You are on page 1of 19

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA

(Bilangan 135 Bahagian Pertama)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Setiap anak damit dilahirkan dalam keadaan suci bersih, jauh daripada sebarang
pencemaran akidah. Ibu bapa adalah orang pertama yang menunjukkan hala
tuju anak tersebut, ke jalan yang mulia atau sebaliknya. Sabda Rasulullah
Shallallahu alaihi wasallam yang maksudnya : "Setiap kelahiran (daripada
bani Adam) dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu
bapanyalah (yang menjadikannya) Yahudi, Nashrani atau Majusi."
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka untuk
mengenalkan Allah, mengajar serta membimbing mereka tentang suruhan dan
laranganNya. Hal ini hendaklah diserapkan ke dalam jiwa dan minda mereka
sejak dari kecil lagi, bahkan Islam telah menganjurkan kita supaya menyerukan
azan dan iqamah di telinga anak damit itu sejak dari lahir lagi. Azan dan
iqamah dilakukan supaya kalimah tauhid dan kalimah yang mengakui
keagungan Allah Subhanahu wa Taala dan keesaanNya adalah perkataan yang
mula-mula didengar oleh anak itu dan akan meresap ke hatinya yang suci
bersih serta meninggalkan kesan yang amat bererti buat dirinya.
Selain dari itu, menyerukan azan dan iqamah juga adalah sebagai usaha untuk
memohon perlindungan daripada gangguan syaitan, di mana dengan seruan
azan dan iqamah ini syaitan akan lari dari anak tersebut. (Bujairimi ala alKhatib: 4/436-437) Sabda Rasulullah shallallahu alaihi wasallam yang
maksdunya : "Sesiapa yang dikurniakan anak yang baru lahir, maka hendaklah

diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya tidak akan
menyakitinya Umm ash-Shibyan (pengikut jin atau penunggu atau suatu
penyakit yang terkena pada kanak-kanak pada masa kecilnya)."
(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunni)
Demikian juga Islam menganjurkan supaya melakukan aqiqah bagi anak damit
tersebut. Ini bertujuan untuk mezahirkan perasaan syukur ibu bapa kepada
Allah Subhanahu wa Taala di atas anugerah cahaya mata atau zuriat
keturunannya.
Di samping itu daging aqiqah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu
diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan
baik. (Al-Majmu: 8/322)
Pengertian Aqiqah Menurut Syara
Aqiqah dalam pengertian syara ialah binatang ternakan yang berkaki empat
(binatang anam) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak
yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.
Hukum Aqiqah
Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat
digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad shallallahu
alaihi wasallam ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hasan dan
Husain alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana
hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam, lalu
Baginda bersabda yang maksudnya :
"Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut
nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: "Barang siapa yang dikurniakan
baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah
untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak
perempuan seekor kambing."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk
anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika
aqiqah itu dinazarkan baharulah ianya dipanggil aqiqah wajib.

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam yang
maksudnya :
"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah)
untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur
rambutnya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis "anak tergadai
dengan aqiqahnya" di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak
diaqiqahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak
seperti anak-anak lain yang diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa
maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu
bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan. Pendapat kedua ini
adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini adalah pendapat
yang terbaik. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)
Orang Yang Dituntut Melakukan Aqiqah
Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu
ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau
ibunya sekalipun mereka itu orang fakir atau papa.
Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi
nafkah kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib
memberi nafkah (bapa atau ibu). Sebagaimana Nabi pernah mengaqiqah
cucunda Baginda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain sama ada dengan
sebab izin daripada Sayyidina Ali menantu Baginda ataupun ketika itu
Sayyidina Ali dan isterinya tidak berkemampuan lalu tertanggunglah nafkah
tersebut ke atas Baginda Rasulullah.
Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil daripada harta bapa atau ibu itu
sendiri dan tidak boleh diambil daripada harta anak yang hendak diaqiqahkan
itu. Ini kerana perbuatan aqiqah itu adalah merupakan tabarru (sedekah).
Jika diambil perbelanjaan itu daripada harta anak tersebut, maka aqiqah yang
dibuat itu tidak sah dan ibu atau bapa tersebut wajib menggantinya. (AlMajmu: 8/324 dan Mughni al-Muhtaj: 4/369)
Kemampuan Dalam Melakukan Aqiqah

