You are on page 1of 5

Membaca jambatan ilmu. Namun budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

Kajian menunjukkan bahawa secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun.
Negara kita yang sedang pesat membangun memerlukan rakyat yang berpengetahuan tinggi untuk
maju setanding dengan negara maju di dunia ibarat duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sedar akan pelbagai faedah yang bakal diperoleh
apabila mereka membaca? Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai manfaat
apabila seseorang mempraktikkan budaya membaca.
Ilmu penyuluh kehidupan dan membaca buku dapat menambahkan pengetahuan. Hal ini
demikian kerana melalui pembacaan seseorang dapat mengetahui isu-isu semasa sama ada yang
berlaku di dalam negara atau di luar negara. Oleh hal yang demikian mereka tidak akan menjadi
seperti katak di bawah tempurung. Selain itu, melalui pembacaan, pembaca berpeluang mempelajari
sejarah dan budaya masyarakat dunia. Umpamanya mereka dapat mempelajari tamadun
Mesopotamia, Indus, Hwang Ho, Mesir Purba dan lain-lain. Pembaca juga dapat mengetahui budaya
masyarakat dunia yang sangat unik dan berbeza di negara yang berlainan. Oleh itu, untuk memupuk
budaya membaca ini, kita perlulah menggalakkan anak-anak ke perpustakaan dan membeli bahan
bacaan yang bersesuaian untuk mereka kerana banyak membaca luas pengetahuan dan membaca
ialah jendela ilmu.
Amalan membaca juga dapat menambah perbendaharaan kata dalam kalangan pelajar.
Dasawarsa, ramai pelajar lemah dalam kertas Bahasa Melayu kerana mereka kurang menguasai kosa
kata. Pelajar juga kurang cekap berbahasa Inggeris kerana kekurangan kosa kata bahasa tersebut. Hal
ini menghalang kejayaan pelaksanaan program MBMMBI iaitu usaha kerajaan untuk memartabatkan
bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris ke arah menguasai pelbagai ilmu pengetahuan
pada peringkat globalisasi. Tabiat ini juga boleh menyumbang kepada penemuan perkataan-perkataan
dan istilah baharu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Sehari selembar benang, lamalama menjadi kain, begitulah keadaannya apabila membaca, kosa kata seseorang itu sentiasa
bertambah dan khazanah bahasa seperti peribahasa dan ungkapan menarik serta bunga-bunga bahasa
semakin dikuasainya.
Seterusnya, tabiat membaca boleh membantu pelajar lulus cemerlang dalam akademik. Tabiat
membaca boleh membantu pelajar memahami sesuatu mata pelajaran dengan cepat dan
mudah. Peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai kepada pelajar yang rajin
membaca kerana tabiat membaca juga dapat meningkatkan mutu akademik pelajar.
Tabiat membaca merupakan aktiviti masa senggang yang sangat berfaedah. Masa itu emas,
oleh itu seseorang seharusnya mengisi masa lapang dengan berfaedah seperti mengamalkan hobi
membaca buku. Negara kita memerlukan rakyat yang berpengetahuan untuk membangunkan negara.
Sebagai contoh, masyarakat di negara Jepun yang maju menjadikan amalan membaca sebagai budaya
hidup mereka. Di negara matahari terbit itu, kita dapat menemukan masyarakat Jepun yang membaca
buku ketika di dalam kereta api, di stesen bas, di taman-taman, atau di mana-mana sahaja.

