You are on page 1of 38

Tazkira Ramadan 7

Hari 19; Hari 20 dan Hari 21

Musbri Mohamed
DIL; ADIL ( ITM )
MBL ( UKM )

1
19. Islam tuntut petani lakukan anjakan paradigma pertanian. Al-
Quran menyatakan ganjaran besar hingga kiamat kepada umat suka
bercucuk tanam

Segala puji bagi Allah s.w.t . Salam dan juga selawat


buat Junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta
sahabat-sahabat Baginda.

Ada persamaan di antara orang yang mati syahid dengan petani di syurga
kelak. Persamaan ini pastinya menimbulkan tanda tanya kepada sesiapa saja
yang mendengarnya. Walaupun kedua-dua golongan itu sudah berada di
syurga namun mereka tetap merindukan pekerjaan mereka yang mereka
dilakukan di dunia. Orang mati syahid ingin kembali ke dunia untuk berjihad
kemudian terbunuh dan berjihad lagi kemudian terbunuh. Manakala petani
pula ingin bercucuk tanam ketika di dalam syurga.

2
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu
Hurairah sebuah hadis yang bermaksud:

“Nabi Muhammad s.a.w pada suatu hari berbincang


dengan sahabat dan di sisi baginda ada orang Badwi.
Baginda s.a.w bersabda: “Bahawasanya ada
seorang daripada penghuni syurga yang meminta
kebenaran dari Tuhannya untuk bercucuk tanam,
maka Allah s.w.t berfirman kepadanya: "Tidakkah
kamu memperoleh apa yang kamu kehendaki?" Dia
menjawab: "Benar, akan tetapi aku suka bercucuk
tanam." Rasulullah s.a.w kemudian bersabda:
“Kemudian penghuni syurga itu menaburkan benih,
dalam sekelip mata benih itu menjadi tanaman yang
matang dan boleh dituai. Tanaman itu bertimbun
seperti gunung. Lalu Allah s.w.t berfirman:
"Ambillah wahai anak Adam, sesungguhnya tidak
ada yang boleh membuat kamu kenyang."

3
Orang Badwi itu berkata: "Demi Allah, aku tidak mendapati petani itu kecuali
orang Quraisy atau Ansar kerana mereka adalah orang yang suka bercucuk
tanam." Mendengarkan perkataan itu, Nabi Muhammad s.a.w pun tertawa."

Ketika menjelaskan hadis di atas, Ibn al-Qayyim dalam Tamasya Ke Surga


menulis: "Pada intinya hadis di atas menunjukkan bahawa di syurga ada
tanaman dan benihnya sekali. Jika ada orang yang bertanya, "Mengapa petani
itu memohon kebenaran dari Tuhannya untuk menanam kemudian Allah s.w.t
menjelaskan kepadanya bahawa orang itu tidak perlu menanam lagi?"
Jawabnya: Bahawa orang itu memohon kebenaran daripada Allah s.w.t untuk
menanam tanaman dengan tangannya sendiri. Padahal Allah s.w.t sebenarnya
tidak memerlukan orang itu bercucuk tanam dan juga Allah s.w.t
menyediakan semua keperluan secukupnya untuk orang berkenaan."

4
Beliau juga menegaskan: "Ibrahim bin Hakam meriwayatkan daripada
ayahnya, Ikrimah, dia berkata:

"Seorang penghuni syurga bergumam dalam hatinya, "Bagaimana jika


sekiranya Allah s.w.t mengizinkan aku menanam tanaman di syurga".
Orang itu tidak sedar jika malaikat sedang berdiri dipintu istananya.
Malaikat pun berkata kepadanya: "Salam sejahtera untukmu, Tuhanmu
berfirman kepadamu bahawa engkau bergumam dalam hatimu ingin
menanam tanaman di syurga. Aku mengetahuinya. Sekarang Allah s.w.t
mengutus ku ke mari untuk menyerahkan benih-benih tanaman yang
engkau inginkan." Allah s.w.t berfirman: "Tanamlah!" Tidak lama
kemudian tanaman itu tumbuh tinggi setinggi gunung. Allah s.w.t di atas
Arasy-Nya berfirman kepadanya: "Makanlah, wahai anak Adam,
sesungguhnya anak Adam tidak pernah berasa kenyang."