Ibu bapa yang berkemampuan, adalah dituntut (sunat) melakukan aqiqah untuk
anak mereka itu sehingga anak itu baligh. Jika anak tersebut sudah mencapai
umur baligh tetapi ibu bapanya tidak melakukan aqiqah untuknya, maka sunat
ke atas anak itu melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri dan gugurlah tuntutan
sunat ke atas ibu bapa itu melakukan aqiqah anaknya yang sudah baligh itu.
Adapun yang dimaksudkan dengan kemampuan yang merupakan syarat untuk
melakukan aqiqah itu ialah orang yang hendak melakukan aqiqah itu
mempunyai wang belanja yang lebih untuk dirinya dan orang-orang yang di
bawah tanggungannya sebelum berlalu jangka masa terpanjang bagi perempuan
bernifas iaitu enam puluh hari.
Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas berlalu masa tersebut (sebelum itu
dia tidak mampu, kemudian selepas enam puluh hari baharulah dia mampu),
maka tidak disunatkan ke atasnya melakukan aqiqah.
As-Syeikh Muhammad al-Khathib as-Syarbini di dalam kitabnya Mughni alMuhtaj mengatakan bahawa jika wali anak tersebut tidak mampu untuk
melakukan aqiqah sebaik saja anak itu dilahirkan, kemudian dia mampu
sebelum umur anak itu genap tujuh hari, maka sunat ke atas wali itu melakukan
aqiqah untuk anaknya itu.
Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas hari ketujuh daripada hari
kelahiran anaknya dan dalam masa isterinya sudah melalui semaksima hari
nifas (enam puluh hari), maka kebanyakkan ulama mutaakhirin berpendapat
tidak disunatkan ke atasnya aqiqah.
Adapun jika kemampuannya itu wujud selepas hari ketujuh daripada hari
kelahiran anaknya dan isterinya masih dalam nifas, maka dalam hal ini para
ulama berbeza pendapat. Menurut pendapat Yusuf al-Ardabili di dalam
kitabnya al-Anwar li Amali al-Abrar, beliau mentarjihkan (lebih cenderung
kepada) pendapat yang mengatakan sunat ke atasnya aqiqah.
Dalam erti kata lain, jika wali itu tidak mampu sehingga habis masa nifas
isterinya, maka gugurlah daripadanya hukum sunat melakukan aqiqah.
(Mughni al-Muhtaj: 4/369-370)
Aqiqah Anak Zina
Menurut Ibnu Hajar adalah sunat ibu tersebut melakukan aqiqah bagi anak zina
itu, akan tetapi aqiqah itu hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi

(tidak dizahirkan) agar tidak menimbulkan keaiban. (Hawasyi Tuhfah alMuhtaj: 9/371)
Waktu Aqiqah
Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan
sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila
anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika
itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah
untuk dirinya sendiri.
Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang
afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya.
Sebagaimana dalam hadis daripada Aisyah Radhiallahu anha katanya
maksudnya : "Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan
dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda
menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala
(mencukur rambut kepala)."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu
dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira
satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia
dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu
bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).
Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit
matahari.
Jika tidak sempat melakukan aqiqah pada hari ketujuh, maka digalakkan juga
melakukan aqiqah itu pada hari keempat belas daripada hari kelahiran. Jika
tidak sempat melakukannya juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu.
Begitulah dengan seterusnya boleh dilakukan setiap kali berlalunya tujuh hari
yang berikut, seperti pada hari kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan
seterusnya. (Al-Majmu: 8/323-324)
Di dalam kitab Kifayah al-Akhyar ada menyebutkan bahawa masa untuk
menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi
tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan
aqiqah setelah kering darah nifas, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi
janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua

tahun daripada hari kelahiran). Jika tidak dilakukannya juga, maka bolehlah
dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh
tahun. Jika tidak dilakukannya juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun,
bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur baligh.
Jika anak itu mencapai umur baligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada
anak tersebut untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri. (Kifayah alAkhyar: 534)
Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran
Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan
selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah
memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat
aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan
sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya
hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. (Al-Majmu: 8/323)
Adapun menurut Ibnu Hajar, tidak disunatkan aqiqah itu bagi anak keguguran
melainkan jika ditiupkan padanya roh. Jika anak keguguran itu tidak ditiupkan
padanya roh, maka tidaklah dibangkitkan dan tidak memberi manfaat anak itu
di akhirat kelak. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258)
Manakala anak damit yang mati sebelum atau selepas hari ketujuh daripada
kelahirannya dan dia berkemampuan untuk menyembelih binatang, maka sunat
diaqiqahkan anak tersebut. (Ianah ath-Thalibin: 2/526 dan al-Majmu:
8/323)
Binatang Aqiqah Serta Syarat-Syaratnya
Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah itu sama seperti binatang-binatang
yang sah dibuat korban. Untuk lebih jelas lagi disebutkan syarat-syarat
binatang yang sah untuk dibuat aqiqah itu ialah:
Binatang aqiqah itu hendaklah binatang ternakan (naam) seperti
unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti
kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan
kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
Tafsirnya: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan
ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah
sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka
daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu".

