You are on page 1of 12

PENGENALAN Salah satu masalah yang dihadapi oleh negara berbilang bangsa dan bahasa seperti Malaysia ialah

masalah menentukan bahasa apakah yang patut digunakan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan atau negara. Ini bukan sahaja merupakan masalah ideologi yang berkait dengan soal nasionalisme, perpaduan bangsa dan jati diri negara tetapi juga masalah pragmatisme, yakni masalah fungsi bahasa itu sebagai alat pembangunan negara. Untuk menyelesaikan masalah ini Malaysia memilih Bahasa Melayu untuk menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara yang merdeka selepas tahun 1957 di samping mengangkat tarafnya menjadi bahasa kebangsaan yang diharap akan berfungsi sebagai bahasa komunikasi luas dalam masyarakat pelbagai kaum dan bahasa. DASAR BAHASA KEBANGSAAN Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) 1961 dan 1963 bertujuan merealisasikan Perkara 152 (1) perlembagaan negara yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam segala urusan awam. Ia selaras dengan berfokuskan isu perpaduan pasca-penubuhan Malaysia, terutama bagi maksud integrasi Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Dasar Bahasa Kebangsaan disediakan bagi menyokong matlamat pembangunan negara yang meletakkan perpaduan sebagai jaminan kejayaannya.

Penurunan taraf sebanyak dua kali ganda (Mahzan, 2002) menerusi AP 96 membuatkan harapan untuk melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkapan wacana ilmu dan teknologi tinggi tiba-tiba pudar. Rempuhan gelombang globalisasi dan perebutan peluang ekonomi di persada antarabangsa rupa-rupanya memerlukan kesegeraan bertindak balas terhadap segala bentuk perubahan yang berlaku tanpa henti. Cita-cita menjadikan negara sebagai hub ICT, industri berteknologi tinggi dan pendidikan bertaraf dunia mengakibatkan peminggiran Dasar Bahasa Kebangsaan yang kelihatannya amat memilukan para pejuang dan pembela Dasar Bahasa Kebangsaan

PELAKSANAAN DASAR BAHASA KEBANGSAAN Pada mulanya dasar bahasa itu dicurigai oleh sesetengah golongan, terutama dalam tahuntahun 60-an. Mereka khuatir dasar itu boleh memusnahkan bahasa, budaya dan kepentingan pendidikan kaum-kaum bukan Melayu. Golongan elit berbahasa Inggeris pula khuatir bahawa pentadbiran negara dan sistem pendidikan kebangsaan yang dikendalikan dalam Bahasa Melayu (menggantikan bahasa Inggeris) boleh memundurkan negara ini. Setelah kira-kira 40 tahun ternyata bahawa segala kekhuatiran itu tidak munasabah dan tidak beralasan. Rata-rata penduduk Malaysia menerima dasar bahasa yang ada sekarang. Bahasa-bahasa lain tidak termusnah kerana dasar bahasa itu membenarkan bahasa-bahasa lain digunakan dengan bebas dalam semua bidang kecuali untuk "maksud rasmi" kerajaan. Lihat kedudukan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dalam sektor swasta berbanding dengan kedudukan Bahasa Melayu - bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara - dalam sektor yang sama. Lihat juga kegunaan bahasa Inggeris yang semakin meluas di institusi pengajian tinggi swasta yang berjumlah lebih 280 buah banyaknya di dalam negeri ini. Sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya (yakni di sekolah kebangsaan dan di institusi pengajian tinggi awam) tidak menjejaskan nasib pendidikan kaum-kaum bukan Bumiputra. Pelajar-pelajar bukan Melayu sudah membuktikan bahawa dasar itu tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang pendidikan melalui Bahasa Melayu, baik di peringkat SPM dan STPM mahupun di peringkat universiti. Dari tahun 1990 hingga tahun 1995 universiti awam dalam negeri yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya telah menghasilkan sebanyak lebih kurang 35,000 orang siswazah dalam bidang sains dan teknologi, 55% daripada mereka bumiputra dan 45% bukan bumiputra.