Sebaliknya, di negara kita, rakyat kita suka berbual-bual kosong di kedai kopi, bermain dam di atas
wakaf, atau melepak di pusat-pusat beli belah. Kesimpulannya, jelaslah bahawa rakyat yang banyak
membaca berupaya menjamin kemajuan negara.
Tabiat membaca juga adalah pemangkin kemajuan negara. Hal ini demikian kerana kemajuan
sesebuah negara tidak dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga diukur pada
kemajuan intelektual rakyatnya. Rakyat berilmu mencerminkan kemajuan sesebuah negara.
Sekiranya negara kita dapat mengurangkan kadar buta huruf secara tidak langsung, taraf pendidikan
di negara kita turut meningkat dalam usaha melahirkan rakyat bertamadun tinggi. Sejarah telah
membuktikan bahawa pembangunan tamadun keintelektualan manusia bermula daripada buku.
Sebagai misalannya, kemajuan Kota Baghdad telah muncul sebagai pusat penyebaran ilmu yang
unggul di dunia suatu ketika dahulu disebabkan ledakan ilmu menerusi penulisan dan penterjemahan
pelbagai buku dari seantero dunia. Tuntasnya, melalui tabiat membaca, kita dapat melahirkan modal
insan bertaraf dunia.
Natijahnya, berdasarkan faedah-faedah yang telah dibicarakan, sudah terang lagi bersuluh
bahawa tabiat membaca amat signifikan untuk membangunkan intelektual rakyat negara ini.
Tegasnya, tabiat membaca berupaya menjayakan hasrat negara menjadi negara maju dalam Wawasan
2020. Tabiat membaca harus dipupuk ibarat sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit ke
arah meningkatkan purata pembacaan rakyat negara ini. Sesungguhnya semua pihak harus
berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk meningkat budaya membaca dalam kalangan
masyarakat kerana tamadun kebendaan tidak pernah kekal tetapi tamadun ilmu boleh merentas
zaman.

Aktiviti rekreasi merupakan salah satu aktiviti yang menjadi kegemaran


masyarakat untuk dilakukan pada waktu lapang. Aktiviti rekreasi boleh
diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu rekreasi aktif dan rekreasi pasif.
Aktiviti rekreasi aktif ialah aktiviti yang memerlukan pergerakan badan
individu secara aktif seperti berjoging, atau melakukan aktiviti sukan. Aktiviti
rekreasi pasif pula tidak memerlukan individu banyak bergerak seperti
berkelah atau bersiar-siar di taman. hal ini boleh dilakukan pada bilaa-bila
masa dan di mana-mana sahaja sama ada di taman rekreasi ataupun di
padang permainan. Kerajaan juga telah menyediakan prasarana yang sesuai
di kawasan tertentu di negara kita bagi kemudahan orang awam berekreasi.
Taman-taman rekreasi juga telah dihias dengan tumbuh-tumbuhan yang
menyegarkan semata-mata untuk menarik perhatian ramai pengunjung.
Begitu juga dengan kemudahan seperti bilik air dan gerai menjual makanan
tersedia di taman rekreasi dengan harapan dapat membentuk individu yang
sihat sejahtera. Persoalannya, apakah kebaikan aktiviti rekreasi kepada
masyarakat?
Sudah tentu aktiviti rekreasi ini membawa kebaikan kepada masyarakat. Hal
ini dapat dibuktikan terutama daripada aktiviti melancong. Melancong juga
merupakan salah satu aktiviti rekreasi yang gemar dilakukan oleh masyarakt
di negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Aktiviti melancong sama
ada di dalam atau di luar negara dapat menggembirakan hati yang sedang
berduka. Misalnya, masalah kemurungan atau stres dalam kehidupan dapat
dikurangkan dengan aktiviti melancong. Hal ini tidak menjadi masalah bagi
mereka yang berpendapatan rendah turut boleh melawat tempat-tempat
menarik dalam negara kerana tempat-tempat di negara kita setanding
kecantikannya dengan tempat-tempat di luar negara bak kata pepatah jauh
berjalan, luas pemandangan. Apabila pergi melancong, kita akan
mempelajari adat budaya penduduk setempat. Hal ini secara tidak langsung
telah menambahkan ilmu pengetahuan kita. Kita juga tidak akan menjadi
seperti katak di bawah tempurung kerana tidak mengetahui tentang
masyarakat luar. Apabila kita melawat ke tempat-tempat yang menarik di
dalam negara seperti Pulau Redang dan Cameron Highland, semangat cinta
akan tanah air dapat dipupuk dalam diri. Kita akan menjadi bangga kerana
menjadi anak jati Malaysia yang kaya dengan kawawan yang setaraf dengan
dunia luar. Jelaslah bahawa aktiviti rekreasi seperti melancong membawa
kebaikan kepada masyarakat setempat dari aspek emosi dan rohani serta
fizikal.
Di samping itu, aktiviti rekreasi juga dapat mengurangkan kadar penduduk