5
Petani termasuk peladang dan pekebun adalah golongan yang bekerja keras
dan semua kehidupan termasuk manusia dan haiwan di dunia hidup berpunca
daripada hasil jerih payah mereka. Jika tidak ada mereka adakah roda
kehidupan manusia berputar? Jika tidak ada mereka adakah bangunan tinggi
menjulang, alat-alat yang bergerak lancar dan manusia yang beraktiviti setiap
saat? Kita tidak boleh membayangkan jika manusia boleh hidup tanpa
pertolongan hasil pertanian.

Pertanian sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia adalah asas dan


tonggak kehidupan mereka dan kerana kepentingannya itulah Al-Quran
ketika menjelaskan mengenai pahala mentamsilkannya dengan hasil
pertanian seperti dalam firman Allah s.w.t bermaksud:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan


Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah),
Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya,
dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-
Nya." Surah al-Baqarah: 261

6
Nabi Muhammad s.a.w dan sahabatnya sebagai generasi terbaik pun
diibaratkan al-Quran sebagai suatu tanaman.

Allah s.w.t berfirman maksudnya: "Nabi Muhammad s.a.w ialah Rasul


Allah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas
terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap
kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).... dan
sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka
diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan
tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia
menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan
keadaan yang mengagumkan orang yang menanamnya. (Allah
menjadikan sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya
kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak
menjadikan orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad
dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu."
Surah al-Fath: 29

7
Imam Malik berkata, bahawa sudah sampai kepadanya
perbincangan orang Kristian di Syam (Syria, Lubnan, Palestin dan
Jordan hari ini) ketika mereka melihat sahabat mereka berkata,
bahawa sahabat lebih bersinar dan lebih bercahaya daripada
Hawariyyin, pengikut Nabi Isa a.s. Mukhtasar Tafsir Ibn
Kathir, III/355

Betapa pentingnya bercucuk tanam dalam memakmurkan bumi ini


sehingga Junjungan Rasulullah s.a.w kita pun menggalakkan kita
dengan sabdanya dalam riwayat Anas bin Malik bermaksud:

"Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan


seorang daripada kalian ada benih kurma maka apabila dia
mampu menanam sebelum terjadi kiamat hendaklah dia
menanamkannya."

8
Dalam sebuah hadis disebutkan maksudnya: "Tidaklah seorang
muslim menanam suatu tanaman melainkan apa yang dimakan
daripada tanaman itu sebagai sedekah baginya, dan apa yang
dicuri daripada tanaman itu sebagai sedekah baginya dan
tidaklah kepunyaan seorang itu dikurangi melainkan menjadi
sedekah baginya." Hadis riwayat Muslim

Imam al-Nawawi berkata: "Dalam hadis ini ada keutamaan


bercucuk tanam. Sesungguhnya ganjaran bagi pelakunya itu
berlanjutan sejak tanaman atau pohon itu ada dan apa yang
dihasilkan daripadanya sampai hari kiamat. Hadis ini adalah
dalil yang jelas mengenai anjuran Nabi Muhammad s.a.w
untuk bercucuk tanam, kerana di dalam bercucuk tanam
terdapat maslahat dunia dan agama.

9
Adapun maslahat dunianya adalah di dalam bercucuk tanam
menghasilkan produk (bahan makanan), maslahat bercucuk tanam
tidaklah seperti maslahat wang. Dalam bercucuk tanam, petani sendiri
boleh mengambil manfaatnya, selain negaranya dan setiap orang
mengambil manfaat daripada hasil pertanian dengan membeli hasilnya,
dan juga mereka memakan makanan daripada hasil pertanian, maka
tanaman itu menjadikan (maslahat) untuk masyarakat dan
memperbanyak kebaikannya. Berbeza dengan wang yang disimpan
dalam kotak maka tidak ada seorang pun yang boleh mengambil
manfaat.

