You are on page 1of 15

1

PENGENALAN Istilah kelas tidak mempunyai satu pengertian yang tepat. Ia digunakan dalam pelbagai keadaaan. Dalam penggunaan biasa, ia dimaksudkan dengan segolongan individu yang mempunyai kedudukan yang lebih kurang sama dari segi pekerjaan, pelajaran, pendapatan, gaya hidup dan sebagainya. Oleh itu, masyarakat itu seringkali dibahagikan kepada tiga kelas iaitu kelas atasan, kelas menegah dan kelas bawahan. ( Ting Chew Peh.1987:75 ) Dalam melihat sistem kelas ini, Marx merupakan tokoh yang membahaskan kewujudan kelas ini. Menurut Marx, kelas wujud dalam semua masyarakat. Kelas dimaksudkan dengan golongan individu yang mempunyai hubungan yang sama dangan punca-punca pengeluaran (Ting Chew Peh.1987:75 )

Dalam kebanyakan masyarakat, khususnya masyarakat plural, sistem kelas bukannya bentuk stratifikasi tunggal. Sistem kelas sering wujud bersama dengan stratifikasi lain seperti etnik. Misalnya di Malaysia, wujud kepelbagaian kaum disini. Etnik-etnik ini juga terpisah berdasarkan kegiatan ekonomi mereka. Masyarakat Melayu yang menetap di kampung menjadi nelayan dan petani. Masyarakat Cina pula menjalankan aktiviti perlombongan dan perniagaan di bandar manakala Masyarakat India pula tinggal di estet-estet. Hal ini adalah kesan Kolonial Brtish yang memecahkan struktur kaum ini melalui dasar pecah dan perintah.

Menurut Ting Chew Peh ( 1987 ) kelas itu dilihat dari segi penguasaan kekayaan, status dan kuasa. Malah mobiliti sosialnya juga adalah jelas yakni kedudukan individu itu berdasarkan susunlapis mengikut pendapatan, pekerjaan, pendidikan dan gaya hidup. Namun dalam konteks politik di Malaysia ini, dilihat juga pemisahan kaum berdasarkan ekonominya juga mempengaruhi dalam perkembangan politiknya. Hal ini dilihat apabila kelemahan ini dieksploitasi oleh kelas atasan yang juga menjadi kelas pemerintah sebagai cara mengekalkan status quonya.

Dalam konteks politik di Malaysia, politik gabungan atau konsosional adalah aspek penting dalam melihat perkembangan politik di Malaysia. Semenjak merdeka sehingga kini, gabungan parti politik yang menguasai kerajaan pusat masih wujud dan berkembang. Parti UMNO, MCA dan MIC bergabung membentuk Parti Perikatan pada tahun 1955. Parti-parti tersebut membawa teras perjuangan yang sama iaitu memperjuangkan hak dan kaum masingmasing. Namun dalam pada itu, Parti UMNO dilihat berpengaruh dalam parti gabungan ini. UMNO lebih dominan dalam aspek pemerintahan apabila kebanyakan jawatan-jawatan dalam kerajaan dan kabinet terdiri daripada pemimpin Melayu daripada UMNO. Namun, penguasaan dalam parti-parti politik ini dan juga kerajaan dikuasai oleh golongan atasan. Mereka ini juga dikenali sebagai elit-elit politik. Walaupun berbeza etnik dalam struktur pemerintahan mereka, namun atas kepentingan dan untuk mengekalkan pengaruh, mereka mampu bekerjasama dan bersatu dengan baik. Oleh itu dalam melihat unsur kelas, ia juga berkait dengan etnik dalam politik Malaysia.