ISU 1 PEMINGGIRAN BAHASA MELAYU FAKTOR 1 : TARAF BAHASA MELAYU DI SEKTOR SWASTA AMAT RENDAH Peminggiran Bahasa Melayu - bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara - dalam sektor swasta amat aneh memandangkan bahawa lebih 85% daripada penduduk Malaysia selepas Kemerdekaan mengetahui bahasa ini. Menurut suatu kajian, hanya kira-kira 25% sahaja penduduk Malaysia yang menguasai bahasa Inggeris di berbagai-bagai peringkat kefasihan, kebanyakannya di peringkat "Malaysian English", yakni bukan bahasa Inggeris tinggi. Jelas nampaknya bahawa penduduk Malaysia semakin lama semakin terpisah-pisah lagi oleh bahasa di luar sistem rasmi kerajaan, yang ketara ialah di sektor swasta. Kita boleh bertanya, apa gunanya sistem pendidikan kebangsaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya - pelajar memperoleh sijil SPM, STPM dan ijazah universiti dalam Bahasa Melayu - jikalau dalam dunia pekerjaan dan profesion, di dalam dunia perusahaan dan kegiatan ekonomi di dalam negeri ini, bahasa ini tidak dihargai, tidak digunakan dengan berkesan? Ada kecenderungan di kalangan golongan elit berbahasa Inggeris di Malaysia, malah juga di kalangan pemimpin Melayu dalam kerajaan,untuk memberikan peranan atau taraf yang berbeza kepada Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris (BI) dalam proses pembangunan negara. Mereka sering menegaskan bahawa BI penting sebagai "bahasa kemajuan", yang dimaksudkan ialah kemajuan ekonomi, perusahaan dan teknologi, manakala peranan Bahasa Melayu dianggap penting hanya sebagai "bahasa perpaduan" dan "bahasa rasmi" negara. Penegasan terhadap BI sebagai bahasa kemajuan itu dikatakan tidak akan menjejaskan peranan dan "martabat" Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan "bahasa perpaduan". Jadi, secara sedar atau tidak sedar, selepas tahun 1990 terutamanya, kerajaan seolah-olah membiarkan berlakunya dua jenis dasar bahasa di negara ini, yang satu dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan negara, yang satu lagi dasar memartabatkan Bahasa Melayu sebagai "bahasa perpaduan". Kalau ini benar maka kita percaya bahawa bukan sahaja nilai Bahasa Melayu sebagai "bahasa kemajuan negara" vis-a-vis bahasa-bahasa lain, khususnya BI, akan merosot bahkan peranannya sebagai "bahasa perpaduan" juga akan terjejas. Dan apabila nilainya sebagai "bahasa kemajuan

negara" merosot apa perlunya penduduk Malaysia mempelajari Bahasa Melayu hingga ke peringkat universiti? KESAN DARIPADA ISU Para pelajar akan lebih tertarik untuk mendapat diploma dan ijazah mereka daripada maktab dan universiti swasta yang menggunakan BI sebagai bahasa pengantar utamanya. Sektor swasta tidak akan menghargai siswazah yang keluar daripada institusi pengajian tinggi awam. Akibatnya, terdapatlah dua dasar bahasa di negara ini yang dibezakan oleh "sektor kegiatan": bahasa sektor awam atau sektor kerajaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam urusannya, dan bahasa sektor swasta yang menggunakan bahasa-bahasa lain, terutama BI, sebagai bahasa utamanya. Di sektor swasta Bahasa Melayu terpinggir dan nampaknya akan terus terpinggir apabila beberapa banyak agensi kerajaan dan kemudahan awam diswastakan. Jika keadaan ini tidak dikawal, kegunaan Bahasa Melayu dalam urusan-urusan tertentu kerajaan pun akan turut merosot, digantikan oleh bahasa Inggeris. . Kita boleh bertanya, apa gunanya sistem pendidikan kebangsaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya - pelajar memperoleh sijil SPM, STPM dan ijazah universiti dalam Bahasa Melayu jikalau dalam dunia pekerjaan dan profesion, di dalam dunia perusahaan dan kegiatan ekonomi di dalam negeri ini, bahasa ini tidak dihargai, tidak digunakan dengan berkesan.

