You are on page 1of 2

Abu Bakar perangi umat enggan bayar zakat, solat

Oleh Mohd Shukri Hanapi SUDAH menjadi ketentuan Allah menciptakan manusia dengan akal dan fikiran berbeza-beza, di samping wujudnya perbezaan bangsa, bahasa, warna kulit dan pemikiran. Sebenarnya kejadian Allah berbeza-beza ini, adalah salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Sesungguhnya perselisihan pendapat berlaku di kalangan umat manusia sejak dahulu hingga ke hari ini, sebahagian daripada fenomena tabii. Sekiranya ia tidak melampaui batasnya dan sentiasa mengikuti adabnya, maka ia akan melahirkan keputusan positif dan menyumbangkan banyak faedah.

Misalnya, pada zaman pemerintahan khalifah Islam yang pertama, berlaku perselisihan pendapat mengenai hukuman perang ke atas orang enggan mengeluarkan zakat. Seperti dicatatkan selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi khalifah pertama. Berikutan peristiwa kewafatan Rasulullah ini, banyak kabilah yang baru saja memeluk Islam murtad. Tambahan pula wujud orang mendakwa dirinya sebagai nabi, seperti Musailamah al-Kazzab dan Tulaihah (lihat al-Syawkaniy, t.t. Nayl al-Autar jld: 4 hlm: 175-176). Ada antara sesetengah kabilah enggan menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, manakala sesetengah kabilah lain pula, masih memeluk Islam tetapi enggan mengeluarkan zakat. Keengganan mereka mengeluarkan zakat ini disebabkan kedegilan dan keangkuhan membayarnya kepada Abu Bakar al-Siddiq, di samping sangkaan salah mereka bahawa pada asasnya zakat ini tidak perlu dibayar kepada selain Rasulullah, kerana baginda yang dikhitabkan (diperintah) untuk mengambilnya. Barangkali golongan enggan membayar zakat itu menyangka bahawa perintah memungut zakat ini bukanlah terbatas kepada Rasulullah saja, tetapi merangkumi semua orang yang menguruskan harta zakat selepas baginda. Tujuan Allah menuju perintah mengambil zakat kepada Rasulullah saja dalam ayat di atas, kerana baginda pemimpin atau ketua bagi seluruh umat Islam. Jadi selepas baginda wafat tanggungjawab menguruskan zakat berpindah kepada penggantinya iaitu Abu Bakar al-Siddiq. Begitulah seterusnya kewajipan menguruskan zakat sehinggalah ke hari ini. Pada masa hayat Rasulullah, kaum muslimin mengadakan baiah (perjanjian)

di hadapan baginda untuk menunaikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, tanpa memberi ruang sedikitpun untuk memisahkan antara fardu sembahyang dengan zakat. Namun selepas Abu Bakar menerajui pucuk pimpinan umat Islam, beliau memberikan perhatian berat untuk meneruskan perjalanan Islam seperti berjalan pada zaman Rasulullah. Melihat keadaan gejala murtad semakin berleluasa, Abu Bakar al-Siddiq membuat keputusan untuk memerangi orang enggan membayar zakat, sebagai mendorong mereka supaya bertaubat, menunaikan zakat dan kembali kepada lingkungan peraturan Islam serta komited terhadap setiap perkara yang mereka berjanji kepada Rasulullah (lihat Ibn Hajar, t.t. Syarh Sahih al-Bukhariy Jld. 3 hlm. 262). Berhubung pendirian yang dibuat oleh khalifah yang pertama ini, terjadilah perselisihan pendapat antara beliau dengan Umar al-Khattab. Pada mulanya Umar berpendapat bahawa tidak seharusnya memerangi orang yang enggan membayar zakat kerana Rasulullah bersabda, "Aku diperintah untuk memerangi (membunuh) manusia sehingga mereka mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sesiapa yang mengucapkannya terpelihara harta dan jiwanya daripadaku, melainkan dengan haknya dan segala-galanya terserahlah kepada Allah untuk menentukannya". Kemudian Abu Bakar berkata, "Demi Allah aku akan memerangi orang membezakan antara sembahyang dengan zakat, kerana zakat itu tuntutan terhadap harta". Abu Bakar masih tetap dengan pendiriannya lalu berkata, "Demi Allah, seandainya mereka enggan membayar zakat kepadaku, sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah, maka aku akan tetap memerangi mereka." Adapun pendapat Abu Bakar berdasarkan sabda Nabi dalam hadis, iaitu "melainkan dengan haknya". Beliau menganggap bahawa zakat adalah hak harta. Keengganan membayarnya akan menghilangkan jaminan pemeliharaan jiwa dan harta. Pendapat Abu Bakar ini adalah sama seperti beliau faham ikatan yang tidak dapat dipisahkan antara fardu sembahyang dan zakat dalam kebanyakan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah.

You might also like