You are on page 1of 40

Contoh karangan

LATIHAN 1
Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk
mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai
sekiranya murid-murid berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan
dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri
mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya
menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah
yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah
menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan bak kata orang tua-tua sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
berguna. Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid, saya harus berusaha mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang sepatutnya
saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di
bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah
tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya.
Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh peratus kejayaan
pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses
pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat secara aktif ketika
proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik
darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan
dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut
atau yang saya ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh
guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga
akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang
fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa
kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajarpelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau
tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru
sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru
merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan
menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya
ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu
kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan
supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran
dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya
mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah
hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan
pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah

membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal
kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu
emas dan masa yang lalu tidak akan kembali maka mereka tidak dapat menghabiskan
semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan
memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan
membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan.
Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, practice makes perfect. Kalau
ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, praktis
asas kecemerlangan. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau
seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam
hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji
sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara tidak
langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan.
Saya juga akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah sehari selembar
benang, lama-lama menjadi kain dan sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan
belajar bersungguh-sungguh dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk
memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan terutamanya dalam mata
pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak latihan dan jika saya mengulang kaji
pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan
nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di
sekolah, bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya
juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak
kata pepatah malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Malahan, jika
saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka
bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika
terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan
menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah
diajar di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga
boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai
kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program-program yang telah
dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik
Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam programprogram yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan
dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam
program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah
bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus
asa. Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama
dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara
kerana saya berpegang pada prinsip, gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya.
Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa masalah atau cabaran yang saya hadapi.
Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam
hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu
tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat

penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba
beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar,
tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan
sayatidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa
saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, Tuhan hanya
akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa, Kenyataan ini pasti
benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh
pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki
ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang.
Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya
sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini
tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan
sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana
manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat keduadua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala
pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya
tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar
masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam
peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam
yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa
depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar
berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam
bara api biar sampai jadi arang.
LATIHAN 2
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke
kiri atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa
pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan
pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita
sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga
menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita.
Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik,
bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang
menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup
berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau
pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran Sepakat Membawa Berkat. Jadi,
kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat
kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau
bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat
kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan

masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif
wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat
majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini
tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti
gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu
bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotongroyong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang
aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbualbual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu
mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan
melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Sebagai
contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang
dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan
tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini,
setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan
peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan
melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa
haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam
masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau role model yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri.
Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama di
daki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk
mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu
bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka..
Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi
kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu
masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya dapat
meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan
berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh
diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit
tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua
keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka,
mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang
ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil
berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik,
sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis
rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anakanak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu
sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang
sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan

rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masingmasing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari
Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan
acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan
sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya
malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan
mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan
setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk
masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam
kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan
dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anakanak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran,
kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah
boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan
harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh
membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah
dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan.
Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang
sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan seperti enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita
mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Jadi, melalui
lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran
kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang.
Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa
mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri
anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap
diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa
anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang
disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan
hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang
teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan
sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat
seperti Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung,
Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan
Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat
tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini
seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam
peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandarmenyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa
berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan


dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan
mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal,
kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon
bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan
senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik,
maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita
berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata Jiran
Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan
kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang
ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan
semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap
masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa
terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang
maksudnya, Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki
dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya
kamu kenal-mengenali.
LATIHAN 3
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah
membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum
iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk
pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat
membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai
kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka.
Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia
sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat
dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara
hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok
Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan
kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh
pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat. Persoalannya,
apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama
dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ,
terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan
melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan
negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat
bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh
dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan
langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu
pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga.
Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti

persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anakanak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah
atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui
lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai
isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu
bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu,
ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku
komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti
semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku
tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik
dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada
anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah
sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa
boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan
sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara
kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul,
tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang
tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh
membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara,
atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati
agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat
patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan
generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwaperistiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan
generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh
membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah
perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain
ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek
moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di
negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka
sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anakanak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang
diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat,
anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa
teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu
timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari
peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anakanak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam

jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa
tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya
terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab
dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutansambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September
dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik
dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama
mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita
tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat
melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebabsebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan
dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa
banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti
sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk
melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara
tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni
yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak
menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat
patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis
Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh
seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat
jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan
personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan
bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

LATIHAN 4
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup
sihat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit
jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat
badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia
mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang
mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu,
untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi,
kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat.
Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang
melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan
ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak
mereka?

Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan
anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang
seimbang. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh
kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral,
lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta
bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah
kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya
biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak,
sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa
juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana
minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula
yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan
yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan
seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama
anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu
bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya
hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar
bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang
tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 20
minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik,
berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa
yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas
ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat
meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak
cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anakanak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan
kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk
membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan
sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu
mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit
menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik
daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka
dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika
ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka
berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang
dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor
dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara
berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan
kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang
penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan
rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan
kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan
asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup
makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan
yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan

aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur
sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila
mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu
bapa juga perlu mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran
mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar
daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan
gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama
ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di
taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan
persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agenagen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat
pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat
takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa
dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu.
Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati
lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau
menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan
menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga.
Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria
dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi
memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi
berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat
mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang
itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif
menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda
kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran
terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif
daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka
mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di
sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu
bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara
di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup
sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan
pesanan yang sering meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan
asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga
ataupun rakan-rakan. Hari ini kita siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa
sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat
demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan
bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu
amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung

kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan
kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi
orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan
pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat.
Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang
diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan
bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi
orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang
sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu
direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan
mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurangkurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada
masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari
persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak
bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka
dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa
adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa
perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa
dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anakanak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya
penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat
dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di
atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata
pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
LATIHAN 5
Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.
Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya
masyarakat kita?

Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam
kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus
terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu
berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan
menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat
menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak
jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan
bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan
ini menjadi budaya masyarakat kita?

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan
berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai
budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan
efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa
yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam. Ibu bapa merupakan orang yang
pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia
ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang
kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anakanak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anakanak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada
wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak
membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan
kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanakkanak sebelum kudis menjadi tokak.
Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak
bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu
anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu
bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan
menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan
mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini,
amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak.
Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah
muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun
keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini,
sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu
bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit
demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuknunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir.
Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling
senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana
dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa
berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan
perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orangorang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka tidak berkemampuan .Mereka inilah
yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal
ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi
memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.
Adat usang pusaka lama, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus
diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang
dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara
penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat
menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh
diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh
diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk

menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan
untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, semua orang memerlukan pujian. Dengan
hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang
baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu,
mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar
pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa
harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah
terang seperti murai berkicau hari siang.
Pada hakikatnya, ibu bapa berperanan untuk menunjukkan contoh teladan yang
baik kepada anak-anak. Ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung. Mereka
harus menabung wang bersama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anakanak bahawa pada setiap bulan, mereka menyimpan sejumlah kecil wang di bank atau pejabat
pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan dicontohi oleh anak-anak. Anakanak mudah terikut-ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak
langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus
mengamalkan tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan, macam mana anak-anak akan
rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan
tidak pandai menguruskan wang? Hal ini jelas
menunjukkan betapa
pentingnya imej yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga
mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika
berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum, Kawan merupakan
magnet sakti yang boleh mempengaruhi anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa
harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang
kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan
dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Oleh
itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak
bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu
menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk
perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh
anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang
kurang bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam
memastikan amalan menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan
Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi. Peribahasa Melayu pula menunjukkan ada padii
semua jadi, ada beras semua deras. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang
dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai
sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi
muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan
amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. Air bersih, ikannya
jernih
LATIHAN 6
Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan
seseorang.
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak,
seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak
mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai
tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa
sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan
melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu
bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anakanak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang
dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah
tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan
abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan
selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan
anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang
berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anakanak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia
agar anak-anak dapat menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti dapat
berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam
keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab
memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa
bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan
pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini
demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan
atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anakanak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk
membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul
dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga
akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal
ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan
mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa
perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum
habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap
kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan
pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam
pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan
agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak
kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.
Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk
kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang
buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami

peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil
didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh
kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan
agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk
anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa
perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu
bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke
kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk
memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga
perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu
bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai
buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah
ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam
diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai
kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga
mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak
sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk
mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah
sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini
penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu
bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak
pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu,
ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak
walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik
kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan
anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang
akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam
perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan
keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang
masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar
anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum
nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan
anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak
dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan
peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai
kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Latihan 7
Dewasa ini, masalah gejala sosial di negara kita semakin serius. Huraikan pendapat
anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dan tuliskan
cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam menangani gejala tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini. Dalam
surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala
sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan kekeliruan yang
timbul dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial, ekonomi dan politik
yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari
dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala
sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan
kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali
dalam bukunya Ihya Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka
lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara.
Sebaliknya, buruk diri remaja maka hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya,
apakah punca-punca yang menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan
untuk menangani gejala sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk
dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat
memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak
berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua ibu bapanya.
Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah anak-anak sama ada
di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang tidak
bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk
bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada kemungkinan
anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa
bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara ibu bapa
dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat sepenuh belaian kasih sayang daripada
ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat belaian kasih sayang
daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti ponteng sekolah,
melepak dan menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan
perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan
agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak
mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa
yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan
agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak
mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup dalam
keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang
dilakukan oleh mereka. Remaja juga sanggup melakukan apa-apa sahaja dan mudah
terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan
remaja kurang kesedaran dan keinsafan diri sehingga menyebabkan mereka mudah
terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama
yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak
turut menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala
sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh

menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi anak
bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau ketenangan di
rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil berat tentang keadaan
diri mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan
antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kedua-dua ibu
bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin lain dan telah
mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan
menjadi mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih
sayang seorang ayah atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak
dan sebagai jalan keluar, anak-anak mungkin mencari seseorang untuk meluahkan perasaan
dan melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang kehausan kasih
sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak
baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja terjerumus dalam kancah gejala
sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang tidak aman, sering bergaduh dan berpecahbelah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi remaja
terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya biasanya
tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa kesunyian
kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah yang dihadapi oleh
mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman atau rakan sebaya untuk
menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa
dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh oleh ajakan rakan
sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru, mencontohi dan
terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai, sikap, identiti dan
perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya mempunyai prinsip dan
setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja
berasa bimbang kerana disingkirkan daripada kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja
sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai
contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut
sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak akan ambil
peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti
rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak baik turut menjerumuskan
remaja dalam masalah gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh
perhatian dan tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan
kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah selalu
berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak dan
pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah
tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan rumahku syurgaku. Ibu bapa
juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan
menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak agar anakanak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah bagaimana acuan,
begitulah kuihnya. Apabila wujud kasih sayang terhadap anak-anak, anak-anak akan berasa
diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan
ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang
bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada anak-

anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan
sebaya yang tidak sihat.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya
kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya dan
asas pendidikan bermula dari rumah. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain putih dan
ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa
perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran
agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu
membentuk keperibadian dan budi pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh,
anak-anak akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana
mereka memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur
dengan cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua.
Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak- laku dan tidak akan
meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang remaja yang mempunyai
pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian
mulia dan mereka akan berasa malu sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh
mencontengkan arang ke arah muka ibu bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak mereka
dengan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu
bapa perlulah memastikan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar
rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang
keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan anakanak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah selalu
berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di sekolah untuk
mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli
Fikir Islam, Ibn Sina, hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam
kalangan anak-anak kelakuannya yang berakhlak mulia. Anak-anak yang sentiasa dikawal
oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar
dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial
memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh
semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah
bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-anak
juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala pengorbanan
yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial perlu ditangani
daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga
menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.
Latihan 8
Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anakanak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah.
Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anakanak.