FAKTOR 2 : MASALAH "BUDAYA BAHASA" Setelah sekian lama kita mengambangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, kita dapati bahawa kesedaran terhadap nilai dan peranan bahasa ini dalam kehidupan harian "bangsa Malaysia" di luar sistem yang rasmi itu tidak tinggi, sehinggakan kerajaan terpaksa melancarkan gerakan Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita dalam tahun 1987. Selain masalah terpinggirnya Bahasa Melayu dalam sektor swasta sebagaimana yang tersebut di atas, kita juga melihat berlakunya apa yang disebut "pencemaran bahasa" atau salah guna bahasa itu di mana-mana sahaja, bukan sahaja dalam masyarakat bahkan juga di TV dan radio, malah juga di pejabat-pejabat kerajaan. Kejadian "code-switching" dan "code-mixture", yakni penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur-baur

dengan bahasa Inggeris, adalah kejadian yang cukup merebak. Dalam mesyuarat rasmi jabatan kerajaan misalnya,bahasa campuran ini berlaku dengan leluasa sekali.

Keadaan yang tersebut itu berlaku kerana beberapa sebab, antara yang lain-lain yang boleh kita sebutkan ialah: (a) pengguna dwibahasa Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris itu tidak cekap dalam kedua-dua bahasa, atau boleh jadi mereka lebih cekap dalam bahasa Inggeris daripada; (b) selepas Kemerdekaan bahasa Inggeris diajarkan sebagai bahasa wajib di sekolah, jadi lebih banyak penduduk Malaysia yang mengetahui bahasa Inggeris1. Masalah timbul apabila penguasaan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang mereka pelajari itu tidak baik, tidak bermutu, maka berlakulah "code-switching" dan "code-mixture" yang menandakan betapa kacaunya pendidikan dan budaya bahasa di negara ini. (c ) kurangnya perhatian yang diberikan oleh ketua-ketua jabatan kerajaan dan juga oleh para menteri kita terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang baik dalam urusan pentadbiran kerajaan, dalam mesyuarat rasmi, di TV dan di radio.

KESAN DARIPADA ISU Kesan daripada tidak membudayakan Bahasa Melayu boleh menyebabkan Bahasa ini pupus ini kerana Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.Bagaimanapun saya optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna Bahasa Melayu di dunia ini."Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamadun terutama sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu mungkin tidak menjadi bahasa undang-undang, tidak menjadi bahasa pentadbiran dan tidak menjadi jadi bahasa pemikiran lagi, jika kita tidak berjaga-jaga."Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, samalah tarafnya dengan bahasa Orang asli atau puluhan bahasa kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara Hilangnya jati diri ini kerana Bahasa Melayu mempunyai lambang, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara

ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya Negara Jepun dengan hasa Jepunnya, Negara Jerman dengan Bahasa Jermannya dan Negara Perancis dengan Bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai lambang Negara Malysia di persada dunia. Dengan hal demikian, Bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengn cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang dipinjam semata-mata untuk menunjukkkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendir. Oleh hal demikian, penduduk di negara bangsa Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan apabila mengunakan Bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa.

ISU 2 BAHASA INGGERIS SEBAGAI BAHASA KEMAJUAN DAN PENDIDIKAN FAKTOR : PENGARUH BAHASA INGGERIS YANG KIAN MENINGKAT

Kedudukan bahasa Inggeris sebagai alat pengantar pendidikan tinggi di dalam negeri ini semakin dipupuk dan semakin penting setelah kerajaan membuat keputusan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam "kursus-kursus sains dan teknologi tertentu" di Institusi Pengajian Tinggi Awam, dan juga setelah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) diluluskan yang memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai alat pengantar di pusat pengajian tinggi swasta. Dasar ini sudah tentu akan menyaingi, malah akan menggugat, kedudukan Bahasa Melayu yang kira-kira sudah mantap itu sebagai bahasa ilmu

Tidak nampak mengapakah dasar bahasa dan sistem pendidikan kebangsan yang sudah mantap dan diterima umum itu mesti dinyahstabilkan oleh perubahan yang baru itu. Kita tidak sekali-kali menentang rakyat Malaysia mempelajari bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa asing yang lain. Tetapi bahasa ini penting hanya untuk maksud-maksud tertentu sahaja, atau untuk menghubungi dunia luar (misalnya untuk urusan diplomatik, perdagangan antarabangsa, mempelajari ilmu dari negeri berbahasa Inggeris, dan sebagainya) tetapi tidak sebagai alat kemajuan atau pembangunan di dalam negara sendiri yang sebahagian besar penduduknya tidak memahami dan tidak perlu memahami bahasa asing itu untuk memajukan keadaan mereka. Jikalau pegawai diplomatik Malaysia tidak fasih berbahasa Inggeris mereka patutlah diberikan kursus intensif bahasa Inggeris sebagai program khusus. Sayugia diingatkan bahawa mengetahui bahasa Inggeris sahaja tidak bererti pegawai diplomatik itu dapat berhubung dengan seluruh dunia. Jikalau mereka bertugas di negeri Perancis, atau di negeri Arab atau di negeri Jepun, bahasa Inggeris boleh jadi tidak digunakan dengan luas