Sedangkan manfaat yang bersifat agama, maka sesungguhnya (tanaman


itu) jika dimakan oleh sesiapa pun meskipun satu biji saja sesungguhnya
itu adalah sedekah, sama saja apakah dia kehendaki ataupun tidak,
bahkan seandainya ditakdirkan bahawa seseorang itu ketika
menanamnya tidak mempedulikan perkara ini (yakni perkara mengenai
apa yang dimakan daripada tanamannya adalah sedekah) maka
sesungguhnya apabila ternyata tanamannya dimakan maka itu tetap
sedekah."

10
Apa yang boleh kita simpulkan daripada banyaknya hadis dalam kitab-
kitab hadis yang membincangkan pertanian adalah bahawa hadis itu
menunjukkan perintah menanam pepohonan dan tumbuhan lainnya,
serta keutamaan mengolah (membuat produktif) bumi dan hal itu
termasuk amalan yang pahalanya tidak berhenti dengan kematian
pelakunya; hadis itu menunjukkan agar berusaha untuk memberi
manfaat kepada makhluk Allah s.w.t serta mempermudah urusan dan
memenuhi seluruh keperluan mereka; hadis itu memberi pelajaran
bahawa seorang muslim akan mendapatkan pahala daripada hartanya
yang dicuri, dirampas atau dirosak dengan syarat dia tetap bersabar
dan menyerahkan segala sesuatu kepada Allah s.w.t ; dan hadis itu
menunjukkan dibolehkannya mengembangkan profesi yang
bermanfaat seperti pertanian, perdagangan, perindustrian dan
pekerjaan lainnya.

11
Kita pada hari ini seperti kacang melupakan kulit. Kita silau
dengan perkara teknikal dan teknologi sehingga kita lupa kepada
sebab yang memberikan kehidupan kepada kita ialah petani.

Kita berlumba-lumba memajukan dan mengembangkan perkara


teknikal dan teknologi dan sebaliknya kita mengetepikan perkara
asas kehidupan kita yakni beras dan hasil tani lain yang sejenis.

Oleh itu, sudah sewajibnya kita sebagai umat Islam yang


menjadi rahmat kepada alam semesta untuk memikirkan semula
hubungan kita dengan pertanian yang semakin renggang dengan
kehadiran anak emas yang bernama perindustrian dan teknologi.

Konvensyen Pertanian Kebangsaan adalah satu daripada jalan


keluar untuk kita agar tidak derhaka kepada bumi yang
menghidupkan kita.

12
Adalah keadaan kita, seperti yang disebutkan Perdana
Menteri, "Orang Melayu tanam padi, getah dan sawit,
tetapi ia dipanggil kebun, manakala yang diusahakan
orang lain dipanggil ladang. Kita tanam buah dan bina
kolam ikan, tapi hanya kebun dan kolam kecil. Kita hanya
seronok jadi penanam atau pengeluar."

Dalam konvensyen berkenaan, Perdana Menteri mahu


petani seluruh negara memajukan sektor industri asas tani
secara koperasi agro bagi membolehkan mereka berkongsi
dalam perniagaan yang menjamin keuntungan lebih lebih
lumayan.

13
Kita menginginkan petani semacam 'Amru bin 'Ash yang
memiliki dan membangunkan salah satu kebun anggurnya
di Ta’if yang berdiri di atas sejuta kayu yang berharga setiap
satu kayunya satu dirham. Ibnu Asakir, al-Tarikh, 13/264

Kita juga menginginkan semua umat agar melakukan seperti yang


dilakukan Saidina Umar berikut: Ibnu Jarir meriwayatkan
sebuah hadis yang berasal dari Ammarah bin Khuzaimah bin
Tsabit, yang berkata: "Saya mendengar Umar ibn al-Khattab
berkata kepada ayahku: 'apa yang menghalangimu untuk
menanami tanahmu? Ayah saya menjawab: 'Saya sudah tua dan
besok akan mati.' Kemudian Umar berkata: 'Aku benar- benar
menghimbaumu agar engkau mahu menanaminya.' Sungguh aku
melihat Umar bin Khattab menanam dengan tangannya bersama
ayahku."