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan


universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi
mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga
memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak
merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab
untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak
mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna
pada kain tersebut. Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam
pembentukan sahsiah anak-anak ?
Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anakanak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah
sering menyatakan bahawamelentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas
menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil
lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan
antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan
membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan
benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial.
Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi
anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai
pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik
kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan
agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada
anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian
kerana anak-anak yang berusiasetahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk
perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli
keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat
dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih
dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan
mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah
menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas
menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi
anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal.
Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan
akhlak anak-anak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak
akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan
maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan
sahsiah anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan
berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa
perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak
yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa
perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang

Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan
dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan
kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima
bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu
perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama .
Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai
keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih
sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan
saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan
bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak
lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh
baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar
supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka .
Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang
dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar
anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam
berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar
sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu
perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan
apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan
jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu
bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak
khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu
mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang
rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh
yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip,
nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang
sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan
penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh
menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan
yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal,
bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan
anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti
masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta
mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak
yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab untuk mendidik
anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka
dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah
anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri
mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian
mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan
yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.

Latihan 9
Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja
belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat
tersebut.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan
anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar
membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar, novel cinta, komik, majalah
hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan
seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi,
Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang
tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa
membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda
untuk berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok
untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam
masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah
kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu,
bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang
boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa
anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC
yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak
untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku
yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih bukubuku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina
pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca
buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara
tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu,
anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal
ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu
bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif
yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat
buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek
membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan
menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk membaca bukubuku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar pada setiap hari
terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi
dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah
kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu
untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh

mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari
rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti
sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak betul.
Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak
hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang
tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak
kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja
mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau,
terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak
buku atau majalah yang yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh mengembangkan
minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Apabila anakanak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu
bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah
Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar
yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca
buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu
bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah
dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat
membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu
dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku
sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan
sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi
sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan
belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan
menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku.Tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dengan
cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku,
anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang
terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang
ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku,
mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara tidak
langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan
yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh
mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan
tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen
Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan
menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang
pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa
perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan
anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah yang
dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahanbahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya
agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri selain buku pelajaran dan buku

rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku yang
disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan
anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di
rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada
setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa
lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini
yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah
yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan
buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah
menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah
biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap
minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan
rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca
apabila ada masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas.
Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anakanak ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan
awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak.
Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam
keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah
dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu
yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang
menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu
bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anakanak melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di
kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak membaca karya-karya
ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang
diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini
disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam
kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat
membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan
penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan
sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda
anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong
untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak
sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang
luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah,
pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada
kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit.
Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan.
Latihan 10

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan
harapan mereka itu tercapai.
Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman
setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal
tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada
agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan
mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini
dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan.
Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan
harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling
berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan
kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan
kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka
diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan
pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan
mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal
ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan
memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai
kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan
bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah
tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan
kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik
anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa
tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan
menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga
yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa
perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep Rumahku Syurgaku demi keselesaan
anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anakanak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan
pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang
lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi
mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan
yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anakanak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah
terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk
melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anakanak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya.
Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan.
Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak
mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan
menyayangi keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu
bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka

kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari
rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat
membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka
mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan
ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik,
kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama
yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu
tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan
kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat
seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat
merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya
berjalan betul. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka
tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini
tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu bapa borek anak rintik sudah jelas membuktikan
bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak
biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah
didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik
dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan
mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian
kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan.
Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi
insan yang baik dan berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada
orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu
bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna,
ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi
teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan
anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka.
Dalam konteks ini, falsafah menjaga tepi kain orang lain dalam masyarakat adalah untuk
kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran
yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca
anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan
yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu
menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna atau sudah terhantuk baru terngadah sewajarnya
menjadi panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak
sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan
ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak
mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada
dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah
juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu
menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas

atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti
perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru
disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga
perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka.
Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau
pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah
anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk
membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran
ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas
yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan
dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan
oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap
ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat
dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu
melihat anak-anak mereka jadisampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan
sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta
menjatuhkan keluarga kita.
Latihan 11
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka
itu tercapai.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu
bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita dan membesarkan kita dengan penuh
kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka merupakan orang yang paling
banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata
bahawa,Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada
anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Ungkapan ini jelas memaparkan
betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang
berguna. Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan
ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap
sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit. . Satu perkara yang amat wajar kita
lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya
dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan
harapan ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai
ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di
kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada
zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang
dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai
ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi
ini yang penuh dengan persaingan ini, amat penting bagi seseorang mencapai kecemerlangan
akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat

kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha
untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan
peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum
menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di
mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi
perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana
saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya.Seorang insan yang
berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan
berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa
dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus
asa dan beryakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini demikian kerana saya
sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam
bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani,
intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu
bapa, guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur
dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa
seperti mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan
menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, ahklak yang baik seperti
madu, sentiasa manis dan berkhasiat. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak
menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan
berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak
seseorang itu buruk,,walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan
dihormati dan disegani. Jelasnya,amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan
kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya
ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai
benteng keimanan yang kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya
daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh
kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan
pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa
menyeru hambanya untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk.
Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya
mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan
kejayaan saya pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman
hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak
mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan
sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Tegasnya,saya akan berpegang teguh
kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan keduadua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai
keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak.
Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya
terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata
dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui

pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat
bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan
pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik
yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya
akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan
dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang
sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih
bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak
akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga
dapat bergantung kepada rakanrakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk
menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat
membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan
nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan
gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang
akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan
kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar
saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar
dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun
pernah berkata bahawa membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah
sesuatu bangsa dan sesebuah negara.Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca adalah
amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan
membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi
dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan
ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam
bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang
berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan.
Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk
mengatasi sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah
menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar
perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa
iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari
pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya
akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa
patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga
terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa,
betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta
kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih
dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya
dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima
pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin
mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca
tenaga dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh
kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai
kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu

bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang
tidak akan berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai
impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya
tercapai dan sekali gus, saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa
saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat
membuat jalan melalui hutan rimba. Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat
masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa
hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk
menjadikan impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak
seribu dalih.
Latihan 12
Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini
isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media
massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak
kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak
kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah
perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan
pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah
satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan
menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas
kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber akan diadakan secara
berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan
buku-buku disusun atur dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis
buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi
keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber.
Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke
pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh
membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan
para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar
dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan
juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah
satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan
membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan
ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai

ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu.
Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar
untuk mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan
agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar.
Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer yang boleh diguna pakai oleh
pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan
membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya
pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan
kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang
kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya
mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia
dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung
menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa
budaya kita. Layanan mesra daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan
merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga
akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat
dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan
terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja tidak memulangkan buku yang dipinjam
mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah
agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT
khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa
dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan
berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan
pemulangan buku yang dilakukan secara scaning. Kaedah ini akan mewujudkan sistem
pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu
lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik
dan efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber
pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna
yang bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar
sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. . Semua
pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah
bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Latihan 13
Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh
permainan tradisional di negara kita.

anda

lakukan

bagi

memartabatkan

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat
berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan

disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk
kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu
tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis
permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis
permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu
seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada
permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa
permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk
mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini.
Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan
permainan tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah
dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa
ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering
menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu,
sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan memartabatkan permainan
tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai
informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang
permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional
yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat
berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung,
wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini
bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya
pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya
boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara permainan
tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakanrakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat
memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh
mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat
daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik
mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara
yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada
generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar
sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis
surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional
menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung
akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga
akan menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa
aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah
pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan
daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara
tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian
permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat
bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan

tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para
pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta
akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional
merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara
agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam
dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika
asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu
mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana
sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan
diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja
seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini,
maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa
cinta terhadap negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional
agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia
umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan
meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan
diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling
bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di
negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.