TEORI KELAS Menurut Marx, hubungan kelas sentiasa ditandai oleh hubungan eksploitasi dan secara tidak langsung mencerminkan pembahagian kepentingan antara kelas penguasa dan kelas yang dikuasi.Marx melihat, wujudnya penindasan antara kelas yang menguasai alat pengeluaran ( burjois ) terhadap kelas pekerja atau buruh ( proletariat ). Golongan yang menguasai alat pengeluaran ini membentuk suatu kelas yang berkuasa baik dari aspek ekonomi mahupun politik. Marx berpendapat penindasan ini berlaku apabila wujudnya ekploitasi golongan burjois ini tehadap proletariat. Misalnya, golongan burjois ini mengeksploitasi tenaga buruh yang ditawarkan oleh golongan proletariat ini dengan bayaran yang tidak setimpal dengan jam mereka bekerja. Eksplotasi ini kemudiannya akan melahirkan kesedaran kelas yang akhirnya akan menimbulkan pertentangan atau konflik kelas. Ini akan mengakibatkan berlakunya revolusi oleh kelas pekerja menentang kelas pemodal.

Walaupun Marx melihat ekonomi sebagai faktor wujudnya kelas dan pertentangan kelas, namun terdapat sarjana-sarjana lain yang berpendapat bahwa faktor politik dan ideologi juga menyumbang kepada masalah ini. Misalnya, Althusser menyatakan bahawa kelas tidak harus dipandang sebagai ekonomi semata-mata. Setiap masyarakat berkelas terdiri daripada tiga tahap yang bergabung secara berbeza iaitu melalui ekonomi, politik dan ideologi. ( Giddens & Held 1987: 36 )

PERKEMBANGAN KELAS DALAM POLITIK MALAYSIA Kedatangan British ke Tanah Melayu telah membawa perubahan bukan sahaja dalam kelas pemerintahan malah struktur masyarakatnya juga berubah. Kemasukan imigran asing daripada China dan India menyebabkan Tanah Melayu menjadi sebuah negara majmuk. Dasar Pecah dan Perintah British juga telah mengasingkan lagi kelompok etnik ini melalui kegiatan ekonomi mereka. Orang Hal ini secara tidak langsung menimbulkan perbezaan dari segi ekonomi dan sosialnya. Misalnya wujud sekolah-sekolah aliran Melayu dan agama untuk kaum Melayu, sekolah aliran Cina dan sekolah aliran Tamil. Malah kesan daripada dasar ini juga menimbulkan jurang dan hubungan yang renggang antara kaum. Kedudukan ekonominya membezakan kelas sesuatu kaum itu. British melaksanakan dasar ini sebagai langkah mereka mengawal dan mengekalkan hegemoninya di Tanah Melayu. Melalui pecah dan perintah, kaum-kaum ini sukar untuk bersatu. Mereka lebih menumpukan kepentingan kaum masing-masing. Hal ini memudahkan British untuk berkuasa. Walhal, dalam awal kemerdekaan dan semasa pendudukan Jepun juga, dilihat tiada kesepaduan antara kaum ini dalam usaha penentangan terhadap penjajah. Semangat nasionalisme lebih kepada kaum masing-masing. Orang Melayu dengan usaha mereka untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan. Maka lahir tokoh-tokoh seperti Ibrahim Hj.Yaakob, Dato Onn Jaafar, Abdul Rahim Kajai dan sebagainya. Manakala nasionalisme kaum Cina dan India lebih terarah kepada usaha membebaskan tanah air mereka.

Campur tangan British dalam aspek pemerintahan juga telah mengubah kuasa raja sebagai pemerintah. Mereka tidak lagi mempunyai kuasa untuk memerintah, mengutip cukai dan sebagainya. Kuasa mereka terhad kepada adat-istiadat dan hal-ehwal Melayu sahaja dan agama Islam. Malah mereka juga harus menerima perlantikan residen sebagai penasihat, dengan kata lain,residen merupakan golongan yang menjadi pemerintah. Hal ini menjelaskan perubahan dan fungsi pemerintah pada ketika itu. Jika sebelum kedatangan British, kelas pemerintah yang terdiri daripada raja dan pembesar menguasai ekonomi, undang-undang dan pentadbiran, namun kuasa mereka sudah mula beralih kepada sistem residen.

