dikenali sebagai pernyataan masalah. Langkah kedua adalah
mengemukakan beberapa andaian atau jawapan-jawapan awal yang
munasabah bagi menjawab soalan yang berkaitan. Andaian-andaian ini
dinamakan hipotesis. Di peringkat sekolah menengah, lazimnya satu
hipotesis sahaja yang dipilih, iaitu yang paling munasabah antara beberapa
hipotesis yang dibuat. Setelah dikenal pasti hipotesis, langkah

85
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

selanjutnya adalah menjalankan kajian bagi mendapatkan maklumat dan


data untuk menyokong atau menolak hipotesis yang dibuat itu.
Membuat hipotesis merupakan salah satu komponen kemahiran berfikir
secara kritis (Sila rujuk Kursus GE5112 Kaedah Am (Bab 10 :
Kemahiran Berfikir). Malangnya, kemahiran ini kurang diberi perhatian
dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebaliknya, setiap
eksperimen dalam buku teks bermula dengan “Tujuan”. Contoh :

1. Tujuan : Menunjukkan gerakan zarah-zarah dalam cecair dan gas.


2. Tujuan : Mengkaji hasil tindak balas antara logam dengan asid
cair.

2. MENGUMPUL DATA
Tujuan mengumpul data adalah bagi menyokong atau menolak sesuatu
hipotesis yang dibuat. Terdapat pelbagai cara dan alat yang digunakan
untuk mengumpul data, bergantung pada bidang kajian dan bentuk
hipotesis. Di sekolah, lazimnya kaedah pemerhatian melalui eksperimen
digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data yang diingini.

3. MEREKOD DATA
Data yang diperolehi melalui pemerhatian atau eksperimen perlulah
direkod dalam bentuk tertentu supaya mudah difahami dan diolah.
Lazimnya, data daripada eksperimen direkodkan dalam bentuk jadual.

4. MENGANALISIS DAN MENTAFSIR DATA


Data yang diperolehi perlulah diolah supaya mudah ditafsir. Sering kali
kaedah statistik digunakan dalam pengolahan data. Contohnya, dalam
bentuk purata, peratus dan graf. Analisis dan pengolahan data di peringkat
yang lebih tinggi menggunakan kaedah statistik yang lebih kompleks.

86
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5. MEMBUAT INFERENS atau PERBINCANGAN


Data yang telah dianalisis atau diolah seterusnya dibincangkan.
Perbincangan mestilah berasaskan data yang diperolehi, walaupun secara
teorinya data berkenaan kurang tepat ataupun tidak menepati jangkaan. Ini
dikenali sebagai ‘membuat inferens’. Dalam perbincangan ini dinyatakan
juga punca-punca yang menyebabkan data yang diperolehi tidak tepat,
misalnya ketidaktepatan pemerhatian, pengukuran, atau alat kajian yang
digunakan. Diperingkat yang lebih tinggi, perbincangan sering dikaitkan
dengan dapatan kajaian-kajian yang lain atau dengan teori-teori yang
berkaitan.

6. MEMBUAT KESIMPULAN
Berdasarkan perbincangan dan inferens, kesimpulan dibuat sama ada
menerima atau menolah andaian (hipotesis) yang dibuat sebelum
eksperimen atau kajian dijalankan.

7. KOMUNIKASI
Dapatan kajian disebarkan kepada masyarakat atau kepada kumpulan
tertentu, misalnya ahli-ahli dalam bidang yang berkenaan. Walaupun
terdapat pelbagai cara dan media penyebaran maklumat (misalnya,
suratkhabar dan tv), lazimnya laporan bertulis yang disiarkan dalam jurnal
bidang berkenaan adalah lebih diiktiraf.

Di peringkat sekolah, bentuk komunikasi yang diamalkan ialah laporan


amali. Pelajar mestilah diajar tentang tatacara yang betul menulis laporan
amali kerana komunikasi merupakan salah satu komponen penting dalam
kemahiran saintifik.