14
20. Mengingati Rasulullah s.a.w sepanjang masa
Umat Islam mesti jadikan akhlak, ajaran Nabi Muhammad s.a.w contoh
ikutan terbaik

Aku kesayangan Allah (dan tidak bongkak). Aku membawa panji 'Pujian' pada hari
kiamat, di bawahnya Adam dan yang sesudahnya (dan tidak bongkak). Aku yang
pertama pemberi syafaat dan yang diterima syafaatnya pada hari kiamat (dan tidak
bongkak). Aku yang pertama menggerakkan pintu syurga dan Allah s.w.t
membukanya untukku dan aku dimasukkan-Nya bersama-sama orang beriman
yang fakir (dan tidak bongkak). Dan Akulah paling mulia dari kalangan terdahulu
dan terkebelakang di sisi Allah (dan tidak bongkak)," maksud sabda Baginda s.a.w
yang diriwayatkan Tirmizi.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh


teladan yang baik untuk kamu." Surah al-Ahzab ayat 21

15
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina
Aisyah bermaksud, "Adalah akhlaknya (Rasulullah s.a.w )
sebagai akhlak al-Quran." Hadis riwayat Muslim

Ia menunjukkan akhlak Baginda s.a.w adalah sempurna


kerana Baginda s.a.w mengamalkan segala ajaran dalam al-
Quran. Inilah salah satu sebab mengapa seluruh umat
manusia diperintahkan supaya mencontohi Baginda.

Sesungguhnya Allah s.w.t mengutuskan Rasulullah s.a.w


kepada manusia untuk menjadi contoh terpilih. Baginda
juga contoh, gambaran pelaksanaan yang sempurna lagi
tinggi untuk kesempurnaan manusia sejagat.

16
Tidak syak lagi kepada umat Islam bahawa sekiranya mereka
mengikuti keperibadian Rasulullah s.a.w yang mulia, sesungguhnya
mereka adalah manusia yang mempunyai ciri kepemimpinan agung,
yang sentiasa mendapat kasih dan restu daripada Allah s.w.t.

Rabiulawal adalah bulan bersejarah bagi umat Islam kerana dalam


bulan inilah junjungan kita Rasulullah s.a.w diputerakan. Hari
keputeraan ini disambut oleh umat Islam untuk mensyukuri rahmat
Allah s.w.t yang menurunkan seorang pemimpin yang sudah
mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ke arah kejayaan. Di
samping itu, ia sebagai satu saranan untuk mengenang serta
mengimbas kembali perjuangan Baginda s.a.w yang penuh dengan
rintangan, bagi membetulkan akidah umat, serta untuk kemanusiaan
dan keadilan sejagat.

17
Selaku Nabi dan Rasul, Baginda s.a.w sudah menerima
amanah daripada Allah s.w.t dengan penuh tawakal dan
ketaatan yang menjadikan Baginda itu sentiasa berjaya dan
mendapat pertolongan.

Baginda s.a.w adalah seorang rasul yang mempunyai darjat


kelebihan daripada nabi, rasul yang lain. Firman Allah
s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 253 yang bermaksud:
"Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada
mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-
kelebihan tertentu) di antara mereka ada yang berkata-
kata dengan Allah dan ditinggikan (pangkat) sebahagian
daripada mereka beberapa darjat kelebihan."

