You are on page 1of 5

BINA INSAN GURU (BIG) 2012

REFLEKSI DIRI NURUL LIYANA BINTI RAHMAT


2PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2012

Pada 4 Oktober 2012, saya telah menghadiri satu seminar Bina Insan Guru(BIG)
bertempat di Bilik Bestari 1 IPGM Kampus Sultan Mizan. Seminar ini telah dihadiri oleh
semua pelajar PISMP semester 2 dimana melibatkan hampir 88 orang pelajar yang terdiri
daripada 5 kelas sahaja iaitu kelas Matematik, Sains, Pendidikan Jasmani, Tesl 1 dan Tesl
2. Seminar ini telah diberikan oleh En. Yussoff bin Ali. Seminar ini sebenarnya dibahagikan
kepada tiga sesi iaitu sesi ceramah yang disampaikan oleh En. Yussoff, sesi Latihan Dalam
Kumpulan(LDK), dan sesi pembentangan hasil daripada hasil kerja kumpulan berdasarkan
tajuk tugasan yang telah diberikan kepada setiap kumpulan. Ceramah yang disampaikan
lebih menekankan kepada peranan guru dan profesion perguruan. Kami menjalani seminar
BIG ini selama 3 jam bermula dari jam 12 tengah hari sehingga 3 petang.
Selama mengikuti seminar ini, begitu banyak perkara yang sempat saya pelajari
sama ada secara langsung atau tidak langsung. Seminar yang dimulakan dengan ceramah
yang bertajuk Budaya Guru dan Profesion Perguruan begitu menarik perhatian saya dari
awal lagi. Semasa sesi ceramah terutamanya, penceramah telah banyak menyedarkan
saya tentang kesediaan kami sebagai bakal guru dalam mengamalkan budaya-budaya
profesional sejak dari sekarang lagi. Antara perkara yang begitu ditekankan oleh En.
Yussoff selaku penceramah pada hari tersebut ialah budaya bakal-bakal pendidik sekarang
yang begitu jauh menyimpang dari budaya guru yang sebenar yang sepatutnya diamalkan
oleh guru-gur pelatih. Mendengar muqaddimah yang begitu menarik dari penceramah
membuatkan semua pelajar begitu khusyuk mendengar ceramah dari beliau. Satu persatu
penceramah memberi teguran kepada para guru pelatih bermula dengan gaya pemakaian
segelintir guru pelatih sekarang yang langsung tidak mencerminkan seorang guru.
Penceramah menegur segelintir guru pelatih yang suka memakai pakaian yang menjolok
mata dan mereka yang berfesyen ala-ala artis. Melalui teguran dari beliau, saya dapat

pelajari bahawa seorang guru itu perlulah mempunyai penampilan yang menarik tetapi
bersesuaian dengan seorang guru.
Selain itu, penceramah juga ada menyatakan bahawa sebagai seorang bakal guru,
guru pelatih sepatutnya sudah pandai ataupun belajar untuk menyalurkan segala perkara
yang ingin disampaikan kepada sesuatu organisasi atau individu melalui saluran yang
betul. Teguran dan nasihat ini sebenarnya banyak menyedarkan saya dimana situasi
sekarang amat bertepatan dengan apa yang disampaikan oleh penceramah tersebut. Hal
ini kerana, sejak kebelakangan ini sudah timbul satu senario dimana mereka yang tidak
berpuas hati terhadap sesuatu perkara lebih suka menyalurkan masalah itu melalui saluran
yang tidak betul. Malahan, cara yang dipilih oleh segelintir mereka yang terlibat ini juga
dilihat seperti tiada penyelesaian dan mungkin lebih memburukkan lagi keadaan.
Disini saya telah mengenalpasti beberapa kelemahan diri dan rakan-rakan bakal guru
dimana cara menyalurkan sesuatu perkara adalah amat penting sekali bagi menjaga dan
menjamin kelancaran mencari penyelesaian. Prosedur-prosedur yang telah ditetapkan
perlulah diikuti dengan betul supaya meja rundingan dapat dibuka dan satu jalan
penyelesaian dapat dibuat. Budaya ini sangat penting dalam kehidupan seorang guru
kerana semua ini adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi oleh insan bernama seorang
guru. Jadi, persediaan dan ilmu bagi membaiki kembali budaya guru pelatih ini harus
dilakukan supaya guru pelatih akan menjadi seorang guru yang profesional suatu hari
nanti.
Akuantabiliti seorang guru juga turut disentuh oleh penceramah dimana seorang
guru ini bertanggungjwab datang ke kelas dan mengajar murid mereka pada masa
mengikut jadual yang ditetapkan. Contoh yang diberikan penceramah begitu mudah untuk
dikaitkan dengan budaya guru dimana guru perlulah sentiasa bertanggungjawab dan
menepati masa. Disini, saya sedar bahawa penceramah mahu menegur dan mengajar
guru pelatih tentang pentingnya menepati masa dan melaksanakan tanggungjwab yang
telah diberikan. Isu ini jelas menekankan masalah segelintir guru pelatih yang selalu
datang lewat ke kuliah dan memberi begitu banyak alasan untuk menyelamatkan diri dari
dikenakan tindakan. Isu-isu ini sebenarnya tidak sepatutnya berlaku dikalangan guru
pelatih kerana perkara ini benar-benar bertentangan dengan budaya seorang guru. Oleh