Tiada siapa di negara ini yang menentang BI. Soalnya ialah, apakah pentingnya bahasa ini sebagai alat kemajuan di dalam negeri ini, bukan di dunia luar. Pengalaman negara yang maju atau sedang maju seperti Jepun, Korea Selatan, Negeri Thai, Indonesia, dan Taiwan yang menggunakan bahasa sendiri (bukan bahasa pinjaman/bahasa asing) sebagai alat kemajuan negara dalam semua bidang, dan pengalaman atau keadaan negara bukan Barat yang tidak maju yang menggunakan bahasa asing/bahasa pinjaman sebagai bahasa rasmi/bahasa kemajuan Negara hendaklah dijadikan teladan dasar bahasa kita .

KESAN DARIPADA ISU Peningkatan pengaruh bahasa inggerish menyebabkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan hilang. Perpaduan sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara beraulat. Di Malaysia ini, terapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah Bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama

dalam konteks hubungan antara kaum.Bagi merealisasikan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara penduduk yang berbilang kaum.

Malahan juga kesan daripada isu ini menyebabkan hilangnya Bahsa Melayu sebagai peranan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.

Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengn cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang dipinjam semata-mata untuk menunjukkkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendir. Oleh hal demikian, penduduk di negara bangsa Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan apabila mengunakan Bahasa Melayu untuk memartabakan bahasa ini di persada antarabangsa.

LANGKAH MENGATASI SEMUA ISU-ISU.

Untuk memastikan bahawa taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pendidikan tinggi, bahasa kemajuan negara dan perpaduan yang sudah mantap itu tidak merosot ke taraf lama (sebelum Kemerdekaan) dan untuk mengelak berlakunya krisis dasar bahasa sehingga boleh menjejaskan perpaduan kaum dan kemajuan negara,Beberapa langkah mengatasi perlu dilaksanakan antaranya seperti berikut: 1. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara hendaklah dilaksanakan dengan tegas dalam semua bidang 2. Arahan atau seruan supaya BI digunakan untuk mengajarkan "kurus-kursus sains dan teknologi tertentu" di universiti awam hendaklah ditarik balik. 3. Pemimpin Melayu berhenti bercakap di khalayak umum tentang "pentingnya bahasa Inggeris untuk kemajuan negara ini". Kesan psikologi, politik dan budayanya terhadap kedudukan Bahasa Melayu amat buruk. Sebaliknya mereka mesti mula menegaskan tentang pentingnya Bahasa Melayu sebagai alat pembangunan negara dalam konteks Wawasan 2020. 4. Tujuan belajar BI sebagai bahasa kedua mesti jelas. Peranan dan pentingnya bahasa kedua tidak boleh disamakan dengan peranan dan pentingnya bahasa pertama (BAHASA MELAYU) sebagai alat pembangunan negara dan pembentuk jati diri bangsa. 5. Kerajaan hendaklah memupuk penggunaan Bahasa Melayu di dalam sektor swasta 6. Peranan Mahasiswa Apabila bercakap mengenai pembinaan tamadun, masyarakat akan memandang mahasiswa sebagai organ utama dalam merealisasikan tamadun sesebuah bangsa itu. Untuk merealisasikan pembinaan tamadun Melayu ini, mahasiswa harus memainkan peranan dalam memperjuangkan soal kebangkitan bahasa ibunda iaitu kebangkitan Bahasa Melayu. Mengapa kita sebagai mahasiswa perlu mengambil peranan dalam memperjuangkan isu bahasa ini?

