You are on page 1of 12

TAJUK KURSUS: FALSAFAH DAN LOGIKA

MELAYU (JXEA 1104)

TAJUK: TOKOH AL-GHAZZALI DALAM BIDANG

LOGIK

NAMA : SARA SHAHIDA BINTI MOHD SALIM

NO. MATRIK : JEA080122

NAMA PENSYARAH : DR. AMRAN MUHAMMAD

NAMA TUTOR : CIK SITI HADIJAH ABDOL RAHMAN

SESI : 2008/2009

UNIVERSITI MALAYA (AKADEMI PENGAJIAN MELAYU)


BIODATA AL-GHAZZALI

Al-Ghazzali adalah seorang tokoh pertama yang menggunakan disiplin Logik dalam

Falsafah. Banyak karya beliau yang dijadikan rujukan asas dalam sistem pendidikan

formal atau tidak formal. Logik adalah disiplin ilmu Greek yang pertama diterjemahkan

ke bahasa Arab. Al-Ghazzali telah banyak menghasilkan karyanya dalam bahasa Arab

walaupun menurut sumber sejarah, beliau adalah berbangsa Parsi. Antara bukti Al-

Ghazzali berbangsa Parsi adalah beliau berkebolehan berbahasa Parsi dan telah

menghasilkan beberapa karya ilmiah. Antara karya beliau adalah Al-Tibr al-Masbuk fi

Nasihat al-Muluk dan lain-lain.

Nama sebenar beliau adalah Abu Hamid Ibnu Muhammad al-Tusi al-Ghazzali.

Nama di pangkal Al-Ghazzali iaitu “Abu Hamid” adalah nama anak lelaki tunggal beliau

yang meninggal dunia ketika masih kecil. Al-Ghazzali lahir di Tabaran iaitu sebuah kota

daerah Tus, negeri Khurasan. Tus adalah daerah di timur yang agak luas, penduduknya

padat dan merupakan bandar termasyur di Khurasan selain menjadi tempat kelahiran

beberapa orang tokoh terkenal yang lain. Beliau lahir pada tahun 450 Hijrah atau 1059

Masihi. Beliau mempunyai saudara lelaki yang bernama Ahmad dan beberapa orang

perempuan. Ahmad adalah tokoh sufi dan petah dalam menyampaikan khutbah

keagamaan.

Ayahnya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil dan telah mewasiatkan

kepada seorang rakannya supaya menjaga Al-Ghazzali dan saudaranya itu disamping
memberi pelajaran ilmu Khat. Setelah harta waris itu habis, penjaganya menyarankan

agar Al-Ghazzali dan saudaranya itu menuntut ilmu di Madrasah yang menyediakan

biasiswa untuk pelajarnya.

Beliau mendalami bidang falsafah dengan sendiri dan telah menghasilkan

beberapa karya ilmiah dengan baik. Antara karya yang terkemuka adalah seperti Tahaful

al-Falasifat yang bermaksud “Kekacauan Para Filsuf “(Dewan Bahasa dan Pustaka).

Al-Ghazzali meninggal dunia ketika usia beliau mencecah 55 tahun di Tabran

iaitu di kampung halamannya pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir, 505 Hijrah, bersamaan 19

Disember 1111 Masihi. Menurut sumber sejarawan iaitu Ibnu Kathir dan Ibnu al-Jawzi, di

penghujung kehidupan Al-Ghazzali, beliau banyak mempelajari ilmu Hadis, menghafaz

hadis yang terdapat dalam kitab al-Bukhari dan Muslim kerana beliau ingin

meningkatkan kualiti dalam disiplin ilmu Hadis.


KUPASAN FALSAFAH TOKOH AL-GHAZZALI

Ketokohan Al-Ghazzali dalam memperkembangkan pemikirannya dari generasi ke

generasi yang lain dapat diterima baik oleh ilmuwan Islam dan Barat. Kitab Al-Mustasfa

adalah salah satu usaha Al-Ghazzali dalam membentangkan prinsip Usul al-Fiqh yang

mempunyai unsur ilmu nakli dan ilmu akal. Menurut sumber sejarah, kitab Al-Mustasfa

dihasilkan dua tahun sebelum kematiannya iaitu pada 6 Muharram 503 Hijrah atau 1109

Masihi setelah 15 tahun Al-Ghazzali mempelajari bidang kesufian. Ini adalah

berdasarkan tempoh Al-Ghazzali meletakkan jawatan sebagai tenaga pengajar di

Madrasah al-Nizamiyyah.