87
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5.4 MERANCANG DAN MELAKSANAKAN AMALI

Aktiviti amali melibatkan lima aspek penting, iaitu:

1. PERANCANGAN
2. PERSEDIAAN AWAL
3. KOMPONEN-KOMPONEN
PENGAJARAN
4. PEMBERSIHAN
5. PERTIMBANGAN KHAS

Mari kita bincangkan setiap aspek ini secara lebih terperinci.

1. PERANCANGAN

Perancangan sesuatu amali bermula dengan mengenal pasti:

APAKAH TUJUAN ATAU OBJEKTIF AMALI BERKENAAN ?

Setelah menentukan tujuan atau objektif amali, langkah-langkah perancangan


berikutnya ialah:

(a) PEMILIHAN AKTIVITI-AKTIVITI YANG SESUAI


Lazimnya aktiviti amali di sekolah telahpun dikenal pasti dan terkandung di dalam
buku teks dan bertujuan meneguhkan konsep atau prinsip tertentu yang dipelajari di
dalam bilik darjah.

88
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

(b) PERSEDIAAN AWAL BAHAN/ALAT/RADAS


Bahan, radas dan alat mestilah dipastikan mencukupi untuk sesuatu kelas (dan
seterusnya satu tingkatan). Pertimbangan penting ialah berapa set bahan/alat yang
diperlukan, iaitu bergantung pada strategi pengajaran, sama ada amali atau
eksperimen berkenaan dilakukan secara berseorangan atau dalam kumpulan kecil.
Dalam Biologi, terutamanya, perancangan awal sangat mustahak kerana sering kali
bahan-bahan yang diperlukan terpaksa disediakan beberapa hari atau beberapa
minggu lebih awal, misalnya mendapatkan anak benih jagung, lipas dan tumbuh-
tumbuhan yang khusus.

(c) PENULISAN RANCANGAN PENGAJARAN


Penulisan rancangan pengajaran merangkumi huraian terperinci tentang aspek-aspek
pengajaran dan pembelajaran serta mengikuti format yang telah anda pelajari dalam
kursus GE2113 Kurikulum & Pedagogi. Khususnya bagi tujuan Latihan Mengajar,
anda dikehendaki menulis rancangan pengajaran untuk setiap kelas yang anda ajar.

2. PERSEDIAAN

Adalah menjadi tanggungjawab anda sepenuhnya memastikan kejayaan sesuatu


amali atau eksperimen. Lazimnya, kegagalan sesuatu aktivti makmal adalah berpunca
daripada kecuaian anda. Anda tidak boleh menyalahkan Pembantu Makmal sekiranya
aktiviti yang dirancangkan gagal dilaksanakan dengan lancar.

Aspek persediaan meliputi dua perkara penting, iaitu:


(a) Peranan Pembantu Makmal; dan
(b) Anda mencuba sendiri amali sebelum dilakukan oleh pelajar.

(a) Peranan Pembantu Makmal

Pembantu Makmal tidak dipertanggungjawab secara langsung terhadap proses


pengajaran dan pembelajaran di dalam makmal. Pembantu Makmal hanya membantu

89
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

anda dalam persediaan bahan atau radas yang diperlukan dan pembersihan, termasuk
pembersihan peralatan dan makmal. Untuk mengelak sebarang salah sangka, arahan dan
pesanan kepada Pembantu Makmal mestilah dilakukan secara bertulis menggunakan
borang pesanan yang khusus. Contoh borang pesanan yang dimaksudkan adalah seperti
berikut:

BORANG PESANAN/ARAHAN MAKMAL

Tarikh Diperlukan : ……………………………………….


Tingkatan : …………………………………………………
Hari/Masa : ………………………………………………...
Tajuk : ……………………………………………………...

Bil. Bahan/Radas Kuantiti

Arahan Tambahan :

T/Tangan Anda: ………………………………………….


T/Tangan Pembantu Makmal : …………………………
Tarikh : ……………………….

Setiap borang pesanan ini hendaklah difailkan untuk rujukan.