Antara faktor-faktor Mahasiswa harus melaksanakan tanggungjawab ini ialah: Pembinaan jatidiri sesuatu bangsa itu harus dimulai dengan mencintai bahasa ibundanya Kemajuan sesuatu bangsa itu bukannya bergantung kepada bahasa asing. Masyarakat akan mudah terpengaruh dengan budaya-budaya negatif yang datang dari barat. Harus melihat kembali bagaimana kejayaan empayar Islam suatu ketika dahulu yang telah menjadi tamadun yang gemilang melangkaui tamadun sedia ada dan sebelumnya. Kebimbangan penggunaan Bahasa Melayu ini akan terhakis sedikit demi sedikit hingga kepada pemansuhan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti yang berlaku kepada bahasa jawi. Tanggungjawab Mahasiswa: Memupuk kesedaran di kalangan mahasiswa tentang peri pentingnya mencintai dan menghargai bahasa ibunda Mendesak pihak kerajaan untuk menukar kembali penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik kepada Bahasa Melayu. Mengadakan perbincangan yang secara ulang tetap di antara tenaga pengajar, pelajar dan pentadbir universisti serta pihak swasta. Mendesak penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dengan tegas. Meningkatkan penulisan dan penterjemahan buku-buku, majalah-majalah ilmiah Mendidik diri untuk menjadi professional serta pejuang bahasa.

KESIMPULAN Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) sedang menempuh era suram dan bercelaru sedang hangat dibahaskan dalam kalangan pencinta bahasa. Akta Pendidikan 1996 (AP 96) dituding sebagai punca fleksibiliti dasar berkenaan berbanding dengan Akta Pelajaran 1961 yang menegaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara.

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan jelas termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Fasal (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang parlimen Sebagai Bahasa Kebangsaan kepada negara baru yang berdaulat, Bahasa Melayu dikehendaki memikul beban tugas baharu. Selain bahasa rasmi negara, ia menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua ini dipikul peringkat demi peringkat oleh Bahasa Melayu sejak tahun 1957, ketika negara mencapai kemerdekaan.

Globalisasi dalam setiap aspek kehidupan sebenarnya tidak dapat dielak. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa tidak harus ditolak, sebaliknya dimantapkan. Pada masa yang sama peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam semua sektor perlu dipertahankan. Persoalan besar yang timbul ialah apakah strategi mendepani cabaran yang datang bersama-sama arus globalisasi ini supaya jati diri masyarakat dan negara terpelihara? Sudah tentulah tanggungjawab kita sebagai warganegara adalah memperkasa jati diri. Dasar Bahasa Kebangsaan ialah akar umbi, khazanah dan warisan yang menjadi tunjang keutuhan negara. Dasar Bahasa Kebangsaan tidak sewajarnya diketepikan demi melayani nafsu industri semata-mata, walaupun sumbangan industri terhadap ekonomi negara sememangnya kritikal. Sebaliknya, fokus terhadap potensi individu yang diharap menjadikan rakyat Malaysia sebagai global player juga tidak boleh ditolak. Barangkali kompromi dan pengubahsuaian dari segi perancangan dasar dan persefahaman antara kumpulan berkepentingan dapat dilakukan. Kedua-duanya diperlukan demi kebaikan negara dalam jangka masa panjang.

LINK ARTIKEL 1. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Perjuangandasarbahasakebangsaanmasihbel umselesai/Article/index_html

RUJUKAN 1. Abd Rahim Abd Rashid ( 2004 ), Patriotisme: Agenda Pembinaan Bangsa. Utusan Publication&Distributor Sdn.Bhd. 2. Arbaie Sujud, Adi Yasran Abdul Aziz, Ahmad Yusoff Buyong dan Zaitul Azma Zainon Hamzah ( 2011 ), Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu. Dewan Bahasa Dan Pustaka 3. Awang Sariyan. ( 2006 ), Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 4. Kamal shukri Abdullah sani ( 2007 ), Apa sudah jadi Bahasa Melayu?. Pts professional publishing sdn.bhd 5. Muhyiddin Yassin ( 2011 ), Sudut pandang muhyiddin yassin. Institute terjemahan Negara Malaysia berhad 6. Persatuan Linguistik Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia 7. http://kembarabahasa.blogspot.com/2012/03/upaya-membudayakan-danmemasyarakatkan.html 8. http://www.pkpim.net/index.php?option=com_content&view=article&id=316:kerajaanmesti-berani-laksanakan-dasar-bahasa-melayu&catid=61:cetusan-presiden&Itemid=83

You might also like