You are on page 1of 24

Tazkira Ramadan 1

Hari 1; Hari 2 dan Hari 3

Musbri Mohamed
DIL; ADIL ( ITM )
MBL ( UKM )

1
1. RAMADAN PENGHULU SEGALA BULAN

Segala puji bagi Allah s.w.t . Salam dan juga


selawat buat Junjungan Nabi Muhammad s.a.w,
keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.

Alhamdulillah sekali lagi bagi tahun ini yakni Tahun 2010 maka kita
diberikan kesempatan untuk berpuasa dalam bulan yang mulia ini.
Bulan Ramadan atau disebut bulan puasa memang dinanti-nantikan
kedatangannya kerana ia dikatakan 'penghulu segala bulan'.

Dalam bulan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa kerana


ianya merupakan salah satu di antara rukun Islam yang lima ; suatu
amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t.

2
Kenapa Ramadhan dipanggil 'penghulu segala bulan'? Ini adalah
kerana di dalam bulan ini Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran
kepada Nabi Muhammad s.a.w. Di samping itu dalam bulan
Ramadan juga terdapat satu malam yang disebut dengan gelaran
'Lailatul-Qadr'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai
amalan 1000 bulan yakni untuk jangkamasa 83 tahun malahan
lebih lagi. Ini bermakna secara analogi maka dengan hanya
beramal satu ibadat diberikan pahala seolah-olah mengerjakan
ibadat itu selama 83 tahun. 

Nabi Muhammad s.aw ada menjelaskan ;

"Permulaan Ramadan adalah rahmat, pertengahannya


pengampunan manakala akhir Ramadan merupakan pelepasan
dari seksa neraka."

Betapa besar rahmat Allah s.w.t diberikan kepada umat Nabi


Muhammad s.a.w. Meskipun berusia pendek namun ganjaran
pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita jauh lebih
panjang. 

3
Rejab, Sy'aban dan Ramadan adalah gandingan bulan
yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah s.w.t ,
Sya'ban milik Nabi Muhammad s.a.w dan Ramadhan
bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan
Ramadan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah
bulan paling istimewa bagi kita umat Nabi Muhammad
s.a.w. Oleh sebab itu kita berasa gembira menyambut
ketibaan Ramadan walaupun belum berpuasa lagi kerana
Allah s.w.t akan mengharamkan kita dari api neraka.

Sesungguhnya malang bagi sebahagian daripada kita


terlalu gembira menyambut kedatangan awal tahun 2010
sehingga bersekang mata menunggu beramai-ramai
ketibaan 1 Januari tepat 12.00 tengah malam dengan
sukaria tetapi dengan Ramadan tidak pula disambut
begitu rupa. Neraca apakah penilaian yang kita gunakan?

4
Sepanjang Ramadan kita berpuasa, menahan anggota dari
melakukan perkara yang membatal atau mencederakan puasa.
Setiap saat dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada
Allah s.w.t. Pendek kata kita boleh mendapat pahala sepanjang
masa dalam Ramadan. Ini tidak dapat dilakukan pada bulan-bulan
lain dan dalam ibadat-ibadat yang lain.

Begitu hebatnya tawaran dan anugerah Allah s.w.t sehinggakan


Malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda Nabi Muhammad
s.a.w bahawa orang yang tidak memperolehi pengampunan dalam
bulan ini adalah orang yang betul-betul celaka dan malang.

Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk di dalam golongan


yang tidak mendapat rahmat Allah s.w.t di bulan Ramadan ini.

5
Jibril mengatakan demikian lantaran amat mudah sekali
mendapatkan keampunan Allah s.w.t dalam bulan ini. Hal ini
tidak berlaku dalam bulan-bulan lain. Mereka yang terlalu engkar
dan melawan Allah s.w.t sahaja yang terkecuali dari mendapat
keampunan. Pintu kerahmatan ditutup baginya.

