You are on page 1of 2

Bencana alam sering mengancam nyawa dan kesejahteraan hidup manusia sejak kebelakangan ini.

Fenomena bencana alam adalah seperti tsunami, gempa bumi, ribut salji dan banjir. Banyak nyawa telah terkorban serta harta benda telah musnah. Mangsa-mangsa pula hidup dalam penderitaan. Oleh itu, bantuan haruslah diberikan kepada mangsa-mangsa bagi mengurangkan penderitaan mereka. Apakah bentuk bantuan yang boleh diberi kepada mangsa-mangsa bencana alam? Marilah kita lihat bersama-sama. Pihak kerajaan mahupun swasta perlu bekerjasama untuk menyediakan bantuan peralatan keselamatan. Contoh peralatan keselamatan yang boleh disediakan ialah jentera berat dan alat teknologi moden. Di samping itu, peralatan keselamatan tersebut perlu disediakan dalam masa yang paling singkat. Tujuan peralatan keselamatan tersebut disediakan supaya proses pencarian mangsa lebih senang dijalankan terutamanya bagi mangsa bencana alam gempa bumi dan mangsa runtuhan tanah lumpur. Dengan adanya jentera berat dan peralatan teknologi yang moden, mangsa-mangsa yang masih hidup atau yang tercedera dapat diselamatkan dalam masa yang paling singkat. Oleh itu, satu daripada bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa-mangsa bencana alam adalah dengan menyediakan bantuan peralatan keselamatan. Selain itu, bantuan perubatan juga perlu disalurkan dengan segera bagi membantu mangsa yang cedera. Bantuan perubatan ini boleh disalurkan dari seluruh dunia. Doktor, jururawat dan pegawai perubatan perlu ditempatkan di tempat yang berlaku bencana alam dalam tempoh yang paling singkat. Malahan, ubat-ubatan dan vaksin untuk kegunaan mangsa kejadian juga perlu disalurkan dengan secukupnya supaya mangsa-mangsa yang cedera dapat dirawat dengan sempurna. Sebagai contohnya, semasa bencana gempa bumi berlaku di Si Chuan, China, bantuan perubatan telah disalurkan dari negara-negara maju supaya dapat membantu dan merawat mangsa bencana alam. Pendek kata, semasa berlakunya bencana alam, seluruh dunia boleh menyalurkan bantuan perubatan bagi negara yang mengalami bencana alam untuk meringankan penderitaan mangsa-mangsa di tempat tersebut. Bantuan kepakaran dalam pelbagai bidang harus disediakan untuk membangunkan semula kawasan kejadian. Contoh kepakaran dalam bidang pembinaan dan kepakaran dalam bidang psikologi. Bagi pakar-pakar bidang pembinaan, mereka boleh menggunakan kepakaran mereka untuk membangunkan semula kawasan kejadian yang musnah teruk. Kerosakan yang berlaku juga boleh dibaikpulihkan dengan senang dan cepat. Jadi, mangsamangsa boleh menjalankan kehidupan mereka seperti biasa dengan lebih cepat. Pakar psikologi juga amat diperlukan bagi mangsa-mangsa bencana alam. Hal ini disebabkan banyak mangsa akan mengalami gangguan emosi selepas kejadian bencana alam yang dahsyat. Contohnya, mereka mungkin tidak dapat tidur, bermimpi ngeri, dan trauma. Pakar-pakar psikologi boleh menolong mereka supaya mereka boleh mengatasi masalah emosi tersebut dengan cara yang betul.

Jadi, bantuan kepakaran dalam pelbagai bidang harus disediakan supaya mereka boleh membantu mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan. Di samping itu, masyarakat perlu bersama-sama menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terlibat. Mereka boleh pergi ke tempat tersebut untuk membantu mangsa-mangsa menyedia atau memasang khemah. Bagi mereka yang tidak dapat sampai ke tempat tersebut, mereka juga boleh menderma makanan, minuman, pakaian, selimut dan lain-lain bagi mangsamangsa kejadian. Selain itu, masyarakat juga boleh memberi nasihat dan semangat untuk menenangkan perasaan mangsa. Jadi, Masyarakat harus tidak mementingkan diri sendiri sahaja, sebaliknya kita semua harus memberikan bantuan dengan upaya diri sendiri bagi mangsa-mangsa kejadian. Akhir sekali, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan semula penempatan yang musnah semasa kejadian. Kerajaan perlu memperuntukkan bantuan kewangan untuk pembangunan jangka panjang. Selain itu, kerajaan juga perlu memperuntukkan kewangan untuk pembinaan semula penempatan yang musnah dilanda bencana. Kerajaan harus mementingkan perkara tersebut berbanding dengan perkara yang lain. Tindakan kerajaan tersebut akan memberi keyakinan kepada rakyatnya kerana mereka tahu bahawa tempat mereka dapat dibaikpulihkan dengan secepat mungkin. Jadi, bantuan kewangan daripada kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan semula penempatan yang musnah. Berdasarkan huraian yang telah diberikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kita yang merupakan penghuni bumi ini juga haruslah saling membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka mengikut upaya diri sendiri. Kita berharap agar rakyat tidak terlalu mementingkan diri sendiri atau bersikap materialistik sahaja kerana mangsa-mangsa bencana alam juga merupakan sebahagian penghuni di bumi ini. Oleh itu, segala bantuan yang dibincangkan di atas harus disalurkan kepada mangsa kejadian supaya penderitaan mereka boleh diringankan.

You might also like