(b) Anda mencuba dahulu amali


Sebelum sesuatu amali atau eksperimen dijalankan oleh pelajar, anda mestilah
terlebih dahulu mencuba sendiri eksperimen berkenaan. Langkah ini penting kerana anda

90
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

akan mendapat banyak maklumat yang dapat membantu anda mengendalikan eksperimen
secara berkesan. Melalui percubaan ini, anda dapat mengenal pasti:

 Kelemahan amali
 Masa yang dihadkan
 Bahaya yang mungkin berlaku
 Kesesuaian amali, bahan serta radas. Anda dapat
mengubahsuaikan amali atau radas, jika perlu
 Aspek keselamatan
 Ketepatan hasil

Sebelum mencuba amali berkenaan, anda perlulah membuat anggaran tentang:

 Masa yang diperlukan untuk menyelesaikan eksperimen


 Masa sebenar yang anda ambil untuk menyelesaikan amali
 Masa yang diperlukan oleh pelajar

Jika anda mengambil masa 20 minit menyelesaikan amali berkenaan, pelajar


tentulah memerlukan masa yang lebih, misalnya 30 minit. Jadi, semasa memberi arahan
kepada pelajar, anda hendaklah menyatakan masa yang dihadkan kepada mereka untuk
menyelesaikan eksperimen. Walaupun mereka bermain atau berbual-bual (sememangnya
kebanyakan pelajar akan melakukan perkara-perkara ini !), mereka mesti mematuhi masa
yang diperuntukkan itu.

Semasa anda melakukan eksperimen itu, tentukan :


• Bagaimana anda akan memperkenalkan amali
• Idea, konsep atau kemahiran utama yang akan dipelajari oleh pelajar
• Mengapa eksperimen itu dilakukan, iaitu objektif-objektif penting yang akan dicapai
• Strategi pengajaran supaya pelajar memahami tujuan amali dan bermotivasi
melakukan eksperimen.

91
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

• Perkara-perkara yang mungkin menjadi kesukaran kepada pelajar


• Perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pelajar, misalnya teknik-
teknik khas dan aspek-aspek keselamatan
• Bagaimana keputusan eksperimen dikumpul dan dibincangkan

3. KOMPONEN-KOMPONEN PENGAJARAN

Aspek ini merangkumi langkah-langkah mengendalikan sesuatu aktiviti makmal,


khususnya eksperimen. Secara amnya, ini meliputi empat langkah utama, iaitu (a)
Pengenalan kepada amali; (b) Pengesanan amali; (c) Penterjemahan data atau
pemerhatian dan perbincangan; dan, (d) Aktiviti lanjutan.

(a) Pengenalan kepada amali


Ini merupakan peringkat permulaan amali, iaitu anda memperkenalkan konsep atau
prinsip yang terlibat. Di peringkat ini juga anda memberi penerangan dan arahan
yang berkaitan dengan amali yang akan dilakukan oleh pelajar. Tujuan
memperkenalkan amali ialah :
1. Meletakkan pemikiran pelajar dalam konteks, iaitu memberi maklumat latar
belakang dan rasional amali, hubungkait amali dengan kehidupan harian serta
membangkitkan minat pelajar terhadap amali.
2. Memberi arahan tentang pelaksanaan amali seperti prosedur amali, pemasangan
radas, teknik-teknik khas, aspek keselamatan, had masa, cara merekod data,
pembahagian kumpulan, penyediaan laporan dan pembersihan. Anda tidak perlu
menerangkan secara terperinci prosedur amali. Sebaliknya, anda boleh
mengarahkan pelajar membaca sendiri prosedur berkenaan, sama ada di dalam
makmal ataupun sebelumnya di rumah.

(b) Pengesanan amali


Semasa pelajar menjalankan amali, anda perlu memantau dan mengesan perjalanan
amali supaya dikendalikan dengan cara yang baik dan selamat. Peranan anda semasa ini
termasuklah melayani soalan pelajar, merangsang pemikiran pelajar tentang aktiviti yang

92
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

dijalankan, memastikan pelajar patuh kepada arahan keselamatan dan berwaspada tentang
masalah yang mungkin timbul. Jangan tinggalkan makmal semasa amali. Jika benar-
benar perlu meninggalkan makmal, pastikan ada guru lain ataupun pembantu makmal
mengambil alih tugas anda untuk sementara waktu.

