You are on page 1of 2

DASAR MBMMBI

Langkah pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa


Inggeris (MBMMBI) dilihat jalan tengah terbaik yang diambil Kementerian Pelajaran bagi
menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI).
Ada beberapa kepentingan utama dasar MBMMBI yang harus mendapat perhatian dan
dokongan semua pihak. Pertama, dasar ini akan memberi ruang yang meluas kepada
Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu dalam bidang-bidang penting dan
strategik. Kedua, ia memberi perakuan iaitu sekiranya cita-cita kita untuk melahirkan
generasi yang berdaya saing menerusi penguasaan bahasa Inggeris, maka usaha
harus ditumpukan kepada pembangunan di dalam pengajaran dan pembelajaran subjek
bahasa tersebut secara khusus dan bukannya menerusi subjek-subjek lain seperti
Matematik dan Sains.
Atas kepentingan ini, kita merasakan debat tentang kewajaran penggunaan dasar
PPSMI tidak harus diteruskan lagi. Ini bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk
mula merancang dan fokus bagi menjayakan dasar MBMMBI secara lebih tersusun dan
memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Dalam penerangan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran, nampaknya pelbagai
langkah telah dirancang bagi menjayakan pelaksanaan dasar MBMMBI ini. Antara
langkahnya meliputi penambahan jumlah jam pengajaran di dalam subjek bahasa
Inggeris, penambahbaikan kurikulum pengajaran, pengambilan guru dari luar negara
serta perluasan penggunaan ICT dalam pembelajaran. Kesemua langkah sudah tentu
digubah hasil dari maklumbalas menyeluruh semua pihak terutama pakar-pakar
pendidikan.
Bagi mereka yang masih prejudis terhadap perubahan dasar ini akan menyalahkannya
kepada bantahan terhadap dasar PPSMI yang banyak digerakkan oleh para pejuang
bahasa kebangsaan. Ada setengah pendapat menanggap para pejuang bahasa
kebangsaan ini terlalu fanatik sehingga sanggup mengorbankan masa depan generasi
akan datang. Tanggapan ini tentulah salah sama sekali.
Sepanjang pengentahuan kita tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di
negara ini, tidak pernah wujud sebarang bentuk penyataan yang dibuat oleh para
pejuang bahasa ini memperlekeh dan merendah-rendahkan bahasa Inggeris atau
bahasa asing yang lain. Malah, mereka adalah antara para pejuang bahasa
kebangsaan ini juga merupakan pendokong kepada usaha melahirkan generasi pelajar
atau rakyat yang dapat menguasai pelbagai bahasa (multilingual). Malah, kebanyakan
para pejuang bahasa Melayu ini sendiri menguasai lebih dari satu bahasa asing. Oleh

kerana itu, tidak timbul soal sikap fanatik bahasa sehingga pula membawa perbuatan
menafikan peranan bahasa asing.
Tentang peranan penting bahasa Inggeris, boleh dikatakan hampir seluruh rakyat di
negara memperakui kepentingan generasi muda hari dan akan datang menguasainya
dengan fasih. Bagi masyarakat Melayu-Islam, tuntutan menguasai bahasa asing ialah
sebahagian dari tradisi keagamaan mereka. Malah sikap yang positif terhadap
penguasaan bahasa asing ini ditunjukkan oleh para sarjana Muslim sejak era awal
perkembangan agama dan peradabannya apabila banyak ilmu-ilmu baru dibangunkan
menerusi kerancakan kegiatan penterjemahan dari tamadun luar. Realiti ini
menunjukkan iaitu tidak ada sebarang halangan dari segi agama dan psikologi untuk
masyarakat Melayu-Islam di negara ini untuk mendokong sebarang usaha ke arah
penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa asing lain di dunia ini.
Untuk itulah kita mendapati dasar MBMMBI ini amat sesuai dan merupakan jalan
tengah terbaik kerana ini memenuhi tuntutan asas masyarakat Malaysia secara
keseluruhan kerana ia bersifat mengekalkan asas jatiri kebangsaan menerusi
peneguhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan dalam masa yang sama
mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris bagi mendepani realiti persaingan dunia
masa kini.
Bagi memastikan dasar MBMMBI ini berkesan, usaha penjayaannya harus melibatkan
sokongan semua pihak. Di samping kepentingan pembangunan kurikulum dan latihan
guru, ibubapa dan masyarakat boleh memainkan peranan mereka secara serentak.
Kita berpendapat adalah wajar satu gerakan bagi pembudayaan dasar MBMMBI ini
dikembangkan di segenap peringkat masyarakat. Dalam kata lain, dasar ini harus diolah
sehingga ia dilihat dan dirasakan sebagai salah satu dari aspek penting dalam
perjuangan agama dan bangsa. Penguasaan kedua bahasa ini dihayati sebagai asas
penting yang akan memastikan ketahanan masa depan negara dan masa depan
tamadun kita. Sekiranya kesedaran dan pembudayaan ini melata, tentu akan wujud
nanti inisiatif di pelbagai institusi kerakyatan bagi menjayakannya di pelbagai kegiatan
kemasyarakatan.
Usaha ini merupakan satu cabaran besar. Namun, kita tiada pilihan lagi. Kita ingin
mengesyorkan Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan
bahasa dan seluruh institusi dan pergerakan sivil bagi merancang satu gerakan
kesedaran dan pembudayaan dasar ini. Ia boleh dirancang antaranya dengan
menyemarakkan kegiatan seperti penganjuran program pendidikan lanjutan di peringkat
dewasa, belia, remaja dan kanak-kanak bagi memberi peluang kepada mereka
mendalami bahasa Melayu dan Inggeris secara tidak formal dan berterusan.

You might also like