You are on page 1of 10

Tutorial Minggu 2

1. Bincangkan dalam kumpulan tentang pantang larang pelbagai kaum di


Malaysia.

KAUM CINA

Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik.
Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling
menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara,
tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal
kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan
secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun
apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina
secara keseluruhannya.

KELAHIRAN

Pelbagai adat resam dan pantang larang tertentu diamalkan oleh masyarakat Cina
dalam aspek ini dan ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung dan selepas
lahir.

i. Sewaktu Mengandung

Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat
Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang
bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau
kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan
kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam
masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan
bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana
anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek
moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu
sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.
Pantang Larang

Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung dan di
antaranya ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana
dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu
mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang
memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga
digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan perlu
dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama
kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang
larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila
harapan tidak tercapai. Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap
menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang
manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali
makan makanan yang tajam seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan
makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan
ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan itu lelaki atau
perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil,
terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat,
bayi yang dikandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan
tajam.

ii. Berpantang

Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat
puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin.
Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya.
Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan
tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat
Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa
depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik.
Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua.
Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani
kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih
daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar
kata.

Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat
daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan
bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan
pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin
disamping menguatkan semula tenaga.

iii. Kenduri

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu
apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna
merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai
merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang
mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa
pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu.

iv. Mencukur Rambut

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur


rambut Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang
dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam
kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai
pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

v. Memberi Nama

Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga.
Patah kata kedua mewakili nama se generasi di kalangan adik-beradik dan sanak-
saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem
nama yang baik perlu mengambil kira makna , unsur Yin dan Yang serta dibuat
mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu
diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir. Nama yang diberi
haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan
dan kesejahteraan. Bunyi nama mestilah sedap didengar. Nama mestilah dibuat
berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan
seelok-eloknya sepadan. Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur
Yin dan Yang yang sama berat. Nama mestilah mempunyai lima unsur iaitu emas,
air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang
mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga
akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan ditimpa kecelakaan
atau mendapat kesejahteraan. Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai
untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang
agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa
merujuk kepada kitab-kitab tertentu.

PERKAHWINAN

i. Merisik

Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati.
Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak
dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang
berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa
pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan
keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan
perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain.
Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat
mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika
merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang
keluarga dan asal keturunan.

ii. Meminang

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-
masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke
rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu
pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut
berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih
hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang
akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu
kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan
anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan..
Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin,
barulah adat bertunang dijalankan.

iii. Bertunang

Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah


bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang
tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku
iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai
dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan.
Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk
menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang
ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin
sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan
menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur
dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima,
pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan
diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.
Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua
nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika
menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun
kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang
tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan
perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-
peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi
adat-adat tertentu.

Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di
Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin
emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak
menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah
besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga
pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat
dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin
yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.

iv. Majlis Perkahwinan

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut


tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan
sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan
itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah
tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung
kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias
indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang
diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian
dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih,
merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana
dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang


ke rumah pengantin perempuan dan pada
masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama.
Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin
akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas
acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-
masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya
kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin
akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat
Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia
merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat
ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam
keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada
saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara
minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu
jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di
rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau
sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua
pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua
belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan
menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan
beberapa orang saksi.

Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara
tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan
perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.

Kematian

Semasa Kematian

Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai


memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat disapu
dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati
terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan
dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang
dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina
menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati
turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita. Kemudian mayat
akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir
menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk
menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya. Apabila berlaku kematian,
ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau
meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati
diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam.
Lazimnya tangisan yang dilakukan perlu diselitkan dengan kata-kata yang
menunjukkan si mati telah membuat jasa. Tangisan ,mengungkit keburukan si mati
dilarang sama sekali. Jika ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati
akan tersiksa. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang
si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam
akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua
lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina
juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat
terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan.
Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai
terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.

Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat dengan menggunakan
pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik . lazimnya ukiran
tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada golongan berada, ukiran
lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa. Namun pada zaman sekarang
mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan dimasukkan ke dalam lori kecil
yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah perkuburan. Semasa mengiring
mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya.
Lagu tersebut adalah berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina
sebagai lambang kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka
mendendangkan lagu kegemaran si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut
ditempah khas untuk mengiringi jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah
sehinggalah mayat dikebumikan. Biasanya iringan muzik tidak akan berhenti-henti
supaya si mati dapat dihiburkan sehingga berada di alam akhirat.

Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna
hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan
mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam
upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam
yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring yang
diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika
mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam
akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat
Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah
berpandukan kertas tersebut.

Semasa Pengebumian

Mayat akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang sedia digali dan lubang tersebut
haruslah besar supaya boleh memuatkan keranda. Bagi masyarakat Cina
tradisional, mereka memasukkan pelbagai jenis harta milik si mati. Oleh itu liang
lahad perlu besar untuk menampung harta milik si mati. Ini adalah penting untuk
menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan diketahui oleh orang lain di akhirat
kelak. Kini amalan tersebut telah berkurangan kerana telah banyak kejadian
menggali lubang kubur dilaporkan sehingga amalan tersebut tidak dilakukan lagi.
Hanya kertas yang bercop bentuk duit sahaja digunakan bagi mengelak kejadian
mengorek lubang kubur oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Bagi masyarakat Cina Kawasan perkuburan yang strategik memainkan peranan


penting kerana menjadi lambang kebahagiaan yang bakal dikecapi apabila
seseorang telah meninggal dunia. Kawasan perkuburan yang terletak di kawasan
yang tinggi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tanah yang rata. Kebanyakan
tanah perkuburan terletak di kawasan yang berhampiran jalan raya. Mengikut
kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan memudahkan roh si mati
menemui jalan pulang. 

Selain itu tanah perkuburan juga dihias dengan menarik. Terdapat beberapa hiasan
yang cantik samada daripada ukiran, warna, atau bentuk. Ukiran ini sebagai
melambangkan kekayaan si mati ketika hidup. Kubur atau jirat yang besar dan
mempunyai bentuk yang menarik menjadi lambang kemewahan. Ini bermakna si
mati layak menikmati kemewahan selepas mati seperti ketika hidup. Oleh itu tidak
hairanlah masyarakat Cina menyediakan jirat yang besar dan mewah untuk ahli
keluarga yang meninggal dunia.

Selepas Kematian

Selepas kematian, ahli keluarga akan menjalani adat berkabung. Baju hitam dipakai
beberapa hari sehinggalah hari perkabungan tamat. Setelah itu barulah pakaian
warna lain boleh dipakai. Bagaimanapun bagi isteri yang kematian suami atau suami
yang kematian isteri akan terus memakai baju tersebut lebih lama sebagai
berkabung.A

You might also like