18
Kita mencintai Rasulullah s.a.w kerana Baginda mempunyai peribadi
yang tinggi. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan
dengan kata-kata dan sambutan yang pelbagai cara, tetapi mesti
dilahirkan dengan meniru sifat peribadi yang mulia. Kerana sifat-sifat
peribadi yang mulia inilah Rasulullah s.a.w disanjung tinggi dan dapat
memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah
yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan saja di dunia bahkan di
akhirat.

Di antara sifat Rasulullah s.a.w yang patut kita hayati ialah Baginda
sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah
berdusta dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah laku; Baginda
bersifat amanah sejak kecil hingga diberikan gelaran al-Amin dan
diberikan kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya
Allah s.w.t melantiknya menjadi seorang Rasul akhir zaman; Baginda
bersifat adil tidak memihak dalam membuat hukuman walaupun
terhadap keluarganya sendiri. Ini telah ditegaskan dengan sabdanya
yang bermaksud: "Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri
nescaya aku potong tangannya."

19
Di samping itu, Baginda mempunyai keyakinan diri. Dengan
keyakinan dan ketabahan itu menyebabkan agama Islam tersebar
hingga ke hari ini; Baginda juga berusaha dengan rajin dan tekun.
Ini dapat dilihat daripada apa yang dilakukan olehnya dari sejak
kecil dengan bekerja sebagai pengembala kambing dan ketika
remaja berniaga dan akhirnya ia berdakwah menyeru manusia
mengabdikan diri kepada Allah dan memperbaiki kepincangan
masyarakat; dan Baginda adalah seorang yang cekal dan cekap
menjalankan tugasnya di semua bidang seperti pengurusan rumah
tangga, pentadbiran negara dan di medan perang; serta Baginda
juga mempunyai sifat kesungguhan dalam usahanya menyebarkan
agama Islam, menyatupadukan umat dan melakukan ibadah
kepada Allah s.w.t. Baginda tidak mudah putus asa walaupun
menghadapi tekanan daripada puak Quraisy.

20
Perkara di atas adalah satu pegangan yang wajib dimiliki
oleh setiap Muslim mengenai nabi mereka. Kecintaan kita
kepada Junjungan adalah tanda wujudnya iman dalam diri
kita. Sabda Baginda s.a.w maksudnya: “Tidaklah seseorang
itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada
ayahnya, anaknya dan seluruh manusia.” Hadis riwayat
Bukhari

Umat Islam hari ini kurang memperhatikan hakikat di atas.


Mereka menjadikan selain Muhammad s.a.w sebagai idola
mereka. Mereka lebih mencontohi si polan dan si polan dari
mencontohi Muhammad s.a.w . Mereka lebih sebati jiwa dan
raga mereka dengan si anu dan si anu daripada sebati jiwa
dan raga mereka dengan Muhammad s.a.w . Sehingga
akhirnya mereka lebih mengutamakan perkataan, perbuatan
dan persetujuan yang dikeluarkan oleh manusia, selain
Muhammad s.a.w .

21
Mereka berkata bahawa mereka beriman kepada Muhammad
s.a.w . Tapi ketika dianjurkan kepada mereka perkataan,
perbuatan, dan persetujuan Baginda, mereka menutup mata.

Mereka berkata bahawa mereka pengikut Muhammad s.a.w .


Tapi ketika ditunjukkan kepada mereka perkataan, perbuatan,
dan persetujuan Baginda mereka menutup telinga.

Mereka berkata bahawa mereka mencintai Muhammad s.a.w .


Tapi ketika dihadapkan kepada mereka perkataan, perbuatan,
dan persetujuan Baginda mereka menutup mulut.

22
Itulah realiti yang dihadapi umat Islam masa kini. Mereka
mengingati Muhammad s.a.w hanya apabila mereka sedang
dalam surau, masjid dan majlis. Tapi ketika mereka keluar,
yang mereka ingat adalah selain Muhammad s.a.w . Padahal
perkataan, perbuatan dan persetujuan Muhammad s.a.w
bersifat sederhana dan tidak menyusahkan dan memberatkan.