Al-Juwayni merupakan guru Al-Ghazzali yang telah memberikan sumbangan

yang besar dalam bidang Logik. Al-Juwayni ialah seorang ahli teologi Asy’ariyah yang

terkemuka pada masa itu. Al-Juwayni mempunyai kemantapan pemahaman dalam bidang

Logik khususnya Ilmu al-Kalam. Terdapat bukti bahawa Al-Juwayni mempunyai

kefahaman tentang Logik Greek. Contohnya ialah pandangan beliau mengenai al-hadd

iaitu al-hadd adalah menghuraikan pemikiran tentang hakikat sesuatu bukan untuk

membezakan antara benda yang dimaksudkan (al-mahdud) dengan benda yang lain.

Al-Ghazzali amat menghargai peranan Logik dalam pemikiran manusia dan

membantu akal manusia dalam menilai kebenaran. Beliau mmenegaskan dalam kitab Al-

Mustasfa bahawa “Sesiapa yang tidak mengetahui tentang Logik, maka ilmunya tidak

boleh dipercayai”.Ini jelas menggambarkan bahawa beliau amat mengiktirafkan akal


sebagai sumber makrifah. Menurut beliau lagi, “Sesungguhnya telah sekata, kadi akal

iaitu hakim yang teguh dan tidak berubah dan boleh ditukar ganti, juga saksi syarak yang

ada kredibiliti dan integriti, bahawa negeri ini adalah negeri yang mempesonakan.”

Dalam kitab Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Al-Ghazzali menegaskan bahawa akidah

seseorang manusia tidak akan terpesong sekiranya akal manusia tidak dicemari oleh

unsur keraguan laksana mata yang bersih dan sihat. Dari segi syarak, Al-Ghazzali

menegaskan bahawa dengan bantuan syarak akal dapat mencapai makrifah dan

mengumpamakan seperti mata manusia yang memerlukan cahaya matahari untuk melihat

sesuatu objek.

Walaubagaimanapun, akal manusia adalah terbatas sama seperti pancaindera yang

dimiliki oleh manusia. Ini bermaksud jika pancaindera tidak berupaya mencerap sesuatu

yang berada di luar inderawi, maka akal juga tidak mampu menanggap sesuatu yang

berada di luar maakulat seperti metafizik. Kaedah al-kasyf dalam al-musyahadah adalah

satu ilmu yang lebih tinggi daripada metode pendalian akliah dan dianugerahkan oleh

Allah s.w.t. kepada jiwa al-‘arifin yang tidak bergantung dalil-dalil akal yang

kebiasaannya melibatkan proses minda kepada kesimpulan.

Menerusi karya Al-Ghazzali iaitu “Al-Mustasfa” yang bermaksud “sesuatu yang

telah dibersihkan”. Ia membawa maksud idea pemikiran manusia hendaklah bersih

daripada unsur-unsur kesamaran, kecelaruan, dan keraguan. Pendekatan beliau dalam

Usul al-Fiqh dikemukakan secara tersusun iaitu penyusunan topik perbincangan


berdasarkan urutan tajuk yang tertentu (“al-tartib”). Kandungan di dalam analisis data Al-

Ghazzali pula adalah berdasarkan kekuatan fakta atau maklumat yang ada tentang sesuatu

permasalahan (“al-tahqiq”).

Usul al-Fiqh telah berkembang sebelum pemikiran Al-Ghazzali lagi. Perintis

pertama dalam bidang tersebut adalah al-Syafi’i menerusi kitabnya yang bertajuk Al-

Risalah pada kurun ketiga Hijrah. Lazimnya seseorang tokoh akan mengembangkan

disiplin berdasarkan fakta yang sebelumnya. Menurut Al-Ghazzali sendiri, seseorang itu

haruslah meneliti dan merujuk karya ilmiah terlebih dahulu sebelum membacanya.Ini

menunjukkan bahawa sebelum beliau berkarya, beliau sendiri telah membuat rujukan

kepada karya-karya ilmiah sebelumnya.