Sama-samalah kita memohon keampunan ke hadrat Allah s.w.t


sempena Ramadan tahun 2010 ini semoga kita memperolehi
keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Kita belum
pasti akan bertemu dengan Ramadan tahun 2011.

Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan


segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan
sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara
yang dilarang oleh Allah s.w.t. 

6
Untuk Ramadan ini marilah kita berdoa :-

Ya Allah, terimalah amalan kami yang


kerdil dan bergelumang dengan dosa ini.
Ampunilah kami sebagaimana Engkau
mengampunkan umat terdahulu.
Sesungguhnya kami sangat bergembira
dengan kedatangan Ramadan ini. Kami
sedar sabda RasulMu bahawa bagi mereka
yang gembira menyambut Ramadan,
Engkau haramkan dari api neraka. Oleh itu
kami memohon sepenuh hati semoga kami
juga Engkau jauhkan dari azab neraka.

Amin.Ya Rabil alamin.

7
2. RAMADAN: BULAN MUHASABAH DIRI
 
 
Segala puji bagi Allah s.w.t . Salam dan selawat buat
Junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta sahabat-
sahabat Baginda.

Pada dasarnya manusia dijadikan Allah s.w.t dalam keadaan fitrah. Semasa
membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor
pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran.
Faktor-faktor ini berupaya mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan.

Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima


berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw. Sebaliknya pula
amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan
Nabi Muhammad s.a.w (yakni Quran & Sunnah).

8
Allah s.w.t amat mengetahui keadaan makhluk ini. Justeru, diwajibkan
berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk
muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah
dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi
begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana
kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah
manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan
berpuasa.

Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam
menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani
berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih
sempurna pada masa hadapan.

9
Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan
ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas
utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya
untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya
menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti
mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam
otaknya sudah disetkan dan diprogram begitu.

Kadang-kala kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib
ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala
kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan
amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak
memerangkap kita. Alhamdullilah , kita ada Allah s.w.t yang
boleh kita mohon perlindungan serta pertolongan.

10
Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan.
Selain berlapar atau menahan diri daripada makan dan minum, kita juga
dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan juga perkataan.

Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan


berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan
tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai
lebuhrayanya.

Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari


mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong
manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau
diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak
langsung dapat peluang memerangkap kita di bulan ini. Tambahan pula
dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan
ditutupkan pintu neraka.

11
Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan
mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari
amalan puasa. Nabi Muhammad s.a.w sentiasa mengingatkan
kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan
lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya.
Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain,
maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadan tidak akan kita
perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali. 

Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang


dilarang oleh Allah s.w.t, kita digalakkan mengisi sepanjang
Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-
Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih
dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan
gandaan pahala yang banyak. 

12
Walaupun tidur orang puasa diberikan juga pahala, namun
memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan
sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu
malamnya.

Semasa berbuka memadailah dengan makanan yang sederhana.


Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan
berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah
untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka
kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita
melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan
puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi
kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad s.a.w pernah
bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali
lapar dan dahaga.

13
Syaitan sangat suka sifat membazir malahan
mereka yang membazir dikatakan kawan
syaitan.

Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan


kuih-muih yang banyak untuk berbuka
adalah membazir kerana semasa berbuka
hanya sebahagian yang kita makan;
selebihnya dibuang saja.

14
Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah
bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri
memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan
godaan syaitan dan nafsu.

Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan


lain, dengan bantuan Allah s.w.t , Insyallah kita akan
menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan
Ramadan yang mubarak ini.

Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam


bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-
bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani
kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadan.
Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif
puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita
lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah s.w.t.

15
3. PUASA RAMADAN UNTUK MENUNDUKKAN NAFSU
SEBAGAI MANIFESTASI JIHAD YANG TERBESAR

Alhamdulillah, Allah s.w.t telah memberi peluang kepada kita


menikmati Ramadan tahun ini, bulan keampunan, bulan rahmat
dan bulan pelepasan dari neraka.