Baginda bersabda maksudnya: “Apa saja yang aku larang


bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku
perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai
kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum
kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan berselisih
faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan
patuh).” Muttafaq ‘alaihi

23
Betapa mulia dan tingginya Nabi Muhammad s.a.w seperti dalam hadis pada
permulaan renungan ini sudah cukup untuk menjadi bukti kewajipan mengidolakan
Baginda. Mahukah kita dekat dengan Baginda kerana mengidolakan Baginda? Jika
mahu, Baginda pun memberikan satu jalan dalam sabda Baginda bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang
yang paling banyak membaca selawat kepadaku."
Hadis riwayat Tirmizi

Allahumma salli ‘ala Muhammad.

24
21. Makanan halal memperkasa umat
Rezeki ikut syariat mampu tingkat ketakwaan, jana keuntungan dunia dan
akhirat

Anda menghidap penyakit kencing manis kerana anda tidak menjaga


pemakanan apabila acap kali makan dan minum benda manis atau yang
mengandungi gula kesukaan anda. Oleh itu, tidak hairanlah apabila diabetes
mellitius menjadi 'tetamu tetap' pada tubuh anda sepanjang hayat.

Begitu juga anda adalah antara penggemar makanan segera ala-Amerika. Yang
menyedihkan anda tidak mengawal cara pemakanan anda. Apakah akan terjadi
kepada anda? Yang pasti ialah obesiti, sekali gus menyukarkan anda untuk
melangsingkan semula badan anda sehingga anda sering dihantui serangan
jantung.

25
Anda menyukai makanan segar, minum susu dan mengawal
pemakanan anda setiap hari. Apa yang akan terjadi? Yang pasti tubuh
anda akan menjadi sihat dan selalu bertenaga yang mungkin dikecapi
sepanjang hayat.

Tiga contoh di atas adalah contoh mudah mengenai pengaruh makanan


terhadap tubuh manusia yang boleh memudaratkan tubuh atau
memberikan manfaat di dunia.

Bagaimana jika anda memakan atau meminum makanan dan minuman


haram? Apa yang akan terjadi? Selain seksa dunia dan doa tidak
dimakbulkan, seksa neraka jahanam akan menunggu anda kelak seperti
disabdakan Rasulullah maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka


api nerakalah yang layak baginya.”
Hadis riwayat al-Tirmizi

Wal’iyazu billah.

26
Makanan sangat mempengaruhi pertumbuhan tubuh manusia sama ada dari
segi fizikal, mental mahupun rohani. Hakikat ajaran ini boleh kita
perhatikan kebenarannya kepada diri manusia sejagat yang berbilang
bangsa dan puak. Bangsa yang memakan beras akan berbeza dengan
bangsa yang memakan gandum. Puak yang memakan sagu akan berbeza
dengan puak yang suka memakan ubi kayu.

Bangsa dan puak yang memakan makanan halal akan berbeza dengan
bangsa dan puak yang memakan makanan haram. Perbezaan ini sangat
ketara secara fizikal, mental mahupun rohani.

Makanan halal yang dimaksudkan di atas bukan saja dari segi jenisnya
seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan malah juga dari segi nilai dan
normanya seperti yang diperoleh daripada perbuatan yang dilarang agama
seperti mencuri, rasuah dan menipu.

27
Antara sebab kelemahan umat Islam hari ini sehingga mereka
digambarkan oleh Junjungan sebagai bak buih air laut (Lihat:
hadis riwayat Abu Daud) yang tidak ada gunanya bagi kekuatan
ummah kerana mereka dipengaruhi oleh tabiat pemakanan mereka
yang menyebabkan lemahnya tubuh mereka secara fizikal, mental
dan rohani. Dengan itu, mereka malas untuk beribadat, tidak
ghairah mempertahankan Islam dan berasa inferior (lemah)
berdepan dengan musuh mereka. Padahal sebenarnya merekalah
yang mempunyai kekuatan sebenar seperti firman Allah s.w.t
maksudnya:

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi
Rasul-Nya serta bagi orang yang beriman; akan tetapi golongan
yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah al-Munafiqun: 8

28
Keadaan seperti inilah yang sedang dipermainkan oleh musuh
Islam agar umat Islam tidak akan pernah bangkit daripada
penyakit 'wahn' mereka sehingga mereka tidak ambil kisah
apakah makanan mereka itu halal atau tidak? Atau adakah
makanan mereka diperoleh daripada sumber yang halal atau
tidak? Yang penting bagi mereka adalah keselesaan hidup
walaupun dengan cara mengorbankan ajaran agama mereka.

Menyedari hakikat ini, orang yang sedar dan waras di kalangan


umat Islam sedang membuat penerokaan baru yang sesuai
dengan keadaan semasa demi mengembalikan keperkasaan
umat Islam. Satu daripada penerokaan yang boleh menasihati
umat Islam secara fizikal, mental dan rohani adalah perhatian
kepada produk makanan halal.

29
Apa itu makanan halal? Walaupun pengertian halal adalah sederhana
menurut hukum syarak iaitu suatu perbuatan atau benda yang
dibenarkan menurut Islam tetapi secara perundangan ia akan
mempunyai beberapa penafsiran. Sebagai contoh, dalam Perintah
Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan Halal) 1975 perkataan
‘Halal’, ‘makanan orang Islam’ atau makanan ‘ditanggung Halal’
didefinisikan sebagai:

(a) Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau


benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak
memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak;

(b) Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis


mengikut hukum syarak.

30
(c) Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat
yang tidak bebas daripada benda najis mengikut hukum syarak; dan

(d) Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu


bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi
kehendak perenggan (a), (b) dan (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai
najis mengikut hukum syarak.

Memakan makanan halal adalah nilai dan norma global yang disepakati oleh
masyarakat antarabangsa walaupun ada perbezaan pandangan dalam
menentukan halalnya. Ini dapat dibuktikan dengan firman Allah s.w.t yang
maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di
bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan;
kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Surah Al-Baqarah: 168

Dalam ayat ini, seruan sangat jelas ditujukan kepada sekalian manusia agar
mereka memakan makanan halal lagi baik. Mereka mesti bersatu padu
memerangi musuh bersama, iaitu syaitan.

31
Selain ayat 168 Surah al-Baqarah, ada tiga ayat lain yang menyebut
makanan ‘halalan tayyiban’, halal lagi baik. Apa yang menarik perhatian
penulis daripada ayat berkenaan adalah hubungan makanan halal lagi baik
dengan takwa dan bersyukur ketika dikaitkan dengan orang beriman,
manakala ketika dikaitkan dengan umat manusia seperti ayat di atas ia
dihubungkan dengan permusuhan antara manusia dan syaitan.

Mari kita perhatikan ketiga-tiga ayat ‘halalan tayyiban’ yang berkaitan


dengan orang yang beriman. Pertama firman Allah s.w.t bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda yang baik-
baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu
melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan
makanlah daripada rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu
yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja
kamu beriman.” Surah al-Maidah: 87-88

32
Kedua, firman-Nya bermaksud: “Maka makanlah daripada apa yang kamu telah
dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta
bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” Surah al-Anfal: 69

Ketiga, dalam al-Quran disebutkan maksudnya: “Dan (berhubung dengan hal


kaum yang kufur ingkar) Allah s.w.t memberikan satu contoh: Sebuah negeri
yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah daripada
tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat Allah itu, maka Allah
merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya
disebabkan apa yang mereka telah lakukan. Dan demi sesungguhnya, mereka
pula telah didatangi seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, lalu
mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka
berkeadaan zalim. Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa
yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi
baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya
semata-mata.” Surah al-Nahl: 112-114

33
Ketiga-tiga ayat di atas mengisyaratkan kepada kita bahawa ketakwaan
dan kesyukuran akan diwujudkan apabila seseorang yang beriman itu
memakan makanan halal lagi baik. Oleh kerana seruan bertakwa dan
bersyukur ditujukan kepada orang beriman yang mengambil makanan
halal lagi baik. Subhanallah!