(Surah al-Hajj: 34)


Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh
orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain
walaupun tidak semuanya bermaksud aqiqah, misalnya ada di
antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan
dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam
sebuah hadis:
Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam (dari Madinah) mengucapkan tahlil
(Lailahaillallah), dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka
Baginda Shallallahu alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi
pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi
seekor badanah".
(Hadis riwayat Muslim)
Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh
dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua
orang atau lebih, maka tidak sah aqiqah tersebut.
Afdhalnya binatang yang dibuat aqiqah itu yang berwarna putih,
kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi
yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya
berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam,
kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna
merah semuanya.
Binatang aqiqah itu hendaklah cukup umur, sebagaimana
disyaratkan di dalam korban. Sabda Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam:
Maksudnya: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan
yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya,
maka sembelihlah anak daripada biri-biri."
(Hadis riwayat Muslim)
Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi
hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan
kambing. Maka ukuran umur bagi binatang aqiqah itu ialah:

a.Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah


sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.
b.Lembu dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah
yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun
ketiga.
c. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang
berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya
walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat
telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu 8/286287 dan Ianah ath-Thalibin 2/518)
3. Binatang aqiqah itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan
selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan
daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan.
Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada
binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: "Buta yang nyata
butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata
tempangnya dan yang kurus dan lemah."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak
sah dijadikan aqiqah itu ialah:
i. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang
tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih
ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti
sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia
sah dibuat aqiqah.
ii. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana
jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawankawan binatang yang lain di padang untuk mencari
makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan
binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di
belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang
yang tidak menghalang daripada mengikuti kawankawannya, maka ia sah dibuat aqiqah.

iii.Binatang yang nyata sakitnya sehingga


menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang
dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak
mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat aqiqah.
iv.Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila
atau kurang makan dan sebagainya.
v. Binatang yang telinganya terpotong walaupun
sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan
kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh
dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak
mengapa jika telinganya koyak atau berlubang
dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya,
walaupun sedikit.
vi.Binatang yang terpotong ekornya walaupun
sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang
terpotong suatu yang nyata daripada pahanya.
Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak
dilahirkannya adalah sah dibuat aqiqah.
vii. Binatang yang gugur semua giginya sehingga
menghalangnya makan rumput. Adapun yang
tanggal sebahagian giginya dan tidak
menghalangnya makan rumput dan tidak
mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh
dibuat aqiqah.
viii.Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena
penyakit kurap sekalipun sedikit.
ix.Binatang yang bunting kerana bunting itu
mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu 8/293-2966
dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Bagi binatang yang
baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan
pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli
dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib
Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut
tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul
Muhtadin 2/213)

Daging Aqiqah
Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah,
bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis
walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258 dan
Mughni al-Muhtaj: 4/370) Ini Kerana Rasulullah Shallallahu alaihi
wasallam suka pada yang manis, sebagaimana dalam hadis daripada Aisyah
Radhiallahu anha katanya:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam suka yang manis dan
madu."
(Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan ad-Darimi)
Tujuannya ialah untuk bertafaul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan
perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.
Adapun jika dimasak dengan tidak ada rasa manis seperti dimasak dengan rasa
yang masam, maka tidaklah ianya menjadi makruh kerana tidak ada larangan
mengenainya.
Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin,
sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput
mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdhal
adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.
Adapun pangkal paha kambing di sebelah kanan sunat disedekahkan dalam
keadaan mentah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut.
(Bughyah al-Mustarsyidin: 258) Ini kerana Rasulullah Shallallahu alaihi
wasallam menyuruh puteri Baginda Sayyidatina Fatimah Radhiallahu anha
melakukan yang demikian itu dengan sabda Baginda:
Maksudnya: "Timbanglah rambut Husain dan sedekahkan perak dengan
seberat timbangan rambutnya itu dan berikan kepada bidan kaki aqiqah."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil
daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan
aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.