Latihan 14
Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di egara ini semakin
longgar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai pihak
supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan
dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang
sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah
yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi
kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa
berkat. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu
hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar
diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan
kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah,
negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan
bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana
Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di
Malaysia.Usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi
masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang

dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Jelasnya,kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk
memupuk semangat kejiranan.
Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul
dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul
dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali
gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini
dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak
cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri kendara dan
sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan egara jiran.
Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia. kegiatan gotong-royong yang
diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.
Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam
meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh
digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya boleh menyiarkan
artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media elektronik pula boleh
menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa,
pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah
.Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik
perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3
menyiarkan Colour of Malaysia wajar disokong. Justeru,semangat hati gajah sama
dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.
Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan
memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah
terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat.
Seterusnya ,melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk
berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah.
Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina,Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis
rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan
dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah
mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua ahli keluarga jiran akan
turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol ,terompah
gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan
sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan
di padang bola sepak, gelanggang bola egara, taman rekreasi atau padang sekolah yang
berhampiran .Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat egara jiran dapat dibentuk yang
secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang
lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni.

Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri
dalam aktiviti egara seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah
membentuk satu persatuan yang mempunyai satu egara organisasi yang teratur. Persatuan atau
pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak
pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga,
Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan
sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak
diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,iaitu ibarat aur dengan
tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam
kehidupan.
Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi
dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat
kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti
ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai
contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita
dimasukkanke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun
pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu
memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit peha kiri,
peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang
tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita
itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak
mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah
Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan egara.
Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Oleh itu,
dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.
Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan
sentiasa terpelihara supaya egara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

LATIHAN 15
Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak
menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang
2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan
serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi
mengagung-agungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding
dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita
dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau
menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi
orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih

kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan


barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa
perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa
mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa
bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang paling
dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan
seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya
sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah
bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan
anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah
membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik
seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan
kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak
mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian
kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka
terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga
boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa
Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat
menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban
untuk negarakepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi
warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan
negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti
menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan
menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat
malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik
untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan
semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawabawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan
golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan
negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka
membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa
anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian
Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah
ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang
istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang merupakan budaya yang
menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai
barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.
Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli
barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat
juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa
boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei,
melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak
langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan

barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti


peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan
Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya,
menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu
anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya
setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk
dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan
seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak
sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis,
memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauhjauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi,
sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan
standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan
manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak
memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang
amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan
barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja
mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat
dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang
buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau
bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat
Malaysia
patut
menghayati
tema
Hari
Kebangsaan;1Malaysia
Menjana
Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa
yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia.
Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita
berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
LATIHAN 16
Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin
berkurangan.

Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah
komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau
membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera
dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan
karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad,
A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang
dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat
untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan
masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak
untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber

Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti
novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Salina oleh A.Samad Said, Saudagar
Besar Dari Kuala Lumpur oleh Kamaludin Muhamad dan Tulang-tulang Berserakan oleh
Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang untuk membacanya. Pusat sumber boleh
mengadakan pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan.
Langkah ini membolehkan para pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan
mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar
terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan
setiap kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar
untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah
memainkan peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan
tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak
sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan
anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan
budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk
dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa
selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel
yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan
bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai
buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan
mini yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti
prosa atau puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah.
Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai dalam
jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam
mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera.
Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat
melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan masyarakat dapat
mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media
juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan
majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya
sastera di negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh
menganjurkan peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya
sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang
ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen
menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang
untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan
boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk
membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk dibaca. Pihak kerajaan turut boleh
mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini
dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan
rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa

pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih
banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh
bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit
juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karyakarya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat
oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para
peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan
jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai
penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas
tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca
karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka supaya langkah-langkah
tersebut mendapat sambutan yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku
warga Malaysia haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan
warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
LATIHAN 17

