You are on page 1of 13

Abu Hamid Al-Ghazali

Abū Ĥāmid al-Ghazālī, (1058-1111) (bahasa Parsi: ‫اب و حام د محم د ابن محم د‬
‫ )الغزالی‬yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan
Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali
umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta dianggapi sebagai al-mujaddid
untuk kurunnya.
Nama penuhnya Muĥammad ibn Muĥammad ibn Muĥammad ibn Aĥmad,
dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazālī aţ-Ţūsī. Nama panggilannya (kunyah) pula
Abū Ĥāmid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah
Ĥujjatul-Islām, Sirāj al-Mujtahidīn dan Zain al-'Ābidīn.

Riwayat Hidup
Abū Ĥāmid al-Ghazālī dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazālah, di
pinggir kota Ţūs, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran,
berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorāsān.
Keluarga Abū Ĥāmid al-Ghazālī kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun
kain dari bulu biri-biri. Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazālah ke kota
Ţūs untuk dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia
juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati. Dia suka bergaul dengan al-'ulamā'
dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama, serta berbakti dan berkhidmat
kepada mereka. Kerana selalu mendampingi orang-orang yang berilmu dan sering
pula mendengar uraian-uraian daripada mereka, si ayah telah merasa kesan
positifnya, lalu berdoa agar dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan
juga şāliĥ. Doanya itu telah diperkenankan
Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muĥammad. Pada hari tuanya,
Muĥammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang şāliĥ, malah telah menjadi
seorang guru pula kepada golongan aş-şāliĥīn di zamannya, dan telah dikenali umum
sebagai al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Ayah Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meninggal dunia ketika Abū Ĥāmid al-
Ghazālī berumur lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau
dan adik lelakinya yang bernama Aĥmad, telah hidup di bawah asuhan seorang
sahabat ayah mereka, seorang mutaşawwif.
Si ayah ada mewasiatkan sedikit wang dengan sahabatnya itu bagi membiayai
kehidupan kedua-dua orang anaknya itu. Mereka pun mula belajar membaca dan
menulis daripada sahabat ayah mereka itu. Tetapi, setelah beberapa waktu berlalu,
wang belanja itu telah habis.
Maka pada suatu hari, berkatalah si sahabat ayah mereka itu kepada mereka:
"Ketahuilah, telah aku belanjakan segala wang yang telah diwariskan untuk engkau
berdua. Dan aku ini seorang lelaki yang miskin dan sering berada di dalam
kesempitan. Oleh itu, aku nasihatkan engkau berdua supaya pergi ke Ţūs dan belajar
di madrasah di sana. Engkau berdua boleh menuntut ilmu pengetahuan di sana,
yang dapat mendatangkan kesenangan kepada engkau berdua dan menghasilkan
pangkat yang tinggi".
Madrasah yang dimaksudkan itu ialah sebuah institusi pelajaran yang
diberikan nama al-Madrasah an-Niżāmiyyah. Ia telah diasaskan oleh Niżām al-Mulk,
perdana menteri kepada as-Sulţān Alp Arslān (yang berketurunan Seljuq). Al-
Madrasah an-Niżāmiyyah juga turut membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-
kitab kegunaan para pelajarnya.
Niżām al-Mulk adalah seorang lelaki yang gemar kepada ilmu pengetahuan
dan gemar pula bergaul dengan para cerdik pandai. Dia juga telah mendirikan
beberapa madrasah, yang secara umumnya, dipanggil al-Madrasah an-Niżāmiyyah, di
beberapa tempat lain di dalam empayar Kerajaan Banī al-‘Abbās (ad-Daulah
al-‘Abbāsiyyah) ketika itu, seperti di Baghdād, al-Başrah, Mosul (Mauşil), Isfahan,
Nīsyābūr, Merv, Balkh dan Herat.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī mengenai sebab dia dan
adiknya pergi menuntut ilmu:
"Kami telah menuntut ilmu kerana ghairillāh (sesuatu selain daripada Allah, yakni al-
Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi menuntut ilmu tidaklah benar-benar ikhlas
kerana Allah)... "
Maka berangkatlah dua orang adik-beradik itu ke Ţūs.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu fiqh daripada seorang
'ālim yang bernama asy-Syaikh Aĥmad ibn Muĥammad ar-Rādhakānī. Dia juga telah
mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran.
Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya
yang bernama Aĥmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada
ilmu tasawuf.
Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi
ke Jurjān (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgān dan kota lama ini terletak
lebih kurang 160 kilometer dari Ţūs) dan telah belajar daripada seorang guru yang
bernama asy-Syaikh Abū Naşr Ismā‘īl ibn Mas‘adah al-Ismā‘īlī.
Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan
seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah menulis setiap pelajaran
yang telah dia pelajari daripada gurunya itu. Kemudian, dia telah menyalin semula
nota-nota itu dan telah dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia
sangat menyayangi nota-notanya itu.
Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke
Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam
sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-
tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah
merampas harta setiap anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang
kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika
penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī telah berkata, "Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau
ambil bungkusan ini."
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin
mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu.
Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka
pun bertanya, "Apa ini?"
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, "Ini adalah hasil titik
peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat
mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya."
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata,
"Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya?
Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang
tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!"
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-
Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-
Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya
adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah
menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima
petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga
tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis."
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, "Sebaik-baik nasihat dan
teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang
daripada seorang penyamun jalanan!"
Peta Iran.

Ketika berada di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah sempat


bernikah, dan sepanjang hidupnya, telah dikurniakan oleh Allah dengan empat orang
anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Tetapi malangnya, anak lelakinya
yang bernama Ĥāmid itu, telah mati ketika masih kecil lagi.
Pada tahun 473 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke al-
Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr dan telah berguru dengan seorang syaikh
yang sangat terkenal di waktu itu, bernama asy-Syaikh Điyā’uddīn Abū al-Ma‘ālī
'Abdul Mālik ibn ‘Abdullāh al-Juwainī. Guru ini juga dikenali umum dengan nama
Imām al-Ĥaramain kerana dia pernah mengajar di Masjid al-Ĥarām di Makkah dan di
Masjid an-Nabawī di al-Madīnah al-Munawwarah.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah seorang penuntut yang pintar dan
disayangi pula oleh Imām al-Ĥaramain. Pernah gurunya ini memuji al-Imām Abū
Ĥāmid al-Ghazālī dengan mengatakan bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī
adalah umpama lautan yang tidak bertepi. Ini menandakan betapa dalam dan luasnya
ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Malah telah dikatakan juga
oleh beberapa orang pengkaji bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī memiliki
darjah kecerdasan yang sangat tinggi, di paras genius.
Di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr, tanda-tanda ketajaman otak
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang luar biasa itu telah mula kelihatan. Di pusat
pengajian tinggi ini, dia telah belajar ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu bahasa seperti
ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu falsafah, ilmu kalam dan ilmu perdebatan.
Semua ilmu-ilmu ini telah dikuasainya dengan mudah. Dan di sini jugalah, al-
Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mula menulis kitab-kitabnya yang banyak itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang ‘ālim yang gemar mempelajari
bermacam-macam jenis ilmu. Ini telah diceritakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-
Ghazālī sendiri di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl.
"Sejak aku masih muda lagi, yakni belum pun aku mencapai umur dua puluh
tahun sehingga sekarang, dan kini umurku telah melebihi lima puluh tahun,
aku telah terjun ke dasar laut (yakni ilmu) yang dalam ini. Tiada aku hiraukan
segala kesulitan dan telah aku kumpulkan seluruh keberanianku.