Al-Ghazzali merujuk sumber ilmiah oleh beberapa tokoh ilmuwan sebelum beliau

seperti al-Imam al-Syafi’i, al-Baqillani, al-Juwayni dan seorang tokoh ulama Muktazilah

iaitu Abu al-Husayn al-Basri. Terdapat percanggahan pendapat antara al-Syafi’i dan Al-

Ghazzali iaitu menurut al-Syafi’i, al-Sunnah tidak boleh memansuhkan al-Qur’an. Ini

kerana ia berfungsi menuruti segala yang terkandung dalam al-Qur’an dan mentafsirkan

segala makna umum (ijmal) yang terdapat di dalamnya. Pendapat tersebut dicanggah oleh

Al-Ghazzali kerana menurut beliau, al-Sunnah boleh memansuhkan al-Qur’an.

Keistimewaan yang terdapat dalam karya Al-Mustasfa ialah daripada aspek

susunan, pengelasan kajian ilmu, dan ciri objektiviti. Bentuk susunan karya Al-Mustasfa

mempunyai susunan yang tersendiri dan unik sebagaimana pendapat beliau bahawa “ …
aku susun dan datangkannya dengan tertib susunan yang halus dan luar biasa, di mana

penatapnya akan dapat mengetahui prinsip-prinsip ilmu ini ketika ia melihat kali

pertamanya. Ia juga boleh menguasai semua bentuk al-nazar yang dapat difikirkan di

dalamnya…” Maksud “al-nazar” ialah kesimpulan bagi ilmu pengetahuan. Al-Juwayni

mendifinisikannya sebagai “proses berfikir untuk memperoleh pengetahuan berdasarkan

data, pengetahuan yang pasti, dan yang bersifat pengetahuan yang mungkin”.

Al-Ghazzali menghitungkan tiga pendekatan dalam menghasilkan karya ilmu

beliau. Antara pendekatan tersebut adalah pendekatan al-hikmah untuk golongan

cendekiawan, al-maw’izah (memberi nasihat) untuk masyarakat atau orang awam, dan

pendekatan al-mujadalah iaitu dengan cara terbaik bagi golongan yang membantahinya.

Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nahl: 125 yang bermaksud, “Serulah

ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat

pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik…”

Kitab Al-Mustasfa adalah disusun secara teratur untuk golongan cendekiawan

atau pembaca yang cerdik pandai. Lazimnya Al-Ghazzali menggunakan penghujahan

deduktif dalam karya beliau terhadap golongan tersebut. Pengetahuan hukum syarak

adalah asas utama beliau dalam kajian Usul al-Fiqh yang berdasarkan metode pendalian,

hukum, mujtahid, dan dalil. Empat rukun ini adalah hukum Fekah yang ingin dipelajari

oleh penuntut ilmu yang pada perumpamaan Al-Ghazzali adalah seperti buah yang

terdapat di sebatang pokok, dalil al-fiqh adalah seperti pokok yang menghasilkan buah

dan cara pokok tersebut mangeluarkan buah adalah diumpamakan seperti metode
pendalian. Sama seperti sesuatu hukum yang diumpamakan seperti buah, seseorang atau

mujtahid itu harus membuat penelitian yang mendalam terhadap dalil syarak sebelum

mengeluarkan hukum.

Dalam karya Al-Mustasfa beliau ada menegaskan bahawa seseorang tokoh

ilmuwan tidak harus mengikut hawa nafsu, mementingkan peribadi, dan terlalu taksub

dalam aliran kefahaman, atau mana-mana tokoh seperti yang ditunjukkan oleh Ibnu al-

Haytham, Jabir Ibnu Hayyan dan lain-lain. Menurut beliau lagi, seseorang tokoh

seharusnya menjadikan akal sebagai kadi tanpa terpengaruh oleh seseorang.

“Metode kajian” dalam bidang kajian ilmu adalah “suatu kajian yang yang boleh

mencapai objektifnya oleh pengkaji yang berupa kanun. Manakala golongan sarjana

mendefinisikannya “suatu garis panduan yang tersusun secara sistematik dalam kerja

ilmiah iaitu yang malibatkan proses mental (dhihniyyah) atau proses inderawi (hissiyyah)

bagi mendedahkan sesuatu hakikat tentang kewujudan atau kebenaran hakikat”.

Metodologi dianggap sebahagian daripada perbincangan Logik dalam tradisi ilmu. Kitab

Al-Mustasfa juga menyentuh prinsip metodologi kajian moden berdasarkan doktrin qiyas

fiqhi yang mempunyai ciri-ciri persamaan berasaskan kanun sebab-akibat (cause and

effect).

