You are on page 1of 6

2012

IBU BAPA CEMERLANG, ANAK GEMILANG, SEKOLAH TERBILANG

TARIKH HARI MASA TEMPAT

: 10 MAC 2012 : SABTU : 7.30 PAGI 12.00 TENGAH HARI : DEWAN

VISI
SEULAS PINANG PENGETUA SMK BANDAR SUNWAY
Bismillahirahmanirrahim Saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana Mesyuarat Agung PIBG kali ke-16 dapat kita laksanakan bersama-sama. Mudah-mudahan pada majlis hari ini, kita dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain. Dalam arus modenisasi ini, kita tidak seharusnya meletakkan tugas mendidik hanya di pundak guruguru sahaja, tetapi ibu bapa juga perlu turut sama menggalas harapan anak-anak untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Dalam diskusi pada hari ini juga, saya amat mengharapkan saranan idea, tenaga, dan apaapa jua sumbangan daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk melengkapkan lagi prasarana dan keperluan fizikal sekolah. Hal ini bagi membantu pihak sekolah menangani kesulitan yang dihadapi dalam memastikan kecemerlangan akademik dan kokurikulum murid-murid tercapai. Selain itu, melalui perbincangan dan mesyuarat yang dijalankan ini, diharapkan kita dapat mencapai kata sepakat dalam mengatasi masalah disiplin dan akhlak murid-murid. Oleh itu, langkah sepadu harus diambil untuk mewujudkan keselesaan, keselamatan, dan suasana yang kondusif kepada murid-murid di sekolah ini. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu bapa dan barisan guru yang selama ini bertungkus lumus melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi bagi mengharumkan nama sekolah melalui kecemerlangan akademik dan pencapaian cemerlang dalam bidang kokurikulum. Syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada jawatankuasa PIBG dan jawatankuasa pelaksana Mesyuarat Agung kali ini yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas budi baik dan jasa tuan-tuan dan puan-puan. Sama-samalah kita memohon agar Allah memberikan kemudahan dan keberkatan kepada kita dalam memberikan didikan yang sempurna bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan berkualiti yang bakal menjadi generasi pewaris negara pada masa hadapan. Akhir kata, gabungan dan kerjasama PIBG pada hari ini diharapkan dapat meningkatkan lagi kecemerlangan akademik dan kokurikulum sekolah. Semoga kita semua terhindar daripada sebarang kesusahan dan musibah dalam menempuh kehidupan seharian. Justeru, tekadlah azam agar kita dapat sama-sama melonjakkan kecemerlangan sekolah ini ke tahap yang maksimum bagi melahirkan insan terbilang yang mengharumkan nama negara di seantero pelosok dunia. Sekian, terima kasih. IBU BAPA CEMERLANG, ANAK GEMILANG, SEKOLAH TERBILANG

(PN HAPSAH BT SAFIAN) Pengetua SMK Bandar Sunway

SEKAPUR SIRIH YANG DIPERTUA PIBG SMK BANDAR SUNWAY


Bismillahirahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Setinggi kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu sekali lagi dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-16 SMK Bandar Sunway. Tidak dapat disangkal bahawa pentadbir,dan guru-guru merupakan akar tunjang sekolah. Anak-anak kita pula ibarat ranting, daun, dan buah yang bakal tumbuh. Peranan utama PIBG pula laksana sinar mentari yang bersama-sama memastikan sebatang pokok ini dapat hidup dengan baik dan sempurna. Maka, peranan utama PIBG adalah untuk membantu dan menyokong pentadbiran sekolah bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dirancang berjalan baik dengan mencari serta menambah dana atau sumber kewangan. Di samping itu PIBG memainkan peranan penting membantu pihak sekolah dalam memastikan murid-murid dapat belajar dalam suasana yang lebih baik. Kita sebagai ibu bapa mempunyai peranan bersama-sama guru dan pentadbir sekolah melalui permuafakatan untuk mendidik, membentuk generasi yang benar-benar berilmu, mempunyai akhlak yang tinggi, beriman, dan beramal soleh. Manakala kecemerlangan dan kegagalan PIBG bukan terletak sepenuhnya kepada AJKnya sahaja tetapi bersandarkan sumbangan daripada ahli-ahli. Kepakaran, kebolehan, dan kelebihan yang ada pada ahli-ahli PIBG itulah aset sebenar persatuan ini. Itulah modal insan yang harus digarap bagi memajukan PIBG. Kita semua mempunyai peranan yang sangat penting dalam persatuan ini. Ahli-ahli politik boleh menyumbang dari segi kuasa politik dan melerai kekangan birokrasi, ahli korporat pula dapat menyumbang dari segi kewangan, kalangan profesional dari segi kepakarannya, ahli pemikir dari segi ideanya manakala kita semua yang mungkin menganggap tiada kepakaran atau kelebihan adalah sebenarnya penyumbang kepada tenaga dan keringat untk kecemerlangan PIBG. Akhir kata, saya memohon janganlah dibiarkan PIBG bergerak berlandaskan saf kepimpinan yang ada sahaja atau hanyut tanpa komitmen ahli, sebaliknya marilah kita bersatu hati bersama-sama memainkan peranan sebagai penggerak dalam memacu persatuan ini agar menjadi lebih dinamik demi kecemerlangan masa depan anak-anak kita. Ribuan kemaafan saya pohon jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan yang berlaku selama saya memegang amanah ini. Sekian, Wasalam.

(EN HAMZAH BIN HASSIM) Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Bandar Sunway

SEKAPUR SIRIH YANG DIPERTUA PIBG SMK BANDAR SUNWAY Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Syukur ke-hadrat Illahi atas limpah kurnia-Nya yang memberi kesempatan kepada saya merakamkan sepatah dua kata dalam buku program ini. Tahniah kepada warga SMKBS yang telah berjaya menganjurkan Kejohanan Olahraga kali Kesebelas 2011 ini. Bermula saya menggalas amanah sebagai YDP PIBG pada tahun ini, jelas sekali aktiviti kokurikulum telah dijalankan dengan begitu efisien. Pelbagai kejayaan telah dilakar pada empat bulan pertama ini sama ada dalam acara sukan semua peringkat juga aktiviti koakademiknya. Saya berharap warga sekolah lebih beriltizam untuk maju dalam bidang kurikulum juga kokurikulum. Sebenarnya kejohanan Olahraga tahunan ini bertujuan mencungkil kebolehan pelajar-pelajar dalam bidang kokurikulum. Prestasi yang baik dalam sukan bukan sahaja boleh mengharumkan nama sekolah tetapi boleh menjadi batu loncatan bagi pelajar melangkah ke menara gading. Fenomena ini bertetapan dengan 10% markah diperuntukkan daripada aktiviti kokurikulum untuk pemilihan ke IPTA. Kepada pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini, saya mengucapkan syabas dan manfaatkanlah peluang yang ada sepanjang pertandingan ini untuk mengembangkan minat, bakat dan potensi masing-masing di samping mengeratkan lagi kerjasama dan silaturahim antara satu sama lain dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang cergas dan bersatu padu di bawah konsep 1 Malaysia. Oleh hal yang demikian, harapan saya agar para pelajar akan mempamerkan semangat kesukanan yang positif dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan Kejohanan Olahraga kali Kesebelas ini. Akhir kata, kepada pelajar-pelajar dan semua yang terlibat, diucapkan selamat menjayakan kejohanan olahraga ini dengan cemerlangnya! Sekian, terima kasih dan salam hormat.

.. (En. Hamzah b. Hassim ) Yang Dipertua PIBG

You might also like