(c) Penterjemahan data atau pemerhatian dan perbincangan


Setelah pelajar selesai melakukan amali, data atau pemerhatian amali dianalisis dan
dibincangkan. Jangan tangguhkan perbincangan ke waktu atau hari yang lain.
Perbincangan haruslah berdasarkan data yang diperolehi dan mestilah mengambil kira
data daripada semua kumpulan. Selain data kajian, perbincangan juga meliputi ketepatan
data, punca-punca kesalahan, serta cara data disusun dan diolah. Seterusnya, anda perlu
membimbing pelajar membuat generalisasi atau kesimpulan amali berkenaan. Lazimnya
pada peringkat ini pelajar-pelajar dikemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan
amali atau konsep yang dikaji.

(d) Aktiviti lanjutan


Setelah mendapatkan generalisasi atau kesimpulan amali, pelajar bolehlah diberikan
kerja rumah atau latihan yang bersesuaian yang boleh diselesaikan di dalam makmal,
misalnya menulis laporan amali. Para pelajar boleh juga diminta memikir atau
mengaitkan hasil amali dengan kehidupan seharian mereka.

4. PEMBERSIHAN

Anda mestilah memperuntukkan masa supaya pelajar dapat membersihkan meja


serta peralatan yang mereka gunakan. Pastikan pembantu makmal dan pelajar tahu
tanggungjawab masing-masing. Bahan yang berbahaya atau bekas yang mengandungi
bahan yang berbahaya seperti bakteria atau kulat hendaklah dibersihkan oleh pembantu
makmal. Pelajar perlu bertanggungjawab mengemas meja dan membersih peralatan yang
mereka gunakan serta mengembalikan bahan, radas atau spesimen ke tempat asalnya.
Kerjasama ini sangat penting bagi menjamin kelicinan pengajaran di dalam makmal,
kerana kelas-kelas lain pula akan menggunakan makmal berkenaan.

93
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5. PERTIMBANGAN KHAS

Selain pengetahuan tentang pengurusan dan pengendalian makmal sains, anda juga
perlu mempunyai pengetahuan tentang:
(a) Pertolongan cemas; dan
(b) Rancangan untuk keadaan kecemasan di dalam makmal.
Kedua-dua aspek ini sangatlah penting bagi mengelak berlakunya sebarang kecelakaan
di dalam makmal. Pengetahuan tentang pertolongan cemas dapat membantu guru
mengambil langkah awal memberi rawatan kecemasan sebelum mendapatkan khidmat
pakar.

5.5 MERANCANG DAN MELAKSANAKAN DEMONSTRASI

Demonstrasi atau tunjukcara adalah satu kaedah pengajaran yang sering dilakukan
baik semasa mengajar di dalam bilik darjah mahupun di dalam makmal. Tujuan kaedah
ini adalah untuk membolehkan para pelajar melihat dan mengikuti satu siri langkah,
peristiwa, atau fenomenon dalam keadaan-keadaan yang tidak memungkinkan pelajar-
pelajar mendapatkan maklumat tanpa penglibatan anda. Kaedah ini sering kali digunakan
bersama-sama dengan kaedah-kaedah pengajaran yang lain seperti kuliah dan amali
(eksperimen). Demonstrasi sesuai dan berkesan digunakan hanya dalam situasi-situasi
seperti berikut:

1. Sesuatu alat terlalu berbahaya untuk dikendalikan sendiri oleh pelajar.


2. Apabila sesuatu aktiviti atau eksperimen melibatkan proses yang boleh
mendatangkan bahaya jika dikendalikan sendiri oleh pelajar.
3. Sesuatu alat terlalu mahal untuk digunakan oleh pelajar.
4. Peralatan yang sangat terhad untuk membolehkan pelajar menjalankan sesuatu
eksperimen, sama ada bersendirian ataupun dalam kumpulan kecil.