Al-Mustasfa merupakan kajian ilmiah yang bersifat teoretikal yang dapat

menggabungkan metodologi al-Syafi’i dengan Aristotle. Al-Ghazzali telah berjaya

menyusun pemikiran kedua-dua tokoh terkenal dunia tersebut kerana Al-Syafi’i sebagai

manhaj bagi al-Fiqh, manakala Aristotle pula adalah manhaj bagi Falsafah. Hal yang
demikian memudahkan Al-Ghazzali menemukan dua metodologi yang bersifat teoretikal

dalam karya beliau iaitu Al-Mustasfa.


KESIMPULAN

Al-Mustasfa adalah karya beliau yang berjaya menggunakan pendekatan dalam bidang

Logik kepada golongan ilmuwan Islam sekali gus memartabatkan disiplin ilmu Islam di

mata dunia. Al-Ghazzali berjaya membuktikan kefahaman beliau tentang persoalan antara

lafaz-makna menerusi mukadimah Al-Mustasfa berkaitan al-fiqh. Al-Ghazzali

menyifatkan metode ilmu Islam sebagai “alat” iaitu sifatnya yang boleh membuktikan

kesahihan doktrin Islam dalam pelbagai bidang.

Al-Ghazzali juga tidak mengesampingkan peranan al-Sunnah dan al-Qur’an

dalam kehidupan manusia seperti yang terdapat dalam mukadimah Al-Mustasfa menerusi

kaedah Logik. Beliau menegaskan bahawa manusia haruslah mempunyai peradaban yang

tinggi dari segi rohani, fizikal, dan akal budi.

Penjelasan Al-Ghazzali berkenaan induksi dan deduksi sebagai metodologi kajian

ilmiah sekali gus menyangkal pandangan pemikir Barat yang tidak melihat deduksi

sebagai kaedah ilmiah dalam kajian lapangan. Al-Ghazzali membuat kesimpulan bahawa

Logik adalah alat dan metodologi dalam perbahasan ilmu Islam. Menurut beliau

“Kalaulah Logik hanyalah sebagai salah suatu “alat” , “neraca ukuran” dan “metodologi”

bagi ilmu, maka tidak timbul persoalan adakah hal tersebut harus dibentang ataupun

tidak?” Ini menjelaskan bahawa “alat” berperanan berdasarkan pemikiran manusia dalam

mencapai tujuan yang baik atau sebaliknya.


Ketokohan Al-Ghazzali dalam bidang Logik harus dicontohi dari generasi kepada

generasi yang lain. Kecintaan beliau dalam mencari disiplin ilmu dalam bidang Logik

telah banyak mempengaruhi pemikiran ilmuwan Islam dan Barat sekali gus memperluas

karya-karya beliau di persada dunia. Beliau berani dalam menyuarakan kebenaran dalam

penghujahan beliau dengan berasaskan Ilmu al-Fiqh, Ilmu al-Kalam dan Ilmu al-

Tasawwuf dalam pembentangan beliau mengenai kaedah al-hadd. Hal yang demikian

berbeza dengan tokoh-tokoh Falsafah Islam sebelumnya yang menggunakan bidang Sains

dan Falsafah dalam bidang Logik. Secara tuntasnya, tokoh Al-Ghazzali wajar diberi

gelaran tokoh Islam yang terulung dalam mengharumkan nama Islam di antara galongan

cerdik pandai serta banyak mempengaruhi semua pemikiran manusia walaupun beliau

tidak mudah terpengaruh.


BIBLIOGRAFI

Abdul Shukor Hj. Husin. et al. 1991. Istilah Usuluddin Dan Falsafah Islam. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Louay Safi. 1998. Asas-Asas Ilmu Pengetahuan; Satu Kajian Perbandingan

Kaedah-Kaedah Penyelidikan Islam dan Barat. Terj. Nur Hadi Ihsan.

Kuala Lumpur: The International Institute of Islamic Thought Malaysia &

Thinker’s Library. I

Mohd Fauzi Hamat. Ketokohan Al-Ghazzali dalam Bidang Logik. Kuala Lumpur:

Perpustakaan Negara Malaysia.

Mohd Sulaiman Yasin. 1984. Pengantar Falsafah Islam. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Zaqzuq, Mahmod Hamdi. 1993. Antara Falsafah Islam dan Falsafah Moden Barat:

Suatu Perbandingan antara Al-Ghazzali dan Descrate. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like