Semasa pasca kemerdekaan, kelas pemerintah ini telah mula mengalami anjakan dan pembaharuan. Walaupun British bukan lagi menjadi pemerintah, namun, kuasa pemerintahan juga tidak kembali kepada raja secara mutlak sebagaimana zaman feudal sebelum ini. Setelah kemerdekaan, politik Malaysia dikuasai oleh golongan kelas atasan yang menguasai atau memegang jawatan tinggi dalam parti-parti politik. Jika zaman feudal dahulu raja berkuasa mutlak, namun setelah merdeka, corak elit pemerintah telah berubah. Hal ini wujud campuran antara elit raja dengan golongan rakyat yang mendapat atau memperoleh kekayaan dan pendidikan yang tinggi. Parti politik yang mewakili rakyat telah berjaya memerintah dan menjadikan golongan elit bangsawan sebagai ketua negara. ( Ahmad Atory Hussain 1993:68 ) Walaupun ada campuran daripada rakyat biasa dan golongan bangsawan, namun mereka yang terdiri daripada rakyat biasa ini mempunyai status kedudukan yang tinggi, mempunyai kekayaan serta latar belakang yang ternama. Misalnya, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Sambathan, Tan Cheng Lock dan sebagainya. Walaupun dalam kelas pemerintah ini terdapat perubahan, namun kedudukan dan kelas rakyat masih lagi dikenali melalui ekonominya. Melayu sebagai masyarakat petani dan nelayan, Cina sebagai peniaga dan Masyarakat India tingal di estet.

Jurang kaum yang wujud ini mencorakkan perkembangan politik di Malaysia. Tiga parti yang utama yang mewakili kaum masing-masing iaitu UMNO, MCA dan MIC bergabung membentuk Parti Pakatan pada tahun1955 dalam menghadapi pilihan raya umum yang pertama.

Gabungan ini bertujuan untuk meraih sokongan daripada pelbagai kaum bagi memenagi pilihan raya tersebut. Kesannya, Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Setelah mencapai kemerdekaan, parti-parti politik ini telah mengambil alih teraju pemerintahan negara. Kerjasama parti politik yang dibentuk ini dilihat sebagai satu satu kerjasama yang berlandaskan kaum. Oleh kerana wujudnya komposisi yang berpecah maka tidak mungkin muncul mana-mana parti politik yang berupaya mendominasi parlimen atau kerajaan. Dengan itu, kerjasama, gabungan atau pakatan antara parti ini terpaksa dibentuk, lebih banyak yang bergabung maka lebih dominan kerajaan yang dibentuk seperti yang ditunjukkan oleh kerajaan campuran kini. ( Nidzam Sulaiman 1999:2 )

Sejak merdeka sehingga kini, gabungan parti politik yang menguasai kerajaan masih wujud dan berkembang. Gabungan yang terbentuk ini dikenali sebagai Parti Perikatan dan kini dikenali sebagai Barisan Nasional. Keadaan tertentu dalam sejarah telah membolehkan lapisan pentadbir dan pembesar Melayu pada zaman penjajahan muncul sebagai kelas pemerintah di Malaysia selepas merdeka. ( Jomo 1988:284 ) Setelah merdeka, tidak ramai wujud burjois dikalangan orang Melayu. Mereka yang ada terdiri daripada pembesar dan segelintir dikalangan rakyat yang mempunyai kekayaan. Atas faktor ini, mereka yang menguasai kerajaan akan cuba untuk mengekalkan satus quonya. Semasa usaha menuntut kemerdekaan, golongan pentadbir Melayu ini mendapat sokongan yang pada asalnya telah bersatu menentang Malayan Union 1946. Lapisan pemerintah yang ada ini dilihat sebagai golongan yang berkuasa. Bagi mengekalkan pemerintahannya, kelompok pemerintah ini memperalatkan jentera kerajaan bukan sahaja demi memajukan kepentingan golongan yang berkuasa tetapi juga untuk mengembangkan asas sosial serta mengukuhkan asas ekonomi mereka sendiri. Dalam konteks ini, kelompok pemerintah ini telah memperlihatkan sesuatu ciri kelas yang berasingan yang disatukan oleh kepentingan bersama dalam hubungan kelas yang lain. ( Jomo 1988:285 ) Sifat persahabatan itu tercermin dalam beberapa aspek Perikatan walaupun sokongan daripada Orang Melayu kepada Perikatan adalah besar, namun asas kewangan parti tersebut berpunca daripada ekonomi MCA ( Beaglehole, dalam Jomo 1988:285 )