Dalam pemprosesan makanan, kita tidak dapat lari daripada menggunakan


bahan tambah dalam makanan dan kebanyakan daripadanya adalah
diimport. Bahan tambah ini diperbuat daripada pelbagai sumber sama ada
haiwan atau tumbuhan. Jika daripada tumbuhan, status halal jarang
diragui tetapi bagaimana kalau ia datang daripada haiwan? Jika haiwan itu
daripada kumpulan yang diharamkan, sekali lagi statusnya jelas. Untuk
bahan tambah yang datangnya daripada sumber haiwan mungkin
menimbulkan keraguan kepada masyarakat Islam kerana status halal
makanan itu bergantung kepada cara penyembelihan yang dilakukan.

34
Ada beberapa ramuan makanan yang digunakan
dalam pemprosesan makanan termasuk, haiwan,
tumbuh-tumbuhan dan bahan makanan yang
diproses/bahan tambah makanan seperti
lemak/minyak, bahan pengawet, penstabil dan
pemekat serta renet/renin (kimosin).

35
Pasaran antarabangsa makanan halal bernilai AS$100 bilion tahun ini dan
nilai ini dijangka meningkat setiap tahun. Malaysia adalah sebuah negara
pengeluar makanan halal yang terpenting di dunia. Peluang pemasaran
makanan halal sangat luas sama ada dalam atau luar negara.

Jika pengeluar makanan di negara ini memahami fakta ini, pastinya


keuntungan dalam genggaman mereka. Contohnya, suatu syarikat
pengeluar makanan utama, semua produk (atau kebanyakan produk)
mereka mempunyai jaminan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Strategi pemasaran ini sangat
menguntungkan mereka kerana pastinya masyarakat Islam di negara ini
akan membeli tanpa was-was. Di samping itu, masyarakat bukan Islam
turut akan membeli produknya kerana barangnya dipercayai berkualiti,
berbanding pesaingnya yang mengeluarkan barang makanan yang sama
tetapi tidak mempunyai tanda halal Jakim, sudah pasti ada pengguna Islam
yang tidak membeli kerana was-was akan status halal makanan itu.

36
Di Malawi, Afrika, (dan mudah-mudahan semua negara dunia) penduduk
bukan Islam di sana lebih memilih makanan berlogo halal kerana mereka
tidak syak lagi mengenai piawaian dalam kebersihan dan kesihatannya.

Menyedari realiti ini, pada majlis perasmian Forum Halal Sedunia


(WHF) 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana
Menteri Malaysia pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
mengumumkan beberapa insentif menarik dalam usaha menjadikan
Malaysia sebagai pusat halal dunia termasuk pengecualian cukai ke atas
pendapatan berkanun jualan eksport; pengecualian duti import bahan
mentah serta potongan berganda ke atas belanja yang ditanggung oleh
sesebuah syarikat bagi mendapatkan standard kualiti antarabangsa. Selain
itu, kerajaan juga turut menawarkan insentif untuk pusat industri halal
dan pengusaha logistik, bertujuan untuk memastikan rantaian industri itu
berada pada tahap optimum.

37
Akhirnya, di samping mendapatkan
keuntungan duniawi dengan produk
makanan halal ini, kita juga boleh
memperkasa umat Islam kerana
mereka semua dalam keadaan suci
bersih fizikal, mental dan rohaninya
sebagai sifat sebenar orang bertakwa
dan bersyukur di mana Allah s.w.t
pasti bersama mereka dalam keadaan
apa jua pun. Wallahu a'lam.

Insyallah . Kita bertemu lagi


di Takzira di Hari 22, Hari
23 dan Hari 24.

Musbri Mohamed
2010 

38

You might also like