yang menghidap penyakit berbahaya seperti obesiti. Aktiviti rekreasi seperti


aktiviti bersenam sudah pasti dapat mengelakkan individu daripada penyakit
yang boleh membawa maut seperti sakit jantung.. Kajian juga ada
menyatakan penyakit berbahaya seperti sakit jantung bukan hanya
menyerang mereka yang sudah berusia tetapi juga golongan muda. Oleh itu,
ibu bapa terutamannya haruslah mengamalkan aktiviti bersenam ini dalam
keluarga dengan membawa anak-anak berjoging sekurang-kurangnya pada
hujung minggu kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Anakanak akan membesar menjadi individu yang sihat seterusnya mereka turut
akan membimbing keluarga mereka dengan aktiviti sihat ini. Dengan ini
masyarakat yang sihat dapat dilahirkan. bagi golongan remaja pula, dengan
aktiviti bersenam mereka akan terhindar daripada gejala sosial seperti
terlibat dengan najis dadah. Sesungguhnya golongan remaja merupakan
harapan negara yang bakal menerajui pentadbiran pada masa akan datang.
Oleh itu, remaja yang sihat fizikal dan mental sangat diperlukan oleh negara
dan hal ini hanya boleh direalisasikan jika masyarakat mengamalkan aktiviti
bersenam. Tegasnya, aktiviti bersenam turut menjadi faktor penting kepada
pembentukan masyarakat yang sihat dalam negara.
Selain itu, aktiviti rekreasi lain yang boleh diamalkan oleh masyarakat ialah
aktiviti berkelah. Aktiviti ini juga boleh dilakukan besama dengan keluarga
atau rakan-rakan. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli
keluarga. Begitu juga dengan para pelajar tatkala sudah penat belajar,
aktiviti seperti berkelah dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan
stres dalam proses pembelajaran. Ketika berekreasi, setiap individu perlulah
menjaga adab-adab di taman rekreasi seperti tidak membuang sampah di
merata-rata tempat dan menggunakan kemudahan yang disediakan sebaikbaik mungkin. Hal ini secara tidak langsung telah mendidik anggota
masyarakat dengan nilai disiplin dalam diri. Apabila kawasan rekreasi bersih
dan ceria, pelancong asing juga akan tertarik untuk melawat negara kita.
Mereka akan beranggapan bahawa negara kita mempunyai masyarakat yang
pembersih, imej negara di mata dunia akan di pandang tinggi sekali gus
meningkatkan sumber pendapatan negara. Hasil daripada kemajuan
ekonomi akan dapat dinikmati oleh rakyat dengan kehidupan yang lebih
selesa kerana negara dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada
rakyat. Demikianlah impak positif hasil daripada sikap masyarakat yang
melakukan aktiviti berkelah secara berhemah.
Akhir sekali, aktiviti rekreasi ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam
kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Dengan bersenam, berkelah dan

melancong, masyarakat akan sentiasa berjumpa dan bergaul mesra sekali


gus dapat meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Masyarakat tidak akan menjadi seperti enau dalam belukar yang hanya
melepaskan pucuk masing-masing sebaliknya mereka akan bekerjasama dan
beramah mesra ketika melakukan aktiviti rekreasi. Masalah perpecahan
masyarakat atau rusuhan tidak akan berlaku seperti Peristiwa 13 Mei yang
telah merosakkan imej negara di mata dunia. Sesungguhnya denga
melaksanakan aktiviti rekreasi, negara juga akan terpelihara daripada
masalah perbalahan dalam kalangan masyarakat. Walaupun aktiviti ini
dianggap kecil nilainya tetapi jika dilaksanakan dengan baik, hasilnya sangat
menguntungkan.
Kesimpulannya, aktiviti rekreasi seperti melancong, berkelah dan bersenam
juga bersiar-siar di taman, membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat.
Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlulah menggunakan keistimewaan
yang ada di negara kita untuk melakukan aktiviti rekreasi demi kepentingan
bersama. Aktiviti rekreasi ini membawa banyak faedah sekiranya dilakukan
sebaik-baik mungkin. Benarlah seperti slogan yang sering dipaparkan dalam
media massa tentang aktiviti rekreasi dapat melahirkan masyarakat yang
cemerlang dan negara terbilang. Masyarakat yang sihat fizikal dan mental
dapat menentukan hala tuju kebahagiaan hidup sesebuah masyarakat itu.
Secara keseluruhannya, aktiviti rekreasi mempunyai banyak kepentingan
kepada masyarakat di negara kita.

You might also like