Sebagaimana penerangan tersebut, pendekatan kelas melihat masyarakat sebagai berstrata. Dalam konteks Malaysia, terdapat kelas atasan yang kecil saiznya tetapi menguasai pelbagai sektor ekonomi dan politik. Malah ada antara mereka juga menjawat jawatan penting dalam pentadbiran dan organisasi penting. Mereka yang terlibat dengan perniagaan pula dalam bentuk perniagaan yang berskala besar. Tambahan pula, hubungan yang erat dengan pemerintah memudahkan mereka untuk mendapatkan permit, lesen dan pelbagai kemudahan seta bantuan perniagaan. Justeru kedudukan istimewa mereka ini memberi peluang untuk mereka berkecimpung dalam politik malah dilantik sebagai ahli kabinet. Segala peluang yang wujud ini digunakan sepenuhnya dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka.

Kelas menegah merupakan kelas yang sederhana, baik dari sudut pendapatan mahupun sosial. Di Malaysia, kelas ini wujud tetapi masih belum cukup berpengaruh untuk bersaing dengan kelas atasan tersebut. Masyarakat yang terbahagi berasaskan kaum juga telah mengurangkan kesepaduan kelas ini walaupun mereka berkongsi pelbagai kepentingan yang sama. ( Nidzam Sulaiman 1999:12 ) Golongan kelas yang satu lagi pula terdiri daripada kelas bawahan. Mereka ini terdiri daripada buruh, petani, anggota perkhidmatan peringkat rendah dan sebagainya. Walaupun saiz kelas ini besar, namun penguasaan mereka dalam aspek ekonomi, sosial dan politik adalah rendah. Hal ini mugkin disebabkan wujudnya sentimen perkauman yang kuat menyebabkan mereka ini tidak mempunyai kesepaduan

Golongan elit politik ini menggunakan pelbagai alat untuk mengukuhkan kuasa dan kedudukan mereka. Melalui peraturan yang dibentuk termasuk undang-undang dan alat-alat pemerintahan yang lain, mereka memastikan kedudukan mereka tidak dicabar. ( Nidzam Sulaiman 1999:13 ) Misalnya penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan, Akta Universiti Kolej Universiti dan Akta Penerbitan dan Percetakan yang menjadi alat oleh golongan ini untuk mengekang aktiviti-aktiviti yang boleh mengancam kedudukan mereka. Mereka menggubal undang-undang sedemikian dengan alasan bahawa ia bertujuan untuk mengawal ketenteraman dan keselamatan negara. Tambahan pula, Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk boleh menimbulkan suasana tegang dan pergaduhan kaum apabila isu-isu sensitif

dimanipulasi seperti isu agama, hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan sebagainya. Oleh yang demikian, golongan pemerintah ini menjadikan peraturan dan undangundang ini sebagai langkah untuk mencegah berlakunya keadaan yang huru-hara. Walhal, sebenarnya golongan elit ini memanipulasikan alat-alat pemerintah ini sebagai cara mengawal kepentingannya. Media juga menjadi alat kerajaan untuk menyampaikan segala keputusan dan tindakan golongan pemerintah ini yang digambarkan seolah-olah mereka ini sememangnya berkemampuan dan layak untuk menjadi pemimpin. Malah peranan media ini juga membantu mereka untuk mendapatkan sokongan dan undi untuk memenangi pilihan raya.