Peluang hanya datang setahun sekali; tahun depan kita belum pasti
bertemu Ramadan lagi. Sayugianya kita mengambil kesempatan
akan ruang dan peluang yang terbuka luas ini bagi merebut
tawaran maha hebat yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-
mana agensi dan syarikat pasaraya di dunia ini. 

16
Junjungan Nabi Muhammad s.a.w sekembalinya dari
satu peperangan, memberitau para sahabatnya bahawa
mereka baru kembali dari satu peperangan yang kecil
dan sedang menuju ke satu peperangan yang lebih
besar dan lebih sengit.

Para sahabat menjadi bingung dan tertanya-tanya


adakah peperangan yang lebih hebat daripada itu. Nabi
Muhammad s.a.w menjelaskan peperangan yang
dimaksudkan yang lebih dahsyat ialah berperang degan
hawa nafsu.  

17
Berperang dengan nafsu dikatakan jihad yang lebih besar daripada
peperangan dengan senjata yang boleh meragut nyawa sendiri. Bagi
kebanyakan kita, perkara yang paling kita takuti ialah peperangan
dengan senjata kerana kita tahu ia boleh merampas jiwa kita, anak dan
keluarga serta apa-apa yang kita sayangi. Kita akan berpisah dengan
dunia dan kemanisannya. Rupa-rupanya apa yang kita takuti selama ini
bukanlah sesuatu yang benar-benar harus ditakuti.

Yang perlu paling ditakuti menurut Islam ialah nafsu yang ada dalam
diri kita. Dialah musuh yang paling nyata yang berada bukan di luar
diri kita tetapi menjadi sebahagian daripada kita. Dia benar-benar
'musuh dalam selimut' yang boleh merosakkan diri kita bahkan lebih
dahsyat menjerumuskan kita ke dalam neraka yang mana azab dan
sengsaranya berkekalan dan tidak dapat digambarkan hebatnya
penderitaan oleh mana-mana media di dunia ini. 

18
Dalam hubungan ini, puasa merupakan satu cara untuk
menundukkan nafsu. Bagi kita, perosak terbesar ialah nafsu
perut.

Disebabkan nafsu inilah datuk dan nenek kita Adam a.s dan
Hawa terusir dari negara abadi ke negara yang hina dan miskin
ini. Mereka dilarang dari memakan buah khuldi tetapi malang
berjaya dikalahkan oleh nafsu perut mereka lalu khuldi dimakan
dan sekaligus tersingkap aurat kemaluannya.

Terbukti dengan menurut nafsu perut membangkitkan nafsu-


nafsu lain seperti nafsu kelamin yang dahsyat dan keras
dorongannya. Kemudian diikuti dengan nafsu mencari harta,
nafsu mencari pangkat, nafsu mencari kekayaan dan kesemuanya
ini menimbulkan pelbagai gejala penyakit lain seperti hasad
dengki, iri hati, permusuhan dan saling membenci antara satu
sama lain. Akhirnya dunia akan dipenuhi dengan pelbagai arus
dan trend maksiat, kejahatan dan kemungkaran. Pucuk pangkal
dari semua ini ialah menurut nafsu perut. 

19
Setiap penyakit ada ubat. Allah menurunkan penyakit dan ubatnya
sekali. Ubat bagi penyakit nafsu ialah berpuasa. Kenapa puasa
dianggap sebagai ubat memerangi godaan nafsu? Jawapannya
terkandung dalam hadith Nabi Muhammad s.a.w: 

"Perangilah nafsumu dengan lapar dan dahaga kerana pahala


yang demikian menyamai pahala orang yang berperang di jalan
Allah." 

Berpuasa menyempitkan tempat laluan Iblis. Oleh itu


memudahkan diri kita untuk tunduk kepada perintah Allah s.w.t.
Pada masa yang sama kita tidak mengikut jalan nafsu dan
kedurhakaan serta tidak terikut-ikut dengan budaya kemewahan
yang mengutamakan dunia daripada akhirat. 