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)


merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini
memberikan
sumbangan
berkesan
kepada
negara.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu
golongan ini?
Orang Kelainan Upaya (OKU) ialah kanak-kanak atau orang dewasa yang
cacat keadaan fizikal atau mentalnya sejak lahir atau kesan kemalangan atau penyakit
tertentu. Kecacatan fizikal dan mental ini menghalang mereka dari melakukan aktivitiaktiviti normal seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan pekerjaan. Golongan Orang Kelainan
Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu
kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Walaupun banyak kekurangan
yang ada , masyarakat kurang upaya ini tidak harus dipinggirkan kerana mereka juga turut
memberi sumbangan kepada negara. Oleh sebab itu, pelbagai usaha patut dilakukan bagi
membantu OKU meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Antara usaha yang dapat dilakukan ialah masyarakat perlu menerima kehadiran
golongan kurang upaya ini seadanya dan membantu mereka menjalani kehidupan
dengan sebaiknya. Hal ini kerana masyarakat perlu sedar bahawa OKU tidak meminta
dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna malah mempunyai hak untuk hidup sama
seperti orang lain. Golongan Kelainan Upaya (OKU) haruslah diberi layanan yang baik
kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka
dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Namun begitu kita harus melayan mereka
secara istimewa dalam keadaan-keadaan tertentu seperti membantu mereka melintas jalan,
memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam dan sebagainya. Dalam hal ini, ibu bapa
berperanan penting dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni seperti kasih sayang,
simpati,belas kasihan dan tolong menolong agar mereka dapat membantu OKU dengan
seikhlas hati.
Selain itu, media massa sama ada media elektronik atau media cetak juga
berperanan penting dalam membantu golongan kurang upaya ini. Pihak media massa

perlu menyiarkan artikel dan rancangan khas tentang OKU kepada segenap lapisan
masyarakat. Rancangan di TV3 seperti Bersamamu kerap kali memaparkah kisah sedih dan
pilu OKU untuk perhatian masyarakat. Melalui rancangan ini , perasaan masyarakat pasti
akan tersentuh dan secara tidak langsung wujud perasaan simpati dan terpanggil untuk
menghulurkan bantuan. Dana dan tabung khas disediakan oleh pihak media bagi
memudahkan masyarakat menyalurkan bantuan kewangan kepada OKU. Oleh hal yang
demikian nasib OKU akan terbela dan mendapat simpati berterusan daripada masyarakat
untuk meneruskan kehidupan mereka.
Selain itu, kerajaan juga pula dapat membantu OKU dengan memberi peluang
kepada mereka untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang .
Golongan Kurang Upaya (OKU) diberi peluang mengikuti latihan kemahiran seperti
membaiki kenderaan dan peralatan elektrik, membuat kek, keropok dan kraf tangan di Pusat
Giat Mara, Kolej Komuniti, Pusat Latihan dan Pemulihan Orang Cacat(JARO) dan lain-lain
institusi. Di sini ,OKU dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran supaya mereka dapat
berdikari dan boleh bekerja sama ada makan gaji atau berniaga sendiri . Setelah mantap
dalam bidang pekerjaan,mereka akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
orang lain membantu negara dan tidak lagi menyusahkan orang lain bahkan mampu menyara
hidup sendiri dan keluarga.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga turut membantu OKU dengan memberikan
bantuan dan elaun dalam bentuk wang ringgit , makanan dan minuman, pakaian ,
tempat tinggal, peralatan pembelajaran dan kenderaan khas. Peruntukan dari kerajaan ini
disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, MARA dan sebagainya. Bantuan seperti
ini bukan sahaja dapat meringankan beban OKU malah dapat mengembirakan hati mereka
dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan
OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini
adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah
berusaha memberi bantuan modal kepada semua OKU yang berminat melalui permohonan
dan sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini
sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa
bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Selain itu, pihak kerajaan juga menyediakan peluang untuk menyambung
pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu
diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai
anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan
pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang setanding dengan
pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota
pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat
keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia. Oleh itu, peluang ini akanmeningkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk
mengubah nasib hidup mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu
yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula digalakkan mengambil pekerja OKU untuk
berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu memberi peluang ini kerana golongan
OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut.
Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu
pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang
normal sahaja.Selain itu, usaha murni Pasaraya Besar Carrefour yang telah mensasarkan 5

peratus daripada pekerjanya ialah OKU haruslah diberi pujian kerana mereka memberi
peluang kepada OKU dan membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan
keluarga
mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua
untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk
merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat
mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguhsunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan
negara menjelang tahun 2020 nanti. Kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai
diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

You might also like