Walaupun massa mempunyai kuasa untuk menentukan pemerintah dan memilih kerajaan melalui kuasa undi mereka namun mereka tidak mampu mengubah status quo ini. Mereka tidak menyedari bahawa golongan elit ini telah memanipulasi sumber yang ada untuk mengelakkan penentangan dan persaingan. Rakyat beranggapan bahawa golongan ini mampu membawa kemajuan dan menjaga kebajikan dan kepentingan kaum mereka. Misalnya kebanyakan Orang Melayu menganggap bahawa elit yang berkuasa iaitu elit daripada pemimpin politik, mereka menganggap golongan ini serba tahu, serba boleh, mempunyai peribadi yang baik, berpendidikan dan pengaruh. ( Ahmad Atory Hussain 1993: 73 ) Mereka ini dianggap mampu membawa perubahan dan pembaharuan dalam memperjuangkan kepentingan kaum.

Pembahagian antara kaum ini dijadikan sebagai alat untuk golongan pemerintah mendapatkan sokongan. Mereka mempermainkan sentimen perkauman dengan bertujuan untuk menimbulkan rasa prejudis antara kaum. Mereka menimbulkan gambaran yang palsu kepada orang ramai sehingga tertanam dalam pemikiran mereka bahawa untuk menjaga kepentingan kaum dan agama mereka harus menegekalkan pemerintah dan kerajaan yang sedia ada. Walaupun gerakan-gerakan pembangkang, badan bukan kerajaan ( NGO ) cuba untuk menyedarkan orang ramai tentang manipulasi golongan pemerintah ini, namun disebabkan kawalan daripada pemerintah melalui alat-alat pemerintah, pemikiran mereka ini seolah-olah mengganggap kerajaan yang sedia ada harus kekal. Jika berlakunya perubahan mungkin boleh

menimbulkan keadaan politik dan keselamatan negara yang anarki. Oleh itu, persepsi antara kaum ini sukar untuk dihakis.

Misalnya, ekonomi di Malaysia ini dikuasai oleh kaum Cina. Sentimen ini digunakan oleh golongan pemerintah untuk mendapatkan sokongan Orang Melayu. Orang Melayu juga sepatutnya mempunyai peluang yang terbuka untuk menguasai ekonomi. Ia tidak harus dikuasai oleh golongan-golongan tertentu. Ini mendorong mereka terus menyokong pemimpin yang sedia ada. Mereka beranggapan bahawa golongan pemimpin ini akan membuat perubahan dalam meningkatkan ekonomi orang Melayu. Begitu juga sebaliknya yang berlaku dalam masyarakat Cina. Misalnya, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) dilihat semacam menimbulkan diskriminasi kaum iaitu lebih memberi keistimewaan kepada Orang Melayu dalam bidang ekonomi dengan pelbagai bantuan, peluang perniagaan dan sebagainya. Misalnya, sebelum DEB dilaksanakan, sektor perbankan negara dikuasai oleh saudagar-saudagar Cina. Namun kerajaan yang didominasi oleh UMNO cuba merealisasikan perjuangan ekonomi Melayu. Mereka cuba memastikan para elit ekonomi menguasai bank-bank utama di Malaysia. Pada tahun 1967, dilihat penguasaan Orang Melayu dalam sektor ini semakin berkembang ( Thock Ker Pong 2005:79 ) Ramai korporat Melayu telah menguasai sektor ini seperti pemilikan xxxxxxxx