Setiap jurang aku masuki sehingga aku sampai ke dasarnya. Setiap
kemusykilan aku bongkar sehingga aku temui jawapannya yang jelas. Aku
selidiki setiap kepercayaan dari setiap golongan. Aku korek hingga sampai ke
dasar rahsia tersembunyinya. Ini semua telah aku lakukan agar aku dapat
membezakan di antara yang benar dengan yang palsu, yang sunnah dengan
yang bidaah.
Ketika aku bertemu dengan golongan batiniah, aku telah memeriksa dengan
penuh teliti segala isi ajaran mereka. Ketika aku bertemu dengan kaum
zahiriah pula, aku telah menyelidiki segala isi kandungan dan selok-belok
ajaran mereka. Demikianlah halnya aku teruskan dengan setiap golongan.
Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli falsafah, aku telah bergaul dengan
mereka sehingga aku dapat mendalami cara pemikiran falsafah mereka.
Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli ilmu kalam, aku telah bergaul dengan
mereka sehingga aku dapat mengikuti dan menyelidiki pokok-pokok
pegangan hujah-hujah mereka.
Begitu juga apabila aku berdamping dengan para sufi, aku telah berusaha
sehingga aku dapat mengetahui rahsia-rahsia kesufian. Ketika aku bergaul
dengan ahli-ahli ibadat, aku telah mengkaji kesan-kesan amal ibadat mereka
itu. Dan tiadalah aku temui kaum zindiq dan kaum engkar melainkan aku
telah menyelidiki sebab-sebab dan latar belakang yang telah menjadikan
mereka berpegangan demikian.”
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu tasawuf daripada asy-Syaikh Abū
'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī aţ-Ţūsī (dilahirkan pada tahun 409 Hijrah di
Fārmadh, yang terletak di dalam daerah Ţūs), seorang 'ālim dan faqīh, yang lebih
terkenal di hari tuanya sebagai seorang guru sufi. Di bawah bimbingan gurunya ini,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mengamalkan beberapa latihan rohani, tetapi
dia tidak sempat mencapai tahap kesempurnaan, kerana gurunya ini telah meninggal
dunia pada tahun 477 Hijrah.
(Fārmadh yang pernah dieja sebagai ‫ فارمذ‬pada zaman silam kini dieja dieja
sebagai Fārmad ‫)فارمد‬
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga ada bertemu dan belajar dengan
beberapa orang guru sufi lain, dan salah seorang daripada mereka ialah asy-Syaikh
Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī. Dan di tangan guru sufi inilah, al-Imām Abū
Ĥāmid al-Ghazālī telah menerima beberapa pembukaan rohani tambahan, yang tidak
sempat diterimanya semasa dia berguru dengan asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn
Muĥammad al-Fārmadhī.
Sebenarnya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu dahulu dengan
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī sebelum bertemu dengan asy-Syaikh
Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, dan setelah asy-Syaikh Abū 'Alī al-
Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī meninggal dunia, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī
telah bertemu semula dengan asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī untuk
menerima ajaran-ajaran tambahan di dalam ilmu tasawuf.
Seperti keadaan asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī,
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī pernah berguru dengan asy-Syaikh
Abū al-Ĥasan al-Kharqānī dan selepas itu dengan asy-Syaikh Abū al-Qāsim
'Abdullāh ibn 'Alī al-Jurjānī pula. Asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī
telah meninggal dunia pada tahun 487 Hijrah.
Beberapa waktu setelah Imām al-Ĥaramain meninggal dunia pada tahun 478
Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah dijemput ke sebuah tempat bernama al-
Mu‘askar untuk bertemu dengan Niżām al-Mulk.
Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian ilmu
yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām Abū Ĥāmid al-
Ghazālī telah diraikan sebagai seorang 'ālim yang besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-
Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama lebih kurang enam tahun. Dia juga telah
ditemukan dengan al-fuqahā' dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah
mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid al-
Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua profesor) di al-
Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama dengan Universiti Islam
pada hari ini).
Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru tiga
puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan gelaran Syaikh
al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang
rasmi.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini dengan
baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar, yang dekat mahupun
yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjadi sangat terkenal di
waktu itu, sebagai seorang 'ālim yang sangat fasih memberikan huraian-huraian
pelajaran, dan sangat pandai berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas
dan dalam pula ilmunya.
Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak
berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya telah
melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi jiwanya telah
bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh diumpamakan seperti air yang
sedang menggelegak. Ini telah menyebabkannya jatuh sakit.
Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu kesedaran
bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya, seperti memegang jawatan
pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Baghdād itu, bukanlah telah
dilakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala, tetapi telah juga
dicampuri dengan sebab-sebab duniawi.
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-
Munqidh Min ađ-Đalāl:
Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai
kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang
kehendak nafsu. Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati
kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan
kembali ke negeri yang kekal abadi. Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala
dengan sepenuh hati. Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan
membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri
dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-'alā'iq).
Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri. Maka aku dapati rupa-
rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah. Dan apabila
aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-
rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan
tidak bermanfaat di jalan akhirat.
Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah.
Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta'ala. Malah, pembangkit dan
pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang
luas. Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang
merbahaya. Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan
aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.
Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang meronta-ronta
melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu tekanan jiwa yang amat
berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.
Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:
Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan
aku pilih. Hatiku masih berbolak-balik.
Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan
diriku daripada keadaan hidup harian itu. Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah
membatalkan keputusan itu. Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke
hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!
Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari,
tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya.
Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ,
sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah!
Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah
perjalanan yang jauh. Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan
semuanya adalah riyak dan palsu belaka. Jika sekarang engkau masih belum bersiap
sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia? Jika sekarang
engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-
kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu
perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya.
Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu
engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini,
yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih
daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan
menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat
kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”
Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat
dunia, dan tarikan panggilan akhirat. Ia berpanjangan selama hampir enam bulan,
bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku,
terpaksa menyerah sahaja. Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat
mengajar. Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar
dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu. Aku
tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan
kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku. Roti
yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan
walaupun sesuap.
Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah
berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu. Dari situ,
ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya,
melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala
duka nestapa ini.”
Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala
ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala. Dia telah
memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang
yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya. Kini, menjadi ringanlah bagi
hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-
rakan.
Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī
telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di
Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi
seorang pengembara. Dia telah meminta adiknya, yakni asy-Syaikh Aĥmad al-
Ghazālī, mengambil alih jawatannya itu.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta
benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan untuk nafkah
menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal perjalanannya itu. Dan
untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak wasangka atau kekecohan, al-
Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan yang dia akan berangkat ke
Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji.
Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju
ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga telah
banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik al-Umawī di kota
Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid itu, dan selepas
menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di sebuah sudut sepanjang hari.
Dan pada hari ini pula, sudut itu telah diberikan nama panggilan Sudut al-
Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī
pernah duduk beriktikaf di kala itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali
dengan nama Sudut asy-Syaikh Naşr al-Maqdisī.)
Peninggalannya
Kitab-kitab yang telah ditulis oleh beliau adalah amat banyak sekali dan telah
dianggarkan melebihi 200 buah. Namun, yang masih kekal hingga ke hari ini
hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja.
Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis di dalam bahasa Arab, dan ada
juga yang telah ditulis di dalam bahasa Parsi. Di antara kitab-kitab al-Imām Abū
Ĥāmid al-Ghazālī yang lebih terkenal di negara Malaysia ialah:
 ar-Risālah al-Ladunniyyah;
 al-Munqidh Min ađ-Đalāl;
 Bidāyah al-Hidāyah;
 Minhāj al-‘Ābidīn;
 Mīzān al-'Amal;
 Kīmiyā' as-Sa'ādah;
 Misykāh al-Anwār; dan
 Iĥyā' 'Ulūmiddīn.
kitab tulisan al-Ghazālī

You might also like