20
Dalam satu riwayat ada menceritakan 'orang yang paling tinggi
darjatnya di sisi Allah s.w.t pada hari kiamat ialah mereka yang
lama berlapar dan sentiasa merenung kebesaran Allah s.w.t.

Pada riwayat lain, Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

"Ketuklah selalu pintu syurga supaya dibukakan untukmu. Bila


Aisyah bertanya bagaimana ? Nabi s.a.w menerangkan dengan
lapar dan dahaga." 

Nabi s.a.w juga ada bersabda "manusia yang paling lama


menderita kelaparan pada hari kiamat ialah mereka yang paling
lama kenyangnya di dunia." 

21
Baginda Rasulullah s.a.w sendiri belum pernah merasakan kekenyangan
malahan pernah tidak merasakan sebarang makanan selama berhari-hari
sehinggalah baginda wafat. Di antara kebaikan daripada berpuasa ialah
seperti berikut: 

1.membersihkan hati dan menajam fikiran ;


2.memperhalus jiwa dan rohani sehingga terasa lazat beribadat ;
3.menghilangkan rasa sombong diri ;
4.merasa dan ingat akan ujian dan cobaan Allah ;
5.merobohkan kubu pertahanan nafsu ;
6.mengurangkan rasa ngantuk dan tidur supaya berpeluang beribadat kepada
Allah ;
7.membuka peluang seluasnya untuk ibadat ;
8.menyihatkan badan dan sistem jasmani ;
9.menolak pelbagai penyakit berpunca dari banyak makan ;
10.mengurangkan perbelanjaan untuk makan ; dan
11.membaiki hati dan bersimpati orang miskin dengan sedekah.

22
Puasa hanya menjadi satu adat dan budaya jika hanya
menahan diri dari makan dan minum tanpa disertai
dengan kesungguhan berperang dengan nafsu. Tujuan
berpuasa mestilah jelas supaya adab-adab berpuasa
dapat kita jaga dengan baik. Inilah sebenarnya intipati
puasa. Kalaulah tidak masakan Nabi s.a.w mengatakan
jihad melawan nafsu lebih berat daripada jihad perang
fisabilillah; sedangkan peperangan dengan senjata
amat berat dan mempunyai risiko yang amat dahsyat.
Mengabaikan aspek ini bermakna kita hanya berpuasa
mengikut adat atau secara lahiriah saja tanpa
menghayati apa yang tersirat dalam ibadat puasa.

Nabi Muhammad saw. mengingatkan kita bahawa


ramai orang yang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali
lapar dan dahaga. 

23
Amat wajar sekali bagi mereka yang benar-benar berjuang melawan nafsu sepanjang
Ramadhan diberikan ganjaran Lailatul-Qadr - satu malam yang menyamai 1000
bulan. Amat beruntung dan bertuah bagi mereka yang dapat menghidupkan malam
Lailatul-Qadr yang jatuhnya pada salah satu malam di antara 10 terakhir Ramadhan.
Barangsiapa yang sudah berjuang melawan nafsu pada hari-hari sebelumnya amat
mudah melakukannya. Mereka akan berebut dan menunggu saat-saat yang maha
berkat ini. Betapa kiranya jika ada orang menawarkan agar beribadat pada sekian
malam dan akan diberi berbillion-billion ringgit . Sudah tentu semua manusia turut
berjaga malam untuk merebut tawaran ini. Tapi sayang seribu kali sayang tawaran
Allah s.w.t ini dipandang sepi oleh sebahagian besar manusia lantaran kurangnya
iman terhadap Allah s.w.t

Masa masih ada bagi kita untuk bersama-sama merenung diri dan mengambil peluang
yang Allah s.w.t berikan pada Ramadan ini.

Insyallah. Kita bertemu lagi di Takzira di Hari 4, Hari 5 dan Hari 6.

Musbri Mohamed
Ramadan 2010 

24

You might also like