Hal-hal seumpama ini dimainkan oleh golongan tersebut bertujuan menngukuhkan kedudukan. Mungkin pada pandangan rakyat mereka adalah golongan yang sesuai untuk mengatasi kemelut dalam memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Namun tanpa disedari perkara-perkara ini adalah gambaran palsu yang ditimbulkan oleh golongan kelas pemerintah tersebut. Jika dilihat hubungan kaum dikalangan kelas menegah dan bawahan regang sedangkan hubungan kaum dikalangan kelas pemerintah adalah baik. Mereka mampu bekerjasama, bersepakat dan bersepadu untuk menjamin kedudukan mereka dalam pemerintahan negara. Wujudnya tolak ansur dikalangan pemimpin-pemimpin tersebut, mislanya pembahagian kerusi dalam pilihan raya serta jawatan-jawatan dalam kabinet.

Walau apa jua sokongan yang diberi, rakyat tidak menyedari elit politik ini sedang menguasai mereka. Mereka digunakan untuk memelihara kepentingan pemimpin tadi. Perbezaan kelas tetap wujud. Masih wjud golongan yang miskin, tekanan hidup yang tinggi, kos sara hidup dan sebagainya. Masalah ini dihadapi bersama oleh pelbagai kaum daripada kelas bawahan. Namun mereka tidak menyedarinya kerana terlalu terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dibangkit oleh golongan pemerintah. Kesedaran kaum ditonjolkan kerana ia boleh menghalang kepada pembentukan ikatan kelas yang bersifat horizontal. ( Nidzam Sulaiman 1999:15 )

Disebabkan wjudnya fahaman perkauman ini, mereka tidak dapat bersatu untuk memperjuangkan kepentingan bersama. Mereka lebih memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sedangkan masalah seperti kemiskinan dihadapi bersama. Konflik kaum yang tidak terkawal ini akhirnya mencetuskan rusuhan seperti yang berlaku dalam tragedi 13 Mei 1969. Maka pihak pemerintah memainkan peranan mereka untuk menteteramkan keadaan. Ini menimbulkan gambaran bahawa golongan ini sememangnya mampu untuk mengatasi krisis yang timbul.

Secara praktik, identiti etnik boleh menjadi satu halangan kepada mobiliti sosial. Dalam keadaan-keadaan yang lain ia mungkin dijadikan alasan diskriminasi. Wujudnya identiti etnik ini dapat mengurangkan kesepaduan kelas. ( Ting Chew Peh 19887: 74 ) Dalam banyak keadaan, kesedaran etnik melebihi dan mengatasi kesedaran kelas. Misalnya, timbul konflik antara kaum yang cuba memperjuangkan pelbagai aspek termasuk ekonomi, bahasa, agama, pendidikan dan bagi Orang Melayu pula mempertahankan hak istimewa Orang Melayu.

10

KRITIKAN TEORI KELAS Walaupun dalam teori kelas ini melihat kelas pemerintah menggunakan pelbagai jentera kerajaan sebagai cara mengekalkan kedudukan dan pengaruh mereka. Mereka cuba mengelakkan golongan kelas menegah dan bawahan daripada cuba memberi saingan terhadap kedudukan mereka. Malah dalam mempertahankan status quo, mereka juga memainkan sentimen perkauman dengan memberi gambaran palsu terhadp rakyat. Mereka cuba menunujukkan keupayaannya sebagai sebuah parti yang paling layak untuk mewakili kumpulan etniknya. Pemimpin-pemimpin parti ini cuba meyakinkan rakyat bahawa mereka memperjuangkan untuk mendapatkan hak politik dan ekonomi yang sepatutnya. Misalnya, apabila Orang Melayu menyokong langkahlangkah yang dibuat untuk memajukan ekonomi Orang Melayu, sokongan mereka ini dianggap sebagai satu menifestasi kepentingan kelas. Begitu juga penentangan orang bukan Melayu yang tidak percaya ia benar-benar membantu kemajuan ekonomi Orang Melayu misalnya pelaksanaan DEB.