94
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5. Sesuatu aktiviti atau eksperimen yang mengambil masa terlalu lama untuk
diselesaikan.
6. Apabila anda ingin mengulangi secara cepat sesuatu prinsip yang telah
dipelajari oleh pelajar.
7. Untuk menyediakan para pelajar melaksanakan sesuatu aktiviti, misalnya suatu
eksperimen. Anda menggunakan kaedah demonstrasi untuk menunjukkan
perkara-perkara penting yang perlu difahami oleh pelajar bagi menjayakan
aktiviti berkenaan, misalnya teknik-teknik khas mengendalikan sesuatu alat
atau radas dan langkah keselamatan yang terlibat.
8. Untuk menunjukkan hubungan sesuatu fenomenon dengan konsep yang
dipelajari semasa kuliah. Misalnya, perubahan warna penunjuk bikarbonat
dalam keadaan asid dan alkali untuk membuktikan bahawa udara yang
dihembus keluar semasa pernafasan mengandungi karbon dioksida.
9. Merangsang pemikiran untuk menjana idea-idea baru. Dalam hal ini, anda
melakukan sesuatu demonstrasi ringkas berhubung dengan suatu konsep atau
prinsip dan meminta pelajar membuat ramalan, hipotesis atau memberi
pendapat tentang konsep atau prinsip berkenaan.

Kita harus ingat: Demonstrasi bukan jalan pintas kepada pengajaran kaedah
saintifik. Sering kali kaedah demonstrasi disalahgunakan, terutamanya dalam sesi amali.
Eksperimen-eksperimen yang sepatutnya dilakukan oleh para pelajar sering kali
digantikan dengan demonstrasi. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku, kerana setiap
makmal sains telah dilengkapi dengan peralatan dan bahan yang mencukupi. Keadaan ini
juga menghalang pelajar mempelajari dan memperkembangkan kemahiran saintifik
(kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif). Selain itu, kemahiran proses sains
diuji dalam peperiksaan PMR dan SPM.

Dalam kaedah demonstrasi, peranan anda adalah:

1. Mengenal pasti dengan jelas objektif pengajaran.


2. Memahami nilai atau manfaat demonstrasi berkenaan kepada pelajar.

95
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

3. Memahami dan memastikan rasional demonstrasi, iaitu mengapa demonstrasi


itu dilakukan.
4. Menyediakan alat atau bahan yang diperlukan.
5. Merancang supaya demonstrasi memberi manfaat kepada semua pelajar di
dalam kelas.
6. Merancang penglibatan aktif pelajar semasa demonstrasi.

Keberkesanan demonstrasi bergantung pada beberapa perkara, antaranya:

1. Laras bahasa yang anda gunakan semasa menyampaikan demonstrasi. Anda


mestilah menggunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh pelajar. Turut
memainkan peranan penting ialah gestur atau komunikasi tanpa berbahasa,
iaitu pergerakan tangan, kepala atau mimik muka anda secara berkesan.

2. Peralatan yang digunakan mestilah cukup besar dan seberapa ringkas yang
boleh. Alat-alat yang kompleks akan melindungi apa yang hendak
ditunjukkan.

3. Demonstrasi mestilah mudah dilihat oleh semua pelajar. Alat atau objek
demonstrasi mestilah diletakkan di atas meja yang tinggi. Pastikan juga
cahaya cukup terang supaya pelajar-pelajar dapat melihat semua aspek
demonstrasi.

4. Kedudukan para pelajar perlu diatur supaya setiap pelajar dapat melihat apa
yang ditunjukkan dan mendengar dengan jelas percakapan anda. Dalam kelas
yang ramai pelajar, pelajar-pelajar yang berdekatan dengan demonstrasi
bolehlah duduk manakala yang lebih jauh pula bolehlah berdiri. Satu cara lagi
adalah dengan membahagikan pelajar-pelajar kepada beberapa kumpulan;
setiap kumpulan mengambil giliran melihat demonstrasi. Untuk mengelak
gangguan, kebisingan atau pelajar bermain, kumpulan-kumpulan yang tidak

96
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

melihat demonstrasi diberikan sesuatu tugas, misalnya membaca buku teks,


menjawab soalan atau berbincang tentang sesuatu masalah.
5. Anda perlulah memastikan pelajar terlibat secara aktif dalam demonstrasi.
Pelajar-pelajar disuruh memasang alat, mengambil ukuran, mengisi jadual dan
sebagainya. Anda boleh mengemukakan soalan-soalan yang relevan bagi
membangkitkan minat serta merangsang pemikiran pelajar. Selain itu, anda
hendaklah melayani soalan-soalan yang dikemukakan oleh pelajar. Dalam
keadaan tertentu, pelajar-pelajar melihat demonstrasi, mendengar penerangan
anda, mengambil nota atau melukis gambarajah.