yang demikian, nasihat dan teguran dari penceramah pasti akan diambil serius oleh kami
semua. Akhir sesi ceramah, penceramah sempat memberikan sedikit peringatan kepada
kami semua sebagai bakal-bakal guru supaya membuat satu anjakan paradigma dalam
mengamalkan budaya guru dalam kehidupan kami bermula dari sekarang lagi. Sesi
ceramah kemudian diakhiri dengan satu sesi LDK dan pembentangan.
Seterusnya, kami semua telah dikehendaki berada dalam satu kumpulan kecil iaitu
kumpulan bercampur ahli kelas dan setiap kumpulan diberi tema yang berlainan. Kumpulan
yang dibentuk sebanyak sepuluh dan terdapat 10 tugasan yang berbagai-bagai. Setiap
kumpulan berhak untuk memilih mana-mana tajuk asalkan tidak sama dengan kumpulan
yang lain. Setelah berbincang dalam kumpulan kami, kami semua telah memilih satu tajuk
yang begitu sesuai bagi kami bincangkan iaitu Etika dan Moral Seorang Guru. Walaupun
diberikan pilihan dengan pelbagai tema dan tajuk-tajuk lain, kami sepakat memilih tajuk ini
kerana ianya adalah satu tajuk yang menarik dan penting untuk dibincangkan bersama.
Antara isi yang dapat kami cungkilkan semasa perbincangan kumpulan ialah etika kerja
dan nilai-nilai murni yang sepatutnya dipandang serius oleh setiap individu yang bergelar
guru. Etika kerja ini semakin diambil enteng bagi sesetengah guru dan semakin lama
memburukkan imej guru dan mencemarkan nama baik profesion perguruan. Kami telah
membahagikan kepada tiga kategori utama yang sangat penting dihujahkan di dalam
tugasan kami ini. Kategorinya ialah dari segi pemakaian, pergaulan dan nilai-nilai murni.
Pemakaian merupakan perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh guru kerana guru
merupakan role model bagi semua teruatamanya anak-anak murid di sekolah. Pakaian
yang kemas dan bersih mendorong murid-murid memberikan perspektif yang positif
kepada guru tersebut berbanding dengan guru yang selekeh dan kotor. Selain itu, guru
perlulah mempunyai personaliti dan cara pergaulan yang baik kepada masyarakat
sekeliling. Guru perlu mengetahui cara berkomunikasi yang baik tanpa menimbulkan rasa
marah dan benci daripada pihak luar lebih-lebih lagi ibu bapa pelajar. Guru perlu bijak
menangani masalah yang dihadapi. Hal ini kerana, cabaran guru pada era globalisasi
semakin meningkat rentetan daripada sikap pelajar dan masyarakat yang tidak memahami
tugas sebenar guru. Nilai-nilai murni pula mesti dipupuk dalam diri setiap guru seperti
sabar, tabah, rajin,komitmen dalam bekerja dan sebagainya. Guru yang baik akhlaknya
akan mempengaruhi anak muridnya. Jika baik guru itu, maka baiklah para pelajarnya dan

begitulah sebaliknya. Kami amat berpuas hati membentangkan isi-isi yang kami hujahkan
dan kongsikan kepada rakan-rakan yang lain. Selain itu, saya juga mendapat input dan
pngajaran yang berguna daripada kumpulan yang lain. Dengan ini, saya semakin
memahami tugas guru dan sikap-sikap yang perlu ada sekiranya mahu menjadi pendidik
yang betul-betul berjaya dan cemerlang dalam membentuk anak bangsa menjadi orang
yang berguna. Bagi kami, guru telah dijadikan role model kepada masyarakat di sekeliling
kita. Kenapa guru yang dipilih untuk di contohi? Hal ini kerana seorang guru dipandang
mulia oleh masyarakat dan perlu dicontohi mereka. Tatatertib, pergaulan, budi bicara,
penampilan dan sebagainya pasti akan menjadi perhatian masyarakat seterusnya menjadi
ikutan atau contoh buat masyarakat. Oleh sedemikian, kami sebagai guru pelatih perlu
menyiapkan diri sebelum melangkah ke luar sebagai pendidik yang sebenar.
Maka, dalam merialisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh
pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial
dikalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang mengunung daripada masyarakat
kepada guru, sikap sebahagian ibu bapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat
kepada guru adalah merupakan cabaran semasa para guru. Namun biar sejuta cabaran
mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap
memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah. Selain itu, tugas seorang guru ini
merupakan satu tugas yang dipandang tinggi oleh agama. Setiap ilmu diajar kepada para
pelajar dan tidak ada istilah malas dalam kamus seorang guru apabila menyentuh bab
mendidik anak bangsa. Setiap tugas dan didikan terhadap murid-murid dibuat tanpa
mengharapkan balasan kepadanya, tetapi cuma mengharapkan agar murid-muridnya
berjaya dalam hidup mereka dan itulah balasan yang paling berharga buat insan bergelar
guru.
Selepas sesi pembentangan, kami kemudian dikehendaki berkumpul semula dan
En.Yussoff mengingatkan kami supaya mempraktikkan segala perkongsian ilmu yang telah
dibentangkan oleh setiap kumpulan. Perkongsian ilmu ini bukan sahaja memberi manfaat
dari segi menambahkan ilmu pengetahuan, tetapi juga banyak memberi pengalaman
kepada saya dalam membentangkan hasil perbincangan dan kebolehan untuk bercakap
dihadapan audiens yang ramai. Pengalaman berharga seperti itu pasti sukar dicari dan

kesempatan

yang

diberikan

ketika

menyertai

seminar

BIG

ini

amat

dihargai.

Akhir sekali, secara kesimpulannya seminar BIG yang telah saya ikuti itu begitu banyak
menyedarkan dan mengajar saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti kelak.
Segala yang baik pasti akan dijadikan tauladan dan yang buruk akan dijadikan sempadan.
Semoga refleksi ini dapat menggambarkan segala yang telah saya pelajari dari Seminar
BIG ini.

Sekian, terima kasih.

You might also like