Dalam hal ini, masih lagi wujud masyarakat yang miskin terutama daripada mereka yang berjawatan rendah. Mereka yang berada dalam kelas atasan pada umumnya menikmati peluang yang lebih baik berbanding mereka yang berada dalam kelas-kelas lain.( Sanusi Osman 1984 : 100 ) Tambahan pula, kedudukan kelas atasan ini ada yang diperkukuhkan dengan gelarangelaran kebesaran seperti Tan Sri, Dato Sri, Tun dan sebagainya. Wujudnya hubungan yang rapat sesama mereka mengukuhkan kedudukan serta saling menyokong antara satu sama lain.

Dalam dimensi kelas dalam politik di Malaysia, wujudnya sebahagian kelas menengah terutama dikawasan bandar yang tumbuh secara kritis terhadap Kerajaan BN dan giat terlibat dalam demokrasi berpartisipasi di Malaysia. ( Loh Kok Wah 2005:30 ) Polisi BN yang menunjukkan pembagunan ekonomi dilihat lebih berpihak kepada kelas atasan termasuk yang dikenali sebagai kroni sehingga wujudnya keterpinggiran dikalangan Orang Melayu yang miskin dikawasan luar Bandar. Hal ini menyebabkan undian diberikan kepada Parti PAS.( Maznah Mohamad. Dalam Loh Kok Wah 2005:30 )

11

Malah, perubahan yang berlaku semenjak pilihan raya umum ke-12 yang lalu telah melihat berlakunya perubahan terhadap hegemoni Barisan Nasional yang memerintah. Walaupun isu dan agenda yang disampaikan masih berkaitan etnik dan pembagunan, namun keyakinan dan kepercayaan rakyat sudah terhakis. Hal ini kerana alasan seumpama ini mungkin sudah kurang berkesan kepada mereka terutama golongan muda. Tambahan pula keadaan ekonomi yang tidak stabil memberi cabaran terhadap golongan pemerintah ini. Mereka tidak begitu tertarik dengan sentimen perkauman dalam kempen-kempen yang dijalankan. Mereka lebih mengharapkan perubahan dan pembelaan dari segi kebajikan, mengurangkan kos sara hidup, mengatasi isu keselamatan dan sebagainya. Walaupun wujudnya perbezaan etnik, tetapi dalam aspek tekanan ekonomi yang membebankan kos sara hidup mereka, ini menjadi perkiraan untuk mereka mengetepikan kepentingan kaum.

Sementara itu, dasar kerajaan membolehkan ramai orang Melayu melanjutkan pelajaran tinggi turut melahirkan ramai kelas menegah Melayu. Golongan ini kemudiannya melahirkan kekecewaan bukan sahaja golongan kapitalis bukan Melayu tetapi kepada pemimpin Perikatan khusunya UMNO. Mereka beranggapan bahawa pemimpin tidak memberi bantuan yang cukup kepada mereka. Tambahan pula seawal kemerdekaan, pengenalan kaum dengan kelas dan kelompok kelas agak ketara. Ideologi yang digunakan untuk melancarkan persaingan politik dan ekonomi bersifat perkauman. Perbezaan ini dihebohkan antara kaum sambil memperkecilkan perbezaan kelas di kalangan sesuatu kaum. Kesannya berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

KESIMPULAN Manipulasi kaum oleh kelas atasan boleh menimbulkan prasangka antara kaum. Jika melihat seawal kemerdekaan sehingga kini, aspek perkauman tidak dapat dipisahkan dalam kajian politik Malaysia. Masalah yang sama masih menjadi perdebatan. Tuntutan antara kaum dalam menjaga kepentingan masing-masing masih menjadi isu. Aspek ekonomi dan pembahagian kuasa politik