6. Anda sepatutnya berlatih melakukan demonstrasi terlebih dahulu. Ini


memberi peluang kepada anda mengenal pasti masalah-masalah yang
mungkin timbul dan mengawal masa secara berkesan.

5.5 Rumusan

Bab ini telah membincangkan secara terperinci strategi pelaksanaan dua kaedah
pengajaran yang sentiasa digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains, iaitu
eksperimen atau amali dan demonstrasi. Pengetahuan yang anda perolehi daripada bab ini
dapat anda gunakan untuk menerapkan kemahiran saintifik di dalam kelas. Pengetahuan
dan kemahiran yang dipaparkan dalam bab ini ada kaitannya dengan pengetahuan dan
kemahiran yang telah anda pelajari dalam GE 5112 Kaedah Am, misalnya pengajaran
mikro dan keselamatan dalam makmal. Oleh itu anda perlulah menggabungkan
pengetahuan dan kemahiran yang telah anda perolehi itu dengan pengetahuan yang
diberikan dalam bab ini.

97
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

TUGASAN

Sediakan satu rancangan mengajar untuk 80 minit pengajaran menggunakan kaedah


eksperimen daripada kaedah pertama anda (Biologi, Kimia atau Fizik) atau daripada mata
pelajaran Sains. Gunakan format berikut:

• Tingkatan
• Mata Pelajaran
• Hari
• Masa
• Tajuk

• Tujuan Am
• Objektif Pengajaran

• Nilai Murni * Senaraikan komponen-komponen

• Kemahiran Berfikir pemikiran kritis dan kreatif yang


Kritis dan Kreatif (KBKK)* terlibat. (Sila rujuk kursus
GE5112 Kaedah Am:
• Kaedah/Strategi Pengajaran** Bab 10: Kemahiran Berfikir)

• Bahan Bantu Mengajar


** Senaraikan kaedah/strategi yang
• Isi Pengajaran akan anda gunakan untuk
menyampaikan isi pengajaran
• Bahan Rujukan yang berkenaan (misalnya
kuliah, demonstrasi, amali,
• Pengetahuan Lepas perbincangan)

• Langkah Pengajaran
• Permulaan
• Perkembangan
• Penutup

98
GE5362 KAEDAH SAINS
Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

• Tugas Lanjutan
• Penilaian Kendiri
• Catatan Penyelia

LATIHAN

1. Huraikan mengapa aktiviti makmal, khususnya eksperimen atau amali sangat


penting dalam pengajaran dan pembelajaran sains.
2. (a) Apakah yang dimaksudkan dengan Kemahiran Saintifik ?
b (b) Senaraikan langkah-langkah dalam Proses Sains.
(c) Apakah yang dimaksudkan dengan Kemahiran Manipulatif dan apakah
kepentingannya ?
3. Jelaskan mengapa anda perlu mencuba sendiri sesuatu eksperimen sebelum
eksperimen berkenaan dilakukan oleh pelajar.
4. (a) Huraikan keadaan-keadaan yang sesuai bagi penggunaan kaedah demonstrasi.
(b) Senaraikan perkara-perkara yang mempengaruhi keberkesanan kaedah
demonstrasi.

RUJUKAN

Pengajian Jarak Jauh, Diploma Pendidikan. 1998. GE5112 Kaedah Am (Sains dan
Sastera) : Bab 10 Kemahiran Berfikir. UKM: Pusat Pegajian Jarak Jauh.
Pengajian Jarak Jauh, Diploma Pendidikan. 1998. GE5112 Kaedah Am (Sains dan
Sastera) : Bab 7 Pengurusan makmal sains. UKM; Pusat Pengajian Jarak Jauh.
Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib. 1996. Pengajaran dalam bilik darjah : kaedah
dan strategi. Kajang : MASA Enterprise.

99

You might also like