Demikian juga, daging aqiqah itu sunat dihadiahkan kepada orang kaya, dan
dia memiliki apa yang dihadiahkan kepadanya itu. (Mughni al-Muhtaj: 4/370)
Dengan maksud memiliki itu adalah orang kaya tersebut boleh memakan atau
menjualnya. Akan tetapi daging aqiqah itu haram diberi atau dijual kepada
orang kafir.
Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut
sama keadaannya dengan korban.
Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang
binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu
mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada Aisyah
Radhiallahu anha katanya:
Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama
keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggotaanggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Ini bertujuan untuk bertafaul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu
nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya
tulang-tulang binatang aqiqah itu.
Adapun jika dipecah-pecahkan tulang aqiqah itu, maka tidaklah ianya menjadi
makruh akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama (khilaf al-awla). (AlMajmu: 8/322)
Aqiqah Nazar
Apa yang dimaksudkan dengan aqiqah nazar itu sama keadaannya dengan
korban nazar. Iaitu binatang sembelihan bagi aqiqah itu menjadi wajib apabila
ia dinadzarkan, sama ada nadzar itu nadzar yang sebenar (nadzar hakikat)
ataupun nadzar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah
Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Sesiapa yang bernadzar untuk mentaati Allah, maka hendaklah
dia mentaatiNya".
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nadzar yang sebenar itu adalah dengan
menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan nadzar. Sebagai contoh
orang yang beraqiqah itu berkata: "Demi Allah wajib ke atasku menyembelih
kambing ini sebagai aqiqah", ataupun dia berkata: "Aku bernadzar untuk
menyembelih kambing sebagai aqiqah anakku."
Adapun bernadzar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: "Aku
jadikan seekor kambing yang aku pegang ini untuk aqiqah anakku", ataupun
dia berkata: "Ini adalah aqiqah anakku", maka dianggap sama seperti bernadzar
yang sebenar kerana dia telah menentukan (tayin) binatang tersebut. (Ianah
ath-Thalibin: 2/526)

Oleh itu, menurut Ibnu Hajar bahawa aqiqah wajib yang disebabkan oleh nazar
atau tayin itu wajib disedekahkan kesemuanya dengan mentah. (Hawasyi
Tuhfah al-Muhtaj: 9/372) Sementara menurut Khatib Syarbini dan ar-Ramli
bahawa tidak wajib disedekahkan kesemuanya dalam keadaan mentah bahkan
sunat dimasak. (Nihayah al-Muhtaj: 8/146-147 dan Mughni alMuhtaj:4/370)
BILANGAN BINATANG YANG HENDAK DISEMBELIH
Jika anak yang dilahirkan itu lelaki, maka yang afdhalnya
disunatkan menyembelih dua ekor kambing yang sama keadaan
keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan, memadai
dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada
Ummi Kurz al-Kabiyyah katanya:
Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu
alaihi wasallam bersabda tentang anak lelaki dua ekor kambing
yang sama keadaannya dan anak perempuan seekor kambing."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Antara sebab aqiqah untuk anak lelaki itu sebanyak dua ekor
kambing adalah kerana menunjukkan tanda syukur dan
kegembiraan atas kelahiran anak tersebut dan kegembiraan atas
kelahiran anak lelaki itu lebih tinggi, maka oleh itu sembelihannya
lebih banyak. (Al-Majmu: 8/318)
Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan
menyembelih tujuh ekor kambing, kemudian seekor unta,
kemudian dengan seekor lembu atau kerbau, kemudian dengan

seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian


dengan satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh
lembu atau kerbau. (Al-Majmu:8/290 dan 321)
Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak,
adalah lebih afdhal lagi dan dituntut supaya dia melakukan aqiqah
bagi seorang anak dengan tujuh ekor kambing atau dengan seekor
unta atau lembu.
MEMADAI DENGAN SEEKOR KAMBING
Jika seseorang itu tidak berkemampuan untuk melakukan aqiqah
bagi anak lelakinya dengan dua ekor kambing, maka memadailah
dengan seekor kambing atau satu pertujuh daripada seekor unta,
kerbau atau lembu. Ini kerana Nabi Shallallahu alaihi wasallam
sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda dengan
menyembelih seekor kambing. Sebagaimana hadis daripada Ali
bin Abi Thalib katanya:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam
mengaqiqahkan Hasan dengan seekor kambing."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
SEEKOR KAMBING UNTUK DUA ORANG ANAK
Jika seseorang itu mempunyai dua orang anak, lalu dibuatkan
aqiqah untuk mereka dengan berkongsi seekor kambing adalah
tidak sah aqiqah tersebut. Ini kerana seekor kambing itu hanya
memadai dengan seorang sahaja melainkan unta atau lembu,
kerana ianya boleh dikongsikan sehingga tujuh bahagian. Sebagai
contoh, seekor unta atau lembu disembelih untuk dikongsikan
bagi tujuh orang kanak-kanak.
Seekor unta atau lembu itu juga, dagingnya boleh dikongsikan
sama ada kesemua daging itu khusus untuk aqiqah atau pada
sebahagiannya untuk daging biasa sahaja ataupun untuk daging
korban, asalkan pembahagiannya itu bertepatan iaitu setiap seekor
unta atau lembu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.

BILANGAN BINATANG BAGI ANAK YANG KHUNTSA


Bagi anak khuntsa (anak yang tidak diketahui jantinanya sama ada
lelaki ataupun perempuan), para ulama berbeza pendapat dalam
menentukan bilangan binatang aqiqah yang hendak disembelih
untuknya.
Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsa sama seperti anak
perempuan iaitu memadai disembelih dengan seekor kambing
sahaja. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371) Manakala Imam arRamli mengatakan bahawa bagi anak yang khuntsa sunat
disembelih dua ekor kambing sama seperti anak lelaki atas jalan
berhati-hati (ihtiyathan). (Nihayath al-Muhtaj: 8/149)
CARA MENYEMBELIH BINATANG AQIQAH
Cara penyembelihan binatang aqiqah itu sama keadaannya dengan
penyembelihan binatang korban, demikian juga perkara-perkara
yang disunatkan serta adab-adabnya ketika penyembelihan itu
dijalankan.
Menyembelih binatang aqiqah itu ialah dengan memotong
kesemua halqum dan mari sehingga putus dengan alat yang tajam
seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum itu ialah tempat
keluar masuk nafas dan urat mari itu pula ialah tempat laluan
makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.
Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong
halqum dan mari itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada
halqum atau mari itu (belum putus) dan mati binatang tersebut
dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan
itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti
gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari
belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari yang
tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi
bangkai (tidak boleh dimakan).
Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah
ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak
disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah
itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan marinya, dan

menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai


dengan kuat geraknya ketika disembelih.
Ketika hendak menyembelih binatang aqiqah, sunat dibaca seperti
berikut:

Ertinya: "Dengan nama Allah Maha Besar (kerajaanNya). Ya


Allah, mohon kurniakan selawat, rahmat dan kebesaran kepada
Sayyidina Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.
Ya Allah, ini aqiqah si Polan."
Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di
pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong
halqum dan mari, kerana mengikut sunnah Rasulullah
Shallallahu alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan
memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang
pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di
hujung leher (yang atas).
Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan
dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan
diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat
supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki
kanannya itu. Sementara unta pula, sunat disembelih dengan
didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam
keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan
unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)
PERKARA SUNAT SELAIN AQIQAH PADA HARI KETUJUH
Selain daripada aqiqah yang disunatkan pada hari ketujuh itu ialah sunat
dicukur keseluruhan rambut anak yang diaqiqahkan sama ada anak itu lelaki
ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut
anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu: 8/324-325)
Sehubungan dengan itu, meskipun amalan bercukur itu adalah sunat, namun
terdapat bentuk-bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu

alaihi wasallam iaitu apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza (
). Qaza ialah mencukur sebahagian rambut kanak-kanak dan
meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan
meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau
mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya.
Semua ini dinamakan qaza.
Sementara mencukur keseluruhan rambut tidak disunatkan kecuali bagi orangorang yang mengerjakan haji atau umrah atau orang yang baru masuk Islam
atau anak yang dilahirkan. Manakala perempuan makruh mencukur rambut
kecuali dalam keadaan darurat. (Bujairimi ala al-Khatib: 4/437-438)
Larangan melakukan qaza ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis
daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu anhuma katanya yang
maksudnya :
"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menegah daripada
melakukan qaza (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu anhuma
yang maksudnya :
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu alaihi wasallam telah melihat seorang
kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan
sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan
Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu
tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sunat disedekahkan emas atau perak hasil daripada timbangan berat rambut
yang dicukur itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Jika tidak mampu,
maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak tersebut melainkan sekadar
yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya
mengikut kemampuan.
Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu alaihi wasallam daripada
Ali bin Abu Thalib katanya yang maksudnya:

"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan


seekor kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya
(rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan
perak." (Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu),
maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sunat dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan wangi-wangian seperti zafaran
(kuma kuma) atau khaluf (daripada wangi-wangian yang berwarna kuning dan
merah. Makruh dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan darah binatang aqiqah.
(Al-Majmu: 8/324) Sebagaimana di dalam hadis yang diceritakan oleh
Abdullah bin Buraidah katanya yang maksudnya :
"Aku pernah mendengar Abu Buraidah berkata: "Kami pada zaman jahiliyyah,
apabila salah seorang daripada kami dikurniakan seorang anak lelaki,
disembelih seekor kambing dan dilumuri kepalanya (anak itu) dengan
darahnya (kambing). Ketika Allah mendatangkan Islam, kami menyembelih
seekor kambing dan mencukur rambutnya (anak itu) serta melumurinya
(kepala anak itu) dengan zafaran (sejenis wangi-wangian)."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sunat memberi nama anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada
kelahiran. Sebagaimana di dalam hadis daripada Amr bin Syuaib daripada
bapanya daripada datuknya yang maksudnya :
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu alaihi wasallam memerintahkan agar
memberi nama kepada anak yang baru lahir pada hari ketujuh daripada hari
kelahirannya, menghilangkan kotoran daripadanya (mencukur rambut) dan
membuat aqiqah untuknya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Bolehlah juga diberi nama anak tersebut pada saat hari dia dilahirkan.
Sebagaimana di dalam hadis daripada Anas Radhiallahu anhu katanya yang
maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah bersabda: "Anakku lahir pada
malam tadi, maka aku beri nama dengan nama datukku iaitu Ibrahim."
(Hadis riwayat Muslim dan selainnya)

Bolehlah juga diberi nama anak tersebut sebelum hari ketujuh atau pun
selepasnya. (Al-Majmu: 8/326)
Jika anak yang meninggal kerana keguguran dan sudah ditiupkan roh ke
dalamnya, maka sunat diberikan dia nama. Apabila tidak dikenali apakah dia
lelaki atau perempuan, maka diberi nama yang sesuai untuk lelaki atau
perempuan seperti Talhah, Umairah dan sebagainya. Demikian juga sunat
diberi nama anak yang belum sempat diberikan nama sebelum dia meninggal
dunia.
Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi aqiqah itu. Kerana ianya termasuk
dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas
melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah,
orang yang balik daripada musafir, kenduri kerana hafaz dan khatam al-Quran
dan berkhatan. (Raudhah ath-Thalibin: 5/646)
Sunat mengkhatan anak damit itu pada hari ketujuh daripada kelahirannya jika
anak itu tidak lemah ataupun ianya terdaya untuk berkhatan. (Al-Majmu:
1/367) Sebagaimana di dalam hadis Jabir katanya yang maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah mengaqiqahkan Hasan dan
Husain dan mengkhatankan keduanya pada hari ketujuh."
(Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi)

PERBEZAAN ANTARA AQIQAH DAN KORBAN


Kebanyakkan daripada hukum aqiqah dan korban itu mempunyai persamaan,
sama ada dalam hukum sedekah, hadiah, makan, menyimpan daging dan
menentukan kadar daging yang dimakan adalah sama dan tiada perbezaan di
dalamnya.
Walaupun yang demikian itu, ada sedikit perbezaan hukum antara aqiqah dan
korban tersebut. Seperti daging aqiqah itu hendaklah dimasak terlebih dahulu,
sedangkan korban diberikan dalam keadaan mentah. Daging aqiqah jika
diberikan kepada orang kaya nescaya akan menjadi miliknya, manakala daging
korban jika diberikan kepada orang kaya tiadalah orang kaya itu memilikinya,
hanya untuk dimakannya sahaja.

Demikian juga, ada perbezaan dari segi waktu. Amalan berkorban itu dituntut
waktunya pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq iaitu hari ke sebelas, dua
belas dan tiga belas daripada bulan Zul Hijjah. Sementara aqiqah pula tidak
terikat dengan waktu.

You might also like