You are on page 1of 4

Pemuda : Masjid Magnet Kanak-Kanak Dan Orang Muda

Baru-baru ini, saya mendengar ceramah daripada seorang pendakwah terkenal di Amerika Syarikat, iaitu Ustaz Nouman Ali Khan. Dalam ceramah itu, beliau telah menyentuh soal masjid yang tidak mesra kanak-kanak. Pada saya, apa yang dikatakannya itu adalah satu perkara yang benar dan berlaku juga pada kita di Malaysia. Antara petikan kata-katanya, kita perlu tukar masjid kita menjadi magnet kanak-kanak. Ya, tukarkan masjid kita jadi tempat yang membuatkan kanak-kanak dan orang muda tertarik untuk datang ke masjid. Masjid kita di Malaysia, bagaimana? Sudah begitukah keadaannya? Saya masih teringat zaman kanak-kanak saya ketikamana saya datang ke masjid untuk solat Jumaat di sebuah masjid. Saya masih ingat lagi bagaimana layanan siak masjid itu terhadap kanak-kanak kecil waktu itu menjadikan majoriti kanak-kanak seumur kami yang datang waktu itu rasa benci dan marah dengan tindakan siak itu. Yang memenuhi isi telinga kami setiap kali Jumaat ketika baru saja menjejak kaki di tangga masjid adalah amaran keras dan suara tinggi daripada siak supaya tidak bermain-main di masjid waktu khutbah sedang berjalan. Kemudian, dia menyuruh-nyuruh semua kanak-kanak supaya duduk di satu tempat saja. Selain amaran, saya sangat pasti tidak ada cara didikan lain yang pernah digunakan oleh siak itu.Bukan sebuah masjid itu saja. Ada beberapa masjid yang saya pernah pergi, begitu jugalah normanya.

UNTUK APAKAH MASJID? Saya sangat rasa terkilan melihat beberapa buah masjid di Malaysia yang menjadi mainan politik sesetengah pihak. Ada sesetengah menjadikan masjid sebagai medan untuk berebut kuasa dan kedudukan pula. Mereka ni parti bla bla. Kalau mereka ni pegang masjid, habis kita. Tengoklah, bila mereka pegang jawatangkuasa masjid, ramai yang tak mahu datang. Kemudian AJK-AJK Masjid berbalah-balah. Hanya kerana berebut ingin parti itu naik, parti ini naik jadi AJK Masjid, kita telah melukakan banyak pihak secara tidak langsung terutama orang-orang muda dan kanak-kanak. Tak kurang juga sesama orang tua pun ada yang bermasam muka. Orang-orang tua berbalah, siapakah yang peduli? Kanak-kanak pedulikah? Orang-orang muda pedulikah? Tak ada. Tak ada kanak-kanak yang peduli. Yang mereka tahu, bila datang masjid, sama ada ikut solat atau main di luar masjid. Orang muda, berapa ramai sangat yang ada di masjid-masjid kita? Cuba perhatikan. Kata Ustaz Nouman ini lagi, Kanak-kanak tidak akan pernah peduli, orang ni ideologi tu. Orang ni ideologi ni. Kita sudah membuang masa dengan mainan politik di masjid-masjid kita. Apakah sebenarnya fungsi masjid? Adakah tempat untuk kita berebut menjadi AJK? Tidak.

Adakah tempat untuk kita berebut menjadi imam dan bilal sebab memperoleh elaun tinggi dari Jabatan Agama? Tak. Rasul s.a.w. dan para sahabat tidak pernah berbalah hanya kerana ingin menjadi AJK Masjid Nabawi sewaktu awal-awal Masjid itu dibina. Masjid itu lebih mulia daripada masjid-masjid kita. Tetapi, mereka tak ada pula berebut-rebut sampai perlu bermasam muka dan menjauhkan orang muda dan kanak-kanak daripada masjid. Bahkan, tidak ada elaun pun untuk mereka yang menjaga masjid di zaman itu. Jadi, tanya pada diri kita semula, kita datang ke masjid sebenarnya untuk apa? Untuk lebih dekat dengan Allah, rapatkan hubungan kemasyarakatan, bukan? Semua itu untuk tujuan akhirat kita. Seharian kita sudah dipenuhi dengan kerja-kerja dunia, maka kita perlukan masa khusus pula untuk bersama dengan Allah dan masyarakat. Bukan untuk kita pergunakannya sebagai tempat merebut kuasa dan kedudukan. Tak hairanlah kanak-kanak dan orang muda jauh dari masjid kerana orang-orang masjid sendiri lebih sibuk dengan hal mereka sendiri daripada hal masa depan anak-anak mereka dan orang-orang muda.

FUNGSI MASJID UNTUK PEMBINAAN MASA DEPAN Kata Ustaz Nouman itu lagi, Ada seorang syeikh, seorang ustaz datang menyampaikan ceramah di masjid. Kemudian siapakah yang duduk mendengar? Orang tua. Orang tua yang dengar. Di manakah kanak-kanak? Mereka berada di tempattempat parking bermain, berada di luar masjid. Mereka tidak berada di sini mendengar ceramah. Memang benar, biasanya begitulah yang berlaku di masjid-masjid kita. Masjid itu sepatutnya jadi tempat pembinaan kefahaman Islam sebenar. Orang bukan datang semata-mata untuk solat, dengar ceramah dan pulang. Tidak. Masjid juga bukan hanya untuk orang-orang tua, datang mendengar ceramah dan mengisi masa tua mereka sedangkan kanakkanak yang lebih muda perlukan pengisian dan pembinaan untuk masa depan mereka, dibiarkan dan diabaikan. Kita rasa tidak penting atau tidak ada masalah kalau orang muda dan kanak-kanak tidak datang ke masjid. Maka, tidak hairanlah kalau masjid digelar sebagai tempat kelab 40-an kerana kita sendiri tidak rasa penting untuk berusaha membawa dan menjadikan masjid sebagai tempat yang menarik untuk anak-anak kita dan orang-orang muda datang. Kebanyakan orang tua yang datang ke masjid lebih senang begini, Biarlah. Mereka nak datang, mereka datang. Tak mahu datang, sudah. Tak perlu paksa-paksa. Pada saya, tidak sepatutnya begitu. Kita perlu pandang dengan pandangan masa depan. Alangkah ceteknya wawasan kita sekiranya kita melihat masjid hanya sebagai tempat solat dan tempat dengar ceramah saja. Lebih sikit, sebagai tempat tahlil dan baca yasin. Kalau hanya itu saja, kita sudah menyempitkan fungsi masjid untuk masa depan Islam. Lihatlah contoh daripada Rasul s.a.w. Apakah fungsi pembinaan masjid di Madinah sewaktu itu?

