Al-‘Iffah bermaksud kebersihan jiwa, iaitu menahan kemahuan syahwat dengan
mendidiknya supaya tunduk kepada petunjuk akal dan syara’. Sifat Al-‘Iffah bererti menjaga diri daripada segala keburukan supaya terpelihara kehormatan diri. Seseorang Muslim harus sentiasa berusaha memelihara kesucian dirinya, menjaga hawa nafsu, lidah dan juga hatinya daripada melakukan perkara- perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Bahawasanya Allah telah berfirman bahawa:
“Berbahagialah orang yang membersihkan jiwanya, dan rugilah orang yang
mengotorinya” (Surah As-Syams: 9-10)
Budi pekerti itu boleh berubah dengan jalan berlatih
Ketahuilah bahawa setengah orang yang telah dipengaruhi oleh kerosakan
peribadi merasa sangat berat sekali untuk berjuang , melatih diri atau berusaha atau berusaha untuk membersihkan diri untuk dan mendidik budi pekerti. Selalunya orang seperti itu tidak meyakini, bahawa akhlak yang jahat itu dapat diubahnya, disebabkan kelalaian atau sempit pandangan, atau buruk percampuran. Ia menganggap bahawa akhlak seseorang itu mustahil untuk diubah, kerana menganggap tabiat manusia itu tidak mungkin berubah-ubah.
Rasulullah sendiri berpesan kepada kita dengan sabdanya:
“Perbaikilah budi pekerti kamu sekalian”
Syarat menerima perubahan ke arah kebaikan biasanya bergantung kepada
kemahuan seseorang hamba. Maka begitu jugalah dengan sifat marah dan kemahuan syahwat, tentu sekali bagi kita sukar untuk menghapuskannya, ataupun mengalahkan sifat marah dan kemahuan syahwat itu tanpa meninggalkan apa-apa kesan sekalipun. Untuk melakukan yang demikian itu, tentu sekali payah dan tidak mampu. Tetapi, jika kita ingin menguasai kedua- duanya, dan memimpinnya ke jalan latihan diri dan perjuangan untuk menahannya, maka yang demikian tentu boleh diubah. Manusia diciptakan dengan tabiat semula jadi yang berbeza-beza. Ada yang segera menerima perubahan dan ada yang lambat menerima perubahan. Sifat marah dan kemahuan syahwat itu tidak boleh dikalahkan dan dihapuskan sama sekali kerana sifat marah dan kemahuan itu diciptakan oleh Allah SWT bagi manusia bersama faedahnya, dan ia juga merupakan perkara yang perlu kapada bangsa manusia. Sekiranya terputus syahwat manusia terhadap makanan, nescaya manusia akan mati. Demikian pula dengan syahwat persetubuhan, kiranya ia terputus maka akan terputuslah keturunan manusia. Andaikata sifat marah terputus sama sekali dari manusia, tentulah manusia tidak mampu lagi untuk mempertahankan dirinya dari segala bahaya yang bakal memusnahkannya, dan akhirnya mereka akan musnah pula. Apabila pokok syahwat itu masih kekal dalam diri, maka tidak boleh tidak kecintaan kepada harta kekayaan itu akan turut kekal sama, dan ia akan menyampaikan pula kepada syahwat yang menyebabkan ia amat sayang pula kepada harta, sehingga ia bersungguh- sungguh mahu menahannya. Yang menjadi tujuan utama di sini bukanlah mencabut sifat syahwat itu dari akar-umbinya sama sekali, malah yang dituntut hanya mengembalikannya kepada kesederhanaan; iaitu pertengahan antara keterlaluan dan terus mengabaikan. Manakala pada sifat marah pula, yang dituntut ialah pandai mempertahankan diri, jangan sampai terlalu membuta-tuli atau terlalu pengecut. Secara kesimpulannya, sifat ini haruslah mempunyai kekuatan dalam dirinya, sedang kekuatan itu patutlah tunduk dan terpimpin oleh anugerah akal fikiran manusia. Sekiranya akal menjadi pengendali terhadap sifat marah dan dapat menguasai kehendak syahwat manusia, maka inilah yang diertikan sebagai perubahan akhlak dan kelakuan ke arah sifat mahmudah. Perubahan hendaklah diteruskan dan dibiasakan atas diri secara paksaan, dan melawan dengan bersungguh-sungguh nafsu syahwat yang menentangnya, sehingga perbuatan- perbuatan itu lama-kelamaan menjadi tabiatnya. Semua akhlak dan kelakuan yang bersifat keagamaan itu tidak akan meresap ke dalam diri seseorang, selagi ia tidak membiasakan dirinya dengan segala adat-adat yang baik, dan meninggalkan segala perbuatan-perbuatan yang buruk. Dalam melaksanakan syarat ini, hendaklah ia bersikap sebagai seorang yang cenderung kepada perbuatan-perbuatan yang bagus, dan merasa nikmat apabila melakukannya, membenci perbuatan-perbuatan yang jahat serta merasa kesal bila membuatnya.