You are on page 1of 7

BAGAIMANA MENCARI KETENANGAN JIWA

Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada
antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancung, makan
angin, bersukan, merekaseni melukis dan sebagainya.
Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara
bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan
alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti
membaca Al-Quran, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.
Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan
mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih
parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat
membuat pertimbangan.
Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak
supaya ia jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka
ria, dengan lagu-lagu, musik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya
hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah.
Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.
Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti
bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain,
makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan
pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa
Taala yang tafsirnya :
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia
dan hiburan yang melalaikan. (Surah Al-Anam: 32)
FirmanNya lagi yang maksudnya :
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan
rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteriisteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra
dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih
sayang dan belas kasihan. (Surah Al-Ruum: 21)
Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati
Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu
diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Taala. Hal
ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu wa Taala dalam Al-Quran yang
tafsirnya :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepadaKu (Surah Al-Zariat: 56)

Sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti
dalam mencari hiburan. Al-Quran ada megingatkan kita bahawa orang yang
mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang
menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang
menghinakan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala yang tafsirnya :
Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan
hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan;
yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah
dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang
menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang
akan beroleh azab yang menghinakan. (Surah Luqman: 6)
Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara
paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu
wa Taala yang tafsirnya :
(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara
ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orangorang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya
dan kelazatannya). (Surah Al-Araf: 51)
Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak sematamata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang
digambarkan oleh Al-Quran yang tafsirnya :
Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain
dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula
sesudah kita mati. (Surah Al-Anam: 29)
Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan
mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara
maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak.
Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan
sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar
dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang
bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk
menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu
kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan
khayalan semata.
Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang.
Sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas dari itu. Hiburan bermaksud
mencari ketenangan jiwa, dari itu hanya hiburan sejati yang mampu mencapai
maksud tersebut.

HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM


Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang
tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan
asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa taala dalam Al-Quran yang
tafsirnya :
Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir
kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah
hati manusia. (Surah Al-Raad: 28)
Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung
dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkaraperkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain
seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala
ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Taala.
Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan
perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih,
tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa
ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.
Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan
oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya
tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur.
Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman
Allah Subhanahu wa Taala yang tafsirnya :
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Ugama Islam yang kami
telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh
kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik
celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat. (Surah Al-Baqarah: 138)
Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah
Subhanahu wa Taala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat
pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan
berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan
alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orangorang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada
menyalahi hukum dan undang-undang Allah Taala. Firman Allah Subhanahu
wa Taala tafsirnya :
Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala
yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang

menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu


bertaqwa. (Surah Yunus: 6)
Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan. (Hadis riwayat Muslim )
Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh
menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia
mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Quran, selawat yang memuji Nabi, lagu
yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa
kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman
Allah Subhanahu wa Taala yang tafsirnya:
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran
yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang
benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan
berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit
badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram;
kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati
mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. (Surah Al-Zumar: 23)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah
mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati
mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan
mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
(Surah Al-Anfaal: 2)
Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :
Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati
mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa
mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang
yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.
(Surah Al-Hajj: 35)
Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi
ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu
kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati
orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana
mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan
kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Taala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa dengan sembahyang, hati
orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya
:
"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan
penenang hatiku adalah sembahyang. (Hadis riwayat Al-Nasaei)
Dari apa yang telah dibicarakan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam tidak
melarang umatnya untuk berhibur asalkan tidak menjejaskan kewajipan dan
jauh dari segala perkara maksiat dan mungkar. Hiburan yang dilarang oleh
agama Islam itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan atau merugikan,
apa lagi hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam. Nyanyian,
karaoke, tari menari, lebih-lebih lagi tari menari yang yang bercampur lelaki
dan perempuan, konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama amal tidak
akan menghalang hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan dengan
syarak atau konsert nyanyian yang ada sekarang lebih banyak menjurus kepada
tidak diredhai oleh Allah. Tujuan amal adalah kata-kata berselindung, seperti
berselindung racun di sebalik makanan yang enak, akhirnya akan membunuh
orang yang memakannya. Hal sedemikian telah digambarkan oleh Al-Quran
yang tafsirnya:
Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal
buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik,
(bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang
ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya?)
Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia
juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. (Surah
Faatir: 8)
Apabila di dalamnya bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat maka
sesuatu yang haram itu tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi
dengan tujuan yang baik atau kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh
juga menjelaskan yang maksudnya:
Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa di telan bumi, berubah rupa bentuk
dan dilempar dengan batu, Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin
bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah terjadi peristiwa itu? Baginda bersabda
menjawab: Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat
muzik yang ditiup dan berbagai jenis minuman arak. (Hadis riwayat AlTirmizi)
Ibnu Hajar dalam kitabnya Al-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang
yang duduk bersama-sama orang minum arak, orang fasik dan duduk dengan
ahli hiburan yang haram (seperti majlis tari menari walaupun dengan isteri

sendiri), sedangkan dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau


berkuasa meninggalkan majlis itu adalah suatu dosa besar.
Menurut Imam Al-Qurtubi pula, sentiasa mendengar nyanyian juga boleh
menyebabkan sifat bodoh dan tertolak persaksiannya (syahadah), dan yang
lebih ditakuti lagi ialah menyebabkan nifaq, sebagaimana sabda Rasulullah
Shallallahu alaihi wasallam yang maksudnya: Nyanyian itu menumbuhkan
sifat nifaq (munafiq) dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayuran.
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Dari itu ingatlah bahawa kehidupan dunia itu hanyalah sementara dan sebagai
jalan untuk menuju kebahagiaan di akhirat. Kita perlu sentiasa waspada dan
ingat bahawa Allah Subhanahu wa Taala menyediakan azab bagi orang-orang
yang mengutamakan kehidupan dunia semata-mata tanpa menghiraukan
larangan-larangan Allah dan RasulNya bahkan lalai dan leka oleh perkaraperkara mungkar dan maksiat. Ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala
dalam firmanNya yang tafsirnya:
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah
(bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang
melalaikan) serta perhiasan, juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermmegah di
antara kamu (dengankelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta
berlumba-lumba membanyakkan hartabenda dan anak pinak; (semuanya itu
terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang
menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada
kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang
tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi
hancur berkecai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab
yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan
dunia), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan
bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa)
kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya. (Surah Al-Hadid: 20)
Allah Subhanahu wa Taala juga mengkhabarkan, apabila umat Islam tidak
berpandukan syarak dalam menjalankan segala urusan dunia dan akhiratnya,
kadang-kadang timbul sangkaan baik mereka terhadap sesuatu amalnya, pada
hal adalah sebaliknya. Jika ada suatu amalan itu mengandungi perkara-perkara
yang tidak selaras dengan syarak, maka rosak binasalah segala amal usahanya
yang mereka sangka baik itu, dan tidak akan mendapat sebarang harga pada
hari kiamat kelak, bahkan mereka akan menerima kehinaan dan azab seksa
yang seburuk-buruknya. Hal ini telah diceritakan oleh Allah Subhanahu wa
Taala yang tafsirnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah kami khabarkan kepada kamu


akan orang-orang yang rugi serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang
yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka
menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang
mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat
Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal
mereka; maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk
menilai amal mereka pada hari kiamat nanti. (Mereka yang bersifat) demikian,
balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka pula kufur ingkar, dan
mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejekan.
(Surah Al-Kahfi: 103-105)

You might also like