Hanya sekadar untuk solatkah? Tidak. Bahkan, ia lebih daripada itu. Kesan daripada sebuah masjid itu, akhirnya Islam berkembang ke negara-negara lain. Penyatuan dan pembinaan kekuatan ummat berlaku di masjid sewaktu itu. Tetapi, kita sebaliknya pula. Perpecahan dan kelemahan pula yang terhasil daripada masjid-masjid kita. Sepatutnya, semakin banyak masjid, semakin terislah masyarakat. Tetapi, begitukah kesannya sekarang ini?

ORANG MUDA TIDAK DIGUNAKAN POTENSI MEREKA Dalam hal ini, saya melihat segelintir masjid-masjid yang ada telah membazirkan potensi orang-orang muda yang berada di sekitar mereka. Ada orang-orang muda yang datang ke masjid tetapi tidak diasah potensi mereka. Sebab itulah, orang muda dan kanak-kanak bosan kalau datang ke masjid. Akhirnya, mereka mencari ruang-ruang lain untuk memanfaatkan potensi mereka. Kemudian, orang-orang tua pula yang marah bila orang muda lebih ramai berada di tempattempat yang tidak sepatutnya. Sebab itu, ada sesetengah orang muda dan kanak-kanak yang berkata, Datang masjid, kalau tak kena marah tak sah. Tak pergi lagi bagus. Sepatutnya masjid kita boleh buat lebih daripada hanya sekadar pandai memarahi kanak-kanak. Kenalpasti potensi kanak-kanak dan orang muda serta garapkannya supaya berkembang menjadi baik. Sediakan ruang untuk mereka menggunakan bakat-bakat mereka. Ada antara mereka yang ada bakat dari segi suara, maka asahlah. Beri peluang untuk azan di masjid sekali-sekala. Adakan kelas-kelas tarannum dan kelas hafazan untuk mereka. Ada ketika, berilah peluang untuk menjadi imam. Tidak ada salahnya. Ada yang rajin untuk bantu bersih-bersih masjid. Maka, cari peluang dan ajak mereka. Tak ada salahnya kalau kita boleh masukkan mereka jadi AJK kecil di bawah kawalselia orang-orang tua di masjid. Ada yang pandai bercakap. Ajar dan fahamkan mereka tentang Islam. Kemudian, sediakan ruang untuk mereka menjadi khatib. Latih dan asah bakat mereka. Nah, bila orang tua saling berpadu tenaga dengan orang muda, memberi ruang dan peluang kepada orang muda, memberi latihan pula kepada orang muda, takkanlah orang muda hendak menjauh lagi dari masjid? Bahkan, orang-orang muda akan rasa lebih terkedepan dan rasa terikat dengan masjid bila selalu dilatih dan diberi peluang. Masalah kita adalah hanya tersekat pada orang-orang tua yang telah dilantik menjadi imam, khatib dan bilal. Kita tidak pandai mencari ruang untuk melatih kanak-kanak dan orang muda. Yang kita nampak pada kanak-kanak dan orang muda adalah, mereka ini hanya budak hingusan. Tak matang lagi. Masih budak lagi. Belum layak lagi. Akhirnya, kita sendiri mengenepikan potensi mereka dan jahiliah pula memanfaatkan mereka.

PENUTUP : JADIKAN MASJID MAGNET KANAK-KANAK DAN ORANG MUDA !

Ubahlah suasana-suasana di masjid kita. Masjid kita sebenarnya mampu menghasilkan lebih ramai orang yang faham dan tidak jumud terhadap Islam. Masjid kita mampu menghasilkan orang yang dekat hubungannya dengan Allah. Masjid kita mampu jadi tempat pembentukan kekuatan ummat. Telitilah firman Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah, 18 yang bermaksud : Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada apapun) kecuali Allah. Makmurkan masjid kita dengan iman kepada Allah. Biar orang yang datang ke masjid, imannya benar-benar terdidik. Pada saya, orang tua perlu berfikir ke depan. Saya tidaklah berniat mengajar. Tetapi, fikirkanlah, adakah kita ingin meninggalkan anak-anak kita nanti dalam keadaan mereka jahil terhadap Islam dan jauh daripada Allah s.w.t. sedangkan kita sendiri adalah orang yang rajin ke masjid? Pastinya kita tidak mahu, bukan? Kalau tidak mahu, maka kita perlu ubah masjid-masjid kita menjadi masjid yang magnet kanak-kanak dan orang-orang muda. Biar orang-orang muda dan kanak-kanak rasa tertarik untuk datang ke masjid. Masjid bukan tempat berbalah dan menyumpah-nyumpah, tetapi sebenarnya pusat dakwah dan pembinaan ummah. Ayuh, realisasikan !

You might also like