12

juga menjadi punca timbulnya permasalahan antara kaum ini. Kajian Ratnam ( 1969 ) menyatakan bahawa Orang Melayu beranggapan bahawa mereka harus mempunyai kuasa ekonomi yang besar disamping penguasaan politik supaya tidak perlu melayan tuntutan kaum lain seperti tuntutan mengenai kewarganegaraan, perlantikan ke jawatan awam dan lain-lain. Namun mereka terpaksa bertolak ansur dengan Kaum Cina yang sememangnya menguasai ekonomi. Begitu juga kaum Cina yang ingin kuasa dalam politik lebih luas supaya kedudukan kaum mereka lebih terjamin. Sebagai masyarakat tempatan Orang Melayu beranggapan wajar hak dan keistimewaan mereka diberi dan dipertahankan. Malah disebabkan wujudnya pelbagai factor seperti ekonomi dan etnik menyebabkan mereka bimbang kaum lain akan menguasai Tanah Melayu. Ini menjadi sebab fahaman perkauman ini sukar untuk diatasi. Sentimen perkauman merupakan isu yang sensitif dalam membincangkan masyarakat majmuk di Malaysia baik dari segi politik, agama, budaya dan sebagainya.

Pertelingkahan antara kaum ini boleh menimbulkan huru-hara seperti rusuhan kaum 13 mei 1969. Walaupun isu ini sensitif, namun elit politik ini menjadikannya sebagai alat untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Hal ini mungkin kerana wujudnya tolak ansur antara mereka untuk mencapai matlamat yang sama. Pakatan kaum yang wujud selama ini hanya melibatkan pihak kepimpinan dan tidak melibatkan keseluruhan rakyat. Di peringkat bawah, golongan massa ini masih bersaing dan gagal disatukan.

Parti pemerintah ini yang dikuasai oleh golongan elit, korporat dan bangsawan sememangnya tidak mahu golongan rakyat antara kaum ini bersatu kerana ia mungkin akan mengancam beberapa dasar yang telah dipersetujui di peringkat atasan sahaja. Walaupun wujudnya jurang perbezaan kaum ini namun tidak dinafikan bahawa politik perkauman masih mendapat sokongan daripada massa. Walaupun wujudnya parti-parti pembangkang sebagai alternatif, tetapi tidak dapat lari daripada aspek perkauman. Misalnya Parti PAS mendapat sokongan daripada Orang Melayu, Parti DAP secara majoritimya disokong oleh Orang Cina dan begitu juga Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) walaupun untuk semua kaum tetapi lebih ramai mendapat sokongan daripada kaum Melayu.

13

Kelas yang terbentuk ini lebih dilihat kaitannya dengan pendekatan etnik atau kaum. Konflik yang tercetus disebabkan wujudnya perasaan diskriminasi, tidak berpuas hati atau melihat kaum lain lebih superior samaada dalam ekonomi mahupun politik. Tetapi kelas atasan dilihat mempunyai kelebihan dari segi kuasa politik, ekonomi dan sumber-sumber lain.

14

RUJUKAN

Ahmad Atory Hussain. 1993. Pentadbiran dan politik pembagunan. Kuala lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Giddens.A

&

David

Held.1987.

Perdebatan

klasik

dan

kontemporer

mengenai

konflik,kekuasaan dan kelompok. Terjemahan. Jakarta. Penerbit CV Rajawali.

Jomo.1988.Pembagunan ekonomi dan kelas sosial di semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Loh Kok Wah.2005. Politik baru di Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Nidzam Sulaiman. 1999. Kaum dan kelas: Pendekatan popular melihat politik gabungan Malaysia. Dalam Ghazali Mayudin ( pnyt ). Teori sains politik pilihan: Aplikasinya dalam konteks Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ratnam.K.J1969. Paham perkauman dan proses politik di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Ting Chew Peh.1987. Hububungan ras dan etnik: suatu pengantar. Kuala Lumpur. Pustaka Dimensi.

15

Sanusi Osman. 1984. Ikatan etnik dan kelas.

You might also like